Ahad, 7 Jun 2009

Mahasiswa tidak menulis



Pada hari Rabu yang lepas, saya telah menghadiri satu sesi penyampaian hadiah pertandingan menulis esei yang dianjurkan oleh Perdana Leadership Foundation ya'ni sebuah organisasi amal yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir. Ini kali kedua saya memasuki pertandingan tersebut dan kali kedua juga saya hanya mampu meraih hadiah saguhati. Saya kira ini adalah yang terakhir buat saya menyertai pertandingan ini kerana tahun depan sudah 23 tahun dan tidak lagi mampu memenuhi syarat penyertaan pertandingan tersebut. 


Pertandingan esei ini merupakan satu pertandingan penulisan yang serius. Saya masih ingat sewaktu saya berada di tahun 1, tanpa sebarang tunjuk ajar daripada mana-mana guru, saya terpaksa berulang kali meluangkan masa di Perpustakaan Negara untuk mencari maklumat berkenaan sejarah tanah air. 


Sebagai mahasiswa kejuruteraan kimia sudah tentu skop penulisan ini diluar silibus pengajian saya tetapi dalam tempoh membuat kajian tersebut, banyak perkara baru yang saya terokai dan semua ini membentuk idealisme perjuangan saya sebagai seorang mahasiswa. Memang sukar nak tulis apatah lagi esei yang serius tetapi pengalaman yang dikecapi sangat berguna kelak. 


Kekalahan pada tahun 2006 tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba buat siri kedua pada tahun 2008. Pada kali ini saya benar-benar sudah boleh menulis satu esei yang saya kira bergaya akademik. Tapi apakah daya, bukan rezeki saya untuk menang hadiah pertama mahupun kedua dan ketiga. Ketika saya menulis esei untuk siri pertandingan tahun 2008, saya masih belum mampu faham gagasan al-Attas apatah lagi falsafah secara tuntas. 


Bila baca balik esei saya tulis tersebut, mungkin saya tulis dengan sentimen yang agak negatif ya'ni lebih banyak kritikan kepada status quo. Saya tidak 'memuji' para pemimpin negara seperti para penulis lain yang mungkin banyak mengambil contoh kepimpinan bekas-bekas perdana menteri kita (khususnya Tun Mahathir). 


Saya banyak menulis berkenaan isi pasca kolonial dan pengaruhnya terhadap sistem budaya, pendidikan dan kepimpinan di Malaysia. Para hakim yang ditugaskan terdiri daripada Tan Sri Profesor Emeritus Khoo Kay Kim, Datuk A. Kadir Jasin dan Puan Hardev Kaur yang menulis dalam kolum News Straits Time, ruangan ekonomi. Ternyata para panelis merupakan orang-orang yang hebat belaka. 


Sebelum sesi penyampaiaan hadiah dilaksanakan, Prof. Khoo Kay Kim diberi ruang selaku Ketua Hakim pertandingan esei ini untuk menyampaikan komentar ringkas berkenaan siri pertandingan 2008 ini. Sebanyak lebih kurang 400 penyertaan diterima oleh pihak pengajur dan yang paling sedikit menghantarnya adalah golongan mahasiswa daripada Institut Pendidikan Tinggi negara berbanding budak-budak sekolah menengah. 


Lebih merisaukan, kata Prof. Khoo Kay Kim lagi bahawa kualiti penulisan para peserta masih jauh daripada piawaian yang diharapkan oleh para hakim. Mungkin kalau mana-mana pembaca yang selalu mengikuti hujah Prof. Khoo Kay Kim pada hari ini, beliau sangat lantang mengkritik sistem pendidikan negara. Saya amat tertarik dengan ucapan beliau pada hari tersebut yang kira-kira berbunyi begini:

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."

Para hadirin tergelak sahaja mendengar celoteh Prof. Khoo Kay Kim. Lebih panas kritikan beliau itu terkena pada batang hidung Tun Mahathir sendiri yang merupakan manusia paling bertanggungjawab melahirkan sistem tarbiyah 'meritokrasi celupan kapitalisme' ini. Prof. Khoo Kay Kim berasa kesal dengan para peserta yang banyak merujuk internet berbanding buku-buku yang lebih serius dan akademik sifatnya. Ini menunjukkan generasi muda, hatta penulis esei sebegini pun sudah mula keliru akan hierarki dan kedudukan bahan ilmiah dalam membuat rujukan sehari-harian. 


Disebabkan kualiti para peserta masih tidak memuaskan panel hakim, maka hadiah utama iaitu kereta Chevrolet Aveo tidak akan diberikan untuk sesi pertandingan 2008 ini sebaliknya akan ditundakan kepada sesi pertandingan 2010. Melepaslah para pemenang termasuklah saya...


Kereta Aveo yang masih menunggu pemiliknya yang layak.


