Khamis, 7 Mei 2009

Dilema PAS: Ulama vs Profesional - satu analisa ringkas


Terlampau banyak yang ingin ditulis. Masa dan peluang tidak mengizinkan saya untuk bersikap produktif buat masa ini, di samping tekanan akademik di penghujung semester.


Walaubagaimanapun, saya masih memerhatikan semua konflik yang ada dalam negara ini khususnya berkenaan jemaah Islam yang dikasihi, iaitu PAS.


Bukan lagi rahsia akan konflik yang wujud dalam PAS. Blog Ustaz Nik Abduh telah meleburkan jaringan samar-samar akan intipati konflik tersebut. Ada baik dan buruknya akan pendedahan tersebut tapi bagi saya yang lebih penting adalah mencari penyelesaiaan JANGKA PANJANG akan permasalahan ini.


Apakah masalah-nya? Pada hemat saya, apa yang berlaku adalah pertembungan idealisme antara golongan Ulama' dan Profesional dalam PAS. Ini bukan kali pertama konflik sebegini telah berlaku kerana zaman IRC menyusup ke dalam PAS pun sudah cukup menggambarkan konflik dalaman PAS dahulu.


Dalam kes ini saya lebih suka menggunakan perkataan dilema. Ini kerana saya lihat kedua-dua kem penyokong Tuan Guru Haji Hadi (mewakili golongan tradisionalis dan puritan PAS) dan Tuan Guru Nik Aziz (mewakil golongan Erdogan PAS ) mempunyai hujah yang benar belaka jikalau dilihat dari pelbagai segi.


Kehadiran golongan profesional dalam PAS yang telah melalui tarbiyah Islam daripada jemaah lain (ABIM, JIM etc.) telah memberi satu dimensi baru buat perjuangan PAS di Malaysia khususnya dalam berhadapan dengan realiti zaman moden yang sarat dengan pluralisme budaya, dan idea. Tokoh seperti Husam Musa, Dr. Dzulkifli dan Khalid Samad yang dilabel sebagai pasukan Erdogan merupakan aset buat PAS dalam meletakkan parti sebagai pasukan yang berpotensi besar menerajui negara dengan baik. Kehadiran mereka telah berjaya menyingkirkan tag 'jaguh kampung, ekstremis, etc.' yang ada pada PAS sebelum ini untuk diterima ramai dan kekal relevan dalam arus politik perdana.


Banyak idea dan pendakatan baru yang ditampilkan oleh golongan Erdogan ini dalam usaha menambah baikkan mutu perjuangan PAS dalam politik tanah air. Idea dinar emas yang dicetuskan oleh Husam, penubuhan dan pengelolaan
think thank PAS dibawah Dr. Dzulkifli sangat membantu PAS menjadi parti politik yang mampu menjawab pelbagai masalah politik, sosio-ekonomi kontemporari dengan berkesan (walaupun tidak semantap PKR dan DAP).


Ternyata golongan Erdogan dari satu sudut merupakan ASET PENTING buat PAS kekal relevan, khususnya politik pasca PRU 2008.


TETAPI malangnya seperti yang kerap kali di jelaskan oleh Faisal Tehrani, kebergantungan dan kepercayaan mereka yang tinggi terhadap DSAI sedikit sebanyak merumitkan lagi keadaan dalam PAS khususnya dikalangan ahli PAS yang melalui tarbiyah yang 'original'.


Ini kerana bukan lagi satu rahsia ( kecuali kita buat tak tahu atau malas ambil tahu) bahawa PKR bukanlah satu parti yang benar-benar kukuh dari segi idealismenya, khususnya dalam mempertahankan hak orang Melayu dan Islam. Ini kerana PKR  adalah parti yang boleh dikategorikan sebagai parti politik pasca modenisme yang tidak empunya idealisme yang khusus dan timbul sebagai satu parti politik yang reaktif kepada situasi pasca Reformasi 1998.


Ditambah pula dengan fahaman liberalisme dalam PKR baik dari segi fahaman agamanya, ekonomi dan politiknya, semua ini menjadikan mereka satu kontradiksi yang nyata ditambah lagi dengan keberadaan DAP dalam pakatan yang sama.


Kesatuan Pakatan Rakyat lebih kepada ingin menjatuhkan UMNO (parti orang Melayu Islam yang compang-camping sifatnya) dan ini tidak menjaminkan sebarang kesepaduan yang kukuh untuk kerjasama jangka panjang.


