Selasa, 9 Jun 2009

Betulkah ulama PAS sokong kerajaan perpaduan?


oleh Cangkir Retak


MUKTAMAR PAS yang ke-55 telah berakhir semalam. Namun begitu izinkan saya membuat komentar terakhir tentang apa yang berlaku di sepanjang perjalanannya, terutama berkait dengan pemilihan parti yang menyaksikan apa yang disebut sebagai pertembungan golongan ulama dan profesional.


Golongan ulama dalam PAS dikatakan mendokong idea kerajaan perpaduan, sementara golongan profesional pula menentangnya dan digelar pula sebagai Erdogan yang bermaksud pro-Anwar.


Tetapi benarkah begitu? Umum mengetahui bahawa Presiden PAS sendirilah, Haji Hadi yang membentangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ini, umum juga mengetahui cadangan ini adalah lanjutan dari siri muzakarah sulit Umno-PAS, yang pada masa itu tidakpun melibatkan Haji Hadi. Bukan juga satu rahsia di dalam PAS yang gagasan asal tentang kerajaan perpaduan ini tidak datang dari cetusan pemikiran Haji Hadi.


Soalnya dari siapa? Dari ulamakah? Wajarkah dikatakan ulama PAS menyokong kerajaan perpaduan? Semata-mata kerana idea ini mendapat sokongan Dewan Ulama PAS? Semata-mata kerana beberapa kerat pemimpin PAS yang sentiasa berkopiah dan dipanggil ustaz menyokongnya?


Sedangkan PAS Perak yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Awang, bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia telah mengeluarkan kenyataan tegas supaya semua rundingan dengan Umno dihentikan! Pesuruhjaya PAS Pahang pula, Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang ulama-cendekiawan, telah mewartakan komitmennya selepas ini untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.


Yang paling mengujakan, Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat, ulama tersohor dari Kedai Lalat yang menerajui PAS Kelantan, menganggap idea kerajaan perpaduan ini adalah mengarut!


Siapa ulama? Mengikut Kamus Besar Bahasa Indonesia, keluaran Departemen Pendidikan Nasional, Republik Indonesia, ulama ditakrifkan sebagai orang yang ahli dalam hal atau dalam pengetahuan agama Islam. Kata kunci di sini adalah “ahli” yang dalam bahasa inggerisnya disebut expert.


Mengikut peringkat pengajian formal, selain untuk kursus-kursus profesional, seseorang itu akan mencapai taraf ahli, expert atau ikhtisas bila dia berjaya menamatkan pengajian peringkat doktor falsafahnya (PhD).


Dengan mengabaikan dulu sistem pengajian lain yang tidak formal, maka bagi sesiapa yang berlatarbelakangkan pendidikan formal dalam pengajian Islam, dengan mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda mahupun sarjana, sefaham saya mengikut takrif Kamus Besar Bahasa Indonesia belumlah layak dipanggil ulama.


Lalu, setelah mentelaah dalam-dalam akan perkembangan mutakhir dalam PAS ini, saya mendapati bahawa ini sebenarnya bukanlah pertembungan golongan ulama dan profesional yang tulen, juga bukan pertembungan Islam konservatif dan Islam liberal, atau Kaum Tua dan Kaum Muda.


Ia lebih kepada kehendak sekumpulan dalam PAS mahu bercomolot dengan Umno, ini dibuktikan dengan muzakarah sulit PAS-Umno, sementara sekumpulan lagi menentangnya. Gagasan kerajaan perpaduan hanya muncul kemudiannya sebagai usaha mengakademikkan skandal muzakarah tadi, dengan harapan ia akan dibincangkan secara akademik juga, bukan secara emosi.

Sebagai jalan mewajarkan idea ini di pandangan umum, khususnya aktivis PAS dan penyokong Pakatan Rakyat, maka hakcipta terpelihara kerajaan perpaduan ini ditempelkan sebagai milik golongan ulama, sambil berharap ia akan mengundang hormat.


Sementara bagi kalangan pimpinan PAS yang menentang idea kerajaan perpaduan ini, terus akan dilibas dengan belantan profesional dan Erdogan.


Dituduh golongan profesional akan membawa konotasi bahawa golongan ini menganut faham liberal, dan dikata Erdogan adalah cubaan untuk menuduh golongan ini tidak wala’ (taat) kepada pimpinan parti sendiri tetapi kepada pemimpin luar (baca: Anwar Ibrahim).


Ini adalah taktik politik Syiah, bila ada kalangan yang mengkritik doktrin anutan Syiah, mereka akan segera dituduh sebagai Wahabi, dan panjang lebarlah tulisan menceritakan keburukan Wahabi, tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk mendapat dokongan golongan Sunni secara politik.


