Ahad, 31 Mei 2009

Sehari bersama orang-orang sastera dan polemik Gagasan Persuratan Baru



Sesi Pembetangan Sastera dalam Sains: Dari kiri, saudara Nasirin (pensyarah sastera Inggeris UiTM Terengganu, saya (bukan orang sastera), saudara Ali Atan (orang sastera) dan Dr. Alinor (pensyarah falsafah Matematik UKM). (Gambar diambil daripada blog S.M Zakir)



Seminggu yang lalu saya telah dijemput oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia untuk membentang sebuah kertas kerja yang berlegar dalam tema 'Sains dalam Sastera' yang bertempat di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. 


Pertama kali secara tidak formal, abang Lutfi Ishak telah memberitahu saya berkenaan perihal ini sewaktu terserempak dalam demonstari anti-PPSMI di Masjid Negara. Saya pun dah naik hairan bila orang-orang sastera ajak saya bentang kertas kerja dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional  2009. 


Kali terakhir saya terlibat dalam dunia sastera ialah pada waktu sekolah rendah. Selepas itu saya menjadi semakin anti-Bahasa Melayu dan lebih banyak meluangkan masa membaca novel dan buku-buku berbahasa Inggeris seperti Goosebumps, Fear Street karangan R.L Stine, siri Harry Potter dan juga novel separa fiksyen Dan Brown seperti Angel and Demons, Deception Pointdan Da Vinci Code.


Hanya selepas terjun dalam bidang aktivisme saya mula menjamah novel-novel Melayu. Ternyata dunia kesusasteraan bukan niche kajian intelektualisme saya. Dalam tempoh sebelum membentangkan kertas kerja tersebut, saya agak buntuk memikirkan kerangkan idea untuk diterjemahkan ke dalam bentuk makalah. 


Kalau cakap pasal 'Sains dalam Sastera', saya pernah lihat satu novel Revenge of Gaia oleh James Lovelock di Kinokuniya yang membicarakan tema berkenaan krisis alam sekitar. Selebihnya mungkin berkenaan sains sosial seperti yang digambarkan oleh Arundathi Roy dalamThe God of Small Things. 
 

Saya mula memikiran untuk menulis makalah bertajuk 'Sains Falsafi' setelah teringat akan karya sastera falsafah Hayy ibn Yaqzan  yang ditulis oleh failasuf polymath Muslim Andalusia, Ibn Tufayl. 


Setelah bertukar-tukar idea dengan guru saya Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, saya memutuskan untuk melebarkan lagi skop makalah tersebut kepada Sastera Ilmi kerana guru saya kata falsafah itu hanya cabang kepada bidang ilmu yang sangat luas. Memikirkan idea yang diutarakan guru saya tersebut, saya teringat akan buku Gagasan Persuratan Baru hasil karangan Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan, Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Dr. Mohd Zariat Abdul Rani. 


Saya mendapatkan buku tersebut bila saya 'tersilap masuk' dalam bilik Prof. Ungku Maimunah di ATMA, UKM ketika mula-mula melawat Prof. Wan di sana. Beliau memperkenalkan buku tersebut dan menasihati saya untuk membaca buku Affandi Hassan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid sebelum meneroka lebih jauh perihal Gagasan Persuratan Barutersebut. 


Jujur, pada waktu tersebut, kira-kira bulan Jun 2008, saya memang tak berminat dan malas nak baca buku tersebut walaupun dah membelinya. Ini kerana dalam benak pemikiran saya pada waktu itu hanyalah proses dialektik untuk menguji kerelevenan gagasan idea Prof. al-Attas.


Selang beberapa bulan kemudian, saya terjumpa buku Affandi Hassan tersebut di jualan gudang buku-buku DBP di Dawama, Hulu Kelang. Maka, saya pun belek-belek dan tak sangka buku tersebut sarat idea daripada nama-nama besar seperti al-Attas dan al-Faruqi. Sayangnya, saya masih tidak membacanya dengan teliti dek kerana masih tersangkut dengan isu Islamisasi Ilmu Kontemporari yang digagaskan oleh al-Attas.


