Selasa, 16 Jun 2009

Bolehkah ‘Islam tradisional’ membina jambatan ke Barat?


Oleh H A Hellyer
Diterjemahkan oleh: Rausyanfikir

Pada tahun lepas, Kardinal Jean-Lous Tauran, ketua bahagian hubungan antara agama kepada Gereja Katolik telah berterima kasih kepada umat Islam kerana berusaha gigih meminta dikembalikan semula “ruang untuk Tuhan” dalam kehidupan masyarakat Eropah. Kita sememangnya sedang menyaksikan satu episod kehidupan yang menarik dimana ketua senior daripada pihak Gereja Katolik yang telah lama merungut akan kehilangan aspek Ketuhanan dalam ruangan awam (public sphere) telah berterima kasih kepada penganut dari agama lain – terutamanya dari kumpulan agama yang turut memberi saingan kepada mereka dalam gerakan dakwah di banyak negara dalam dunia ini.

Tetapi kenyataan beliau memang betul. Umat Islam di Eropahlah yang memacu hebat agenda pengembalian rasa kudus (sacred) ke dalam ruangan awam, lebih daripada kumpulan agama yang lain walaupun mereka bukan satu-satunya kumpulan yang bersuara sebegitu. Pelbagai institusi geraja di Eropah telah lama mencadangkan agenda sebegini tetapi setelah arus sekularisme Eropah berkembang dengan lebih deras, ianya melahirkan kesan penentangan terhadap institusi keagamaan yang sedia ada dan akhirnya agenda tersebut tenggelam begitu sahaja. Komuniti Muslim, yang majoritinya terdiri daripada golongan pendatang telah mampu melakukan penilaian semula akan konsep sekularisme dalam ruangan pelbagai budaya dan layanan saksama terhadap golongan minoriti di Eropah.

Ianya satu perkembangan yang menarik kerana secara tradisinya pendokong utama kepada peningkatan kesedaran kekudusan dalam ruangan awam terletak pada bahu parti politik aliran kanan di Eropah. Rata-rata parti politik daripada pelbagai spektrum di Eropah dari segi sejarahnya, tidak pernah menyokong puak minoriti. Mereka percaya pada ketika ini terdapat “lubang” dalam masyarakat yang dihasilkan oleh konsep sekularisme kontemporari.

Dalam dunia Islam pula, wacana tersebut mengambil bentuk yang sangat berbeza daripada yang ada di Eropah. Rasa kekudusan dalam ruangan awam masih wujud tetapi kadangkala turut sama melahirkan kesan yang menghampakan nilai kekudusan tersebut. Walaubagaimanapun masih terdapat agenda untuk merangka kerangka politik yang berbeza iaitu Islamisasi.

Kata kunci “Islamisasi” tersebut bersangkut paut dalam wacana warisan penjajahan dalam dunia Islam dan mungkin ianya antara asas yang paling dipersetujui oleh semua pihak yang menyeru kepada proses Islamisasi tersebut. Bilamana dunia Islam telah terjajah, kerangka pemikiran mereka dalam menyelesaikan isu-isu dalam ruangan awam telah berubah secara radikal dan kesan daripada penjajahan tersebut ialah hampir semua perkara dalam kehidupan umat Islam telah dicemari dengan proses pembaratan penjajahan. Respon kepada masalah ini: Islamisasi untuk pulang kepada cara tradisi dalam menyelesaikan masalah.

Secara objektifnya, agenda tersebut agak logik. Tetapi setelah mengembara ke negara-negara Islam, saya melihat paradoks yang menarik. Di Mesir misalnya, Islamisasi adalah cubaan untuk menjadikan masyarakatnya lebih konservatif dan sistem perundangan lebih mirip kepada undang-undang Shari’ah. Gerakan Ikhwan al-Muslimin menjelaskan perkara ini dengan tuntas: mereka tidak ada masalah dengan perkara asasi berkenaan kenegeraaan Mesir – sebuah negara yang didirikan atas prinsip kenegaraan Barat.