Tetapi bagi golongan Erdogan yang mempercayai idealisme politik DSAI, semua ini tidak begitu penting untuk direnungi kerana matlamat UTAMA mereka adalah menjatuhkan UMNO. Itu yang terutama.


Ini sangat jelas  sekali dapat dilihat dalam episod 'katak si katak lompat' yang dimulakan oleh DSAI sendiri pada tahun lepas yang masih tidak nampak hasilnya. Sepatutnya Pakatan Rakyat memperkukuhkan dahulu urus tadbir negeri yang mereka miliki, fokus khidmat kepada rakyat tanpa perlu bertindak gopoh merebut kekuasaan yang lebih besar. Sekali lagi, bagi yang mengkaji sifat DSAI, ternyata beliau gopoh (sejak zaman kejatuhan ABIM lagi).


Alangkah bagusnya kalau DSAI bersabar dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat di negeri masing-masing. (Saya kira negeri Selangor antara negeri yang terbaik di bawah urus tadbir Pakatan Rakyat.)


Dan sudah tentu golongan Erdogan terperangkap dalam suasana ini, dimana aroma dan retorika DSAI telah berjaya menawan hati mereka.


Golongan tradisionalis dalam PAS pula tidaklah segopoh golongan Erdogan kerana saya percaya, bagi ahli PAS yang telah melalui tarbiyah dengan baik, kemenangan hakiki itu bukan sangat terletak pada peti undi. Golongan inilah yang benar-benar faham akan sifat gerakan Islam. Mungkin sekali-sekala terikut juga dengan badai politik semasa tetapi dengan kefahaman dan kejelasan fikrah perjuangan Islam, mereka tidak mudah hanyut dengan sentimen dan retorik murahan politikus yang meletakkan KUASA sebagai matlamat akhir mereka.


Mereka inilah yang berjuang dengan ikhlas, tanpa bayaran gaji demi mencari keredhaan Allah S.W.T. Rata-rata golongan tradisionalis PAS ini lahir melalui sistem tarbiyah yang dimulai di kampus sehinggalah mendirikan Baitul Muslim masing-masing dan menjadi ahli PAS yang benar-benar jelas fikrah Islamiyahnya.


Memang benar kepimpinan ulama' tidak dapat dinafikan lagi kepentingannya dalam PAS. Tanpa golongan tradisionalis mana mungkin kekuatan institusi kepimpinan ulama' dalam PAS mampu bertahan? Mereka inilah
standar bearer yang tulen kepada perjuangan gerakan Islam di Malaysia khususnya di medan siasah syar'iyyah.


Walaubagaimanapun, golongan tradisionalis juga ada kelemahan yang tersendiri. Ada sesetengah daripada mereka bersikap tertutup dalam banyak hal sehingga kadang-kala membekukan dinamisme PAS itu sendiri. Golongan ini tidak mampu menjawab dan menyelesaikan banyak masalah kontemporari berbanding golongan Erdogan yang arif dengan situasi zaman moden ini (dek kerana mereka golongan profesional yang pernah dan sentiasa berhadapan dengan realiti zaman ini).


Ditambah pula kadang-kala golongan tradisionalis ini bersikap
rigid dalam menilai ahli. Contohnya ahli yang tidak 'original', yang datang dari tarbiyah yang berbeza tidaklah sangat diraikan sehingga kadang-kala terbina tembok antara ahli yang datang dari jalur tarbiyah PAS yang tulen dengan ahli yang datang dari tarbiyah jemaah lain. Semua ini boleh menimbulkan konflik yang tidak diperlukan seperti yang kita saksikan pada waktu ini.


Pertembungan antara dua golongan yang berbeza dari tapi empunya tempat yang tersendiri dalam membaik pulih dan mendokong perjuangan PAS.


Pada hemat saya, yang menjadi masalah buat dua golongan ini adalah PERBEZAAN YANG TIDAK DAPAT DILEBURKAN/DIRAIKAN dengan baik.


Selaku insan yang pernah melalui jalur tarbiyah PAS di bawah kelolaan Jemaah Islam Kampus, di samping penglibatan diri secara konsisten dengan gerakan Islam
apolitical (baca: jemaah bukan PAS seperti ABIM, TERAS, PUM), NGO (seperti CAP, Sahabat Alam Malaysia, Citizen International, Thirdworld Network) dan golongan intelektual di menara gading (aliran Attasian), saya sedikit sebanyak merasai 'giest' kedua-dua golongan tersebut.


Dan masalah ini sebenarnya berpunca daripada masalah metafizika umat Islam secara am-nya iaitu dualisme antara fard ayn dan fard kifayah yang kerap kali ditekankan oleh Prof. al-Attas.