Amanah menulis kertas kerja untuk PPMN 2009 ini memberi ruang untuk saya menilai dengan teliti berkenaan Gagasan Persuratan Baru ini. Dorongan ini diperkuatkan lagi dengan hujah yang Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud beritahu kepada saya bahawa Gagasan Persuratan Baru ini merupakan satu projek Pengislaman bidang ilmu sastera. Satu konotasi penting.


Selang beberapa bulan sebelum kertas kerja itu disiapkan, saya juga telah menulis satu makalah ulasan kritis buku koleksi Malaysiana untuk subjek Malaysian Studies di bawah selian Prof. Murad Merican berkenaan syarahan perdana 1979 di UKM yang disampaikan oleh Prof. al-Attas bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Sepanjang membuat analisa kepada teks syarahan tersebut, saya turut menggeledah karya al-Attas bertajuk Origin of Malay Sha'irdan Concluding Postcript to the Origin of Malay Sha'ir. Ternyata kerja-kerja tersebut membantu saya memahami "dimensi estetika falsafi" yang dimiliki oleh Prof. al-Attas dengan lebih baik.


Selain daripada itu, setelah terdedah kepada karya-karya sufi klasik seperti yang ditulis oleh Ibn Ata'Allah al-Iskandari, saya terus menggali lagi karja-kara sufi tersebut dan akhirnya membawa saya pengenalan kepada Masnavi oleh Rumi, Gulistan oleh Sa'di dari Shiraz, dan Divan oleh Hafiz dari Shiraz. Kesemua karya ini merupakan karya sastera sufi klasik yang cukup terkenal di dunia Islam dan Barat malah selalu sebelum saya lelap di atas katil, saya pasti akan membaca bait-bait Masnavi untuk menghiburkan hati berulamkan muhasabah harian. 


Bertitik tolak daripada semua kerja-kerja pengkajian tersebut, saya menulis kertas kerja bertajuk Sastera Ilmi sebagai pemangkin budaya intelektualisme dalam peradaban ummah: satu renungan awal dengan menjadikan Gagasan Persuratan Baru sebagai kerangka utama penulisan tersebut.


Ternyata kajian saya itu sangatlah tidak memadai untuk mengatakan saya benar-benar faham taraf haqq al-yakin berkenaan kesemua isi dan ma'na karya sastera dan penulisan tersebut tetapi cukup untuk saya terima di tahap ilm al-yakin. 


Saya benar-benar tidak tahu bahawa Gagasan Persuratan Baru ini amat tidak digemari oleh golongan sasterawan SEHINGGALAH saya selesai bentang kertas kerja tersebut dalam persidangan tersebut. Sepanjang saya membentang kertas kerja tersebut, saya benar-benar berhujah dengan  yakin berdasarkan pengalaman peribadi dalan penilaian saya terhadap gagasan tersebut serta perbandingan kritis terhadap khazanah karya sastera Islam yang sarat dengan nilai ilmiah dan sufistik.


Terasa saya sedang berenang dalam lautan Pasifik yang dikerumuni oleh jerung-jerung pula!


Rupa-rupanya, pembentangan saya mengundang sedikit 'kontroversi' di kalangan para peserta dan nama yang paling tidak digemari oleh para peserta ialah Tuan Haji Affandi Hassan sendiri. 


Saya benar-benar tidak tahu dimana hujung pangkal polemik ini. Selepas pulang dari persidangan saya mula menggunakan khidmat Syekh Google untuk mengkaji terowong masa berkenaan polemik ini. Ternyata ianya sudah lama berlaku, seawal 1968 lagi Affandi Hassan sudah mula 'bersemuka' dengan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Tidak lupa juga pengaruh Asas 50 dalam mencorak budaya penulisan kreatif di negara ini setelah sekian lamanya mereka bertapak dalam arus perdana pasca-kolonial ini. 