Kumpulan lain seperti Hizb ut Tahrir yang turut aktif di negara-negara majoriti Muslim yang lain, melihat Islamisasi dengan cara yang berbeza: mereka lebih “radikal” (bukan dalam ertikata keganasan tapi dari segi intelektual) daripada gerakan Ikhwan al-Muslimin. Tetapi apabila melihat kembali manifesto politik mereka, anda akan lihat banyak persamaan dengan konsep kenegaraan Barat, secara sedar ataupun tidak, telah dimuatkan ke dalam manifesto tersebut. Sekali lagi, idea dari Barat menyusup masuk dalam kerangka pemikiran mereka. Penulis lain turut sama menjelaskan gerakan al-Qaeda Osama bin Laden sendiri, jikalau dikaji dari segi strutkur dan modus operandi mereka sangat moden dan bersifat Kebaratan.

Kemudian anda boleh tinjau model Islamisasi yang berbeza dalam penulisan kumpulan kecil para ilmuan Islam di peringkat antarabangsa, terutamanya yang ditulis sekitar tahun 90-an. Model mereka, yang dibentuk dan dipelopori oleh failasuf Muslim iaitu Syed Muhammad Naquib al-Attas, lebih berbentuk falsafah, maka ianya lebih mendalam daripada model Islamisasi lain yang telah saya tinjau. Dalam konsepsi yang dianjurkan al-Attas, Islamisasi merupakan satu penilaian semula kepada segala andaian yang dijadikan asas kepada usaha pembangunan semula masyarakat Muslim pada era pasca-kolonial. Tiada satu pun yang boleh terlepas daripada penilaian semula, baik dari aspek pendidikan, politk dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Universiti Islam” yang didirikan daripada asas kerangka universiti Barat, yang hanya mengajar beberapa kerat mata pelajaran Islamik tidak akan mendapat tempat dalam gagasan Islamisasi ini. Seharusnya universiti Islam yang tulen didirikan berdasarkan asas dan falsafah pendidikan yang diambil daripada tradisi pendidikan Islam yang mencangkupi bidang intelektual yang syumul seperti seni, sejarah, falsafah dan banyak lagi, sebelum menjalani proses pendidikan secara pengkhususan seperti yang menjadi norma pada ketika ini. Kerangka Islamisasi ini dirangka berdasarkan falsafah al-Ghazali (atau Algazel seperti yang dikenali di Barat) yang hidup pada zaman pertengahan – bukan Marx atau Hobbes.

Kerangka ini sangat berbeza dengan aktiviti Islamisasi lain yang hanya menempekkan konsep mereka pada struktur sedia ada yang sememangnya tidak Islamik pada peringkat awalnya.

Biarpun terdidik melalui falsafah pendidikan Islam tradisional, para pelajar aliran al-Ghazali yang baru ini turut berubah secara keseluruhannya: mereka tidak benci kepada Barat, tidak juga menirunya. Sebahagian daripada pendidikan mereka adalah memahami tamadun Barat melalui kaca mata Barat sendiri dan pada masa yang sama memahami dunia Islam melalui kaca mata Islam itu sendiri.

Saya terfikir model bagaimanakah yang akan menjadi lebih produktif dari segi membina kefahaman antara dunia Islam dan Barat. Mungkin ramai yang memikirkan bahawa parti politik Islam merupakan cara terbaik untuk mengisi ruang ini kerana mereka sendiri secara tidak sedar bersifat Kebaratan (walaupun mereka memprotesnya selalu). Tetapi akhirnya dalam bebeberapa perkara, jambatan yang didirikan oleh ahli politik Islam ini lebih kepada antara Barat dan “Barat yang Baru” (Neo-West).

Jambatan yang didirikan mestilah bertitik tolak dari perbezaan bukan persamaan. Mungkin model baru Islamisasi cara al-Ghazali ini mampu mencapai dua objektif sekaligus – menyembuhkan luka antara dunia Islam kontemporari dengan dunia Islam yang lampau hasil kerakusan penjajahan dan modenisasi, pada masa yang sama membina kesefahaman yang berkesan antara dunia Islam dan Barat. Kita telah cuba dengan banyak sekali dan ini tidak mungkin yang terburuk daripada semua.

Dr H A Hellyer ialah felo di Univesity of Warwick dan Pengasas-Direktor kepada Visionary Consultants Group. Beliau juga merupakan ahli kepada Amman Message and the Common World. Artikel ini pada asalnya tersiar dalam akhbar The National.

versi Bahasa Inggeris disini.

4 ulasan:

Malakian berkata...

Cuba rausyan baca posting saya Christian Ethics yang terbaru. Rasulullah kata kaum Yahudi akan berpecah kepada 71 golongan, Nasrani 72 dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan. Apakah sifat kaum Yahudi? Mereka menggunakan Taurat mereka untuk kembali kapada firqah mereka, bukan untuk kembali kapada Allah.

