Selasa, 12 Mei 2009

Jemaah Islam Kampus dan cabaran mewujudkan budaya ilmu: satu teguran daripada Naib Canselor UTM

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]


Outcome bukan output, budaya bukan sijil

Oleh: Dr Zaini Ujang

ALBERT Einstein (1879-1955) pernah menyebut pendidikan ialah apa yang masih ‘terbaki’ selepas seseorang lupa apa yang dipelajari di sekolah. Bagi beliau, nilai pendidikan bukanlah ‘output’ tetapi ‘outcome’ daripada satu proses panjang membabitkan pelbagai dimensi dan institusi. Beliau tidak keseorangan mendefinisikan makna pendidikan sedemikian, iaitu tanpa terikat kepada proses formal, hasil secara jangka pendek atau proses persijilan semata-mata.



Malah, ramai sarjana Barat setanding Einstein mentakrifkan pendidikan dari segi natijah atau
dampak proses dan budaya ilmu. Dalam banyak situasi, makna output setara dengan petunjuk pencapaian utama (KPI) bersifat jangka pendek dan sederhana.



Dari segi pengajian tinggi misalnya, KPI dinilai dari segi tahap pengijazahan seperti
bilangan pelajar peringkat lepas ijazah; kemantapan akademik seperti bilangan staf berkelayakan PhD; hasil aktiviti akademik seperti jumlah harta intelek, jumlah dana penyelidikan dan pembangunan (R&D), senarai kertas akademik dalam jurnal antarabangsa; dan hasil proses pengajian seperti jumlah graduan bekerja.



Semua ini diukur dalam tempoh satu semester atau satu tahun akademik. Memang petunjuk jangka pendek dan sederhana penting sebagai barometer pelaksanaan pelbagai dasar dan penambahbaikan segera dan strategik.
Namun demikian, kita jangan pula melupakan hakikat bahawa outcome lebih penting daripada output dalam bidang pendidikan.



Sekadar menggunakan
output sebagai petunjuk untuk menilai sesuatu proses dan mengukur pencapaian sesebuah institusi bermakna kita mengehadkan ruang sekali gus tidak menggunakan perspektif menyeluruh, holistik dan dampak budaya.



Pada hemat saya inilah antara inti pati penting ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 28 April lalu. Secara khusus Najib menyebut bahawa penjawat awam perlu melakukan
anjakan modenisasi paradigma dan struktural, antara lain, beralih daripada budaya ‘output’ atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek ‘outcome’ atau dampak keberhasilan secara holisitik.



Dengan kata lain, pencapaian KPI yang bersifat jangka pendek dan sederhana seperti keupayaan membelanjakan dana, pembinaan infrastruktur fizikal dan jumlah graduan dalam tempoh tertentu – jika dilihat dalam konteks pengajian tinggi, masih belum cukup untuk memastikan bidang pendidikan mencapai dampak menyeluruh dan cemerlang.



Hal ini lebih ketara kerana ‘
outcome’ dalam konteks pengajian tinggi perlu dinilai dari segi pencapaian pendidikan secara keseluruhan, iaitu selepas seseorang pelajar mengikuti pengajian dari peringkat rendah, menengah dan tinggi. Pengajian tinggi adalah peringkat terakhir pendidikan formal seseorang pelajar.



Maka ‘
outcome’ perlu dilihat secara jangka panjang, tidak terhad kepada ukuran dan statistik jangka pendek tanggungjawab sesebuah kementerian saja. ‘Outcome’ itu perlu dijalinkan dalam konteks Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.



Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.



Makna ‘insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani’ sukar diukur dengan sesuatu petunjuk ‘
outcome’, apatah lagi ‘output’ atau prestasi tahunan atau jangka pendek. Bagaimanapun, ramai sarjana menggariskan ‘outcome’ pendidikan dinilai dari segi keinsanan yang tidak semestinya sama dengan ‘outcome’ organisasi seperti sekolah, universiti atau kementerian.



Oleh itu pencapaian pendidikan secara holisitik dan bersepadu juga sebagaimana terungkap dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dinilai secara sepadu membabitkan pelbagai agensi, kementerian dan organisasi lain, sekiranya mahu dilihat dari perspektif ‘
outcome’. Jika tidak, pencapaian itu dikhuatiri terhad kepada ‘output’ organisasi saja, sekali gus tidak menyerlahkan aspek keinsanan, sebaliknya lebih kepada penilaian instrumen seperti kecekapan dan kemantapan organisasi.