Golongan tradisionalis tak faham cabaran semasa dengan baik manakala golongan Erdogan pula terperangkap dengan racun pemikiran moden yang disuntik secara separa sedar dalam politik kepartian-kekuasaan demokrasi (atau lebih tepat demagogi).


Seharusnya kedua-dua golongan ini menjadi pelengkap antara satu sama lain. Jikalau itu berjaya dilakukan maka PAS mampu pergi lebih jauh berbanding PKR dan DAP.


Saya tidak peduli sangat konflik yang ada sekarang kerana ini bukan masalah generasi saya.  Saya lebih risaukan masa depan PAS itu sendiri yang sampai pada hari ini masih gagal melahirkan kepimpinan yang benar-benar mampu berdiri seperti DSAI di pentas masyarakat yang mampu dicampak ke sudut mana sekali pun, masih kekal relevan untuk semua golongan.


Atas dasar inilah saya menjadi sangat kritis kepada Jemaah Islam Kampus. Sudah puas saya melontarkan kritikan dan cadangan kepada amir kampus (seawal tahun pertama saya baru keluar tamrin perkaderan lagi) untuk fokus kepada pembudayaan intelektualisme dalam JIK bagi menampung kekurangan gerakan Islam di luar. Malangnya cadangan saya hanya tinggal cadangan. Kerisauan saya hanya tinggal kerisauan.


Masalah ini jelas makin kusut kerana melihat rakan-rakan saya yang dahulunya sebelum berjinak dengan JIK sangat dinamik dan terbuka. Masing-masing berpotensi menjadi penampung kekurangan dalam pelbagai sektor permasalahan umat tapi setelah meningkat dewasa rata-rata telah berubah menjadi aktivis dakwah yang totok kepada politik kepartian yang sempit.


Akhirnya saya tertanya-tanya apakah setakat ini sahaja nilai dan kualiti aktivis dakwah mahasiswa? Mana mungkin manusia yang tinggal dalam suasana budaya ilmu (walaupun sebenarnya tidak ada) di universiti menjadi begitu sempit, jumud dan beku dari segi idealisme perjuangan mereka? Takkan buku DPF sahaja menjadi santapan rohani dan intelek mereka sepanjang berada di kampus? Apakah hanya tahu pergi mencula, tampal poster sahaja mereka mampu dan mahu lakukan? Apakah setakat ini sahaja NILAI DAN JATI DIRI AKTIVIS ISLAM MAHASISWA??


MANA MUNGKIN DENGAN CARA SEBEGINI KITA MAHU MENAMPUNG KEKURANGAN GERAKAN ISLAM DI MALAYSIA KHUSUSNYA PAS!


Maka, saya membuat kesimpulan akan perlunya meletakkan kembali kedudukan dan jati diri mahasiswa ke tempat yang sepatutnya agar keadilan dapat terhasil buat jati diri perjuangan mahasiswa itu sendiri.


Saya lihat antara punca utama kelesuan dan kebekuan dinamisme JIK yang SEPATUTNYA menjadi PENAMPUNG KEKURANGAN dalam gerakan Islam di luar adalah dari segi tarbiyah dan juga wala' atau dalam bahasa lebih kontemporari 'rujukan' (reference).


Bagi JIK yang wala' terus kepada Pemuda, selalunya mereka inilah yang totok, jumud dan sangat hizbiyyah sifatnya (jemaahisme). Berlainan pula buat JIK yang wala' kepada GAMIS, mereka ini selalunya lebih terbuka sedikti dan dinamik sifatnya.


Ini kerana JIK yang wala' kepada Pemuda sering kali meletakkan visi dan misi mereka dalam konteks yang sangat sempit iaitu melahirkan kader untuk PAS semata-mata. Selalunya JIK jenis ini sangat tandus dan miskin idealisme perjuangan mahasiwa kerana telah sarat dengan idealisme politik kepartian yang diperturunkan daripada tarbiyah Pemuda di luar kampus. Maka ahli-ahli JIK ini akan dihomogenisasikan menjadi kader PAS tanpa diberi ruang yang luas untuk menerokai potensi diri menjadi pejuang Islam yang unik dan tersendiri. Maka lahirlah generasi kader PAS yang sepesen sahaja sifatnya. 