Bagi saya perkara utama bukanlah untuk mengkategorikan siapakah di antara kita termasuk dalam 73 golongan itu, atau menyatakan apakah nama golongan itu satu persatu hingga genap 73 golongan, tetapi mesej utama yang Rasulullah ingin menyampaikan bahawa perpecahan umat Islam akan lebih teruk daripad Yahudi dan Nasrani.

Saya bukan menyatakan firqah mazhab fiqh atau apa-apa, tapi lebih daripada itu.

Jadi siapakah yang selamat? Tentulah yang mengamalkan Islam, Iman dan Ihsan spt yg terdapat dalam Hadith Jibril. Itulah yang diamalkan Nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi-Nabi sebelumnya. Begitulah juga para sahabat beliau, para pengikut, dan ahli Tasawwuf yang berjalan di atas jalan yang betul. Itulah jalan yang ditempuh Imam al-Ghazali, Said Nursi, dan memberi impak kepada Ibn Sina unttk mendalami Tasawwuf.

Apabila anda mendapat kesedaran ini, apabila anda bebas daripada 'kategori-kategori', maka dengan itu bolehlah anda dapat melihat yang satu.

Tapi bersedialah untuk 'dikategorikan' oleh manusia-manusia lain selepas itu.

p/s: Posting terbaru saya tentang Malcolm X satu tribute untuk Rausyan juga kerana mengkagumi kecekalan Malcolm X. Lihat bagaiman Islam, Iman, dan Ihsan membawa kepada Kebenaran, Keadilan, dan Kebebasan. Revolusi sebenar bermula di hati dan minda kita sendiri. Sebab itu kaedah tarbiyah Hassan al-Banna bermula dengan individual, tapi dalam masa yang sama terus bergerak ke arah kolektif.

Boleh setuju atau tidak setuju.

Rausyanfikir berkata...

Right on the dot Malakian. Malcolm X merasainya sendiri. Hassan al Banna pun bukan gila politik. Politik hanyalah wahana dakwah. Bukan matlamat. Setuju sangatlah tentang firqah tu. Ulama' di Barat banyak nampak benda ni.

Malakian berkata...

Rausyan, perjuangan Hassan al-Banna, Malcolm X, Said Nursi, bahkan PAS dekat di hati saya. Saya bukan mahu menjadi seorang 'PAS reform' apatah lagi 'UMNO reform'. Saya bukan mahu menjadi 'Orang PAS' atau 'bukan Orang PAS'. Maksud saya di sini bukan menyentuh tentang keahlian. Saya bukan mahu jadi 'Orang Nasharuddin' atau 'Bukan Orang Nasharuddin', dan sebaliknya walaupun perjuangan Husam Musa dalam ekonomi terutama tentang dinar emas dekat di hati saya.

Saya ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku (Realiti), bukannya hanya pandangan mata kasar. Saya tidak akan tahu Realiti sebenar dengan jelas sehingga saya menjadi Complete Human Being. Saya cuba memahami Realiti ini melalui Macro Level kerana untuk memahami secara Micro Level sangat susah kerana asap (Dukhan) di bawah ini terlalu tebal. Mungkin jika saya naik sedikit (Macro Level) asap(Dukhan) nipis sedikit.

Kerana itu saya sebut kepada Rausyan tentang asas politik moden dan archetypenya. Mungkin kita kena kaji benihnya, kenapa banyak buah-buah yang tak segar terhasil daripadanya.

Masuk akal ke apa yang aku cakap ni Rausyan?

p/s: Rausyan, adakah Malcolm X salah satu 'matahari' yang bersinar dari barat itu dan membimbing mereka yang mempunyai Iman?

Rausyanfikir berkata...

Betul. Make sense. Pertama sekali, cubalah kita sama2 jadi Muslim dengan erti kata yang sebenar. Fahami segala faham2 yg terkandung dalam asas fard ayn. Kemudian barulah bertebar berjuang bersama parti masing2. Tapi sayang, zaman skrg Islam itu pn hampir jd ideologi khususnya dalam arus politik. Malcolm X memang bintang yang istimewa.Masakan tidak beliau bukan sahaja ditentang oleh si rasis Putih tapi juga NOI yang menipu. Kebenaran mendahului segala2nya.