Jumaat, 19 Jun 2009

Berfikir macam kura-kura



Saya dalam rancangan Agenda Awani. Kredit kepada Tuan Presiden PKPIM, saudara Hilmi untuk gambar ini.


Semalam saya berada di studio Astro AWANI untuk siaran langsung rancangan Agenda Awani yang dikendalikan oleh Encik Suhaimi Sulaiman. Saya diberitahu untuk datang ke studio pada sebelah pagi jam 9.


Sebelum masuk ke studio sudah tentu saya membaca buku-buku penting berkenaan pendidikan untuk membahaskan tajuk "Memperkasa Sahsiah Pelajar" yang diberikan pihak Astro. Maka saya pun membeleklah beberapa buku karangan Ivan Illich, Allan Bloom dan al-Attas. Akademis belaka sifatnya.


Masuk sahaja dalam studio, saya rasa semacam. Ada sedikit perasaan kaget mungkin kerana pertama kali live on air walaupun saya memang selalu berceramah atas pentas dan dalam pelbagai jenis majlis formal. Saya pun hairan mengapa rasa beku dan kaku. Alhamdulillah walaupun saya rasa agak tidak selesa sepanjang siaran langsung tersebut berjalan, sedikit sebanyak dapat jugalah sampaikan apa yang terbuku, cuma mungkin tidak berapa mendalam dan kemas.


Bila saya pulang ke rumah. Saya fikir balik mengapa saya gagal menyampaikan dengan lebih berkesan, seperti biasa yang saya lakukan dalam wacana-wacana intelektual. Saya fikir dan terus fikir sambil menonton kembali siaran ulangan pada jam 2 pagi dan akhirnya saya tertidur.


Selesai solat Jumaat tadi saya lepak di kedai buku Kinokuniya dan ternampak buku ini:





Saya memang dah selalu perasan buku tersebut sepanjang setahun lepas tetapi melihat tajuk yang kelakar dan tampak tidak serius, saya tak ambil peduli sangat. Entah mengapa pada hari ini, Allah menggerakkan hati saya untuk membelek buku tersebut.


Saya mula menelaahnya dengan membaca sepintas lalu dan kemudian membaca prologue buku tersebut secara teliti...baru saya faham mengapa saya gagal menyampaikan hujah dengan baik sewaktu berada dalam rancangan Agenda Awani semalam...saya berfikir dalam ruang yang saya tidak biasa lakukan. Saya berfikir dengan pantas.


Apa kaitannya dengan semua ini?


Saya dapat mengesaninya kerana malam sebelumnya saya menyampaikan usrah kepada beberapa ahli Ma'aruf Club UIA dengan tajuk "University and the Captive Mind" selama 3 jam. Memang puas berkongsi dengan sahabat-sahabat yang hadir ditambah pula soalan-soalan yang diajukan persis mengundang buah fikiran yang sedikit mendalam daripada yang biasa-biasa dibincangakan.


Saya dapat rasai kontranya setelah saya menelaah buku yang ditulis oleh Prof. Guy Claxton ini. Tajuk yang dibicarakan dalam Agenda Awani tersebut sebenarnya tidak boleh dibincang dalam keadaan santai sangat, khususnya untuk orang seperti saya yang saban hari tenggelam dalam wacana akademik dan yang berat-berat. Apabila saya masuk dalam suasana yang kontra seperti yang wujud sewaktu siaran langsung tersebut, minda saya hilang daripada allignment biasa yang telah saya tetapkan iaitu dalam keadaan contemplative dan intuitive mode.


Apabila moderator tanya saya bagaimana nak jadikan sahsiah pelajar berfikir secara kreatif dan kritis, dengan masa yang pendek saya terpaksa melontarkan idea dengan tergesa-gesa dan akhirnya semua yang sudah siap tersimpan dalam kotak minda terburai begitu sahaja tanpa mampu dipersembahkan dengan baik seperti dalam wacana-wacana yang biasa saya hadiri.


Hipotesis ini disokong secara saintifik dalam buku Hare Brain, Tortoise Mind tersebut kerana ramai yang beranggapan, dalam era globalisasi ini bahawasanya teknik berfikir yang baik adalah seperti arnab ya'ni pantas dan tuntas sedangkan berfikir secara mendalam (atau dalam bahasa sipahi "mengelamun") itu tidak dikira sebagai teknik berfikir yang baik. Semua ini menjadi satu masalah apabila konsep masa itu telah dikomoditikan oleh arus pembangunan ekonomi kapitalisme disamping teori-teori psikologi perilaku (pyschological behaviorism) yang mendikotomikan otak kiri dan kanan tanpa menekankan aspek ketauhidan antara kedua-duanya.


