Rabu, 4 Mac 2009

Antara Pembangunan dan Rakyat: Polemik Alam Sekitar Kedah



Jangan kata ini dakyah parti lawan. Kami ada bukti kukuh kerajaan negeri Kedah bersikap acuh tak acuh terhadap bantahan kami, para environmentalis dan pembela rakyat yang ditindas masalah alam sekitar.Jangan jadikan perjuangan Islam kuda tunggangan puak kapitalis.


Oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (tersiar dalam Milenia Muslim keluaran Oktober 2008)

 

"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”

(Surah ar-Rum, ayat 41)

 

Kedah,  negeri Jelapang Padi ini bukanlah semoden Selangor yang gah dengan kepesatan industrinya. Bukan juga tempat teduhan para pelancong asing yang berpelesaran di butik-butik mewah di sekitar Bukit Bintang tetapi sumbangannya kepada rakyat Negara ini tidak boleh dinafikan sama sekali.

 

Jolokkan nama ‘Periuk Nasi Malaysia’ merupakan lambang kebesaran buat negeri Kedah. Hampir satu pertiga pengeluaran beras yang menjadi makanan ruji rakyat kita dibekalkan oleh para pesawah yang saban hari membanting tulang di bendang-bendang tua yang masih wujud di Kedah.

 

Selain daripada kehijauan tanah sawah yang subur, Kedah juga merupakan antara negeri yang masih mempunyai keindahan flora dan fauna yang menggugah jiwa. Jikalau dahulu kedah jadi rebutan kuasa besar imperaturia di sekitar nusantara sekarang sekali lagi negeri Jelapang Padi ini menjadi rebutan puak kapitalis yang tamak. Melihat flora dan fauna Kedah masih ‘dara’ lagi, terdapat segelintir manusia oportunis yang ingin ‘memperkosakan’ khazanah alam yang kaya itu.

 

Antara kes yang terbaru kita dengar akhir-akhir ini adalah berkenaan kes pembalakkan di hutan simpan Ulu Muda.

 

Hutan Ulu Muda sekilas pandang hanyalah hutan biasa tetapi pada hakikatnya merupakan sebuah kawasan yang cukup penting dan strategik kepada manusia, flora dan fauna yang wujud di Utara Semenanjung Malaysia.

 

Bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada Singapura, hutan simpan Ulu Muda ini turut memainkan peranan sebagai sebuah kawasan tadahan air. Peranan kawasan tadahan air ini sangat signifikan buat 3 buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan juga Perlis bagi tujuan pengairan tanaman, kegunaan domestik dan industri yang mana air tersebut dibekalkan melalui tiga buah empangan utama di Kedah iaitu Pedu, Ahning dan Muda.

 

Episod pembalakkan ini telah bermula semenjak negeri Kedah diterajui oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi. Kerajaan negeri pada waktu itu telah meluluskan 122,798 ha konkesi balak kepada WTK Holdings Sdn Bhd dari  Sibu dan Yayasan Islam Kedah untuk melakukan pembalakkan di 6 kawasan iaitu Ulu Muda, Pedu, Padang Terap, Chebar Besar, Bukit Keramat, Bukit Saiong

 

Beberapa sesi perbincangan mendalam antara kerajaan Negeri Kedah BN dan kerajaan Persekutuan, Datuk Seri  (sekarang Tun) Dr. Lim Keng Yaik selaku Menteri di Kementerian Perusahaan Utama pada waktu itu. Hasil daripada perbincangan tersebut ialah pengharaman kegiatan pembalakkan di semua kawasan hutan simpan yang ada di Malaysia.

 

Oleh yang sedemikian, Kementerian Kewangan telah berjanji kepada Menteri Besar Kedah pada waktu itu, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain untuk membayar pampas an kepada kerajaan negeri Kedah dan pada masa yang sama kerajaan negeri harus bersetuju untuk memelihara hutan simpan Ulu Muda daripada sebarang kegiatan pembalakkan.

 

Secara teknikalnya Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghalang kerja-kerja pembalakkan tersebut kerana ia terlektak di bawah peruntukkan kerajaan negeri. Walau bagaimanapun kabinet telah bersidang dan telah memutuskan  hal ini sepertimana yang telah termaktub berkenaan status hutan simpan yang tidak boleh dijalankan sebarang kerja pembalakkan.

