Ahad, 3 Mei 2009

Hari Keluarga Nursi




Hujung minggu yang lepas, kampus agak sunyi. Mungkin kerana cuti Hari Pekerja yang dirantaikan bersama hari Sabtu dan Ahad, disamping minggu ulangkaji yang panjang bakal menyusul memungkinkan pelbagai aktiviti istirehat buat mahasiswa dan mahasiswi kampus.


Seperti biasa, penghujung semester akan diadakan pelbagai jenis hari keluarga, dan hari keluarga Jemaah Islam Kampus merupakan antara yang paling meriah. Malangnya, tahun ini saya tidak dapat menyertai buat sekian kalinya kerana telah dibuang 'keluarga'. Mungkin kerana saya menjadi 'anak derhaka' kepada JIK, maka seluruh keberadaan saya dari segi latar sejarah dan juga sumbangan harus dipadamkan agar tiada siapa tahu, khususnya adik-adik, akan pernah wujudnya seseorang seperti saya dalam JIK.


Nasib yang sama turut berlaku terhadap rakan-rakan lain yang telah 'berpindah rumah' ke jemaah yang lain samada Karisma ataupun 'rumah bujang' (baca:
futur sementara waktu). Kami yang dibuang atau terbuang rumah ini, hanya mampu menerima pesanan ringkas berhubung berita walimah projek Baitul Muslim abang-abang dan kakak-kakak yang mentarbiyah kami dahulu. Itupun dari sumber sekunder.


Betapa
luas-nya ma'na ukhuwah yang difahami oleh sahabat-sahabat JIK.


Walaubagaimanapun, Allah itu Maha Kaya lagi Agung. Kelompongan dari satu sisi ditampung dengan nikmat yang baru. Entah tiba-tiba rezeki datang bergolek.


Pada hari Sabtu yang lalu, saya telah diambil oleh 'keluarga' baru dari keturunan Turkic. Tidak sangka langsung bahawa para mahasiswa Turkmenistan di kampus mengajak saya untuk menyertai 'hari keluarga' mereka yang turut sama mengundang penggerak gerakan Nursi aliran Fethullah Gulen.


Kami berhimpun di sebuah 'pangkalan rahsia' berdekatan kampus (
sirr wa hazar juga!) yang telah tersusun rapi dengan pelbagai kemudahan buat semua ahli keluarga Turkic.


Saya dan syafiq (firusfansuri) tumpang berhari keluarga dengan kerabat gerakan Nursi aliran Gulen


Saya hadir bersama akh Syafiq (a.k.a firusfansuri) bersama-sama rakan Turkmenistan yang rapat dengan kami. Undangan sebegini teramatlah jarang untuk orang luar seperti kami kerana selama saya hidup di kampus, mahasiswa Turkmenistan adalah yang paling dingin personaliti-nya dan kurang bergaul melainkan sesama mereka sahaja.


Malah dari segi sejarah mereka di kampus juga kurang enak untuk diimbas kembali. Ini kerana para senior mereka yang terawal datang daripada keluarga berada. Kisah kebiadapan, kemalasan dan kedunguan mereka menjadi mimpi ngeri buat para pensyarah dan kaki tangan lain di kampus. Peristiwa lama sebegitu akhirnya menjadi satu stereotaip buat warga kampus yang menyedari hakikat sejarah mahasiswa Turkmen, khususnya para pensyarah yang senior.


Keberedaan saya sepanjang hari keluarga tersebut berlangsung mengubah persepsi saya terhadap mereka 180 darjah. Saya terlampau prejudis ( turut sama dibantu oleh tarbiyah hitam-putih Jemaah Islam Kampus) kepada golongan yang tidak menzahirkan keislaman mereka dan mahasiswa Turkmen adalah yang paling sukar untuk kita tafsir keperibadian mereka dari luar.


Maklumlah, hendak terlihat mereka solat di surau pun susah apatah lagi di masjid.


