Rabu, 13 Mei 2009

Fiqh al-Harakah - Kefahaman Menggerakkan Keupayaan Ummah; Fiqh al-Hadharah - Hasil usaha Yang Menyuburkan Islam Ummah



[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]



Oleh Ibn Ramadhan

Maha suci Allah yang menguasai dan memiliki semua makhluk di bumi. Selawat dan salam kepada Rasul Muhammad saw ibni Abdillah. Seterusnya seluruh kaum keluarga dan para sahabat Baginda saw. Salam juga kepada ummat kebangkitan kali ke 2 walau di mana saja saudaraku berada, yang bersungguh-sungguh membuktikan akan kebenaran Agama Allah yang terakhir ini.

 

Saya berpendapat era kebangkitan Islam sebelum ini, yang dipandu oleh sebahagian gerakan ummat Islam semasa telah berjaya menterjemahkan `fiqh al-harakah` sehingga kebanyakan ummah dapat menerima bahawa perjuangan menegakkan kembali Islam mestilah bersama jamaah atau gerakan Islam. Ini `key-word` asas fiqh al-harakah. Kelemahan dan kesilapannya ada iaitu dalam usaha menjalankan kerja-kerja tersebut sebahagiannya gagal membina hadharah disebabkan mereka berfikiran akan dapat dibina bila adanya negara. Bila mereka tidak mewujudkan hadharah sendiri (hadharah Islamiyyah) yang sepatutnya mereka bina bersama-sama, mereka terperangkap dengan `hadharah semasa` yang menawarkan kekuasaan politik demokrasi, boleh kita simpulkan sebagai ketidakfahaman tentang `fiqh al-hadharah`.

 

Dalam perjuangan Islam yang penuh dengan mehnah dan cabaran ini menuntut ummatnya supaya lebih berhati-hati serta benar-benar faham akan hakikat perjuangan dan hakikat Agama Islam itu sendiri yang mesti diterima pakai serta diperjuangkan oleh penganutnya seperti yang dicontohkan oleh Baginda Rasul saw dan generasi awal. Supaya agama yang kita anut ini, mempunyai ciri-ciri persamaannya dengan anutan saudara-saudara kita yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. InsyaAllah, usaha-usaha bagi memahami dengan lebih mendalam tentang fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah sesuatu yang sepatutnya mendapat tempat di hati-hati ummah kebangkitan kali ke 2 ini.

 

Dengan bersangka baik, insyaAllah! ummah akan dapat juga mengikutinya walaupun dengan perlahan-lahan. Seperti ummat Islam hari ini mulai faham untuk memperjuangkan Islam mestilah bersama-sama jamaah sekurang-kurangnya. Sebenarnya ummat Islam yang faham fiqh al-harakah bukan atas sentimen atau semangat sahaja, rasa terpanggil untuk menyertai jamaah atau gerakan Islam ialah untuk tujuan perjuangan membina atau membangunkan kerja-kerja Islam sebab kerja Islam ini BESAR, HEBAT, LAMA, JAUH BERJALAN, BERAT tak mampu dibuat atau dibangunkan oleh individu, sebab itu Nabi saw pun tak buat kerja seorang diri. Wadah yang digerakkan berasaskan kefahaman fiqh al-harakah akan menjana kerja-kerja perjuangan kita. Disebabkan perjuangan kita perjuangan Islam ia akan menghasilkan Hadharah Islamiyyah. Jika wadah itu wadah sekular ia akan menghasilkan hadharah sekular, ringkasnya wadah jahiliyyah akan menghasilkan hadharah jahiliyyah.

 

Tetapi jika kefahaman tentang fiqh al-harakah pun tak jelas, cara-cara nak menjana pun kurang, apalagi sistem janakuasa pun `fashion` lama, tak Islamik, tiru tren jahiliyyah, ini yang selalu ummah akan hadapi gangguan `black out` bekalan tenaga. Adakah semua ummah kebangkitan kali ke 2 boleh terus bersetuju dengan wadah yang tidak berhasil menjanakan Hadharah Islamiyyah. Sebaliknya mengalihkan `beringnya` ke arah mencapai cita-cita politik semasa mengikut kehendak hadharah orang ramai. Orang ramai yang jahil tentang Hadharah Islam begitu diplomatik menjuruskan kehendak mereka ke atas wadah atau pihak kita yang dah tercabut rasa malu mengidamkan `singgahsana` hadharah mereka? Ini satu lagi persoalan masa kini yang ummah kena betul-betul serius menangganinya.Ummah jangan `berjurus` tak kena tempat, taat kepada jamaah atau pemimpin selagi tidak bercanggah dengan taat kepada Allah swt dan taat kepada Rasul saw.