Saya faham sentimen yang wujud berkenaan Gagasan Persuratan Baru dengan para karyawan lain yang mungkin tidak bersetuju dengan Affandi Hassan. Ya, saya akui kritikan beliau amat 'pedas dan sakit' untuk didengari tetapi bak kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali sendiri dalam kitab Al-Qistas al-Mustaqim (The Just Balance):

"Imaginasi yang kamu miliki hanya mengizinkan penglihatan berupa bentuk luaran, bukan hati nurani kepada sesuatu perkara itu. Kerana sebab itulah kamu tidak boleh menilai sesuatu ucapan itu dengan sebenar-benarnya, tetapi hanya mampu menilai (ucapan tersebut) dari segi kecantikan susur atur ayatnya, atau menilai ucapan tersebut kerana semata-mata kamu mempunyai pandangan yang baik terhadap penuturnya. Jikalau bentuk (ucapan tersebut) tidak dipersetujui oleh kamu, atau orang yang menuturnya itu dibenci oleh kamu, maka kamu terus menolak ucapan tersebut walaupun ia mungkin benar. Jikalau seseorang berkata kepada kamu: "Katakanlah: Tiada tuhan selain Allah, dan Nabi Isa itu Pesuruh Allah," kamu akan menyangkalnya dan membalas: "Ini adalah kenyataan daripada orang Kristian. Bagaimana aku boleh ucapkannya?". Kamu tidak mempunyai kebijakkan menilai bahawa sebenarnya kenyataan tersebut adalah benar dan orang Kristian itu dibenci bukan kerana kenyataan tersebut ataupun kerana perkara lain melainkan dua perkara. Pertama, (tidak diucapkannya) Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, dan kedua ialah Allah itu yang ketiga daripada Tiga (Trinity/Triune). Selebihnya apa yang dikatakan (orang Kristian tersebut) adalah benar."


Isu ini tidak ubah seperti reaksi ahli Jemaah Islam Kampus yang prejudis terhadap saya bilamana saya mengkritik Tuan Guru Nik Aziz  berkenaan isu PPSMI sebelum ianya benar-benar meletup di arus perdana pada tahun lepas. Habis melenting golongan yang jumud, dan totok ini. Ramai yang gagal menilai hujah saya dengan rasional sebaliknya meletakkan emosi dan sentimen kejemaahan/kepartian sebagai kayu ukur mutlak dalam menilai hujah saya tersebut.


Dalam bab kritikan ini, khususnya berkenaan kritikan sastera, suka saya merujuk kepada syarahan perdana bertajuk " Kritikan Sastera Melayu: Antara cerita dan ilmu" yang disampaikan oleh Prof. Ungku Maimunah sempena perlantikan jawatan profesor:

"...Walaupun isitilah 'kritikan' itu sendiri membawa semacam konotasi 'mencari kesalahan', namun kegiatan kritikan ini tidak bermatlamat untuk mengecam, ataupun kebalikannya, iaitu menyanjung. Ia lebih merupakan perbincangan yang bertujuan untuk mengetengahkan kekuatan dan kelemahan karya kreatif yang diteliti agar penilaian yang adil dan saksama dapat dilakukan. Dalam hal ini dapatlah dikatakan kritikan membantu untuk memahami dan menilai karya kreatif lantas memperhebat dan meningkatkan penghayatan karya yang bermutu."


Di samping teks diatas, Affandi Hassan sendiri menegaskan dalam buku Gagasan Persuratan Baru:


"..Dunia kritikan Melayu tidak mempunyai disiplin ilmiah yang mantap untuk mengukur kemajuan yang telah dicapai dan melihat bagaimana kritikan itu berkembang dari segi penilaian karya dan analisis yang digunakan. Barang siapa yang membaca analisisi Prof. Harry G. Frankfurt, seorang mahaguru falsafah moral di Princeton University (Amerika Syarikat), berjudul On Bullshit (2005), akan memahami dengan lebih mudah mengapa kekurangan ini berlaku, dan mengapa kritikan sastera di Malaysia gagal memperlihatkan kemajuan pemikiran para pengkritik atau sarjana sastera. Jika buku itu dibaca bersama buku Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism (1978), keadaan sebenar yang berlaku dalam bidang kritikan sastera di Malaysia akan dapat difahami dengan lebih mudah. Masalah yang dihadapi ialah masalah ilmu, dan kelemahan besar dalam memahami konsep-konsep dan teori dalam kritikan."