Tetapi semua persepsi tersebut hancur berderai setelah saya menikmati ukhuwah bersama mereka tempoh hari. Tiada sebarang unsur-unsur hizbiyyah ( baca: jemaahisme) tetapi lebih kepada kesatuan aqidah antara kami. Pertama kali saya nampak mereka bersolat jemaah beramai-ramai. Satu perkara yang ajaib buat mahasiswa seperti saya yang sedang menghampiri tarikh akhir pengajiannya di kampus untuk menikmati pemandangan seperti ini. Selama hari ini, saya ingat rakan-rakan Turkmenistan ini benar-benar jahil tentang Islam dek ditekan hebat oleh puak Soviet sekian lama dahulu.


Saya baru mengerti akan hakikat keislaman mereka. Bukan senang untuk menjadi seorang Muslim yang baik dalam suasana yang tidak Islamik. Bayangkan jikalau ayah anda seorang Muslim tetapi masih menikmati
vodka dan segala macam perkara haram lagi. Apatah lagi solat itu mungkin hanya dilakukan setiap hari jumaat di masjid. Selebihnya, Islam itu tenggelam tidak tertimbul.


Saya fikir, kehadiran Encik Fatih dan Brother Abdullah dari Turkish Fountain Cultural Center yang bertindak sebagai proksi gerakan Nursi aliran Gulen sangat membantu mahasiwa Turkmenistan dalam membaiki diri mereka sebagai Muslim.


Encik Fatih cuba melembutkan hati mahasiswa Turkic dalam bahasa ibundanya.


Kata Bayram, sahabat Turkmen saya: "Encik Fatih selalu hadir bertemu kami setiap bulan dan selalunya kami akan adakan hari keluarga seperti ini."


Seperti biasa, selesai sahaja solat Zuhur secara berjemaah, acara perkongsian hati ke hati dimulakan. Encik Fatih akan membacakan artikel ringkas yang ditulis oleh Fethullah Gulen dan disampaikan kepada semua hadirin. Ketika itulah saya dapat lihat kelembutan air muka para mahasiswa Turkmen yang selalunya memang nampak agak tegang dan dingin di kampus. Walaupun saya tidak faham perbincangan yang dimulakan dalam bahasa Turki (kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh brother Abdullah), jiwa saya amat merasai apa yang cuba disampaikan tersebut. Saya dapat lihat mereka sedang cuba menjiwai dan muhasabah diri. Saya percaya tekanan itu sangat kuat sepanjang mereka berada di negara mereka sendiri dan ianya semakin berkurangan semenjak mereka kunjung tiba menuntut ilmu di Malaysia.


Sepanjang kami berada dalam majlis tersebut, selalunya topik perbualan banyak berlegar berkenaan
mujaddid Turki abad ke-20, Said Bediuzzaman Nursi dan juga sejarah silam bangsa Turkic yang agung. Mereka inilah cucu-cicit kepada ulama' besar seperti Imam al-Maturidi, Ibn Sina, Imam al-Bukhari, al-Khawarizmi dan juga tokoh agung seperti Sultan Muhammad al-Fatih sendiri. Malangnya, Asia Tengah yang pernah menjadi bumi Islam yang paling subur dengan budaya Ilmu telah dimamah oleh kerosakkan iman kesan daripada beberapa siri penjajahan yang berlaku di sana terutamanya oleh kerajaan komunis Soviet.


Yang paling saya tak sangka, walaupun dari segi ibadat mereka mungkin agak perlahan, nama Said Nursi tidak pernah lekang daripada minda mereka. Malah ada diantara mereka ini sangat fasih tentang pemikiran Said Nursi.
Risale-i-Nur itu sudah menjadi makanan minda mereka setiap hari. Hendak baca di negara mereka tidak boleh kerana buku tersebut telah disita daripada pasaran. Maka keberadaan mereka di sini membuka sedikit ruang untuk menjamah bahan bacaan tersebut.


Ternyata sumbangan Said Nursi cukup besar sekali dalam mempersiapkan umat Islam abad ke-20 dalam berhadapan dengan serangan
ghazwul fikri yang mencengkam terutamanya buat negara-negara yang dijajah oleh Soviet.


Turut sama diperbincangkan adalah berkenaan Fethullah Gulen yang merupakan anak murid Said Nursi pada satu ketika dahulu. Mungkin di Malaysia nama Fethullah Gulen tidak terkenal seperti Tuan Guru Nik Aziz tetapi di luar Malaysia, khususnya di negara Barat, nama beliau cukup terkenal dan dihormati ramai.