Saya juga mula faham mengapa saya "tidak mendapat tempat" dalam suasan akademik mekanikal di kampus dan juga kegiatan aktivisme dalam Jemaah Islam Kampus yang berorientasikan politik. Kedua-dua aktiviti ini menekankan aspek output yang bersifat materialis, ya'ni seperti proses pengeluaran barang daripada kilang berbanding outcome yang lebih abstrak sifatnya ya'ni lebih sesuai dalam menerangkan proses pencapaian ma'na daripada idea yang diperhalusi dengan baik.


Dalam siaran langsung tersebut, moderator Encik Suhaimi sering menggunakan kata kunci seperti "kreatif", "kritis", "sahsiah" yang mana jikalau tidak diperjelaskan dengan tuntas akan menghasilkan slogan berbanding tesis pemikiran yang lebih kukuh sifatnya. Memandangkan saya dari pagi membaca dan mempersiapkan diri dalam konteks pemikiran yang serius, tanpa saya ketahui rupanya perbincangan siaran langsung tersebut lebih bersifat santai tetapi pantas temponya. Akhirnya saya 'kaput' dari segi susunan idea.


Patutlah guru saya, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud sering tegur jangan fikir secara tergopoh-gapah. Ambil masa dan renung apa yang dibaca. Begitu juga dengan Prof. al-Attas yang saya dapat tahu daripada anak-anak murid beliau bahawa beliau jarang membaca banyak bahan bacaan tetapi selalu berfikir berkenaan bahan yang dibacanya .


Sebab itulah saya kira, seperti yang dijelaskan dengan baik oleh Prof. Guy Claxton dalam buku Hare Brain, Tortoise Mind, pemikiran kritis dan kreatif tidak boleh dilakukan dalam cara mekanikal tetapi haruslah dalam bentuk intuitif. Semua pemikir agung seperti contoh Albert Einstein sendiri, kata Prof. Claxton lebih bersifat intuitif dalam menyelesaikan masalah fizik dan matematik, bukan seperti para pelajar kita pada hari ini yang hanya bertindak seperti kalkulator hidup tanpa memahami proses dan ma'na pembelajaran subjek-subjek tersebut.


Sekali lagi jikalau kita rujuk al-Qur'an pun kata kunci seperti taddabur, tafakkur, ulul albab, semua itu saya kira bukanlah berfikir seperti mesin tetapi berfikir dalam erti kata yang sebenarnya!


Walaupun yang sedemikian, tidaklah boleh kita anggap berfikir secara pantas dan logikal (mekanisitik) itu salah. Cumanya perlu digunakan pada saat dan ketika yang betul, bukan dalam semua konteks sehingga meneggelamkan ruang berfikir secara perlahan seperti kura-kura.


Sebagai seorang bekas pemain ragbi, saya tahu benar peri penting berfikir pantas. Kalau tidak, mahu senak perut kena bantai dengan pihak lawan. Sebab itu orang-orang yang bersukan secara serius, walaupun tidak cemerlang dari segi akademiknya tetapi lebih senang dapat kerja dalam sektor penerbangan seperti juruterbang kerana untuk sesetengah pekerjaan, berfikir secara pantas itu adalah aset penting!


Dalam hal nak ubah masyarakat, mengubah negara, berfikir secara mendalam, intuitif lebih tepat. Ini yang saya kira amat jarang dipraktikkan oleh ahli gerakan Islam. Hendak selesaikan masalah ummah yang beratus tahun proses penguraian izzahnya berlaku dalam beberapa tempoh yang singkat adalah satu kerja yang kurang bijak.


Semua ini menambahkan keyakinan saya terhadap para pemikir Islam yang serius dan mendalam seperti Prof. al-Attas dalam mendefnisikan masalah, analisis dan penyelesaiaanya kerana orang seperti ini tidak berfikir secara pukal! Patutlah guru saya Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud sering menasihati saya agar senantiasa ber-husn zann dengan karya-karya Prof. al-Attas, terutamanya yang sukar-sukar seperti Prolegomena to the Metaphysics of Islam kerana beliau menulisnya dalam satu proses yang cukup lama dan teliti secara intuitif (pengaruh tasawwuf).


Patutlah Imam al-Ghazali, Ibn Sina, Ibn Ata' Allah, Imam Fakhr Din al-Razi, Said Nursi, Shah Wali Allah dan banyak lagi ulama' mampu melahirkan karya yang hebat...komponen-komponen penting seperti ilmu tatabahasa (nahu), retorik (balaghah) dan logik (mantiq, khususnya mantiq al-suri) menjadi subjek pengajian asas ketika mereka masih kecil lagi dalam tradisi keilmuan Islam yang lampau.