Tambah beliau lagi:

"  Tujuan buku Gagasan Persuratan Baru: Penengalan dan Penerapan ialah untuk membawa mereka kembali kepada tradisi dan tamadun intelektual Islam. Selain dari itu, mereka harus kenal dengan agak mendalam tradisi pemikiran Barat yang teori sasteranya selalu berubah-ubah itu. Hasilnya nanti ialah satu kefahaman yang sempurna tentang seni mengarang, yang dikaitkan dengan peranan epistemologi Islam. Buku ini ditulis dalam bentuk polemik yang membuka ruang perbahasan, untuk mengundang pembaca yang kritis memberikan pendapat dan analisis sanggahan mereka tentang masalah epistemologi dalam kritikan dan penulisan karya kreatif. Para pembaca boleh saja berasa teringgung (seperti yang ditunjukkan oleh panel penilai Hadiah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994 ketika menilai buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid yang diterbitkan dalam Dewan Sastera, Disember 1994) membaca buku ini, kerana caranya agak keras pada tempat-tempat tertent; tetapi jangan hendaknya luahan emosi itu sampai menenggelamkan sifat rasional sehingga tidak dapat melihat teras pemikiran yang dikemukakan dalam buku ini (seperti yang terjadi kepada panel tadi)."


Saya kira mungkin para pembaca yang sudah kenal tapi benci, atau belum kenal langsung berkenaan isu ini boleh faham sedikit sebanyak persoalan asasi yang berlegar dalam benak pemikiran para pendokong gagasan ini. Ternyata, apa yang diperjuangkan mereka sebenarnya bukanlah satu perkara yang sia-sia.


Mengikut pengalaman saya sendiri, ramai yang mungkin masih kurang faham perkara-perkara asas ya'ni kesalingkaitan cabang ilmu fard ayn dalam bidang penulisan sastera seperti konsep faham ilmu, faham adab, faham budaya, faham aqal, etc. maka sememangnya bila mana kita dikritik oleh para pendokong Gagasan Persuratan Baru ini ianya akan terasa amat sakit.


Yang haqq itu jelas dan yang batil itu juga jelas. Alhamdulillah, saya mampu menghargai Gagasan Persuratan Baru ini kerana saya telah melalui proses memahami kerangka pemikiran al-Attas terlebih dahulu yang menjadi tulang belakang kepada pemugaran idea Gagasan Persuratan Baru ini. Maka saya kira, bilamana saya membaca hujah-hujah mereka, ianya sangat relevan dan bertepatan dengan kehendak agama Islam itu sendiri dalam faham budaya dan faham sastera seperti yang dijelaskan dengan tuntas oleh al-Attas dalam banyak karya beliau. Ditambah pula bilamana saya mengkaji tradisi kesusasteraan Islam yand didefiniskan sebagai adabbiyat, yang amat bersangkut paut dengan faham ma'na adab maka ianya hanya menjadikan saya lebih yakin kepada gagasan ini.


Dari segi bukti empirikal, cukup sajalah kita tinjau karya sastera ulama' silam seperti Masnavi, Hayy ibn Yaqzan, Shahnameh dan bermacam-macam lagi yang rata-ratanya bersifat sufistik untuk memahami hakikat kesusasteraan dalam tradisi keilmuan Islam.


Dan saya percaya karya Tuhan Manusia oleh Faisal Tehrani amat kena dengan apa yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru. 


Seperti yang saya katakan sewaktu pembetangan kertas kerja tersebut, dunia sastera tidak boleh lagi berada di tepian pantai dan perpinggiran projek pembangunan tamadun ummah kerana peranan golongan sasterawan sama penting dengan golongan ilmuan yang lain dalam mencorakkan budaya dan pemikiran ummah. Tidak dapat tidak, demi mencapai keluhuran ketamadunan Islam yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah, apa yang cuba diketengahkan oleh Gagasan Persuratan Baru tersebut harus difahami dengan teliti dan diperbaiki kekurangan yang ditinggalkan oleh mereka.


Gagasan Persuratan Baru adalah Projek Islamisasi Ilmu Sastera Melayu. Saya harap akan ada lebih ramai pendokong gagasan ini demi menyelematkan dunia sastera dari wabak sekularisme.


Mohon maaf atas segala kesilapan, saya hanya melontarkan pendapat saya. Selaku orang muda, masih banyak perkara yang saya perlu kaji dan pengalaman bersama golongan sasterawan ini membuka dimensi baru dalam kerangkan intelektualisme saya. Terima kasih kepada PENA kerana sudi menjemput saya walaupun saya pada asalnya bukan orang sastera tegar seperti anda semua!