Fethullah Gulen: Peneraju gerakan sufi moden aliran Nursiyyah yang mendapat tempat di seluruh dunia.



Ini kerana, kalau hendak dinilai dari segi pencapaiaan dakwah gerakan Islam di seluruh dunia, gerakan Islam Nursi aliran Gulen merupakan yang paling besar dan berjaya 'merawat' penyakit zaman moden.
Turkish schools yang didirikan oleh gerakan Nursi aliran Gulen di segenap pelusuk dunia dari Brazil hinggalah ke Mongolia telah memberi dampak yang cukup besar di sana. Malah dikatakan bilamana mereka membuka sebuah sekolah Turki di Pakistan, peluang untuk melunturkan semangat radikalisme dalam beragama sangat dinanti-nantikan oleh banyak pemerhati luar. Kita sedia maklum bahawa memang wujud banyak sekolah-sekolah yang jumud, radikal dalam pendidikan Islam tradisional yang menjadi potensi kepada penyuburan gerakan radikalisme Islam di rantau tersebut. Usaha gerakan Nursi aliran Gulen ini mampu menjadi benteng lembut dalam usaha melawan ekstrimisme Islam.


Kehebatan gerakan Nursi aliran Gulen tidak dapat dinafikan lagi oleh masyarakat dunia di mana pada tahun lepas, satu undian awam yang berprestij berkenaan intelektual awam yang paling dihormati oleh majalah
The Prospects dan Foreing Policy telah menobatkan Fethullah Gulen sebagai pemenang nombor satu buat tahun 2008. Undian ini telah dilakukan di seluruh dunia dan turut sama menduduki tangga ketiga adalah Syakh Yusuf al-Qaradawi yang disayangi oleh dunia Islam khususnya ahli gerakan Islam jenis harakiyyah.


Sememangnya usaha Gulen ini banyak berpijak kepada idea Said Nursi yang menekankan perihal asasi iaitu
pendidikan yang juga merupakan lambang sejati ulama' silam dalam melakukan proses pengislahan terhadap umat.


Yang lebih ajaib, semua usaha mereka ini tidak langsung dibiayai oleh mana-mana kerajaan. Semuanya dilakukan sendiri oleh para ahli mereka yang diikat atas dasar cinta kepada Kebenaran yang Islam tampilkan kepada seluruh umat manusia. Gerakan Nursi aliran Gulen tidak bersifat seperti Jemaah Islam Kampus yang hizbiyyah sifatnya. Malah terdapat ramai orang Kristian yang menganggotai dan menyumbang tenaga untuk gerakan Nursi aliran Gulen ini.


Kalau hendak dibandingkan umur gerakan Nursi aliran Gulen ini dengan PAS, sememangnya PAS jauh lebih lama bergerak dalam masyarakat berbanding gerakan Nursi aliran Gulen yang baru bermula sekitar tahun 80-an.


Bilamana saya mengkaji semua ini, saya terfikir kalaulah PAS benar-benar mengikuti saranan Imam Hassan al-Banna untuk mendahulukan DAKWAH dalam berpolitik ( tidak caci-mencaci, lukis kartun memburukkan pemimpin UMNO, takfir-mengtakfri satu ketika dahulu, utamakan perpaduan bangsa etc.), bukan KUASA seperti yang didendangkan dalam tamrin perkaderan, tidak mustahil dengan pelbagai nikmat yang Allah kurniakan di bumi Malaysia ini, PAS mampu pergi jauh seperti gerakan Nursi aliran Gulen.


Saya berani kata begini kerana cabaran yang dialami oleh gerakan Nursi di Turki berkali ganda sukar berbanding kita di Malaysia. Di sana, sekularisme itu telah menjadi agama rasmi negara bukan lagi pemisahan halus antara kehidupan harian dengan ibadat. Malah yang menjadi penjaga sekularisme di Turki adalah tentera. Golongan sekularis-Kemalist di Turki berkali ganda lebih jahat dari puak UMNO yang jahil dan keliru.


Saya teringat cerita guru saya Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud ketika mana beliau memberi syarahan di Turki sewaktu tahun awalnya di ISTAC. Dalam majlis tersebut yang dihadiri oleh orang-orang besar kerajaan Turki sekular, guru saya telah membuat kenyataan bahawa zaman yang paling agung dalam sejarah orang Turki adalah sewaktu tertegaknya khilafah Uthmaniyyah dan yang menjadi masalah besar ketika ini buat orang Turki adalah pemikiran sekularisme yang tegar.