Tidak lupa juga dengan teknik pendidikan Socratic method yang memberikan ruang artikulasi idea antara pelajar dan guru juga sama penting dalam menghasilkan para pelajar yang mampu berfikir dengan kemas, teratur dan dinamik.


Mungkin kita semua boleh latih diri untuk berfikir secara mendalam dan teratur dalam erti kata faham ma'na zikrullah yang sebenar.


12 ulasan:

Mohamad Hilman bin Nordin berkata...

salam.

tahniah atas perkongsian yang sangat baik. saya sempat menonton 30minit terakhir. 'cadangan pengenalan nahu, logik dan retorik' di Malaysia, juga pembacaan buku tokoh2 pemikir Islam, India dan China.

perasaan yang sama turut saya alami apabila diminta berkongsi dlm rancangan yg sama baru-baru ini. Rasa kegagalan untuk menyampaikan yang terbaik, ada sahaja poin2 yang hilang.

tahniah!

fahmi berkata...

salam. post ni buat saya berfikir. betul2 berfikir.. terima kasih

Rausyanfikir berkata...

Wassalam syekh Hilman,

Alhamdulillah, ada juga ahli GAMIS dapat masuk AWANI. Ana hari tu wakil TERAS. Syukran, teruskan lagi!

Saudara Fahmi,
Terima kasih, saya sekadar berkongsi apa yang saya dapat. Moga kita dapat memperbaiki kualiti aktiviti berfikir kita.

u know me berkata...

Sebab tu ada orang yang boleh berdebat tapi lemah menulis dan ada yg sebaliknya

Zahan berkata...

Seronok menelaah artikel saudara kali ni.Memberangsangkan dan mencerahkan minda.Ramai orang mahu menjadi ilmuan tetapi tidak tahu kaedah metodologinya(termasuklah saya).

Macam saudara kata di akhir,zikrullah itu penting,perlu bertubi-tubi.

Soal bolehkan Islam tradisional membina jambatan ke Barat?terpulang kepada ilmuan itu sendiri.Utara,Selatan,Timur dan Barat hanyalah sempadan geografi.Komunis,Sosialis dan kapitalis pula hanyalah ideologi bikinan manusia.Oleh sebab ia terlalu lama dimainkan,maka dengan sendirinya ia digunapakai.Ajaran Islam pun harus dimainkan selalu,biar orang terbiasa dan tidak janggal lagi.

hadifulwan berkata...

Thanks akhi..
Aritkel baru nta ni 'mencerah'kan minda ana tentang apa yg ana tgh fkir2kan mengenainya...

Syukran ya..

Teruskan perjuangan...

S.K berkata...

Salam,

Yang ni komen sini je lah...
Sdr. Rausyanfikir, kak S.K tak pasti, sdr. dah pernah tengok ke tidak program tersebut sebelumnya?
Jika belum, jadi, inilah pengajarannya untuk kita semua (termasuk kak S.K yang manalah tau suatu hari nanti dipanggil program di SG, huhu)... sebelum kita muncul, kita pastikan dulu program apa yang kita sertai dan apa jangkaannya terhadap kita dengan menonton program itu sebelum hadir. Jadi, minda kita lebih bersedia menghadapi situasi.
Contohnya, situasi dalam program Oprah Winfrey Show tentu tidak sama dengan Ellen Degeneres Show atau The Actors' Studio (yang lebih serius)...

Wallahu'alam.

Wassalam.

hasbiemuda berkata...

salam..
kagum sy dengan saudara rausyanfikir,
dalam usia yg sedemikian muda, saudara telah berpeluang mempelajari dan mengalami byk perkara baru ..

org seperti saudara adalah tunas2 Melayu Era Kegemilangan..

Rausyanfikir berkata...

T Kasih akh,

Enta di UM perlu lebih gencarkan lagi wacana2 agar PMI menjadi pilihan utama wadah perjuangan mahasiswa.

Zenki berkata...

Alhamdulillah..benar dan benar sekali jika kalam bersandarkan Quran. Teruskan syekh mengutip hikmah-hikmah yang sememangnya mutiara kita yang hilang buat tatapan dan penyegar minda generasi penerus perjuangan ini.

Salam Ukhuwwah

suhaimi sulaiman berkata...

On the contrary, I think you did very well and we want to call you again... it was a pleasure having ou on the show. malam tu tak sempat nak sembang and minum coffee after show... next time we'll do it.

Rausyanfikir berkata...

Insyaallah mr. Suhaimi! Looking forward for it! Thanks for the support!