Rabu, 29 April 2009

Fiqh al-Hadharah: Satu renungan awal (Siri 1)


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, teman-teman yang dirahmati Allah dalam dunia yang serba fana ini.


Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Ya Allah, limpahkanlah kesejahteraan dan kedamaian kepada junjungan kami, Muhammad, pembawa dan penyampai khabar gembira (basya'irul khayrat) kepada kaum mukminin, sebagaimana firman Allah SWT: Dan berikanlah khabar gembira bagi orang-orang yang beriman (2:223). Dan bahawa Allah tidak mengabaikan pahala orang-orang beriman (3:171).
 


Saya mula-mula menyebut mengenai Fiqh al-Hadharah ini sewaktu menyampaikan ucapan dasar sebagai Presiden MISG-UK&Eire pada tahun 2001-2002. Kemudian teman-teman meminta saya mengembangkan idea ini tetapi tidak berpeluang kerana pulang dari UK saya terus diamanahkan sebagai YDP Wilayah Persekutuan. Kemudian Saudara Presiden Yusri Mohamad mempelawa saya sebagai Ketua Biro Pendidikan ABIM Pusat selain memangku jawatan Setiausaha Agung. Bagaimanapun Alhamdulillah, oleh kerana amanah saya sebagai pimpinan ABIM sudah dipenghujung maka saya berpeluang semula untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengembangkan idea Fiqh al-Hadharah sebagai satu projek mengemukakan peranan besar Islam dalam menangani Modeniti. InsyaAllah.


 
Sekitar akhir 1990an dan awal 2000an, terdapat sarjana yang telah membicarakan soal "post-Islamism", "post-political-Islam" yang merujuk kepada fenomena pasca-gerakan Islam atau pun pasca-aktivisma gerakan politik Islam. Perkara ini timbul kerana pengkaji "Islamism" atau "Islamic activism" mendapati semacam gerakan Islam telah kehilangan jika tidak kehabisan dinamika dan relevan dalam paradigma yang sedia ada. Dinamisme dan relevansi manhaj Sayyid Qutb, Abu al-'Ala al-Mawdudi malah Ayatullah Ruhullah Khomeini mula memperlihatkan ketidakupayaan dalam menghadapi cabaran zaman dan lingkungan. Paling jelas idea "Pembentukan Negara Islam dan Perlaksanaan Hukum Hudud" kini menjadi passe/outdated bagi aktivis Islam.
 



Diwaktu yang sama juga kita mendapati kritik terhadap manhaj gerakan Islam dan aktivisme gerakan Islam ini bukanlah satu perkara baru. Dahulu lagi Allahyarham Fazlur Rahman telah menyebut perkara ini, begitu juga Allahyarham Malik Bennabi. Malah di negara kita Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga seringkali memperkata persoalan ini dalam kuliah-kuliah beliau. Antara perkara pokok yang membawa kepada ketidakupayaan manhaj gerakan Islam atau aktivisma gerakan politik Islam ialah kurangnya perhatian yang diberikan terhadap dimensi tradisi keilmuan dan keruhanian yang menjadi teras kepada kekuatan peradaban Islam sejak zaman-zaman. Dalam bahasa yang agak "extreme" bahawa ianya seperti "ill-informed and naive political and social activism resulted in intellectual bankruptcy and spiritual impotency". 



 
Pada fahaman saya fenomena "paradigmatic exhaustion" yang berlaku kepada manhaj "fiqh al-harakah" bukanlah hal yang memeranjatkan jika kita melihat kepada asal-usul pemikiran manhaj "fiqh al-harakah" itu sendiri. Pengaruh Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad 'Abduh dan Rashid Rida (Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh-ruh mereka) jelas sekali membentuk orientasi aktivisma politik dan sosial gerakan Islam. Tetapi yang lebih utama lagi bahawa kesemua tokoh-tokoh ini dikenali sebagai tokoh-tokoh modenis Islam. Dalam erti kata yang lain pembentukan manhaj "fiqh al-harakah" terbina dari faham-faham modenis yang meskipun telah di"Islamisasikan" masih meninggalkan kesan modenism dalam pemikiran dan tindakan gerakan. 


 


Saya mengusulkan manhaj "fiqh al-hadharah" sebagai ganti kepada "fiqh al-harakah" melihatkan kepada kegagalan gerakan Islam dan aktivisme Islam untuk menggarap kekuatan tradisi ilmiah, ruhaniah dan adabiah Islam dalam modus operandi mereka. "Fiqh al-harakah" dalam banyak hal dipengaruhi oleh pemikiran modenis terutamanya dalam penolakannya terhadap tradisi ilmiah, ruhaniah dan adabiah Islam dan juga penumpuan yang berlebihan terhadap persoalan politik dan kuasa. Ini bagaimanapun memerlukan kita menghuraikan terlebih dahulu apakah itu modernity, modernism dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti secularism, postmodern dan seumpamanya.

 

 

Persoalannya ialah tanpa disedari bagaimana mungkin gerakan dan aktivisma Islam yang dipengaruhi, dicorakkan dan diwarnakan dengan faham modenism/modeniti boleh mengemukakan alternatif Islam dalam menangani kemelut kehidupan manusia semasa. Cabaran kepada gerakan dan aktivisma Islam ialah untuk mengeluarkan diri mereka dahulu dari penjara dan perangkap modenism/modeniti dan kemudian barulah mereka boleh menawarkan sumbangan Islam terhadap kehidupan moden masakini. Jika tidak kita akan terus-terusan bermain dalam permainan yang telah diatur oleh falsafah/kaedah/prinsip modenism/modeniti itu sendiri. 
 


InsyaAllah jika berkesempatan kita akan melihat persoalan modeniti/modenism ini dan hubungkaitnya dengan Islam diperbincangan akan datang.

 

Sekian wabillahi tawfiq wal hidayah wasamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


al-Faqir ilallah al-Ghani,

 

Dr. Amran Muhammad,

Setiausaha Agung,

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).



Komentar:


Kepada rakan-rakan Jemaah Islam Kampus, muqaddimah di atas mungkin menerangkan sedikit sebanyak mengapa saya kata "Amicus Jemaah Islam Kampus, sed magis amica Veritas"


Kita sebenarnya berjuang dalam perangkap yang berpotensi melakukan fasad kepada umat dengan ilmu yang dicerap dalam bilik kuliah. Sebab itu saya harus bertindak seperti kambing hitam (kerana tidak diberi peluang yang sewajarnya oleh MT) agar berkocak sedikit fikrah rakan-rakan sekalian yang selama hari ini enak dibuai utopianisme di kampus. Tidak mengapa cemuhan itu dan ini. Selalunya yang mencemuh itu manusia yang tidak ingin mendapatkan jawapan secara peribadi. Docile assumption leads to infertile conclusion.


Ayuh semester depan kita bermuzakarrah demi kebaikkan warga kampus. Ingat, saham kampus ini cukup besar buat masa depan negara dan anda selaku pemegang amanah saham paling besar dalam urus tadbir di peringkat akar umbi harus peka dengan cabaran sebenar mahasiswa dan universiti, bukan pseudo-challenges ala politikus di luar. 



7 ulasan:

Iecothinker berkata...

Salam, akhi...
Ana quote kan kata-kata ini:

"Fiqh al-harakah" dalam banyak hal dipengaruhi oleh pemikiran modenis terutamanya dalam penolakannya terhadap tradisi ilmiah, ruhaniah dan adabiah Islam dan juga penumpuan yang berlebihan terhadap persoalan politik dan kuasa."

Pada enta sendiri, betul ke ia disebabkan oleh fiqh harakah itu sendiri atau ia disebabkan oleh pemahaman ahli gerakan terhadap asas ilmu fiqh harakah itu sendiri?

Ana lihat ada yang tidak 'clear' dalam hal ni bila disiplin ilmu yang dihuraikan memalui 'fiqh harakah' diselewengkan oleh segolongan ahli gerakan. Akibatnya isu-isu seperti berlebihan terhadap politik dan tidak utamakan ilmu menjadi budaya tanpa sedar bagi ahli gerakan.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam,

Dua2 betul. Dari segi epistemologi, memang dah salah seperti yang dibawa Abduh dan Al-Afghani.Sudah tak boleh dikendong lagi cara begitu dalam keadaan umat dihimpit neo-kolonialisme. "Faceless Enemy".