Ucapan guru saya tersebut telah dibalas tegas oleh hadirin yang berkata: "
You do not need to be a hero to remind us about this".


Di akhir majlis baru guru saya faham setelah diterangkan oleh rakan profesor Turki Islamis yang lain bahawa 'menyerang' prinsip sekularisme dalam majlis rasmi seperti itu mampu mengundang padah! Nasib baik beliau bukan orang Turki, kalau tidak mungkin sudah terkena ISA Turki. Betapa tebalnya semangat dan jati diri sekularis-Kemalist yang dianuti oleh sebahagian besar rakyat Turki.


Saya juga melihat bahawa antara gerakan Islam di Malaysia yang
pernah semirip gerakan Nursi aliran Gulen adalah ABIM. Saya lihat Anwar Ibrahim pada ketika itu, sewaktu zaman Islamis-nya sangat berpotensi untuk menjadi seperti Fethullah Gulen dengan idea, karisma dan jaringan gerakan yang dinamik. Sayangnya, Anwar gopoh. ABIM tidak lagi mampu bangkit seperti dahulu sehinggalah sekarang. Tetapi saya optimis dengan rakan-rakan PKPIM generasi baru ini yang sudah mengakar kembali kepada tradisi awal dalam ABIM ya'ni budaya ilmu.


Fethullah Gulen juga tidak sunyi dari politik. Parti AKP yang mendirikan kerajaan Turki sekarang ini merupakan rakan seperjuangan penting buat gerakan Nursi aliran Gulen. Mana tidaknya, pengaruh Said Nursi sangat besar dikalangan masyarakat Turki moden. Sudah tentu kader-kader AKP tidak akan terlepas daripada pengaruh gerakan Nursi khususnya aliran Gulen.


Sekali lagi saya lihat bahawa kepentingan gerakan Nursi seperti aliran Gulen ini sangat penting dalam proses pengislahan masyarakat.Ini kerana gerakan Nursi menjadi asas kepada proses pengislahan. Kejayaan politik AKP merupakan cerminan kepada kerja dakwah massa yang dilakukan oleh gerakan Nursi di Turki. Ini bermakna syarat kemenangan parti politik Islam di Turki sangat bergantung kepada gerak kerja dakwah dan pendidikan massa yang dilakukan oleh gerakan Nursi. Hujah ini tidak dapat dinafikan lagi kerana gerakan Nursi seperti aliran Gulen sendiri telah menubuhkan ratusan sekolah dan universiti (Fatih Universiti yang terkenal merupakan hak milik gerakan Gulen) di seluruh Turki.


Mereka sangat memahami falsafah pengislahan Said Nursi yang merintis kembali asas kebangkitan Islam seperti ulama tradisional zaman-berzaman tetapi telah diperkemaskan untuk berhadapan cabaran moden. Usaha mereka ini sangat bertepatan juga dengan projek pengislahan Imam Hassan al-Banna melalui prinsip
sulbah.


Saya berfikir panjang...berapa banyak institusi pendidikan yang didirikan oleh gerakan Islam di Malaysia. Tadika dan sekolah memang banyak tetapi universiti? Ternyata kita masih jauh.


Hampir kesemua mahasiswa Turkmenistan di kampus merupakan bekas pelajar sekolah Turki yang didirikan oleh gerakan Gulen di Turkmenistan. Untuk memasuki sekolah tersebut, mereka perlu melaui ujian dan temuduga. Ternyata mereka ini bukan orang sebarangan. Mungkin potensi mereka belum terserlah dek kerana terpinggir di bumi orang.


Sebab itu saya tidak suka campur tangan 'orang asing' dalam kampus. Bila mana agenda rasmi persatuan mahasiswa Islam disaluti dengan pengaruh asing, sudah tentu amat sukar buat semua mahasiswa lain mendekati persatuan tersebut kerana semangat hizbiyyah yang tebal sudah dibina antara "US" and "THEM". Persatuan mahasiswa Islam yang RASMI, HARUS MENJADI
HAK MILIK SEMUA DAN DEMOKRATIK DARI SEGI PEMILIHAN QIYADAHNYA.