Pernah sekali sahabat dari UM menceritakan kepada saya dalam satu mesyuarat antara pimpinan JIK, dikatakan JIK yang wala' kepada Pemuda ini pernah berkata:

"Buat kali ini, kami tidak ingin lagi mengkader ahli untuk Pemuda kerana dari segi keperluan sudah mencukupi."


Ini bermakna matlamat JIK yang wala' kepada Pemuda ini sangat berorientasikan penampungan perjuangan PAS dari sudut bilangan/kuantiti ahli tanpa berfikir panjang dalam menilai kualiti yang signifikan untuk membantu perjuangan PAS atau dalam erti kata lebih luas, perjuangan Islam itu sendiri yang tidak tertakluk kepada politik semata-mata!


Kalau beginilah keadaannya, sampai bila-bila pun PAS takkan mampu melahirkan golongan Erdogan dari jalur tarbiyanhya sendiri (tanpa bergantung kepada ABIM, JIM etc.) kerana di awal usia mereka di kampus lagi sudah di canai menjadi
drone kepada PAS semata-mata tanpa berfikir panjang untuk melahirkan aktivis PAS yang mempunyai niche yang tersendiri dalam mengisi kelompongan permasalahan umat.


Sebab itu seruan Presiden GAMIS untuk membaik pulih tarbiyah melahirkan kader PAS bertukar untuk melahirkan negarawan harus disahut dengan sepenuh hati! Bilamana kita ingin melahirkan negarawan, ianya tidak lagi menjadi hak milik eksklusif buat PAS tetapi untuk umat Islam secara am-nya yang akhrinya mampu melahirkan pejuang Islam yang lebih dinamik. Di penghujung hari, PAS juga yang dapat manfaat kerana perjuangan Islam baik jemaah mana pun tetap akan bersama dengan atas prinsip yang sama seperti yang golongan Erdogan tampilkan!


Contoh terbaik adalah Ustaz Zaharuddin (mantan PMIUM). Beliau memilih untuk 'berbeza' dan alhamdulillah kini sumbangan dan kedudukan beliau dalam percaturan perjuangan Islam secara am-nya sangat signifikan!


Saya bukan anti-Pemuda. Bukan begitu. Saya tidak setuju konsep wala' dan tarbiyah ikut acuan Pemuda (khususnya dari segi misi dan visi JIK) yang sempit sehingga menutupi sudut-sudut perjuangan lain yang seharusnya menjadi options kepada perjuangan mahasiswa (contoh perjuangan alam sekitar, pendidikan, budaya etc.) Ini kerana Pemuda tidak bergelumang dengan permasalahan di menara gading secara konsisten dan serius yang sebenarnya merupakan punca kepada banyak permasalahan semasa.


Pemuda tidak empunya kapasiti (buat masa ini) dalam membicarakan perihal
corruption of knowledge etc. kerana sifat Pemuda itu sendiri sangat tertakluk kepada politik kepartian di luar. Gelanggang perjuangan mahasiswa bukan semuanya perlu ditiru secara verbatim seperti perjuangan Pemuda kerana masalah kita di kampus sangat berbeza!


Kerosakkan umat Islam pada hari ini banyak dikerjakan oleh golongan yang menjadi produk akhir kilang mencetak manusia iaitu menara gading yang menjadi balaci golongan kapitalis.


Semua ini tidak terjawab (buat masa ini) dalam jalur tarbiyah JIK yang wala' secara semberono kepada Pemuda. Pada hemat saya golongan Erdogan adalah golongan yang berjaya keluar dari status quo hizbiyyah yang sempit dan kerana itulah mereka sedikit sebanyak mampu menjadi golongan yang penting dalam PAS dan sangat relevan dengan situasi politik semasa.


Tapi percaturan mereka untuk memeluk erat idealisme DSAI bakal mengundang padah untuk jangka masa panjang. Di sinilah hadir dan perlunya golongan tradisionalis PAS mengimbang keadaan dengan baik kerana fikrah mereka lebih mengakar kepada hakikat dan jati diri harakah Islamiyah itu sendiri dari aspek siasah syar'iyyah.


Saya percaya, jikalau JIK dibebaskan daripada ruang lingkup Pemuda dan PAS itu sendiri, dengan mengutamakan pengtarbiayahan untuk melahirkan kader yang bersifat negarawan daripada bersifat hizbiyyah yang totok, jumud dan sempit, siapa tahu di masa hadapan, permasalahan ulama vs profesional ini akan berkurangan dengan lebih signifikan kerana kualiti kader yang PAS mampu miliki daripada visi dan misi tarbiyah yang baru ini mampu menampung kekurangan yang dimiliki oleh kedua-dua  golongan tersebut.