 

Peranan fiqh al-hadharah pula dapat mengatasi kejahilan ummat dan sikap fanatik kepada sesama makhluk yang sanggup memperbodohkan aqal sendiri. Fiqh al-hadharah ialah kefahaman secara yang bersungguh-sungguh untuk menghidupkan ajaran Islam itu sendiri dalam seluruh hidupnya secara peribadi, keluarga, kejiranan, jamaah, masyarakat dan sampai kepada yang lebih besar. Itu tujuan Islam diturunkan kepada ummat manusia,`Rahmatan lil`alamin`. Sebab itu bagi saya memahami fiqh al-hadharah ialah memahami sesuatu tentang seluruh sistem kehidupan seseorang Muslim itu sendiri, dari mana dia datang, untuk apa dia meneruskan hidup dan ke mana kesudahan segala aktivitinya.

 

Perjuangan menegakkan Hadharah Islamiyyah di Madinah telah bermula 13 tahun di Mekah lagi, dengan sekurang-kurangnya 2 percubaan/eksperimen hijrah iaitu ke Habsyah dan ke Taif. Seterusnya mengadakan perjumpaan dengan khabilah-khabilah dari Madinah pada musim haji dan mengIslamkan mereka lalu menghantar naqib atau murrabi kepada mereka bagi membina hadharah awal di sana. Saya lebih suka menyebut Hadharah Islamiyyah di Madinah bukan Negara Islam Madinah kerana istilah negara itu sendiri telah diberikan oleh generasi kemudian. Lagi pun istilah negara itu menjadikan ummah mudah keliru kerana ummah akan membandingkan dengan negara yang ada pada hari ini. Sedangkan yang Nabi dan para sahabat generasi pertama dulu tegakkan ialah, peribadi, biah termasuk keluarga yang beriman membina kekuatan ukhuwah dan ummah itulah sebenarnya hadharah.

 

 

Jadi rasanya sebagai ummah kebangkitan kali ke2 sepatutnya faham bahawa kita berpakat, berorganisasi, berjamaah ialah supaya kehidupan kita sekarang (semasa) dapat berjalan dengan baik dan mampu menghadapi suasana sekeliling yang bukan hadharah yang kita mahukan. Tiada makna kita berpakat untuk membina hadharah yang bukan hadharah Islam seperti sekular atau demokrasi, yang orang lain tentukan 24 jam sehari ke atas kita. Kita yang sepatutnya berpakat bersama-sama menentukan kehidupan hadharah sendiri.

 

Sebagai kesimpulan, suka saya menyatakan bahawa tiada apa-apa percanggahan antara kedua-dua gagasan fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah yang telah para ulama` terdahulu sampaikan kepada kita. Cuma kelemahan ummat sendiri sebelum ini kurang memahami keduanya atau terlebih tumpu kepada fiqh al-harakah lalu terbabas, sehingga merasakan kehebatan harakah masing-masing adalah segala-galanya. Harakah atau jamaah tidak boleh dipertikai atau ditegur langsung, begitu juga dengan para pimpinannya. Sedangkan harakah atau jamaah tadi cuma alat untuk menjana perjuangan iaitu kehidupan berhadharah sesama ummat Islam.

 

Jangan terkejut saudaraku! Alat, harakah atau wadah boleh bertukar ganti hak Allah swt yang menentukan kepada golongan mana yang layak tetapi hadharah atau bentuk dan ciri-ciri Hadharah Islamiyyah sama sekali tidak berubah seperti yang dibina oleh Nabi Besar kita Muhammad saw dan seluruh ummat Islam generasi pertama dahulu. Semuanya kembali kepada kita sendiri yang harus mengenali dan tahu menilai agamanya sendiri. Semoga Allah akan memahamkan kita ummat kebangkitan kali ke 2 akan agamaNya.

 

 

Maksud firman Allah - “Ia menurunkan air dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api (lebur) untuk dijadikan barang perhiasaan atau peralatan yang diperlukan, juga timbulnya buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misalan tentang perkara-perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang sebagai yang tidak ada harganya (nilai). Adapun yang memberi manfaat dan faedah kepada manusia maka ia tetap berada di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal sebangai perbandingan” (ar-Radd 17).

 

 

Sekian dahulu, sebagai memberi pandangan, wallahu`alam bissawab!

 

 

Komentar:

 

Ini bukan artikel saya tulis.

 

Artikel daripada Ibn Ramadhan ini menjawab banyak persoalan asasi yang mungkin timbul berkenaan pertentangan fiqh al-Harakah dan fiqh al-Hadhara yang dilontarkan melalui tulisan Dr. Amran yang lalu.