Jikalau tidak, sampai bila kita akan meminggirkan golongan seperti mahasiswa Turkmen ini dan juga mahasiswa lain yang mempunyai potensi yang terpendam. Hendak kader untuk persatuan di luar, sudah bergraduasi silalah. Sebab itu saya sangat tekankan idealisme mahasiswa harus suci daripada sebarang unsur asing yang berbau politik kepartian jumud, dan totok.


Seperti kritikan yang dilontarkan oleh Presiden GAMIS sendiri, sampai bila-bila pun kita hanya mampu jadi jaguh kampung.



Encik Fatih yang pandai berbahasa Melayu menikmati juadah bersama kami.


Selesai sahaja sesi perkongsian, kami menikmati juadah yang dimasak sendiri oleh rakan-rakan Turkmen. Tak pernah pula saya makan hidangan tradisional yang mungkin pernah dimakan oleh Ibn Sina sendiri!


Hidangan yang diberi bernama
paloh. Nasi yang dikukus bersama ayam yang dipotong kecil-kecilan. Sedap juga! Kami makan beramai-ramai sambil meneruskan perbincangan.



Nasi paloh yang sedap. Mungkin boleh jadikan menu tamrin JIK sebab mudah untuk disediakan.



Mungkin kisah ini boleh diambil i'tibar oleh semua manusia yang mendabik dada sebagai pejuang Islam. Ukhuwah yang dijalin harus dilandaskan atas dasar aqidah yang sama biarpun dari segi kefahaman, amalan masing-masing berbeza. Kalau beginilah sikap jemaah Islam di Malaysia, saya percaya puak sebebal UMNO pun akan cair hati mereka dalam berukhuwah.



P/S: Mungkin PAS boleh buat Hari Keluarga ala JIK dengan puak UMNO agar yang mana kusut boleh dileraikan dengan semangat ukhuwah Islamiyyah orang Melayu Muslim yang tulen. Sebusuk-busuk UMNO pun, mereka tetap Muslim.


9 ulasan:

putsura berkata...

Salam ziarah akh...semoga akh diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk terus berdakwah dlm lmn maya ini walau dikecam dan dikata taksub Al-Attas dan sebagainya...
memang karya akh bnyk blegar dlm ruang al-attas kerna akh bnyk baca buku al-attas, nmun sy tak lihat itu sebagai satu mslh bahkan keuntungan kerna bukan smua org baca buku al-attas..bgus akh!

cuma nk respon pd artikel kali ni, mmg btul kata akh, andai semua org mjrnihkan fikrah mereka sebelum berdakwah pasti ttegaknya Islam di Malaysia ni...ini tidak, antara jemaah pun nk prejudis dan halang dri ahli sertai program lain. Walhal kita nk membudayakn ilmu dan mendedahkn hakikat umat Islam masakini tapi sayang, kerna sbb2 tertentu mereka agk selfish.

Teringat perumpamaan y diberikan kpd sya oleh senior y rapat mgnai agenda politik malaysia bkaitan UMNO dan PAS. Mmg UMNO ada silap nmun PAS perlu mnegur. bunyinya bgini:

"mereka mmbersihkan tahi dangan tahi," jadi smpai bila akan bersih?

Wallahua'lam.cuma luahkn rasa kesal di sini.tiada sentimen parti atau jamaah mana2.

Tanpa Nama berkata...

Dengan nama Allah

salam

tahniah kepada saudara rausyanfikir yang aktif berblog. Tetapi dalam banyak-banyak blog aku baca blog kaulah antara yang paling tegas tapi makin hari aku baca, makin aku keliru, tegas ke lepas geram ni?

hujah-hujah yang ko berikan tak pula menggambarkan sebagai orang yang berilmu yang berdisplin. Lebih kepada orang yang mencari hujah yang sesuai dengan pendapat kau sahaja.

makin lama aku tengok,makin aku yakin blog ko ni sbg tempat lepas geram.

kalo ko rasa inilah kaedah yang diajar said an-nursi, mungkin ko blh fikir blk kot.dari buku-buku beliau takde pula aku rasa yang gayanya macam dalam blog ko ni.