Wallahua'lam. 


Sekadar berpendapat. Kalau betul ambil dan kalau salah harap betulkan dengan baik.


P/S: tapi saya rasa topik ini lebih baik dibincang di ruang fizikal berbanding ruang maya kerana saya rasa tidak mampu menzahirkan pendapat dengan kemas berkenaan hal ini khususnya tentang rombakkan jati diri perjuangan JIK.


7 ulasan:

Abuirfan berkata...

Saya bersetuju dengan artikel ini dibahagian awal.

ABu irfan

zamri berkata...

salam a'laik

Kupasan pemikiran yang menarik tapi tak tepat ..kenapa?

Saya mengharapkan agar janganlah penulisan saudara terpengaruh dengan kupasan2 picisan dan blog2 yang ada yang half-truth!

Tidak dinafikan pertembungan dan kecenderungan individu2 yang sememangnya berlaku dalam PAS dn ia adalah perkara yang sering berlaku dalam mana2 organisasi lantaran kita lahir dari pelbagai latar belakang.Akan tetapi janganlah sampai kerangka persepsi sempit saudara terhadap golongan 'tradisionalis' dalam PAS bersumberkan half truth dikupas oleh saudara sendiri..tak tersangka saya

FYI,segala pergerakan dan dasar2 PAS itu sendiri ditentukan oleh institusi fiqh tertinggi iaitu Majis Syura dalam PAS..baik sebelum join PR sehinggalah kepada lahirnya dasar2 kepada kelab penyokong,isu muzakarah dan pakatan sendiri.

Dan sy pon x nmpak dan x faham kerisauan saudara perihal kegagalan pas melahirkan pimpinan yg relevan dgn semua golongan spt DSAI?jikalau betul,semestinya PAS tidk akan diterima seperti kini.

Harapnya saudara adil dan telus dalam membicarakan sesuatu hal sbbnya saudara bukan jenis org yang half truth dan bukankah saudara seorang aktivis mahasiswa yang membudayakan ilmu serta maratibnya yg sahih lagi benar?


Ilal liqa'!

Wallahua'lam

Rasionalis berkata...

Saudara,

Memahami gerakan mahasiswa dan pemuda, hakikat yang perlu kita fahami ialah saat kita bergelumang dengan idealisme mahasiswa sangat singkat berbanding neraca kehidupan bersama masyarakat samada sebagai pemuda ataupun mahasiswa. Sebagai bekas aktivis mahasiswa, saya tidak mampu menyembunyikan rasa kecewa dengan bekas teman-teman seperjuangan sewaktu zaman mahasiswa yang begitu hebat dan kencang melaungkan slogan hidup mahasiswa, tetapi apabila masuk alam pekerjaan, rencah kehidupan mahasiwa dipadam dari diari kehidupan, seolah-olah perjuangan mahasiswa itu satu dosa bagi mereka.

Saudara,

Pengalaman saya memerhati Pemuda zaman ini, berbanding dengan pemuda zaman reformasi, sangat berbeza. Jangan saudara menghukum golongan Pemuda hari ini hanya kerana di antara mereka menjadi tukang tampal poster, tukang cula dsb sedangkan ramai juga di antara mereka yang bergerak menjadi pembantu-pembantu YB, penyalur maklumat, think tank YB, penjana ekonomi Islam dll. Sejauh mana mahasiswa boleh memastikan perjuangan berlandaskan politik nilai ini kekal momentumnya dan sejauh mana ahli gerakan politik nilai ini mampu kekal memberi impak kepada negara untuk jangka masa yang lama? Peranan pemuda hari ini sudah jauh berbeza, bukan seperti yang saudara gambarkan. Namun, tidak dinafikan pasti ada kelompangan, dan siapa lagi yang perlu mengisi kelompangan itu kalau bukan kita!

Saudara,

Berdakwah di alam maya, bilik-bilik seminar, pembentangan kertas kerja, tetapi mengenepikan keperluan turun bersama masyarakat, sama-sama merasa peluh bekerja dengan mereka adalah satu ketidak adilan kepada potensi diri saudara. Kertas kerja dibentang, seminar demi seminar dihadiri, tetapi masyarakat terbiar tanpa usaha untuk didekati. Bukankah di sisi Rasulullah S.A.W. contoh terbaik ketika baginda membanting tulang bersama-sama para sahabat mengorek benteng untuk perang khandak?

Sekadar pendapat insan kerdil,

SekolahPemikiranSg.Udang,
3.10 am
9 Mei 2009.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam kepada semua.

