Sabtu, 14 Mac 2009

Pensyarah berbudaya ilmu dan seni bina metafizika






Terkejut melihat begitu banyak poster yang tertera nama saya sendiri pada setiap ruangan strategik di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FPSU), UiTM Shah Alam. Apakah ini satu acara yang penting buat warga FPSU? Saya sudah mula berpeluh. Kalau ramai yang bertandang mendengar kuliah umum saya, lagi besar beban "expectation" tersebut.



Alhamdulillah. Tak lah penuh sangat dewan kuliah utama FPSU. Saya boleh faham akan kehadiran yang sedikit bila mana sesuatu perkara yang mengetengahkan tajuk bersifat ilmiah. Fenomena sebegini sudah menjadi lumrah dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia yang saya percaya telah di-Mcdonald-isasikan oleh pengaruh ideologi kapitalisme, liberalisme dan sekularisme sebagai akar masalah-nya. Pada masa yang sama, saya turut bersimpati kepada Prof. Madya Rashidah Ab. Rahman kerana beliau sangat bersungguh-sungguh memujuk saya hadir menyampaikan kuliah ini di FPSU. 



Walaupun sedemikian, Timbalan Dekan FPSU, Prof. Madya Dr. Masran bin Saruwono turut berada bersama-sama saya dalam kuliah tersebut sehinggalah saat saya berangkat pulang. Mungkin budak-budak UTP macam terbiasa dengar nama beliau. Ini kerana, Prof. Madya Dr. Masran adalah adik kepada mantan Rektor UTP, Datuk Dr. Rosti Saruwono.



Ramai juga pensyarah FPSU yang hadir mendengar kuliah saya. Sewaktu sesi soal jawab, saya ditembak dengan pelbagai soalan yang mencabar minda. Moga-moga saya telah memberi jawapan yang memuaskan kepada mereka.



Apa yang menarik disini adalah saya mendapati bahawa para pensyarah FPSU yang sempat saya berjumpa tempoh hari menggambarkan satu sifat yang unik, yang saya kira amat jarang dapat dilihat di kalangan pensyarah yang pernah saya kenal pada hari ini. Saya melihat bahawasanya, para pensyarah FPSU ini beperwatakan 'budaya ilmu'. Masakan tidak mereka sanggup memanggil saya untuk datang menyampaikan kuliah yang tidak seberapa ini dan mempromosi bersungguh-sungguh di FPSU disamping meluangkan masa selama 2 jam untuk mendengar kuliah berkenaan falsafah dan sosiologi ilmu daripada mahasiswa tahun akhir kejuruteraan kimia dari UTP. Prof. Madya Rashidah kata, faktor 'kemahasiswaan' itu sepatutnya menjadikan kuliah ini unik.



Mungkin betul tapi saya selalu tekankan bahawa saya bukan autoriti dalam bidang ini.



Selesai saya berkuliah, kami bertukar-tukar idea dan pendapat dalam banyak isu. Ternyata para penyarah FPSU yang sempat berinteraksi dengan saya bersetuju dengan fenomena watak tertawan yang wujud dengan banyak-nya di universiti kita pada hari ini. Malah, mereka juga bermuhasabah bahawa bidang seni bina juga telah ditakluk oleh wabak minda tertawan ini.



Ilmu seni bina yang diajar banyak bersumberkan Barat, dan mengikut Prof. Madya Dr. Masran, kebanyakkan tokoh-tokoh arkitek yang diangkat menjadi rujukan merupakan para arkitek Yahudi. Kelesuan golongan mahasiswa dalam memahami isu semasa dengan baik turut sama dikongsi oleh Dr. Masran. Semua ini pada hemat saya menggambarkan rambu permasalahan watak tertawan dalam sistem pendidikan kita.



Lebih kurang je rasa masalah ini di mana-mana kampus. Yang bertaraf antarabangsa macam UTP pun kadang-kadang tak selari dengan moto "engineering the future". Bagi saya untuk tangani masalah ini, perlu ada manusia-manusia dalam UTP menyebarkan wacana Revolusi Saintifik seperti yang digagas oleh Thomas S. Kuhn, Imre Lakatos, dan mungkin juga radikalisme dalam wacana keilmuan seperti E.F Schumacher, Ivan Illich, Vandana Shiva, dan Serge Latouche.



Maaf, saya masih tak jumpa para pemikir Islam yang benar-benar dinamik dalam menganalisa isu sebegini kecuali dua gergasi intelektual seperti Seyyed Hosein Nasr, dan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Alhamdulillah, anak-anak murid mereka sedang mengorak langkah yang besar dalam lapangan masing-masing. Persoalan seterusnya siapakah yang akan meneruskan gagasan mereka ini? Tidak lain tidak bukan, KITA sebagai MAHASISWA/MAHASISWI yang faham akan falsafah Rausyanfikir.