Memburuk-burukkan orang lain.Ko tak stuju kaedah ni,tapi ko sdr ikut kaedah ni,ke kau ada dalil gn kaedah ni tapi orang lain takde dalil?

Tak tahu la plak sama ada ko ikut cara Said Bediuzzaman atau ko guna nama beliau dan kemudian kata ko ikut cara dia walhal ko guna cara ko sendiri.Hidup beliau untuk menyebarkan ilmu dan menyebarkan dakwah islam.Bukan untuk cerita keburukkan cara orang lain dakwah.

wallahulam.

Walikulli ummatin ajal!

Subhanaka La 'ilmalana illa ma 'alamtana innaka antal 'alimul hakim!

salam

Tanpa Nama berkata...

mintak maaf kalau terkasar bahasa
tiada alasan yang boleh ana bg,cuma harap dimaafkan.Minta maaf.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum.

saya sentiasa mengikuti blog encik. Harap anda teruskan perjuangan. Amat susah untuk mencari orang seperti anda.

Disini saya memetik ayat daripada buku FAHAMAN & IDEOLOGI UMAT ISLAM tulisan Haji Abdul Hadi bin Awang.
"Bagi pengkaji ilmu akidah, pengajian mereka dianggap sempurna apabila mengenali pecahan-pecahan ideologi yang lahir dalam masyarakat Islam. Dalamnya berlaku perbincangan2 hangat dan menyentuh perkara yang berkaitan dengan akidah. Faktor ini disebabkan gangguan dari dalam dan luar yang menggugat iman yang sebenar. Gangguan yang lahir dari dalam disebut dalam hadis Nabi Muhammad.

Daripada Auf bin Malik melaporkan, Nabi Muhammad berkata,

"Org2 Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. 1 kumpulan masuk syurga dan 70 kump ke neraka. Orang Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan. 71 kump ke neraka, 1 kump ke syurga. Sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 kumpulan. Satu puak ke syurga dan 72 kump ke neraka." Lalu ditanya, "Wahai Rasullah, siapakah mereka itu?" Nabi Muhammad berkata, "Mereka adalah yang berada dalam jemaah."

(Direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)

Tanpa Nama berkata...

ko ni mcm dendam dgn bekas jemaah ko je. sian dekat ko yek. kene buang. aku pun x tau nak salahkan sape. tp ko ni aku nampak mcm "ekstrimis" dekat ko punye fikrah je. baik ko bw agenda ko je la senang. x yah la nak ungkit bende2 yg mmg dah x bergune bg ko. ke ade sebab ko buat mcm ni? cube story skit.

Tanpa Nama berkata...

salam... saudara rausyanfikir...saya nampak saudara seorang yang berilmu. ilmu ini semestinya dari Allah. saudara seperti seorang yang byk membaca. alhamdulillah. tp satu saja saya nampak ada sedikit kekeliruan dalam diri saudara. di mana saudara tidak mengamalkan adab dalam berjemaah... perlukah saudara memasukkan unsur2 seperti dendam/amarah di dalam entri saudara??? jikalau saudara tidak bersetuju dengan jemaah lama saudara, tidak perlulah saudara menulis secara terbuka seperti ini. -daripada:yang concern terhadapmu

Tanpa Nama berkata...

banyakkan istighfar
kadang2 kt terasa kt ni terlalu hebat
sehingga mampu mengkritik org lain yg pada batinnya jauh lebih baik dr kt
ingat, ilmu yg ada pd kt dtgnya dr Allah s.w.t
bukannya sbb kt sendiri yg bijak
walaupun BERJUTA2 BUKU dah kt baca.

Rausyanfikir berkata...

Kenapa yang mengkritik entri ni semua anonymous? Malah kritikan yang dangkal. Tak jawab persoalan. Fokus pada isu bukan penulis.

Rasionalis berkata...

Assalamualaikum w.b.t.