 

Memang tidak sebarang penentangan kerana fiqh al-Hadharah ini sebenarnya menggagaskan perkara yang cukup asas iaitu pembinaan pandangan alam Islam ( ru’yat al-Islam lil wujud) yang merupakan PENTERJEMAHAN AQIDAH ISLAMIYYAH KE DALAM SEGENAP BENTUK KEHIDUPAN BAIK LAPANGAN ILMU FARD AYN DAN FARD KIFAYAH.

 

Terminologi seperti espitemologi, ontologi, aksiologi etc. Semua itu hanyalah alat untuk mengupas konsep yang diketengahkan oleh ulama’ terdahulu dalam realiti semasa. Maka tidak perlu rasa ‘takut’ atau ‘membida’ah’kan semua ini kerana ada asas kepada penggunaan terminologi-terminologi tersebut dalam wacana fiqh al-Hadharah yang menekankan aspek metafizika secara lebih mendalam.

 

 

Apa yang diperkatakan Ibn Ramadhan ini sebenarnya satu kritikan ringkas. Yang ditulis oleh Dr. Amran itu lebih mendalam.

 

Permasalahan ini seperti yang ditegaskan di atas adalah kerana umat Islam telah mengabaikan tradisi keilmuan zaman-berzaman. Kitab aqidah yang mu’tabar seperti Aqaid al-Nasafi, Aqidah al-Tahawiyyah etc. tidak lagi di ajar secara meluas di kalangan ummah. Biarpun ada yang mengatakan cukuplah bermula dengan “Tauhid Tiga” seperti yang digarap oleh Ibn Taimiyyah, tetapi dalam keadaan umat diserang sekularisme dari pelbagai sudut, kitab aqidah tradisional dari ulama’ ‘superstar’ dan autoriotatif sangat-sangat relevan untuk diajar DENGAN PENJELASAN BERDASARKAN KONTEKS DAN CABARAN SEMASA.

 

 

Ya semua ini teori sahaja. Bagi golongan yang mencemuh aspek teoretikal dalam tuntutan projek pengislahan ummah, anda boleh sahaja teruskan ‘action’ anda itu dalam keadaan kefahaman yang cetek lagi dangkal. Kalau teori pun tak faham, sudah tentu amal tidak dapat dizahirkan dengan BETUL dan TEPAT!

 

Cuba tanya mengapa anak-anak Melayu sekarnga berperilaku sebegitu. Apakah mereka tidak solat? Tidak percaya kepada Allah dan Rasul-Nya? Tentu mereka percaya TETAPI KUALITI KEFAHAMAN ITU BAGAIMANA?

 

 

Ini yang Prof. al-Attas tekankan selama lebih 50 tahun perjuangan keilmuan beliau ya’ni kehilangan adab yang melahirkan ke kekeliruan dan kesalah fahaman dalam ilmu.

 

Umat Islam tidak bodoh kerana kita mempunyai pelbagai kemudahan untuk menuntut ilmu. Jahil murakkab mungkin. Jahil yang bertimpa-timpa. Jahil yang dimana orang tersebut tidak tahu dia keliru. Golongan inilah yang mencacatkan fiqh al-Hadharah umat.

 

Sebab itu ulama’ silam sangat serius melawan sebarang pencemaran aqidah daripada puak-puak yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya TETAPI SALAH FAHAM DAN KELIRU dalam pelbagai aspek pandangan alam mereka seperti golongan Ismailiyyah, Mu’tazillah, Khawarij, Jabariyyah, Sufastaiyyah, Mujassamah dan banyak lagi.

 

 

Memang golongan ini secara harfiahnya sudah tidak wujud tetapi kes pluralisme agama, ektremisme agama, liberalisme agama itu semuanya sedikit sebanyak bertunjangkan PENGARUH SILAM seperti yang diterangkan di atas, yang terus wujud dalam ketamadunan manusia pada hari ini.

 

 

Mengikut Ustaz Maalik Bennet, umat memerlukan kemenangan moral (morale victory) dahulu barulah kemenangan fizikal (physical victory). Apa yang dimaksudkan oleh Ustaz Maalik adalah kemenangan aqidah terhadap sebarang serangan pemikiran harus berjaya ditangani, terutamanya masalah kehilangan adab dalam pendidikan seperti yang dijelaskan dengan tuntas oleh Prof. al-Attas. Semua ini mencerminkan strategi dakwah fasa Makkiyah yang menjadi ASAS kepada dakwah dasa Madaniyyah. Tidak lain dan tidak bukan, fiqh al-Hadharah merupakan konsep yang menepati dakwah fasa Makkiyah ini yang menjanjikan kemenangan moral terhadap umat Islam jikalau kita benar-benar sedar akan kepentingannya.