Dari segi intelek, menurut Malcom S. Forbes (1919-1990), tujuan pendidikan ialah
menggantikan minda yang kosong dengan minda terbuka. Tun Abdullah Ahmad Badawi pula meletakkan minda kelas pertama sebagai matlamat dalam konteks Malaysia. Hal ini perlu dijadikan satu ‘outcome’ utama proses pendidikan kita. Selain itu, kita juga masih belum berjaya menyemarakkan budaya ilmu.



Outcome’ dari segi kualiti insan ialah kemantapan fikiran, keupayaan berhujah, kesantaian berkomunikasi mengikut pelbagai dimensi dan perspektif, pencinta ilmu dan pemburu kebenaran, warga budiman, minda lestari, berbudaya tinggi, berperwatakan mulia dan mahir dalam pencarian ilmu. Dengan kualiti ini maka graduan mampu mengharungi pelbagai situasi dan memasuki pasaran kerja dengan lebih selesa dan berdaya saing.



Perlu difahami dari aspek organisasi bahawa ketika ini peranan universiti, termasuk di kebanyakan negara maju, sama ada disengajakan, disedari atau terpaksa pasrah kepada realiti semasa -
telah mengecil kepada proses pengijazahan dan penyelidikan saja. Universiti juga nampaknya semakin tersudut dalam konteks pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu yang tulus.



Hal ini berlaku kerana
banyak universiti terlalu terikat kepada aspek ‘output’ jangka pendek semata-mata, seperti perkembangan program akademik relevan situasi semasa, terutama berkaitan permintaan pasaran kerja.



Kadangkala, dapat dirasakan betapa menjadi pensyarah atau ahli akademik tidak lagi memerlukan
kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme akademia. Yang diperlukan ialah kecekapan mengurus, kebijaksanaan mengelola, sikap positif terhadap kerjaya di samping pengetahuan khusus pada peringkat ijazah PhD.



Aspek menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan
pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, ‘kegilaan membaca dan menulis dan persekitaran mesra intelektualisme tidak lagi menjadi keasyikan, trend dan aset penting. Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus, malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa.



Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah
mengenai isu pokok membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi. Kalaupun ada, jarang sekali dianjurkan dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu sehingga menyebabkan apa saja yang dianjurkan atas nama semarak ilmu dan budaya ilmu dilihat daripada perspektif ‘output’ jangka pendek, umpamanya keperluan kredit dan memenuhi waktu CPD.



Persoalan ini penting untuk kita wacana segera kerana ‘outcome’ dan kemajuan ilmu dan kualiti pengajian tinggi bersifat budaya dan citra karisma, dan tidak mampu diukur dengan perbandingan angka semata-mata. Kemajuan ilmu yang sebenar dalam konteks sesebuah komuniti intelektual tersurat menerusi kualiti jiwa, minda, aspirasi, cara hidup dan kemahiran yang dibangunkan dalam diri setiap warga kampus.



Barangkali gurindam Raja Ali Haji, tokoh pemikir Johor-Riau abad ke-19 masihi mungkin relevan untuk dijadikan petunjuk prestasi ‘
outcome’ pendidikan:

Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa,

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan ( ya’ni pelihara diri daripada) yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.




Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penulis buku Memperkasa Budaya Ilmu (UTM Press, 2009).

 

Sumber: Berita Harian

 

 

Komentar:

 

Dalam Malaysia, pada hemat saya, ada dua orang Naib Canselor yang benar-benar berkaliber dan mempunyai visi yang tulen. Satu Prof. Dzulkifli  USM dan seorang lagi Prof. Zaini Ujang.

 

Baca sahajalah tulisan mereka dalam media massa dan anda sendiri nilai kredibiliti kepimpinan mereka di peringkat pendidikan tinggi. Biarpun ada kelemahan tetapi sedikit sebanyak watak seperti mereka menjadikan universiti-universiti tersebut ‘sedikit hidup’ berbanding universiti lain yang mencetak manusia untuk pasaran kapitalisme semata-mata (terutamanya kolej swasta).

