Sabtu, 18 April 2009

'Suara-suara terpendam': promosi dan komentar awal.




Oleh MS Anuar Mahmod

Kembara bersama individu-individu yang kental memperjuangkan hak rakyat dan alam sekitar dalam kerangka yang jelas, telah menghasilkan buku pertamaku Suara-Suara Terpendam : Masyarakat Tertindas, Pembangunan Tempang dan Alam Musnah


Buku Yang diterbitkan oleh Pustaka Yamien dengan kerjasama KOMUNITI ini di harap mampu memberi sumbangan kecil dalam pengislahan masyarakat dan pembelaan masyarakat tertindas serta pemuliharaan alam yang musnah.


Buku yang aku jadikan mahar pernikahan ini juga terinspirasi dengan langkah perjuangan Abu Dzar Al Ghifari. Manusia pejuang yang berbahasa, hanya dengan bahasa kebenaran. Berbangsa dengan bangsa yang haus menegakkan keadilan. Dan berjalan hanya dengan haluan kebenaran.


Seperti yang kunyatakan kepada isteriku moga buku ini yang aku jadikan mahar menyuntingmu, memberikan sumbangan kecil ke arah pembangunan peradaban yang diimpikan.


Pastinya perit getir pengalaman bersama Mak, Ayah dan keluarga membesar di kawasan setinggan yang penuh kegetiran serta penindasan telah menyedarkan aku tentang makna keadilan dan hak.


Insyaallah buku ini akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF 2009)( 17-26 April 2009). Suara-Suara Terpendam Boleh didapati ruang niaga Pustaka Yamien Sdn. Bhd sewaktu pesta buku.


Jazakumullah kepada sifuku S.M Mohamed Idris yang sudi memberikan prakata untuk buku ini. Dan sekalung penghargaan juga kepada penulis berpengalaman Azizi Abdullah yang memberi komen untuk buku Suara-Suara Terpendam.



* Bagi yang ingin membeli buku ini : melalui pos bolehlah membuat pesanan melalui email pondokbukukita79@gmail.com . Buku ini dijual dengan harga RM18.00 dan Bayaran Pos RM1.00. 

Langkah 1
Masukkan duit ke akaun 
CIMB 07080061197 52 9
Siti Hazneza Bt Abdul Hamid 
( Pastikan nama dan no akaun sama )


Langkah 2
Selepas membuat pembayaran sila emailkan kepada pondokbukukita79@gmail.com 


Nama Penuh
Alamat 
Jumlah bayaran
No telefon 




Komentar ringkas:


Kalau anda berkunjung ke PWTC dalam waktu seminggu ini, jangan lupa memiliki karya ini. Saya janji memang sangat menusuk idealisme. Ditulis oleh rakan seperjuangan saya daripada Angkatan Pemuda-Pemudi Islam (API), abang MS Anuar Mohd, atau lebih dikenali sebagai abang Nuar merupakan antara aktivis muda yang berkaliber dalam lapangan-nya ya'ni berkenaan alam sekitar. 


Pertama kali saya baca idea karya ini lebih kurang 3 tahun lepas sewaktu pertama kali berkunjung ke Pulau Pinang di rumah bujang abang-abang NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Saya sempat membaca manuskrip karya tersebut dan memang sangat unik sekali tema dan idea yang dibawa. 


Pernah anda dengar perjuangan menegakkan keadilan buat haiwan ternakan? Pencemaran cahaya di waktu malam?


Itulah antara tema-tema perjuangan yang digarap oleh abang Nuar yang saya kira telah dicungkil dengan baik melalui pengalaman beliau di lapangan selama hari ini. Seperti yang tertera di atas, antara pengaruh kuat penulis adalah sifu beliau ya'ni SM Idris (Presiden CAP, SAM, CI dan Koordinator Third World Network) yang juga merupakan sifu kepada murabbi-murabbi saya seperti Tn Haji Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS) dan juga Abang Nizam Mashar (SU Agung Persatuan Ulama' Malaysia cawangan P. Pinang, koordinator Sahabat Alam Malaysia).