Rujukan lanjut berkenaan PPMN 2009:




13 ulasan:

psychedelicmundo berkata...

salam wan.ana da beberape kali email anta.ana nk mntk tolong sket bg idea.ana skang di Jordan thn satu.aktivitism n smgt mhasiswa tu ana tgk kt cni kurg sgt.belum ada yg mmpu btol2 mnonjol dgn isu2 yg bernas.isu ppsmi ni pon rate2 rmai yg masih tak fhm.lbeh sdeh lg rami jgk yg sokong.so ana mntk anta tlg ana.ni email ana. haziq_barbarian@yahoo.com. kite bncg

fadzil yusof berkata...

Salam.

Sekadar pandangan, mungkin saudara baharu tahu yang ditimbulkan atau menimbulkan Persuratan Baharu itu, adalah berpangkal daripada polemik Sastera Islam sejak daripada hujung 70-an lagi. Sastera Islam sudah disebut-sebut, dibincang dan akhirnya pelbagai teori untuk menanggapi sastera Islam itu sendiri, yang pada masa tahun-tahun 80-an, gema gerakan Islam timbul dan meledak selari dengan perkembangan gerakan Islam di seluruh dunia pada masa itu.
Najib Al-Kilani misalnya tokoh yang lahir pada zaman kemuncak Ikhwan, mencari pelopor kepada perbicaraan. Ini lebih awal lagi daripada perbincangan sastera Islam di sini. Yang saya baca dari Najib Al-Kilani, (malah beliau sendiri menulis sejumlah novel untuk mengambarkan sastera Islam dan buku-buku teori berkenaannya) dan disambut gagasan itu dengan ramai penulis dan ulama pada masa itu. Ramai. Hinggalah timbul juga gagasan menubuhkan instituisi mengarap hal ini secara lebih luas. Antara ulama yang turut turun padang membincangkan hal sastera Islam ini ialah Ali Abu Hasan An-Nadawi, pada masa perkembangan bicara tentang sastera Islam. tapi mungkin di malaysia ini, perbincangan sastera Islam di negara Timur Tengah tidak mendapat liputan di sini.
Jadi, di sini, mungkin usaha peribadi atau pemikir tertentu mahu membicarakan tentang sastera Islam dan mengikut atau terikut barangkali mood tempatan atau acuan yang sedia ada.
Klimiksnya selepas Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad berpolemik tentang maksud dan segala intinya berkenaan sastera Islam, timbul tokoh Tuan Afendy Hassan.
Secara peribadi, saya sudah tertarik dengan gagasan yang ditimbulkannya, yang 'bermula' daripada kritikan yang berbilang penjuru ke medan sastera Melayu itu sendiri, mulai daripada buku-buku teori (kerana beliau bukan sahaja cerpenis dan novelis yang baik, malah pengkritik sastera yang lahir daripada percikan Kassim Ahmad yang agak revolusiner. Tidak silap saya pernah di mana entah seingat saya tulisannya menyatakan kekaguman beliau kepada semangat kritis Kassim Ahmad, tetapi beliau tidak mengikut secara totok jejak Kassim Ahmad, mungkin sekdar menyanjungi selepas membuat kritikan terhadap Hikayat Hang Tuah yang mengunakan pendekatan Marxism). Affendy Hassan timbul di kala sastera Melayu mencari-cari teori yang mantap untuk sastera Melayu yang ketika itu subur dengan tokoh-tokoh kritikan sastera Melayu dan penyumbang teori baharu. Tetapi Affendy Hassan mendekati sastera Melayu daripada sudut ilmiah, justeru kritikan beliau terhadap sastera bermula daripada esei kritikan hinggalah kepada novel seperti pada tetralogi Pujangga Melayu tidak silap saya, dan novel2 elok dibaca kalau hendak mendekati pendekatan dan idea Affendy Hassan). Antara novel tersebut ialah Tempang Sasterawan yang kuat mengkritik sastera atau karya sastera Melayu. Dan polimek antara sastera Melayu dan Affendy Hassan rupa-rupanya besar sehinggalah nama Affendy Hassan walaupun timbul , tetapi agak keasingan. Buku-buku Affendy Hassan juga berlainan dengan buku sastera yang biasa. Aligupit misalnya, sebuah novel idea yang sarat dengan kritikan ilmu. Ketegaran kritikan Affendy Hassan cukup berbisa dan terus-terang sifatnya. Kritikan Affendy cukup hangat dan besar meledak dan merempuh sastera Melayu dari karya-karya sasteranya sampailah ke teorinya. Malah ada buku yang ditulis beliau mengkritik buku teori Puitika Sastera Melayu oleh SN Muhammad Hj Salleh.
Maka, kalau hendak difikirkan sejarah polemik sastera Islam ini, cukup panjang dan meleret sebenarnya. Cuma intinya, adalah sesuatu yang baik daripada idea Persuratan Baharu Affendy Hassan boleh diambil untuk sastera Melayu pada masa depan. kerana itulah sastera wacana yang ditimbulkan semakin disahut oleh penulis muda, antaranya Faisal Tehrani lewat karya-karyanya.
Tapi, apapun idea Affendy ada yang relevan dan baik. Walaupun dengan keras dan mendambrak, mungkin di sana ada ruang melembutkan. Saya setuju dengan ulasan SM Zakir terhadap saudara dalam pembentangan kerja kerja di PPMN temph hari.
Mungkin perlu saudara 'melembutkan' idea itu, jika perlu dan baik diketengahkan.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam,