1) Kepada en. Zamri:

Penerimaan PAS oleh ramai tidak menentukan kualiti sebenar yang harus kita miliki. Kayu ukur kita bukan massa yang keliru. Malah, hendak jikalau ditenung dengan lebih mendalam, sokongang yang ada pada PAS ini lebih kepada kebencian massa kepada UMNO. Bukan sangat kemampuan PAS untuk memerintah dengan sendiri. Ada beza antara sokongan kerana sentimen dengan sokongan atas dasar faham ilmu. Maka, usah kita terperangkap dengan suasa ulit mayang ini dan saya tidak langsung terbeli dengan politik Pakatan Rakyat ini.


2) Kepada encik Rasionalis:

Saya tidak pernah menidakkan Pemuda. Jangan salah faham. Saya hanya tidak setuju campur tangan Pemuda dan Penua PAS dalam perjuangan mahasiswa MELAINKAN mereka ada kapasiti dan kefahaman dalam berhadapan dengan cabaran dan isu di Pendidikan Tinggi. Di luar kampus silalah bergerak dengan Pemuda, Pemudi, Nisa' dan segala macam organisasi yang ada.


Saya tampak, malah saya sendiri dahulu telah dibius oleh idealisme politik kepartian yang sempit anjuran tarbiyah Pemuda dan PAS terhadap para mahasiswa JIK. Saya bukan ANTI TARBIYAH tetapi skop yang dibawa sangatlah sempit sehingga melupuskan potensi dan kemampuan sebenar perjuangan mahasiswa Islam di Malaysia (akan dikupas tentang kebebalan Usrah nanti).


Apakah semua perkara perlu turun kepada masyarakat? Apakah terperuk dalam perpustaskaan, bentang kertas kerja tidak sama nilainya dengan turun membantu masyarakat yang dhaif?

Saudara rasionalis, anda sudah terperangkap dalam dualimse antara teori dan praktis. Jangan perkecilkan usaha sebegini. Kita sudah empunya lambakkan aktivis tetapi yang bercita-cita untuk mewakafkan kehidupan kepada membina aspek ketamadunan tersangatlah kurang dek kerana antara puncanya racun tarbiyah sempit.


Tiada siapa nafikan peri penting bergerak di lapangan tetapi jangan disempitkan dan dihargai perjuangan dari konteks itu sahaja. Masalah umat pada hari ini bukan semudah yang ramai antara kita fahami.


Wallahua'lam.

Tanpa Nama berkata...

untuk pengetahuan saudara :

sebagai rakyat selangor, pimpinan karajaan PKR sama lebih kurang seperti barisan nasional dahulu.

kalau itu yang anda rasakan terbaik, bagi saya tidak sama sekali. anda harus turun padang bertanya tentang apa yang dialami oleh rakyat selangor sendiri.

Tanpa Nama berkata...

saya tidak jelas dengan matlamat PAS untuk meletakkan Islam dalam pimpinan pakatan, dan saya amat jelas DAP 100% totally kurang berminat dengan Islam.

adakah mereka hanya mahu menang/menjatuhkan BN sebagai satu agenda yang sgt jelas, namun nasib Malaysia, Islam dan lain lain akan dibincang selepas itu meskipun PAS gagal dalam meletakkan Islam sendiri dalam pakatan selama ini.

Dimanakah dan berapakah value Islam tu sendiri bagi mereka.

DSAI hanya pakar pidato, dia manusia yang hebat meyakinkan orang ramai. hakikatnya, dia hanya pandai meyakinkan kisah 16 september kisah lompat parti oleh kalangan BN. namun bila gagal, beliau akan memberi alasan tarikh lain seperti pelajar sekolah yang datang lewat memberikan alasan yang variable, sangat tiada beza.

saya tak nampak masa depan Malaysia dalam pakatan. Saya bukan bodoh, buta, pekak dan bisu. saya tak ingin Islam itu menjadi Label dalam perjuangan, tapi bukan primary dalam matlamat.

Saya ingin melihat Islam itu ada dalam perlaksanaan, bukan hanya menjadi sebutan, dan diam bila bersama DAP.

- Celik

baihaqi hassan berkata...

salam, sy harap penerangan guru sy tentang konsep ulama' dan profesional ini dapat menjelaskan kefahaman kita.... yg mana menjelaskan, tak ada pertembungan antara ulama' dan profesional...

selamat membaca...
http://fauwazfadzil.blogspot.com/2009/05/ulama-dan-profesional_10.html