Saudara menulis:
Bilamana saya mengkaji semua ini, saya terfikir kalaulah PAS benar-benar mengikuti saranan Imam Hassan al-Banna untuk mendahulukan DAKWAH dalam berpolitik ( tidak caci-mencaci, lukis kartun memburukkan pemimpin UMNO, takfir-mengtakfri satu ketika dahulu, utamakan perpaduan bangsa etc.), bukan KUASA seperti yang didendangkan dalam tamrin perkaderan, tidak mustahil dengan pelbagai nikmat yang Allah kurniakan di bumi Malaysia ini, PAS mampu pergi jauh seperti gerakan Nursi aliran Gulen.Saya berani kata begini kerana cabaran yang dialami oleh gerakan Nursi di Turki berkali ganda sukar berbanding kita di Malaysia. Di sana, sekularisme itu telah menjadi agama rasmi negara bukan lagi pemisahan halus antara kehidupan harian dengan ibadat. Malah yang menjadi penjaga sekularisme di Turki adalah tentera. Golongan sekularis-Kemalist di Turki berkali ganda lebih jahat dari puak UMNO yang jahil dan keliru.

Saudara,
dakwah dan politik tidak boleh dijuzu'kan dalam Islam. Ini nukilan kisah benar perjuangan Nabi S.A.W. Lihat bagaimana sirah menceritakan secara terperinci kewajipan berpolitik dalam Islam dalam menegakkan hukum Allah di muka bumi. Saya berpendapat, hujah saudara dangkal dari sudut realiti perjuangan. Saya cadangkan, paling kurang saudara turun bersama-sama orang kebanyakan, sebar luaskan dakwah, dekati masyarakat yang jahil ilmu yang digelapkan dengan media berat sebelah oleh parti pemerintah, bukan sekadar laungan alam maya semata-mata. Syeikh Said Nursi, meskipun menekankan elemen pendidikan dalam mengembalikan kesucian Islam dan Iman, bukankah dia mendokong perjuangan Parti Demokratik Turki? Bukankah dia turut menyertai perang Turki Uthmaniyah menentang penjajahan dalam perang dunia pertama? Saudara tidak adil dalam memberikan hak kepada ulama' tempatan yang memperjuangkan Islam melalui parti sebagai wadah. Jika benar saudara ikhlas, jangan diungkit-ungkit kelemahan wadah perjuangan Islam yang sedia ada, tetapi terus membaiki, dan membaiki. Tidak ada sesiapa yang mencabul hak saudara untuk menulis dan berhujah, tetapi siapa yang tidak kecewa setelah mereka yang bertungkus lumus bekerja untuk memenangkan perjuangan Islam, tetapi dianaktirikan oleh so-called golongan intelektual Islam seperti saudara?

Mari kita amati bersama susur galur kejayaan PAS dalam dakwah di Malaysia. Dahulu orang bukan Islam cukup takut dan jumud dengan PAS, PAS dikatakan ekstremis, negara Islam bakal menganiaya orang bukan Islam dan sebagainya. Kini,saudara lihat sendiri sokongan orang bukan Islam yang cukup meluas!Bukan untuk membanggakan perjuangan, tetapi jangan saudara tutup mata dengan kejayaan dan keikhlasan dakwah PAS di Malaysia yang konsisten dengan laungan pemerintah mesti bebas dari elemen rasuah, akhlak buruk dsb. Adakah kerana orang melayu Islam kelihatan masih ramai menolak PAS, saudara (samada saudara turun bekerja sekali atau tidak, itu terpulang, saya tidak peduli) pun berpendirian sama? Saya seru saudara ketepikan soal idealisme perjuangan jika saudara belum menghirup realiti kehidupan. Soal saudara menyertai PAS itu tidak menjadi masalah besar bagi saya, tetapi saya kecewa jika saudara asyik dan asyik mempertikaikan gerak kerja Islam yang cuba dibuat oleh PAS. Ini tidak adil kepada wadah perjuangan Islam,saudara. Saya seru untuk saudara senaraikan sumbangan-sumbangan yang dibuat oleh ABIM,JIM dalam memartabatkan Islam di Malaysia. Saya tidak berniat membuat perbandingan terbuka,tetapi cukuplah ia sebagai bukti bahawa PAS tidak layak dinafikan haknya sebagai wadah perjuangan Islam di Malaysia.

Saudara, tidak adil menafikan keperluan memegang kuasa dalam Islam. Rasulullah S.A.W. dan para sahabat melalui siri-siri peperangan, membasahi keringat dengan darah,untuk apa? adakah untuk senaman jasadiah semata-mata? Jika benar dakwah perlu didahulukan dalam berpolitik, nyatakan bentuk dakwah yang perlu dilakukan. Saya nantikan jawapan saudara, dan saya sudah pun bersedia dengan hujah balas saya, insyaALLAH.