Sebenarnya kalau para pemimpin mahasiswa di UTP kritis dan kreatif dalam menilai permasalahan watak tertawan ini, mereka boleh bekerjasama dengan para pensyarah yang dinamik. Lihat saja bagaimana Dr. Azmuddin yang mengajar mata pelajaran Health, Safety and Environment. Adik-adik tahun 1 telah didedahkan dengan isu-isu yang besar lagi kompleks seperti global warming, financial crisis, peak olil, terrorism etc. Semua tajuk ini agak lari daripada tajuk projek HSE (dan juga tajuk Smart Group, Usrah jemaah dualisme Kerajaan vs. Pembangkang ) yang konvensional. Tetapi saya percaya, Dr Azmuddin berbuat sedemikian agar minda budak-budak tahun 1 ini dapat di-nyah-kan sifat watak tertawan tersebut. Berapa kerat para pemimpin mahasiswa di UTP yang mengambil masa untuk bertemu dengan para pensyarah ini untuk membantu mereka menyebar luaskan idealisme sebegini dalam dan luar kelas? Rugi-rugi.




Cukuplah bebelan saya berkenaan mauduk watak tertawan. Akan dikupas lebih lanjut nanti.




Sedikit perkongsian pengalaman intelektual dan spiritual berkenaan seni bina.Bila mana perkataan seni bina (
architecture) disebut, antara perkara yang timbul dalam minda saya adalah Bauhaus, TImbuktu, Fez dan ISTAC.



Bauhaus adalah sebuah aliran seni bina modenis yang biasa kita lihat dalam media massa mahupun di persekitaran perbandaran yang ada pada hari ini.




Fez pula adalah kota lama di Maghribi yang pada pengamatan saya setelah membaca buku Titus Burckhardt, sangat misteri dan ajaib. Mungkin aura sejarah dapat ditatap dengan cermah melalui seni bina yang jujur membumi.








Timbuktu di Mali pula memberi gambaran berkenaan masjid tanah liat Djenné yang saya kira sangat mesra alam. Inilah lambang seni bina Islam yang mempunyai dimensi
ubudiyyah dan fiqh mesra alam atau dalam bahasa moden-nya fiqh lestari (sustainable jurisprudence).




Seni bina adalah satu disiplin ilmu yang berkait rapat dengan epistemologi ilmu berkaitan intuisi (rujuk makalah Prof. al-Attas bertajuk Intuition of Existence untuk kupasan lanjut berkenaan intusi). Bukan boleh main lukis je. Perlu masa berfikir dan merenungi alam ( rujuk disiplin ilmu biomimicry) dalam mengaplikasikan-nya kepada bentuk bangunan.



Maka, bila mana kita hanya membatasi disiplin ilmu seni bina mengikut lenggok Barat yang miskin nilai metafizika-nya, seni bina kita hanya mampu menzahirkan aura materialisme dan humanisme kehaiwanan semata-mata.



Ketika mana saya bertanya kepada para penysarah FPSU akan seni bina ISTAC, mereka menjawab ianya mempunyai roh (
soul). Susah hendak digambarkan melainkan anda sendiri pernah bertandang ke ISTAC (yang lama). Perasaan yang ganjil menerjah kalbu tatkala menjejakkan kaki ke dalam dewan besar ISTAC. Seperti masuk ke dalam dunia dan zaman lain. Patutlah ISTAC mampu melahirkan ilmuan yang berwibawa, disamping faktor tenaga pengajar yang hebat, persekitaran yang melunakkan jiwa haiwan kepada jiwa hamba yang kudus memungkinkan dinamika pemikiran ketika bertafakkur. Lebih menakjubkan, ISTAC dibina from scratch oleh Prof. al-Attas- dari aspek dimensi fizikal, intelektual dan spiritual. Saya tak pernah jumpa ilmuan se-dinamik beliau lagi.



Pertama kali masuk ke dalam dewan besar ISTAC yang lama, saya rasa seperti berada di dunia lain.



Courtyard ISTAC yang bercirikan senibina tamadun Islam lampau.




Akhirul kalam, saya ingin menjemput para pembaca UTP untuk hadir ke sesi wacana ISLAMICA yang seterusnya:






Nak tahu lebih lanjut? Klik
sini.



5 ulasan:

rfeev berkata...

Salam,

Maaf kerana tidak dapat hadir sesi ini (kerana saya mahasiswa UiTM).. Saya berada di Selayang.. Praktikal...