 

Kes pembalakkan ini telah lama dipantau oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semenjak tahun 2003 lagi.


Pada tahun itu juga, kerajaan negeri Kedah Barisan Nasional telah mencadangkan perkara yang sama iaitu pembalakkan menggunakan helicopter (heli-logging). Teknik pembalakkan jenis ini dikatakan mampu mengurangkan risiko kemusnahan flora dan fauna dimana pokok yang ditebang akan diangkat menggunakan helicopter berbanding cara konvensional mengangkut kayu balak menggunakan lori.

 

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah yang baru, Ustaz Azizan Abu Bakar sendiri memberi cadangan yang sama untuk menggunakan kaedah pembalakkan menggunakan helikopter.


Setiausaha Agung SAM, R. Meenakashi, yang juga merangkap penasihat undang-undang CAP membidas kenyataan Menteri Besar Kedah yang membawa hujah kerja-kerja pembalakkan adalah satu kerja mesra alam ditambah pula dengan cadangan pembalakkan menggunakan helikopter adalah satu kerja yang berisiko tinggi.

 

Turut kedengaran juga bantahan daripada Malaysian Nature Society (MNS) cawangan Kedah dimana mereka menyatakan kebimbangan akan dampak yang bakal dihadapi oleh ribuan pesawah yang dijaga dibawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) jikalau berlaku sebarang kesan kemusnahan alam sekitar hasil kesan berantai daripada projek pembalakkan yang berskala besar sebegitu.

 

Idea Menteri Besar Kedah untuk melakukan pembalakkan terpilih (selective logging) turut sama dibidas oleh MNS. Persoalan yang diutarakan oleh MNS adalah bagaimana pembalak dapat mengetahui pokok-pokok yang sedang mereput atau yang telah mencapai tahap kematangan yang sesuai untuk ditebang? Jelas idea ini tidak cukup konkrit untuk menjustifikasikan projek pembalakkan tersebut.

 

Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Jaseni Maidinsa  turut menyatakan perasaan kesalnya terhadap kerajaan negeri Kedah yang begitu beria-ria ingin meneruskan projek tersebut walaupun telah dibantah oleh beberapa pihak dalam masa terdekat ini.

 

Menurut beliau lagi, bantahan yang dibuat oleh masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan terhadap cadangan pembalakkan tersebut adalah wajar kerana projek tersebut jikalau dijalankan bakal melanggar keputusan kabinet yang telah menggazet hutan Ulu Muda sebagai kawasan hutan simpan yang mengharamkan sebarang kegiatan pembalakkan di dalam lingkungan kawasan tersebut.

 

Kesan yang Memusnah

 

Kepentingan hutan Ulu Muda telah dilaporkan dalam pelan World Wildlife Foundation (WWF) yang bertajuk Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Biologi dalam satu penerbitan hasil kajian pada tahun 2003.

 

Malah kawasan tersebut juga telah dikenal pasti sebagai kawasan kritikal untuk dipelihara bagi dijadikan Taman Negara seperti yang dikemukakan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negara (EPU) dalam laporan Malaysian National Conservation Strategy pada tahun 1993.

 

Kesan sampingan bakal dirasai oleh infrastruktur moden juga. Antara yang bakal mengalami masalah jikalau projek pembalakkan ini dijalankan adalah empangan Ulu Muda.Sebelum empangan dibina dan sistem pengairan belum dibuat, kegiatan menanam padi hanya dilakukan setahun sekali dan dibiarkan begitu sahaja selama 6 bulan selepas itu.

 

Selepas empangan Pedu dan Muda dibina pada tahun sekitar 1970-an, melalui skim pengairan Muda barulah para pesawah merasai penanaman padi sebanyak dua kali setahun.Kesan daripada pembalakkan tersebut bakal mengundang ketidak stabilan struktur empangan dan seterusnya menjadikan hayat penggunanaan empangan berkenaan semakin berkurangan.

 

Apa yang lebih menyedihkan buat rakyat Kedah adalah dahulu orang yang membela mereka setelah berkuasa manjadi pemangsa yang sama kepada kehidupan mereka yang sangat bergantung kepada kestabilan ekosistem hutan Ulu Muda.

 

Alasan untuk menggunakan wang hasil balak untuk pembangunan rakyat hanya mampu memberi penyelesaian sementara sebelum bencana alam sekitar yang lebih dahsyat berlaku.