Walaubagaimanapun, saya masih bersyukur kerana diberi peluang untuk menimba pengalaman dan ilmu sepanjang kerja-kerja menyiapkan esei ini secara seorang diri. Hadiah saguhati berupa kupon RM50 sumbangan kedai buku MPH telah saya gunakan untuk membeli buku The Impasse of Modernity: Debating the future of market economy karangan intelektual Perancis, Christian Comeliau. 


Esei saya yang kalah tersebut mungkin akan saya hantarkan kepada majalah untuk disiarkan. Harapnya pada tahun hadapan akan lebih ramai golongan mahasiswa menyertai pertandingan ini dengan menulis esei yang lebih baik dan berkualiti berbanding generasi kami. 


Saya akan 'pencen' sebagai mahasiswa undergrad dan selepas ini mungkin menumpukan kepada penulisan jurnal. Insya-Allah. Walaubagaimanapun, bagi sesiapa yang berminat untuk menulis dalam masa semingu lebih ini, gerakan Nursi aliran Gulen melalui majalah mereka, The Fountain mengajurkan satu pertandingan menulis esei yang serius juga seperti yang tertera di bawah:



Bagi yang berminat bolehlah cuba menyertainya. Saya sedang brainstorm isi kandungan esei tersebut dan kini sedang berlegar berkenaan penjelasan semantik dalam bahasa-bahasa Islami seperti Urdu, Osmanli Turki, Melayu, Parsi dan Arab dan hubungkaitnya dengan pandangan alam dan cabaran sekularisasi.


9 ulasan:

D'Rimba berkata...

Jika pemuda sehebat sahabat masih tidak mendapat tempat, apatah lagi saya yang terlalu biasa untuk mencuba. Sudahlah tidak berapa fasih menulis bahasa Inggeris dengan tatabahasa yang sempurna. Huhuhu...Silalah tunjuk ajar wahai pemuda yang berilmu........

D'Rimba berkata...

Kejap, kalaupun saya hebat menulis dalam pertandingan ini, mungkin saya juga akan timbulkan isu seperti Prof Khoo Kay Kim dan banyak lagilah kegagalan yang diagungkan pengikut yang setia....hahahaha......Baru saya terdengar perbincangan di TV1 mengenai dasar penswastaan negara kita 100% gagal kata seorang panel dari Persatuan Pengguna....Dasar hebat siapakah ini gamaknya ya? Hohohoho......

D'Rimba berkata...

Saya juga tidak lapar pada jenama luar negara, lebih rela jenama tanah air sendiri walaupun ada masa mengecewakan kita dari segi kualiti. Hahahaha......Mungkin mereka perlaksana tegar acuan barat pengkagum tegar barat juga saya kira semuapun barangan barat menjadi koleksi....Hohohoho....Semangat JEPUNNNNNNNNNNNNNNNN............rasuklah kami semua supaya kental jatidiri bangsanya....

Malakian berkata...

Sy suka petikan kata-kata Prof. Khoo Kay Kim tu. Ilmu yg dizahirkan melalui ijazah/sijil memang boleh memberi keselasaan yang anda inginkan, prestij dan kehormatan. Tetapi ilmu juga boleh menggugahkan 'keselesaan' fikiran dan status quo anda. Ini berlaku apabila ilmu itu menunjukkan kebatilan dunia yang selama ini anda tempuh. Anda mula terfikir tentang kehidupan anda selama ini, gambaran sheeple bermain dalam fikiran anda, dan anda melihat idea-idea kelesaan anda hasil daripada ijazah/sijil anda bertaburan menjadi debu. "Berbahagialah mereka yang menangisi kehidupan dunya ini." Benarlah kata-kata itu. Rasulullah berkata: "Jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa" (Bukhari). "For with much wisdom comes much sorrow; the more knowledge, the more grief."

Syazwann Al-Qwantani berkata...

saudara,bolehtak sarankan sebuah buku berbahasa inggeris utk sy bc,sy baruje ingin mendalami buku2 serius spt yg saudara selalu post,buku utk memanaskan enjin baru :)

kecewa dgn perpustakaan negeri phg,buku prof N. al attas ada dalam rekod,lain pula ceritanya di rak bila dicari,mmg x jumpa :)

beautiful_minds berkata...

ahhh.. pendidikan di Malaysia sememangnya melahirkan robot bukan insan.
seperti kata prof Khoo Kay Kim sebelum ini, kita belajar bukan utk jadi pekerja tetapi utk menjadi pemikir.
dan mengikut saranan saudara "pemikir yang celik" a.k.a rausyanfikir gagasan Ali Shariati

fairuz berkata...

Assalamualaikum saudara. saya baru nak mula berjinak2 dengan penulisan. n saya bercadang nak join pertandingan 2 next year. would u mind to share ur experiences n knowledges? kata lain saya nak berguru dengan saudara.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam. Saudara boleh join kelas HAKIM yang akan kami buat nanti tahun depan Insyaallah.

fairuz berkata...

boleh ceritakan x tentg kelas HAKIM 2. ape 2?