Golongan yang menempel sticker ulama di kopiah mereka ini tahu akan sentimen kuat akar-umbi PAS terhadap pembawa gelar ustaz, lebai, kiai dan tok guru, dalam pada itu mengambil kesempatan atas ketidakselesaan sesetengah pemimpin PAS dengan kepimpinan dan penguasaan Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat, apalagi dengan sejarah Anwar dalam Umno satu ketika dahulu yang pernah merendah-rendahkan PAS dan juga sikap Anwar yang terkadang dilihat agak liberal.


Akhirnya menanglah golongan ini seperti yang ditunjukkan oleh Nasharuddin Mat Isa kerana berjaya mempertontonkan kepada perwakilan bahawalah merekalah, seperti didakwa, golongan yang paling suci-murni.


Sedangkan golongan “ulama sebenar” dalam PAS dilihat tidak pula bising-bising dalam hal ini, bahkan sangat menghormati bai’ah mereka dalam Pakatan Rakyat. Sesekali mereka bersuara pedas juga, bukan kerana strategi politik, tetapi lebih kepada mahu menghentikan sikap tikam belakang beberapa kerat pemimpin PAS terhadap rakan pimpinan mereka dalam Pakatan Rakyat.


Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak sendiri mengakui yang niat asal beberapa kerat pemimpin kanan PAS bukan sekadar menggagaskan kerajaan perpaduan yang konon katanya tidak bermaksud Umno dan PAS berpadu, tetapi sememangnya mahu bercomolot, berdakap dan berpeluk, khususnya dalam kes Negeri Perak selepas Pilihanraya Umum 8 Mac tahun lepas.


Siapakah pemimpin kanan PAS yang menghubungi Ustaz Ahmad Awang? Saya ada satu cerita, “kepimpinan tempel sticker ulama” ini banyak cuba ditonjolkan ketika PAS berjaya merampas Terengganu dalam Pilihanraya Umum 1999.


Kesempatan kedudukan Haji Hadi sebagai peneraju dan Menteri Besar Terengganu ketika itu dipergunakan sepenuhnya untuk mempromosi doktrin suci-murni ini, apalagi dengan imej Haji Hadi sebagai Tuan Guru dan ulama tegas yang sangat dihormati.


Soalnya siapakah orang di belakang Haji Hadi yang merencana semua ini. Adakah mereka ulama, atau sekadar memakai pakaian ulama? Saya bertanya begini kerana satu hari dalam tempoh pemerintahan PAS ini, saya telah ke Kuala Terengganu, seingat saya kerana ada program bersama Anwar Ibrahim. Sesampai saya di kawasan program, lebih tepat di Batu Burok, yang menarik perhatian saya bukanlah orang-ramai yang berpusu-pusu, atau kelibat Anwar Ibrahim itu sendiri, tetapi adalah deretan kenderaan milik pemimpin-pemimpin PAS.


Kemewahan kenderaan-kenderaan tersebut mungkin sedikit mengujakan, namun yang lebih memeranjatkan adalah semua kenderaan yang saya lihat itu menggunakan specialplate number, PASXXXX, PASYYYY, PASZZZZ dan pelbagai lagi.


Hari ini baru saya sedar, rupanya pemimpin PAS pun ada nafsu… kalau tidak mereka tentu tidak pandai mahu bercomolot, berdakap dan berpeluk, dengan Umno pula tu…


sumber: mstar


Komentar:

Betul juga hujah ini. Nak tahu lagi boleh tanya mahasiswa-mahasiswa yang belajar di luar negara khususnya di UK akan cerita di belakang tabir. Sekarang baru saya faham mengapa mujaddid terdahulu seperti Bediuzzaman Said Nursi dan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali "menjauhi" praxis kekuasaan. Apa komen anda?


 

2 ulasan:

Harith berkata...

Tahniah..
Dahulu pertama kalo membaca blog anda, saya sangat tertarik dengan penulisan--penulisan kritikal dan respon yang menarik mengenai isu semasa. Hingga kini banyak yang telah dikupaskan.

Mengenai perjuangan untuk memartabatkan ilmu dikalangan ahli harakah setara dengan tokoh-tokoh Islam terdahulu sangat lah baik. Perjalanan fikrah yang sihat melalui proses anti dogmatisme dikalangan para pejuang seperti yanng digambarkan menjadi kekuatan dalam perjuangan.

Cuma satu yang ingin saya tegur dan muhasabah kembali ialah sejauh mana anda pasti akan ijtihad anda untuk melalui jalan yang anda lalui sekarang adalah terbaik.

Cuba mengambil masa seminit dua untuk berfikir bagaimana cara terbaik untuk aku menyampaikan apa yang ingin aku sampaikan ini.

Adakah pada akhirnya akan menjadi mudharat yang lebih besar kepada Islam..?

Wallahu'alam

Rausyanfikir berkata...

Wassalam.

Terima kasih kerana menegur. Insya-Allah sudah dipertimbangkan.