Ya saya setuju ianya perlu dilembutkan tetapi saya percaya perkara ini akan mengundang tentangan juga daripada golongan sasterawan yang terperangkap dalam kantung pemikirian sekular, modenisme dan pasca modenisme. Maka ada masa kita perlu 'berpolemik' secara intelek untuk menyedarkan masyarakat yang kabur dengannya.


Mari kita sama-sama sokong.

lutfi berkata...

Salam.
Wan Fhysal - mungkin di sini, kita perlu ingat kembali- kata-kata Sheikh Hamza yang dikutip suatu ketika dahulu di sini: Yang penting, kita membina hubungan.
Memang, pasti ada pandangan alternatif. Mungkin sesetengahnya bersifat menentang. Sebagai seorang intelektual muda, Wan Fhysal sepatutnya terus berdakwah dan beraktivis. Tentang penerimaan dan hidayah, itu kerja Tuhan.
Idea PB baik, tetapi penerapan oleh Affandi Hasan, bg abang Lutfi tidak nampak hikmahnya. Begitu juga dengan Prof Ungku dan Dr Zariat. Jadi, mungkin yang boleh diambil ialah PB, tetapi penerapannya perlu berbeza daripda penerapan dan pendekatan yang dilakukan oleh mereka.
Hanya satu pandangan.

Zarif Hassan berkata...

Salam Saudara,

Saya akan terus meneliti jika terdapat ketirisan yang boleh diperbaiki dalam PB. Saya yakin kepercayaan dan kefahaman dua perkara yang sangat berbeza. Tetapi berdiri pada akar yang sama.

Allah SWT telah berfirman dlm surah al-Baqarah pada ayat 42; "Dan janganlah kamu campuradukkan yang haqq dengan yang bathil dan jangan kamu sembunyikan yang haqq itu sedang kamu mengetahuinya."

InsyAllah sama-sama terus menjadi pemikir untuk proses pengislahan intelektual.

Rantong berkata...

Salam ziarah. Such a great blog.

View Profile: Rantong™

D'Rimba berkata...

Salam ziarah wahai bekas pelajar Maktab Mahmud sebuah pusat pendidikan Islam yang terbilang melahirkan ramai pendakwah hebat.

Muhammad Teja berkata...

Salam,
Saya masih belum berkesempatan menghadam Gagasan Persuratan Baru yang dibawa oleh Mohd Affandi Hassan. (sungguhpun bukunya sudah ada. huhu)

Selama ini, saya menguliti karya2 SN Shahnon Ahmad dan ada membaca beberapa makalahnya mengenai sastera Islam.

Persoalan saya,
1. Apakah ada perbezaan ketara dalam idealisme kedua-dua tokoh sastera ini?
2. Jika ya, bolehkah saudara sarankan apakah sikap yang terbaik dalam menanggapi polemik ini. Khususnya, orang yang jauh dari sumber macam saya. (saya mahasiswa luar negara)

Sekian, terima kasih. :)

p/s: pertama kali membaca Islam and Secularism, saya telah jatuh cinta tentang perbahasan 'adab' yang dikemukakan oleh Prof Syed Naquib Al-Attas.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam,

Sudah tentu ada beza. Walaupun saya tak kaji secara tuntas tapi yang pasti tuan haji affandi membina gagasan ini daripada faham kerangka pemikiran al-Attas. Saya rasa Shahnon tidak empunya faham ini dan berdasarkan hujah affandi hasan, kontradiksi wujud dalam karya2 Shahnon seperti SHIT.