Tidak lupa juga 'Tuk Ya' Ustaz Azizi Hj Abdullah  (sekarang bertugas sebagai editor Utusan Konsumer CAP disamping menulis karya sastera yang menyegat) yang banyak mempengaruhi pembentukkan idealisme Sekolah Pemikiran Pulau Pinang yang kami pegang melalui karya-karya kreatif beliau.


Saya kira karya abang Nuar ini merupakan satu manifestasi idealisme generasi baru yang lahir daripada Sekolah Pemikiran Pulau Pinang yang mana setiap daripada kami dalam mana-mana NGO dan gerakan yang subscribe kepada sekolah pemikiran ini sepatutnya mempunyai niche aktivisme yang tersendiri. Abang Nuar yang bertugas dengan Sahabat Alam Malaysia selama saban hari ini telah menimba pengalaman yang kaya untuk dikongsi bersama dalam karya di atas.


Satu penulisan kreatif yang benar-benar berjiwa aktivisme.


Saya pada awalnya fokus kepada niche ekonomi dan globalisasi dalam API dan memang merancang untuk tulis buku berkenaan tajuk tersebut tapi masih tidak berkesempatan setelah tercampak ke dalam lautan falsafah dan pemikiran Islam sekolah pemikiran al-Attas.


Saya masih ingat lagi sewaktu mula-mula datang ke Pulau Pinang untuk bertemu dengan mereka ini. Pada waktu itu masih pekat PAS. Tak sangka kali pertama datang dah kena bawa pergi tamrin API. Tapi tamrin ini tak adalah pasal perkaderan dan yang datang mengisi pun abang Sayed Munawar ( pengacara slot Resensi Buku TV1) dan juga ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin yang saya kira tak macam orang PAS pun setelah bercampur dengan sahabat-sahabat NGO Pulau Pinang. Selang setahun kemudian, Tamrin kedua diisi oleh Dr. Ugi Suharto (anak murid Prof. al-Attas) dan Ustaz Hasrizal (Saifulislam.com). Dinamika idealisme perjuangan jelas dapat dilihat melalui tokoh-tokoh yang ditampilkan dalam tamrin API.


Dengan merekalah saya menimba banyak ilmu dan pemugaran idealisme yang berkesan. Sudah tentu antara konsep yang menjadi rujukan kami adalah rausyanfikir yang dipelopori oleh Ali Shariati tetapi pada masa yang sama manhaj Ikhwanul Muslimin masih dipegang.


Memang saya banyak berubah setelah bercampur dengan mereka (mungkin juga antara faktor saya terkeluar dari JIK). Kalau diikutkan, merekalah yang membentuk saya menjadi apa yang saya ada sekarang. Tanpa sokongan dan bimbingan daripada semua sahabat dan guru Sekolah Pemikiran Pulau Pinang, saya yakin, takkan ada rausyanfikir.com.


Saya kira untuk para pembaca memahami dengan lebih mendalam akan idealisme Sekolah Pemikiran Pulau Pinang ini, karya MS Anuar Mahmod ini sangat wajar diteliti dan dijadikan teks usrah untuk para pimpinan kampus yang bakal berterbaran di lapangan sebenar. Saya yakin anda akan melihat lapangan perjuangan dengan jauh lebih holistik daripada sekadar ketotokkan politik kepartian yang semakin semput dengan konflik sipahi. 


Aduhai mahasiswa yang geliga, jangan diperbodohkan diri anda dengan isu-isu sampah yang disumbat media massa baik media kerajaan hatta media alternatif sekalipun. Marilah kita sama-sama keluar dari kepompong yang sempit ini agar potensi diri sebagai pejuang dapat dipertingkatkan dimulai dengan membedah karya MS Anuar Mahmod ini. 


Ikhlas dari saya. Bukan hendak promosi sebab saya bukan kaki jilat mana-mana pihak tapi ini adalah satu recognition daripada saya kepada MS Anuar Mahmod kerana karya beliau ini memang benar-benar lain daripada yang lain. Al-maklumlah, setelah bergelumang dengan buku-buku 'berat' masakan saya  ada masa menjamah yang 'ringan'. Tetapi Suara-Suara Terpendam : Masyarakat Tertindas, Pembangunan Tempang dan Alam Musnah ini merupakan sebuah karya yang exceptional untuk dimiliki. Ayuh milikinya segera!


Tiada ulasan: