Khamis, 16 April 2009

Politik Melayu, Muslim perlu manfaat ummah: satu komentar ringkas.

Politik Melayu, Muslim perlu manfaat ummah

Oleh Md Shukri Shuib

BARU ini, iaitu dalam tempoh tidak sampai enam tahun, negara sekali lagi menyaksikan peralihan kuasa berlaku. Pada Oktober 2003, Malaysia dan masyarakat dunia menyaksikan satu peralihan kuasa julung kali diadakan selepas 22 tahun di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kini selepas lima tahun lima bulan peralihan kepemimpinan kerajaan dilakukan, Datuk Seri Najib Razak pula mengambil alih kuasa dengan pengunduran Abdullah. Sejak kewujudannya, Putrajaya sudah menyaksikan tiga kepemimpinan silih berganti.


Selain itu, dalam kamus politik tempatan di antara Mac 2008 hingga April 2009 ini, negara menyaksikan kesuburan demokrasi. Banyak peristiwa berlaku, tiga pilihan raya kecil serentak, pada masa sama juga, pada penghujung Mac lalu, pemilihan saf kepemimpinan baru bagi Umno.


Peralihan kuasa menunjukkan dengan jelas bahawa kekuasaan
individu bukan segala-galanya bagi Umno dan Barisan Nasional (BN). Yang penting adalah sejauh mana perkhidmatan kepada rakyat menggunakan kuasa yang ada untuk memenuhi tuntutan dan kepuasan hati rakyat yang menjadi keutamaan.


Daripada parti hingga ke masyarakat awam, proses mendemokrasikan negara dapat dirasai dan masing-masing diberikan hak untuk terbabit dalam menentukan hala tuju politik dan masa depan negara. Inilah satu nilai yang patut dihargai rakyat dan pemimpin negara.


Dalam aplikasi demokrasi,
undi menjadi keutamaan. Untuk itu, dalam sebuah negara demokrasi, kedudukan pemimpin ditentukan kuasa undi perwakilan yang juga rakyat. Untuk terpilih bagi sesuatu jawatan dan kerusi dalam proses demokrasi, mengambil hati serta menjuarai bukan saja populariti, malah kejayaan membina persepsi umum terhadap seseorang calon sangat getir dan penting. Untuk itu, dalam berdepan situasi semasa, Umno dan semua parti komponen dalam BN yang menjadi parti pemerintah negara perlu menonjolkan imej positif dan mampu membina persepsi rakyat yang positif kepada mereka.


Tugas mencipta dan membina persepsi positif demi survival kelangsungan politik Umno dan BN adalah tanggungjawab bersama daripada peringkat segenap pimpinan sama ada nasional, negeri, bahagian malah di bandar dan desa. Semua pimpinan ini perlu mendokong aspirasi parti dan rakyat melebihi kepentingan individu. Usaha membanteras gejala rasuah dalam parti dan kerajaan yang kini sedang
cuba dihapuskan oleh Umno dan BN, perlu disokong. Dengan mengenakan tindakan tertentu kepada pengamalnya harus diteruskan dan penerima yang juga anggota perwakilan, perlu wajib dikenakan tindakan sama.


Keberanian Umno mengenakan tindakan disiplin sehingga ada kala terpaksa melakukan tindakan drastik dengan meluputkan keahlian kepada sesetengah ahli yang bertentangan dengan parti, harus dipuji dan diharap diteruskan. Malah, nama besar dalam parti dikenakan tindakan atas dakwaan rasuah. Inilah usaha Umno mendisiplinkan ahlinya. Apakah tindakan sebegini popular dilakukan pembangkang?


Atas tindakan Umno, parti pembangkang harus berterima kasih, kerana kerap kali dengan kekecewaan akibat dikenakan tindakan oleh parti umat Melayu dan Islam itu, maka ia membolehkan penubuhan beberapa parti pembangkang dan juga membolehkan bekalan pemimpin mereka.


Apabila Umno membuang ahli parti yang tidak lagi berprinsip dan bertingkah laku, maka pembangkang akan kutip. Berjasalah Umno kepada pembangkang.


Tidak hairanlah dalam kancah politik kini, pembangkang yang sebenarnya membangkang berlandaskan prinsip mereka kelihatan pudar, namun apabila saja Umno bergolak, maka barulah nafas politik pembangkang akan lebih jelas dan mendapat lonjakan pada persada politik negara. Ini akibat daripada pergolakan Umno.


Lonjakan dalam sokongan ini mendapati parti lawan bukan disebabkan sokongan tulen kepada mereka oleh penyokong dan pengundi. Secara langsung sokongan diberikan akibat pergolakan dalaman Umno adalah jelas dan terbukti.


Lihat saja dalam sejarah peradaban politik negara, berapa banyak sudah parti politik ditubuhkan pemimpin Umno yang kecewa atau disingkir parti itu? Untuk itu tidak hairanlah jika dikatakan pembangkang dan pemimpinnya adalah anak didik
dari sekolah Umno yang kemudian bertindak cuba membakar sekolah dan melawan gurunya.


Umno sebagai tunjang dan asas kepada kitaran tingkah laku politik
Malaysia adalah jelas. Untuk itu, corak Umno mengendalikan permainan politik negara ini turut mempengaruhi bentuk tarian pembangkang. Apa tidaknya, pemimpin pembangkang utama ada di antaranya adalah bekas pemimpin Umno itu sendiri.


Usaha pembangkang untuk bersatu menumbangkan
Umno dan BN juga jelas kelihatan apabila bekas pemimpin Umno sendiri mencadang dan mengetuai pula pakatan pembangkang. Dalam hal ini, parti komponen BN juga perlu diingatkan agar tidak terbawa-bawa dengan suara pembangkang yang akhirnya membina komponen parti dalam BN itu sendiri tanpa sedar menjadi boneka kepada pembangkang dalam mendesak kerajaan.


Menciplak gaya dan model politik dipelopori Umno seperti yang diusahakan dengan menubuhkan bentuk pakatan seperti Perikatan dan Barisan Nasional sendiri, kini menjadi popular dan juga dijadikan platform kepada sejarah baru politik pembangkang di negara ini dengan cubaan untuk bersatu seperti diamalkan BN dengan satu hasrat hanya untuk menumbangkan parti yang ditiru mereka. Justeru, jika rakyat memperkatakan mengenai betapa Umno perlu diselamatkan daripada acuan politik yang dikatakan korup, maka pemimpin yang dulunya bersama Umno yang kini menerajui pembangkang juga perlulah ditolak.


Faktornya mudah, iaitu adakah kerana mereka disingkir daripada Umno dan bersama pembangkang, akan menjadi mereka bersih sedangkan sebelum, atau ketika berada dalam Umno mereka dianggap kotor. Membersihkan karakter selepas dibuang daripada Umno dan BN dengan menyertai pembangkang dilihat popular kini dan rakyat melupai pula akan apa yang disabitkan kepada mereka ketika menganggotai kerajaan di bawah BN dulu.


Justeru, atas asas bahawa kredibiliti mereka sudah pun rosak kerana jika tindakan menyingkir atau mengenakan tindakan kepada pemimpin terbabit dilakukan Umno, maka untuk membersihkan nama dan kemudian menyertai pembangkang sebagai landasan membersihkan diri serta bertujuan membalas dendam, akan menjadikan pembangkang sebagai satu perjuangan yang tidak membina dalam peradaban politik negara.


Pembangkang akan menjadi satu platform balas dendam
dan bertujuan peribadi akhirnya.


Dalam hal ini, parti pembangkang, terutama Pas harus berwaspada dengan hal ini. Bukan saja Umno harus disibukkan dengan perlu kembali kepada asal, Pas juga harus kembali kepada asas perjuangannya. Pas jangan menjadi boneka kepada individu tertentu.


Politik Islam harus menjadi tema utama dan demokrasi adalah sampingan atau pelengkap. Tetapi malangnya kini, dalam perjuangan politik umat Melayu dan Islam di negara ini, sama ada di dalam Umno mahupun Pas, demokrasi menjadi utama dan politik Melayu serta Islam sudah menjadi asas terkebawah daripada tema demokrasi itu sendiri.


Untuk itu, tidak hairanlah kenapa situasi politik masa kini begitu rencam.
Demokrasi hanya berfungsi sebagai perunding cara dan medan mencapai keputusan. Apabila keputusan sudah dicapai, ia memerlukan ketegasan pemimpin untuk bertindak melaksanakan tuntutan seperti yang diamanahkan.


Harus diingatkan kepada semua ahli politik,
demokrasi bukannya tuhan dan sesiapa yang bertuhankan demokrasi, maka pasti bencana akan menimpa umat dan negara Islam ini.


Penulis ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

sumber: Berita Harian

 

 

Komentar:

 

Saya mungkin tidak mempersetujui semua yang ditulis beliau tetapi ada beberapa idea penting yang saya kira boleh kita ambil untuk renungan dan muhasabah.

 

Beginilah. Kuasa ini boleh diibaratkan sebagai satu aroma yang harum lagi mengasyikkan. Bilamana kita sudah menikmati aroma kekuasaan tersebut, acap kali kita akan tersadung dalam halusinasi realiti kehidupan. Tidak kiralah kita pemimpin parti apa pun, kuasa itu dari segi ontologi-nya memang menggiurkan dan sering kali tanpa mekanisme kawalan yang berkesan ( control mechanism) seperti keluhuran budi pekerti dan hikmah, kuasa sering kali akan membawa bencana kepada si pemilik kuasa.

 

Sememangya musuh kita mampu mempengaruhi identiti kita. Musuh yang bodoh akan memperbodohkan kita, secara tidak langsung kita turut sama menjadi bodoh. Itulah dialektik kekuasaan dalam demokrasi seperti yang telah diterangkan pemikir politik Barat Michael Hardt. Amerika di bawah Presiden Bush telah melemahkan idealisme dan intelektualisme penentangnya kerana isu-isu yang perlu ditentang bersifat sipahi nilai dan kualiti perubahan yang boleh dijulang seperti isu Guantanamo Bay, Abu Ghraib etc.

 

Begitu juga dengan kita disini. Politik itu telah disempitkan kepada kepartian dan retorik daripada kedua-dua belah pihak sama hebat dari segi luarannya tapi isi kosong. Sebab itu buatlah pilihan raya beratus kali pun kualiti isu yang dibahaskan acap kali bersifat chauvinistik.

 

Aroma kekuasaan yang dihidu oleh Pakatan Rakyat telah memakan diri mereka sendiri kini. Perasaan hasad dengki antara kedua-dua belah pihak hanya merugikan rakyat yang menantikan perubahan asli demi kelangsungan hidup dalam era yang penuh tipu daya ini.

 

Sebab itulah dalam demokrasi kalau kita lihat sekarang, everything goes as long you get the votes!

 

Fokus kita kepada undi dan kuasa bukan proses peng-islah-an rakyat. Macam saya katakan selalu, tanpa kuasa sekalipun kita mampu lakukan perubahan kerana kerosakkan yang paling parah adalah dari segi psikologi/pandangan alam rakyat yang telah dibius dengan pelbagai bentuk pemikiran secara diskrit dan separa sedar.

 

Ikhwanul Muslimin tidak mengejar kuasa tetapi kebenaran. Itulah misi dan visi Imam Hassan al-Banna yang mana saya kira pada hari ini acap kali gerakan Islam politik kadang kala tergelincir daripada landasan asal-nya.