Saudara,bukankah hukum mengkritik pemimpin secara terbuka itu dibolehkan dalam Islam? Allah berfirman:

لا يحب الله الجهر بالسوء من القول الا من ظلم و كان الله سميعا عليما

"Allah tidak suka perkataan buruk ( yang diucapkan ) secara terbuka kecuali oleh mereka yang dizalimi . Allah adalah Tuhan Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui."

Adakah PAS dizalimi? saya serahkan jawapannya kepada saudara, kerana saya yakin intelektualiti saudara mampu untuk mengupas kezaliman yang berlaku ke atas PAS.

Saudara, hari ini PAS sudah pergi jauh dalam gerak politik Malaysia. Samada suka atau tidak dengan politik, saudara kena akui hal ini. Persoalan, adakah semata-mata politik tidak akan memenangkan Islam? Ya, benar. Politik semata-mata tidak akan memenangkan Islam. Namun, saya seru saudara, buka mata, lihat kesyumulan idealisme perjuangan PAS, meletakkan quran dan sunnah sebagai dasar perjuangan dalam menegakkan Islam di Malaysia. Jika benar tiada konsep hizbiyyah dalam Islam, bukankah Allah nukilkan dalam al-quran golongan ciri-ciri "PARTI ALLAH = HIZBULLAH?" [lihat al-maidah: 51-56] Adakah Allah S.W.T. tersilap menggunakan perkataan HIZB @ PARTI dalam wahyu-Nya? Maha Suci Allah dari segala kekurangan dan kelemahan kalam. Jika saudara tidak memahami perjuangan parti PAS, maka ketahuilah ia bukan sekadar parti. ianya gerakan, yang menjadikan parti sebagai wasilah politik. Perlu saudara ingat, PAS hanyalah wadah perjuangan. Saya tidak beriman dengan PAS, tetapi saya yakin hari ini PAS masih lagi wadah perjuangan yang wajib saya dokong, seperti rakyat negara lain menyokong wadah perjuangan Islam di negara masing-masing. Bukan soal politik yang mahu ditonjolkan,tetapi soal menegakkan Islam itu samada melalui politik atau tidak,ia tetap wajib.

Maka saya seru saudara memperbaiki tulisan saudara,jadilah rasional, agar tidak lagi mengkritik gerakan Islam secara terbuka di komentar maya ini. Ia tidak menguntungkan Islam, bahkan memberi keuntungan kepada musuh-musuh Islam. Tidak adil untuk saudara menganaktirikan gerakan Islam yang masuk pilihanraya, yang berjuang menjawab tohmahan UMNO dan BN terhadap Islam, yang pemimpin-pemimpinnya dipenjarakan kerana politik dsb. Bukankah Syeikh Said Badiuzzaman an-Nursi turut dipenjarakan? Oleh itu berlakulah adil pada semua, dalam erti kata lain, tempatkan hak mereka pada tempat yang sewajarnya. Jangan pukul rata gerakan sini sama dengan sana dsb.

Dan saudara kena akui, hujah ilmiah saudara tidak akan disokong kuat tanpa dalil dan penegasan ayat-ayat al-Quran atau hadith. Inilah beza Intelektual Muslim dan Intelektual Barat, kita bersandarkan al-quran,hadith,ijma' dan qias dalam membawa modenisasi Islam. Saya suka saudara banyak membawa contoh-contoh pemikiran untuk kebaikan Islam,contoh pemikiran al-attas, said an-nursi walaupun ada gagasan idea di antaranya yang tidak saya persetujui. Ia satu pembudayaan ilmu yang baik. Namun adab berhujah, saudara datangkan nas, saya menjawab dengan nas. Dan nas aqli tidak boleh ditafsirkan sewenang-wenangnya oleh nas naqli jika anda tidak 'alim dalam bidangnya.Maka kurangkanlah mengkritik, tetapi tambahkan kefahaman anda mengikut acuan yang sepatutnya. InsyaALLAH boleh pergi jauh.

Wallahua'lam.

SekolahPemikiran Sg.Udang,
9.08 a.m
7 Mei 2009