 

Saya tidak pasti sejauh mana JIK di USM dan UTM, tidak kiralah kumpulan mana mengambil initiatif yang benar-benar unik untuk membantu menzahirkan visi dan misi Naib Canselor mereka. Sememangnya, USM dan UTM sangat bertuah mempunyai manusia sebegini dalam kampus.

 

Mungkin apa yang dilontarkan disini oleh Prof. Zaini Ujang bukanlah sangat kepada para pensyarah tetapi saya lebih nampak relevannya kepada mahasiswa KHUSUSNYA yang bercita-cita melahirkan ‘biah solehah’ (meminjam slogan Rakan Masjid UTP) di kampus. Kegagalan kita berbuat demikian sudah tentu bertitik tolak daripada kelemahan budaya intelektualisme di kalangan mahasiswa yang menghidupakan kampus dengan budayanya yang tersendiri.

 

Saya sering kata kalaulah sahabat-sahabat seperjuangan di mana-mana kampus benar-benar sedar dan arif akan situasi, cabaran semasa dan akan datang universiti, memang tidak akan menang tangan untuk kita bersama-sama sumbang tenaga mengislahkan kampus.

 

Saya lihat, kenapa mahasiswa semakin dipandang sepi dikalangan masyarakat am adalah kerana kita sendiri yang gagal menaik tarafkan jati diri kita sebagai mahasiswa. Orang tidak lagi berasa terpanggil untuk mendengar pandangan kita secara SERIUS dan AUTORIOTATIF, cukup berbeza sekali dengan zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dahulu yang mana golongan mahasiswa dibawah kepimipinan beliau cukup mampu menggegarkan negara dengan idea dan hujah mereka.

 

Sahabat-sahabat,

Kita terlampau banyak berslogan dan slogan kita kadang kala berbau picisan (seperti kata salah seorang pensyarah saya). Kita sudah terlampu meniru para politikus di luar yang lip service dengan slogan kosong. Malah kita sendiri beku minda dalam memperincikan pelan tindakan yang benar-benar efektif untuk gerak kerja pengislahan kampus.

 

Semua ini harus dimulakan oleh kita dahulu, barulah yang lain-lain dapat mencontohi kita. Saya risau para Naib Canselor yang bagus sebegini kesepian daripada sokongan golongan mahasiswa. Sokongan disini bermakna kita sama-sama menjiwai jati diri universiti sebagai pusat pembudayaan ilmu dan intelektualisme rakyat, bukan sekadar melaungkan slogan setiap pilihan raya kampus semata-mata.

 

Walaubagaimanapun, artikel Prof. Zaini Ujang ini masih boleh diperbaiki dan ditambah baikkan. Ta’rif pendidikan yang paling baik pernah saya fahami adalah daripada Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sendiri iaitu ta’dib, bukan tarbiyah dan bukan juga ta’lim.

 

Nak kupas mungkin di lain waktu tetapi apa yang Prof. Zaini Ujang tuliskan ini boleh dijadikan satu ‘wake up call’ buat golongan mahasiswa KHUSUSNYA Jemaah Islam Kampus semua.

 

Zaman berkonfrantasi secara membabi-buta dengan emosi menggila perlu dikikis sedikit demi sedikit agar apa yang para pejuang mahasiswa lontarkan akan benar-benar memberi kesan kepada warga kampus.

 

Harapan kepada pembudayaan ilmu secara logikalnya memang terletak pada pundak Jemaah Islam Kampus di seluruh negara. Andalah ejen-ejen yang menjadi arkitek dan jurutera Peradaban Ilmu Islam di Nusantara ini. Oleh itu, kita harus memperbetulkan kelemahan dalam merencana projek pengislahan dengan lebih berkesan.

 

Kuantifikasi ilmu, pemisahan teori dan praktis secara jahil murakkab ya’ni satu kekeliruan yang tidak pernah dianggap keliru oleh manusia tersebut ataupun lebih teruk TIDAK INGIN MENGAKU kealpaan diri dalam memahami hakikat ilmu menjadikan semua ini satu ‘biawak hidup’ untuk Jemaah Islam Kampus kekal relevan sebagai institusi pengislahan kampus.