Seruan penulis agar UMNO dan PAS kembali kepada perjuangan asal saya kira adalah amat relevan sekali untuk direnungi bersama. Ini kerana hanya parti orang Melayu Muslim yang tidak mampu bersatu atas kepentingan agama dan bangsa sedangkan parti kaum Cina semuanya mampu berbuat demikian walaupun berbeza pakatan dan barisan.

 

Antara kumpulan yang benar-benar mampu dan telah melakukan islah terhadap rakyat adalah Parti Sosialis Malaysia (PSM). Kejayaan mereka untuk membantu golongan tertindas terutamanya warga India di ladang dan estet harus dijadikan i’tibar kerana mereka selama hari ini tidak meletakkan kuasa sebagai matlamat perjuangan. Maka oleh itu fokus perjuangan mereka lebih tersusun rapi dan telah membuahkan hasil. Ini semua tidak mungkin dapat dilakukan tanpa mempunyai idealisme yang kemas, dalam kes ini mereka mengikuti manhaj Sosialisme.

 

Saya yakin, jikalau teguran penulis di atas diambil dengan terbuka, biarpun mungkin kita semua tidak menerima ke semua idea tersebut mentah-mentah, parti majoriti orang Melayu Muslim baik UMNO atau PAS akan menjadi lebih relevan di peringkat akar umbi dengan projek peng-islah-an masing-masing. Penjanaan idea yang mantap dan konsisten adalah amat diperlukan sekali kerana mutu amal yang tercetak di atas medan kanvas massa amat bergantung kepada kualiti idea tersebut. Sekali lagi kita harus ingat, tiada pemisahan antara teori/praktis. Tanpa teori masakan tidak akan berubah minda massa yang melahirkan praktis.

 

Kita harus belajar dari parti Cina yang didokong hebat oleh semua lapisan pimpinan mereka baik dari lapangan akademik seperi Dong Zong, ekonomi seperti Dewan Perniagaan Cina serta banyak lagi organisasi nukleus yang saban hari tidak pernah berganjak misi utama mereka iaitu untuk menjaga kepentingan kaum Cina tanpa mengira sama ada mereka mempunyai kuasa politik atau tidak. Saya kira, kaum Cina di Malaysia lebih bijak meletakkan politik demokrasi pada tempat yang sewajarnya berbanding kita orang Melayu yang masih tidak mampu keluar daripada sentimen hasad dengki antara kedua-dua belah pihak.

 

Wallahua’lam.


3 ulasan:

Hasbullah Pit berkata...

permainan politik negara ini turut mempengaruhi bentuk tarian pembangkang
Bukankah rentak politik sepatutnya mengikut rentak kita

hehe

Amin Baek berkata...

Salam..trasa syg ble parti untuk mengakkn Islam kini tbhagi kepada 2..golongan pro ulama,dan pro anwar(dikenali sbg golongan erdogan)..bukn pe,kita leh nmpk ble hussan musa ckp nk implement hudud ble pas berkuasa(debt ngan khairy J),tp ble esoknye org DAP bsuara ,trus hussam reconsider that statement,...nmpk cm lalang pendirian itu..sungguh syg..ptotnya,pas boleh bdiri sndri wthout PR ..klu leh pas bgabung la ngan parti yg juga mempunyai pjuangan yg sama..mayb UMNO(dgn sdikit pembersihan)..krana rmi penyokong pas,akan mengundi PR..so,dlm masa sama DAP akan trut bkuasa..sy tkot ble DAP bkuasa,pmerinthan cara Islam akan dpt tentangan,since DAP ni nmpk sekular..pd pndpt sy lg,pas ni nmpk cm parti no3 dlm PR,after pkr n dap..huhuh.sgt syg pjuangan mengakkn islam,berubah nmpk spt pjuangan utk menjatuhkn krjaan..bukn tok menegakkn islam smata2..wallahuallam..just pndapt..slh silap harap btolkn

Rausyanfikir berkata...

Itulah Amin. Nasib baik ada manusia yang boleh nampak dalam sikit pasal isu politik ni. Yang dah mabuk politik memang tak nampak apa melainkan undi dan kerusi.