Memang juga sesetengah ahli salah tafsir sama ada taksub, jumud, fanatik dan ekstrim kepada pendapat tertentu.

Tapi sebenarnya kata Prof. al-Attas, golongan modenis reformis ini keliru dan mengabaikan autoriti zaman-berzaman.

Pukul rata semua orang. Tak sama syekh antara al-Ghazali dan Ibn Taimiyah.

ariapertama berkata...

Slm.
Tidak lengkap kiranya persiapan seorang yang bakal menjadi sarjana muslim jika tidak mendengar muzik yg berjudul Parit Api.

Muhammad b Ab Razak berkata...

Salamwbt...

Pertamanya, salam muhibbah dan persaudaraan....

Ana x bersetuju andai dikatakan fiqh harakah itu dipengaruhi falsafah modenism sptmana dakwaan:

"Fiqh al-harakah" dalam banyak hal dipengaruhi oleh pemikiran modenis terutamanya dalam penolakannya terhadap tradisi ilmiah, ruhaniah dan adabiah Islam dan juga penumpuan yang berlebihan terhadap persoalan politik dan kuasa."

Persoalannya apakah kayu ukur terzahirnya penolakan madrasah harakiah terhadap tradisi ilmiah, ruhaniah dan adabiah?ataupun nta hanya menghak milikkan makna intelek dan kesarjanaan itu terhadap mereka yg duduk di singgahsana ISTAC dan institusi2 semata2?sementara golongan yg bergerak menentang kezaliman terhadap hak Allah(tidak mahu mendirikan Syariat)dan manusia yang mana asasnya pergerakan mereka ini dicetuskan warisan intelektual ulama' terutama dari Al-Azhar As-Syarif nta tidak iktiraf sbg intelek? ini satu bentuk tohmahan atau dlm erti kata lain da'wa bila burhan(kalau nta berminat nak smbang bab ni, jemput dtg blog ana bicara bab Imamah Uzma, dan perkaitannya dgn jihad,sbg homework boleh rujuk kitab2 dlm bidang akidah tauhid aswj spt tuhfatul murid ala jauharah tauhid karangan al-imam albaijuri)...

Dalam posting nta:

"Diwaktu yang sama juga kita mendapati kritik terhadap manhaj gerakan Islam dan aktivisme gerakan Islam ini bukanlah satu perkara baru. Dahulu lagi Allahyarham Fazlur Rahman telah menyebut perkara ini, begitu juga Allahyarham Malik Bennabi."

Dr Wan Mohd Nor Wan Daud yg dimentori Al-Attas sendiri menolak hermeneutika Fazlur Rahman yg merupakan penyelia tesis beliau di atas basis penyimpangan beliau dari khazanah turath dan warisan ulama. Jadi siapa beliau utk berbicara dan mengkritik harakah(yg kamu dakwa bersifat tidak mesra turath) itu?

Berkenaan Malik ben Nabi, ana ingin sekali bertanya pd saudara mengenai sejauhmana sejarah dan pengalaman beliau menghirup udara keilmuan Islam yg bersifat turathi, kalau2 ada dan maklumat ini tidak ana ketahui, harap dpt kita kongsi bersama....

Ana bukanlah bersikap skeptik dgn menolak mentah2 fiqh alhadharah yg dicanangkan itu, dan apa2 idea yg nta kemukakan selama ini...cuma yg menjadi persoalan, mengapa perlu dipertentangkan antara kegiatan intelektual dan gerakan Islam dimana kedua2nya saling melengkapi, seolah2 dua adik beradik diapi2kan dan dipaksa2 utk bercakaran dan bertumbuk sesama sendiri?.....

Mohd Ali Atan berkata...

Cuba kaji mengapa Al-Ghazali kembali mengaji tatkala berada di puncak keintelektualan dan perdebatan/hujah...apa yang beliau kaji..dan apa yang beliau cari sampai memencilkan diri beberapa lama dan keluar semula menyertai masyarakat umum dan masyarakat intelektual dengan buah karya Ihya'nya...cuba kaji...

Tanpa Nama berkata...

pehh..dasat gile..kaji aje..camne korang tau eh mende2 ni?apsal aku tktau eh?mmg ada ngaji eh kat unibersiti..

Mohammad Hidir Baharudin berkata...

minta izin 'copy'..