Nak tangani kenalah khatamkan betul2 fard ayn berdasarkan silibus tradisional Islam. Itu langkah awal.

S.K berkata...

Salam,

sdr.Rausyanfikir, saya berada di PPMN 09 dan sangat terkesan dengan pembentangan sdr. Seperkara sahaja yang saya dan rakan-rakan Singapura fikir sedikit rugi: sdr. tidak mengemukakan karya-karya penulis Melayu yang sebenarnya sudah mempunyai elemen-elemen Persuratan Baru ini, atau sastera 'ilmi sepertimana yang sdr. kemukakan.

Sebagai seorang yang mula mengikuti setelah polemik ini reda, saya juga mampu menggarap sesuatu yang positif darinya. Kita ambil "idea"nya dan kemudian, menggunakan pendekatan unik sendiri. Persuratan Baru itu hanya "label" yang boleh dikembangkan. Kita tidak harus duduk dalam kerangka sesebuah "label".

Contohnya, antara idea asas dalam teori ini yakni penulisan berdasarkan ilmu. Bukankah ada banyak cara kita boleh mencapai penulisan yang ilmi?
Saya ada menulis sedikit mengenai perkara ini berdasarkan pengamatan terhadap komen FT dalam novel bersiri "Perempuan di Wajah Langit Pagi" mengenai Persuratan Baru ini di:

http://fikirasa.proboards.com/index.cgi?board=bbs&action=display&thread=21

Saya telah menemukan satu lagi peringkat dimensi yang boleh dikongsi nanti. Antaranya, karya yang ilmi juga harus "ruuhi" berdasarkan "Arrival of meaning to the soul" :)

Tu dalam dan tinggi sikit lah, dan belum sempat lagi nak tulis dan kembangkan :)
Lagipun ianya akan berkisar sekitar falsafah/ideologi (walaupun saya biasanya suka cuba menjana applikasi dari falsafah...)...

Wallahu'alam.

Salam perkenalan :)

Wassalam.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam,

Benar, setakat ini mungkin karya FT paling sesuai untuk tatapan umum tapi adalah lebih baik kita melihat contoh2 lama juga.

Keunikan ulama' silam dalam menulis bahan ilmiah adalah kerana mereka mempunyai ilmu balaghah (retorik) dalam mempersiapkan penulisan mereka.

S.K berkata...

Ilmu Balaghah bukan hanya retorik, bahkan, Ilmu Sastera tahap tinggi :)
Saya ada berbincang dengan Ustaz Azman (http://ibunuahmadalkurauwi.workdpress.com) tentang Ilmu Balaghah sebenarnya sewaktu di PPMN :)

You are among like-minded friends :)
We, too, read Al-Attas and the other works that you mentioned in your paper :)
We also read other thinkers and intellects, by the way...

Dan bagi saya, keunikan sastera 'ilmi ulama' silam juga adalah kerana "ruuh" yang saya sebutkan dalam entri sebelum ini...

Mengenai karya 'ilmi selain karya FT, saya suka sekali mengetengahkan penulis muda seperti Aidil Khalid, misalnya, yang meletakkan ilmu dalam karyanya, contohnya seperti:
The Dodger Dipper

Sekadar contoh :)

Sastera Melayu sedang menuju Sastera ilmi, insyaAllah :)

Apa-apapun, seperti yang saya katakan, pembentangan sdr. sangat baik :) Most of us were impressed.

Syabas :)
Teruskan penerokaan :) Mudah-mudahan, semakin bertambah sumbangan pemikiran baik yang dapat menghasilkan sesuatu yang positif buat masyarakat, insyaAllah :) Sdr. ada penyokong :)
Mudah-mudahan, diredhai, insyaAllah :)

Wassalam.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam,

Terima kasih.Teruskan perjuangan masing2. Sastera sebenarnya bukanlah niche saya. Hehe. Tapi mana yang boleh bantu saya bantu.