 

Minyak yang kotor

 

Episod pilu berkenaan alam sekitar Kedah tidak berakhir dalam bab pembalakkan ini sahaja. Dalam ‘Deklarasi Rakyat Kedah’ yang dilancarkan di Alor Star pada tanggal 10 Jun 2008, SAM dan 13 kumpulan lain telah menuntut pembatalan projek  Hub Hidrokarbon Kedah kerana risiko kesan sampingan daripada industri petrokimia yang merbahaya.


Seperti yang dinyatakan di dalam deklarasi tersebut, kajian telah menunjukkan bahawa risiko untuk mendapat penyakit kronik bakal meningkat di kawasan komuniti yang berhampiran dengan kawasan indutri yang berasaskan petroleum kerana pembebasan gas hidrokarbon seperti xylene, benzene, dan vinyl chloride.


Kajian yang dilakukan di
China dan Taiwan telah menunjukkan bahawa sesiapa yang tinggal berhampiran kawasan industri petrokimia sangat cenderung untuk mendapat leukemia ataupun mendapat anak yang lahir tidak cukup bulan dan juga cacat.


Risiko tumpahan minyak juga merupakan antara perkara yang dirasaui oleh kumpulan tersebut kerana telah banyak berlaku di banyak tempat di mana tumpahan tersebut akan memberi kesan kemusnahan jangka panjang kepada ekosistem termasuklah manusia.


Pengambilan tanah dan kemusnahan hutan pokok bakau di persisiran pantai bagi membina saluran paip minyak bakal mengubah ekosistem maritim secara berkekalan dan kesan kepada industri perikanan sangat serius sehingga mampu menjejaskan komuniti nelayan yang sangat bergantung kepadanya.

 

Seperti yang berlaku di Tanjung Piai, Johor, kehadiran kapal-kapal besar yang membawa minyak mentah ke tempat loji pemprosesan minyak  telah memberi kesan yang mudarat kepada para nelayan yang telah lama beroperasi di kawasan tersebut terutamanya berkenaan dengan hasil tangkapan yang merosot.

 

Untuk menangani masalah ini, Deklarasi Rakyat tersebut telah menuntut agar kerajaan negeri Kedah:

 

            1. Menolak secara total projek Hub Hidrokarbon Kedah yang akan memberi kesan kepada para nelayan dan alam sekitar sekiranya mengikut pelan penambakan laut Kerajaan Negeri. Malah projek ini tidak sesuai diadakan tatkala krisis alam sekitar dunia semakin membimbangkan.

 

            2.Tidak mengeluarkan kenyataan yang mendahului proses kelulusan undang-undang seperti kelulusan EIA, Cost Benefit Analysis dan melihat Pelan Struktur sebagai panduan sebelum melakukan konsultasi dengan seluruh masyarakat termasuk para nelayan, para petani, masyarakat kampung dan NGOs.

 

            3.Berpegang kepada kata-kata sebelum pilihanraya yang secara jelas menolak projek Hub Hidrokarbon Kedah dan akan mempertahankan hak rakyat.

 

            4. Melakukan Starategic Environment Assesment ( SEA) yang meliputi kajian impak menyeluruh kepada alam sekitar dan sosial.

 

Kes Kuari

 

Antara kes alam sekitar yang menjadi mimpi buruk buat rakyat Kedah adalah berkenaan kes kuari yang melibatkan para penduduk Mukim Sinkir di Yan.

 

Kuari tersebut telah dibuka semenjak projek di Pulau Bunting dijalankan. Pada mulanya projek tersebut hanya bertindak mengambil tanah di kawasan berdekatan, tetapi tidak lama kemudian setelah mereka meneroka kawasan tersebut, para permaju telah menemui ‘lubuk emas’ di kawasan tersebut yang mampu memberi balak dan juga hasil batu daripada kegiatan kauri.

 

Kegiatan ini dapat dilakukan secara berleluasa setelah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan projek-projek tersebut pada 12 September 2001. Antara tanah yang telah menjadi ‘mangsa’ ialah Tanah Kerajaan di sebahagian Kompartmen 16 Hutan Simpan Gunung Jerai dimana ia telah diserahkan kepada dua buah syarikat gergasi sebagai tanah kurnia.