Harap dapat bertemu di satu hari nanti...

nahwanNur berkata...

salam akh,

sememangnya kejatuhan/kekurangan pendedahan kepada nilai ilmu dan kemanusiaan membuatkan bidang senibina hanya menjana pembangunan yang berteraskan keuntungan dan nama sahaja. Malah pembangunan kini dengan rakusnya merobek hak semesta alam yang lain yang dengan langsungnya meruntuh sistem ekologi dan kitaran hidupan. Secara halusnya, ia telah sedikit demi sedikit menghakis kerohanian kehidupan manusia yang jelas juga bergantung kepada hidupan lain.

Ilmu senibina sebenarnya amat luas terutama jika mahu menterjemah suatu binaan yang mampu memberi bukan sahaja nilai kepada penggunaan fizikal dan ruang bangunan, tetapi mampu membawa impak/kesan kepada pembangunan cara hidup dan ketamadunan manusia.

Saya secara peribadi dan juga secara langsung terlibat dengan bidang senibina dan islam juga melihat ISTAC salah satu institusi yang memberi nilai keilmuan yang tinggi. Salah satu institusi terkenal seperti alazhar juga saya lihat antara contoh baik dalam melihat dimensi senibina islam.

Mungkin untuk pengetahuan umum juga, selain senibina dan perancangan bandar dan bangunan yang akh nyatakan, salah satu yang terkenal dan dijadikan kajian dasar perancangan bandar islam adalah "an old sana'a city" di yaman. Dan salah seorang ilmuan islam yang amat terkenal yang turut dijadikan rujukan oleh jurubina barat adalah Mimar Koca Sinan. Namun dua entiti ini (dan yang lainnya) sering di pandang sekilas oleh sistem silibus ilmu di kesemua universiti yang menawarkan bidang ini. Lalu terus terkambuslah kesemua ilmu dan keilmuan Islam yang mampu dijadikan silibus pengajaran setaraf/lebih bagus dari ideologi memandang barat sediaada.

Jelas benar wabak 'tertawan' yang dipromosi oleh salah satu stratergi 'colonisation' yang membunuh disiplin kemanusiaan dan keilmuan.

wallahua'lam

p/s: Intipati kupasan dab pandangan sisi yang menarik dari seorang rausyanfikr yang berlainan bidang. Dan menjana minda para jurubina dan pelajar senibina untuk terus berfikir dan menggali ilmu berkaitan dari sudut dan asas yang paling dalam. Tahniah dan terima kasih

Rausyanfikir berkata...

Wassalam kpd semua.

To rfeev: Ada masa bleh ketemu nanti.

To NahwanNur: T Kasih.Nampaknya saudari sendiri seperti mahasiswi seni bina di uia? Kalau begitu moga dapat manfaat untuk sama-sama membebaskan para tawanan dalam penjara ilmu kolonial. Memang, sekilas pandang masalah ini seperti tidak "mencederakan" manusia tetapi kalau kita teliti, sebagai manusia, dimensi spiritual dan metafizik sangat penting. Zaman moden ini kita didedahkan dengan fenomena kemiskinan metafizik sehinggakan para mahasiswa/siswi menjadi satu dimensi seperti robot dalam menjalani kehidupan. Aktiviti bertafakkur itu sudah menjadi satu perkara yang cukup asing. Bayangkan bagaiaman dampak seni bina yang miskin metafizik ini terhadap pembangunan insan di dunia Islam. Ana harap ada para mahasiswa/siswi yang akan mengambil jalan ini untuk meneruskan projek Islamisasi ilmu dalam bidang seni bina. Mungkin saudari bleh mulakan :)

USTAZAH-ENGINEER berkata...

pada saya, projek Islamisasi Ilmu perlu dimulakan sedari asasnya, iaitu mem'projekkan' individu/kumpulan terlibat ke arah Islamisasi ilmu. ia memerlukan usaha yang sangat lama dan berinisiatif.

Kesedaran ini tidak akn wujud jika ilmu senibina hanya tampak pada kemegahan dan kebanggaan memperlihatkan teknologi di mata dunia. Lalu terhasillah kumpulan profesion yang materialistik. Maka, hilanglah nilai islamisasi pada senibina.

Langkahnya, bagaimana membendung materialistik tersebut? Usah melihat pada senibina bangunan, lihat saja pada pembinaan jalan MMR2. Betapa rasuah dan sifat meterialistik merbahayakan rakyat2nya.

Projek Islamisasi Ilmu perlu bermula dengan projek Islamisasi manusia terlebih dahulu. Hanya manusia yg benar2 Islamisasi kemanusiaannya menjadi golongan yang mencintai Ilmu-ilmu islam.

skadar pandangan 5 minit berfikir.

aziz berkata...

salam saya berminat bekerjasama dengan anda untuk senibina islam....
wakil pondok insaniah pekan pahang
azizursyuhada@gmail.com