 

Jemaah Islam Kampus tidak boleh lagi menjadi organisasi ‘second tier’ tetapi harus menjadi yang UTAMA dalam menggalas visi dan misi universiti masing-masing. Tetapi semua ini agak mustahil jikalau kita masih terperangkap dalam suasana ke’eksklusif’an ataupun agenda perkaderan yang mementingkan KUANTITI daripada KUALITI ahli.

 

Sesungguhnya, kita masih belum terlambat. Mahasiswa bukan golongan sipahi apatah lagi balaci. Biarpun kita kekurangan pengalaman, ini semua tidak menghalang kita menjadi third force dalam projek pengislahan ummah khususnya di kampus.

  

Sahutlah cabaran Prof. Zaini Ujang ini kerana dengan itu anda telah meletakkan perjuangan Jemaah Islam Kampus ditempat yang sewajarnya buat ummah.

 

Wallahua’lam.


 

6 ulasan:

acabeire berkata...

assalamualaikum. ko ada x masa pembentangan tentang Raja Ali Haji. ada sorang Prof dari UPM yang bentang tentang beliau. gurindam ni pun ada juga dibentang bersama. aku xsure ko dan hilmi ada x masa tu. teringat hujah seorang lecturer, tak perlu bertertib dalam menuntut ilmu, sebab sekarang ni pelajar dah boleh sms malah telefon lecturer. model pembelajaran zaman Raja Ali Haji ini sudah tidak sesuai dengan zaman kita. teringat Prof Wan ada Msg aku-'sedangkan lecturer pun ramai yang keliru tentang adab, inikan pula mahasiswa!'

Rausyanfikir berkata...

Wassalam,

Huhu. Menarik sekali pemerhatian kau acab. Memang runcing masalah kita ni. Perlu lebih ramai penyokong dan pendokong!

Ikhwan berkata...

"Yang diperlukan ialah kecekapan mengurus, kebijaksanaan mengelola, sikap positif terhadap kerjaya di samping pengetahuan khusus pada peringkat ijazah PhD."

"wacana, diskusi, ‘kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran mesra intelektualisme tidak lagi menjadi keasyikan"

sayang sekali...

iz berkata...

salam..

artikel ini amat menarik, dan cukup benar..
Universiti sekarang sudah menjadi medan mengurus event, dari medan memburu ilmu.. Perkataan siswa sudah byk tersimpang dari maksud sebenar dek perlakuan siswa itu sendiri yang tidak membudayakan ilmu.. Benar, ilmu thermodynamics, numerical method, dan physics, adalah core bisnes utk para siswa, tp ramai yang tak mengambil keberadaan gedung ilmu yang terkokong disebalik subjek2 core ini.. Di IRC contohnya, banyak sekali bahan2 bacaan ilmiah, namun jarang sekali dibaca, apatah lagi disentuh oleh para siswa.. Tak cukup dengan itu, Islamica pula ditubuhkan, namun, suram sepi sahaja tanpa pengunjung.. Sayang sekali bila melihat siswa-siswi mengejar pangkat2 Head Department, apatah lagi Project Manager berbanding dengan ilmu2 ini.. Mungkin sahaja dikongkong oleh satu pemikiran "grad and work", atau dibrain wash oleh golongan pejuang2 politik tertentu (no offence). Jika benar perjuangan JIK adalah "membina biah solehah", maka perjuangkanlah utk membentuk golongan menuntut ilmu-ilmu ini berbanding berbuat event2 yang belum tentu outputnya adalah kesedaran. Bukankah Allah mengangkat orang2 yang berilmu beberapa peringkat? Wallahualam.

Berusaha menjadi yang terbaik berkata...

artikelnya menarik...saya jadi sedikit belajar tentang bahasa Malaysia

salam kenal dari Indonesia
http://www.akhmad06.student.ipb.ac.id

innerinspiration berkata...

Salam Rausyan. Terima kasih kerana menulis sesuatu yang merangsang n=minda saya untuk memberikan respon. Bila salah seorang pengkomen meberikan lontaran bahawa universiti skrg hanya menjadi tempat mengurus event saya fikir memang ada benarnya. Ruh menuntut ilmu dalam IPT semakin terhakis kerana tiada penekanan ke arah itu. Akhirnya tempoh pembelajaran siswa keluar tanpa ada nilai kepada ilmu.