 

Tanpa sebarang rundingan bersama penduduk setempat, projek tersebut telah dijalankan di sekitar kawasan Bukit Badong. Melalui kerjasama dan bantuan nasihat daripada SAM, para penduduk di situ telah merumuskan bahawa projek kuari tersebut telah mencabuli Pelan Struktur Majlis Daerah Yan 1995-2020.

 

Antara kesan teruk yang dialami oleh penduduk setempat adalah berkenaan gangguan bunyi yang serius kepada penduduk terutamanya terhadap 3 buah sekolah yang berdekatan, kerosakkan dusun akibat kesan bunyi yang kuat sehingga mampu menggurkan buah-buahan, pencemaran lumpur terhadap kawasan bendang yang telah mencetekkan Sungai Badong dan Pancor yang menjadi sumber air kepada penduduk,  dan juga banjir lumpur yang telah berlaku di Mukim Sinkir pada 26 Jun 2004.


Isu ini turut diberi perhatian penting dalam Deklarasi Rakyat tersebut.Antara tuntutan yang dibuat oleh kumpulan tersebut terhadap kerajaan negeri Kedah adalah:

 

1. Menuntut janji pilihanraya untuk menutup kuari Gunung Jerai tersebut.

 

2. Menuntut kerajaan mengkaji projek kuari olomite di Pulau Langkawi Geopark.

 

3. Menghentikan kedudukan kuari di Bukit Enggang, Sik yang telah mencetuskan trauma kepada penduduk apabila batu masuk ke dalam rumah.

 

4. Menghentikan Kuari Tanah, Sg Kecil, Ilir, Bandar Baharu yang memberi kesan kepada sumber bekalan air masyarakat.

 

5. Kerajaan Negeri Kedah perlu menguatkuasakan Peraturan-peraturan Kuari Negeri. Pada masa sekarang hanya 5 buah negeri sahaja yang menguatkuasakan peraturan ini iaitu Perak, Kelantan, Selangor, Sabah dan Pahang. Peraturan-peraturan ini bertujuan memberi peruntukan kuasa untuk mengawal operasi pengkuarian di negeri berkaitan dengan keselamatan, amalan pekerjaan yang baik, pematuhan kepada penjagaan alam sekitar dan memastikan pengeluaran bahan batuan secara maksimum.

 

6. Mengkaji projek-projek kuari yang diberikan oleh Kerajaan Negeri terdahulu kepada Yayasan Islam Kedah (YIK) dan Yayasan Basmi Kemiskinan Kedah (YAKED).

 

Cadangan untuk membantu Kedah

 

Masih belum terlambat untuk rakyat Kedah dan kerajaan negeri Kedah berganding bahu dalam mencari penyelesaian yang terbaik buat krisis alam sekitar ini. Antara cadangan yang boleh diambil kira oleh Kerajaan Negeri Kedah dalam menyelenggara urusan tadbir negeri dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri:

 

1. Mewujudkan ecotourism tetapi adalah wajar kerajaan negeri meminta bantuan nasihat daripada badan bukan kerajaan yang memahami selok belok alam sekitar berbanding pemaju yang hanya mengaut keuntugan tanpa memikirkan kesinambungan menjaga alam sekitar.

 

2. Meningkatkan cukai dan harga air walaupun idea ini tidak popular dari sudut pandang politik.

 

3. Memaksa kerajaan persekutuan menunaikan janji untuk memberi wang pampas an RM 100 juta seperti yang dijanjikan untuk melindungi hutan simpan dan kawasan tadahan air di Kedah

 

4. Berunding dengan Pulau Pinang dan Perlis untuk membincangkan kemungkinan meletakkan harga air kepada mereka.

 

Deklarasi Rakyat tersebut juga telah menggariskan beberapa panduan khusus untuk kerajaan negeri Kedah mendalami isu tersebut antara garis panduan yang dikemukan oleh mereka adalah:

            1. Mendesak kerajaan negeri tidak mengumumkan projek tanpa sebarang kajian dan proses kelulusan projek yang melibatkan penyertaan tulen dari semua pihak.

 

            2. Mendesak kerajaan negeri lebih telus dan membuka ruang kepada penyertaan awam yang bernar dalam semua kelulusan projek termasuk melaksanakan dialog awam bagi projek-projek yang melibatkan kepentingan ramai.