 

 

Sekali lagi, bilamana penegasan dibuat terhadap fiqh al-Hadharah berbanding fiqh al-Harakah atau fiqh al-Siasah, tidak bermakna kedua-dua yang akhir itu tidak perlu dijalankan. Sudah tentu kita perlu berpolitik, dan membuat segala macam kerja-kerja di lapangan. Agama Islam bukan agama monastik, beku, jumud, totok, lemau macam biskut Merry.

 


Agama Islam melahirkan insan-insan yang dinamik, seperti yang dijelaskan oleh Ali Syariati dalam gagasan rausyanfikir beliau.

 


TETAPI ruang dan peluang, pengiktirafan dan kerjasama harus dijalinkan erat antara golongan yang memperjuangkan fiqh al-Hadharah dengan fiqh al-Harakah kerana TUNJANG kepada perjuangan fiqh al-Harakah adalah fiqh al-Hadharah.

 

 

Siapakah golongan yang memperjuangkan fiqh al-Hadharah? Sudah tentu golongan tafaqquh fi al-Din ya’ni para ulama’, intelektual, saintis etc. Merekalah arkitek dan jurutera projek pembinaan tamadun Islam. Merekalah golongan ulul albab!

 

 

Maka jangan sesekali kita mencemuh, menghina dan menempelak golongan yang mendedikasikan masa dan tenaga mereka pada penulisan, pembinaan teori dan kerangka ilmu, sastera ilmi dan segala macam kegiatan yang menyumbang kepada projek fiqh al-Hadharah! Janga sesekali kita cepat menjadi biadap terhadap golongan yang berfalsafah dengan mencemuh FAL-SAMPAH dan sebagainya kerana dengan perbuatan sedimikian, anda secara automatik mencemuh para ulama’ silam yang tidak tidur malam meng-Islamisasi-kan ilmu falsafah Yunani yang menjadi ASAS kepada segala macam lapangan ilmu yang kita belajar dan amalkan pada hari ini.

 

 

Golongan yang biadap terhadap golongan tafaqquh fi al-Din inilah sebenarnya menjadi liabiliti kepada perjuangan Islam seolah-olah para ulama’ yang melahirkan ratusan kitab merupakan satu perbuatan sia-sia kerana semua itu HANYALAH TEORI SEMATA-MATA. Golongan sebegini mempunyai bau-bauan Neo-Khawarijisme, Ekstrimisme, Utopianisme, Jumudisme, Totokisme, dan segala macam isme yang mereka sendiri tidak tahu sebab terperangkap dalam lingkaran kekeliruan tersebut. Golongan al-jahlu wanabdul 'ilm ( jahil dan membelakangkan ilmu) sebenarnya mempunyai masalah ittiba’ul-hawa wa fasad al-qasd ( menuruti hawa dan mempunyai niat yang rosak) dalam memahami hakikat ilmu dalam Islam. Ilmu dijadikan barang dagangan duniawi semata-mata seperti yang puak kapitalisme lakukan.

 


Cita-cita besar tapi tin kosong. Bankrap idealisme. Islam akhirnya dijadikan ideologi semata-mata. 



Mungkin ada baiknya kita sama-sama meneliti hadith di bawah ini:





Jelas disini, bahawa usaha dan kerja mempersiapkan fiqh al-Hadharah ummah bukan satu perkara yang boleh diperlecehkan khususnya oleh golongan mahasiswa. Cabaran UTAMA umat berkenaan fiqh al-Hadharah pada waktu ini sudah tentu projek Pengislaman Ilmu ( Islamization of contemporary knowledge) yang mana bukan mudah untuk dilakukan tanpa ada kefahaman yang betul berkenaan al-haqq wa batil.

 

Sebab itulah kita kena belajar falsafah Barat DALAM KERANGKA falsafah Islam melalui GURU YANG BERWIBAWA.

 

Fiqh al-Hadharah umat yang ada pada hari ini seperti dimamah oleh anai-anai oleh itu, perlu ada segolongan manusia yang benar-benar menumpukan diri mereka pada jalan ini dan diberi sokongan dan bantuan yang seadanya oleh semua pihak.

 

Sekian,

 

Wallahua’lam.


2 ulasan:

jalanistana berkata...

salam..
perkongsian yang menarik..
menanti pencerahan selanjutnya..

Pezzomania berkata...

salam..sangat menarik membaca..moga dapat dijadikan iktibar kepada ahli politik dan pemikir negara..