 

            3. Mengadakan semua langkah-langkah perlu dalam memastikan bahawa kesan projek pada alam sekitar dan sosial masyarakat tidak berlaku dengan melaksanakan

             

            a. Strategic Environment Assessment (SEA) pada semua projek berskala besar.

            b. Mengadakan DEIA pada semua projek-projek yang melibatkan penggunaan khazanah alam dan berdekatan dengan penempatan atau sumber ekonomi masyarakat

            c. Mewajibkan Sosial Impact Assesment (SIA)

            d. Menerbitkan kajian kos manfaat bagi projek-projek berkepentongan awam

 

4. Mepertimbangkan semua perundangan berkaitan secara ingrasi dan bukan secara terpisah-pisah dalam semua kelulusan projek termasuklah Rancangan Fizikal Negera (RFN), Rancangan Sttruktur Negeri dan Tempatan, Akta Kualiti Sekeliling dan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Akta Perhutanaan dan Pewartawaan jenis-jenis kawasan hutan simpan, panduan pembangunan tanah tinggi dan lain-lain.

 

5. Menggesa kerajaan negeri menunjukkan langkah pro aktif dengan memperbaikki kelemahan sedia ada dalam pelbagai perundangan alam sekitar sebagai contoh kelemahan-kelemahan dalam EIA dan Akta Kerajaan Tempatan. Kami juga meminta kerajaan negeri melakukan Starategic Environment Assesment ( SEA) makro bagi negeri Kedah yang meliputi kajian impak menyeluruh kepada alam sekitar dan sosial.

 

  1. Menghapuskan Campur tangan Politik

Campur tangan politik yang ketara dalam isu-isu pembangunan dan alam sekitar termasuk penguatkuasaan undang-undang oleh agensi kerajaan telah menjadi satu norma yang sangat biasa sebelum ini.


Sebagai contoh, kes penangkapan pencerobohan nelayan pukat tunda ke kawasan pesisir pantai yang jelas memberi tekanan kepada nelayan pantai dan


memusnahkan alam sekitar. Namun sering sahaja akan berlaku campur tangan politik untuk membebaskan mereka yang bersalah ini.

 

Mengingatkan kerajaan agar jangan berlaku sebarang campur tangan politik yang melibatkan proses kelulusan projek dan polisi serta penguatkuasaan undang-undang yang dapat menjamin pembelaan masyarakat dan pemuliharaan sumber alam sekitar.

 

       7.  Mengambil kira Pelan Induk Alam Sekitar Kedah

Pelan Induk Alam Sekitar Kedah merupakan satu polisi yang telah dirangka bermula tahun 2007, yang diketuai Jabatan Alam Sekitar Kedah. Ianya meletakkan keutamaan pemuliharaan alam sekitar di negeri Kedah yang perlu dilaksanakan.

Justeru

            1. Meminta agar Pelan Induk Alam Sekitar Kedah, dapat disemak semula dan diterima pakai oleh Kerajaan Negeri Kedah.

            2. Meminta Kerajaan Negeri turut melakukan Audit Alam Sekitar dalam sebarang projek yang memberi impak kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

Kembali kepada politik rakyat

Walaupun telah menyatakan pandangan mereka dalam hal ini, kerajaan negeri Kedah masih menunjukkan kemahuan yang tinggi untuk meneruskan kegiatan pembalakkan tersebut serta kurang tanda-tanda positif dalam meletakkan agenda alam sekitar sebagai agenda utama perancangan pentadbiran mereka.


Menurut Che Ani Mat Zain yang merupakan ahli kumpulan pesawah yang bernaung di bawah MADA, beliau melihat kerajaan Negeri Kedah tidak memahami hubungan rapat antara alam sekitar dan kebajikan sosial penduduk setempat.


Antara penyesalan yang diluahkan oleh mereka adalah kegagalan kerajaan negeri untuk menghentikan projek kuari dan pembalakkan di Singkir dan Sungai Ilir walaupun sebelum pilihan raya pemimpin PAS telah bersetuju untuk memberhentikannya jikalau  mereka memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri Kedah.


Rakyat Kedah mula mempersoalkan bagaimanakah kerajaan negeri akan menyelesaikan permasalahan yang berhubung kait dengan alam sekitar. Antara isu-isu lain yang dibangkitkan oleh kumpulan tersebut adalah berkaitan dengan kemusnahan Hutan paya Bakau, projek lebu rayaTrans-Eastern Kedah Hinterland, kebajikan sosial komuniti nelayan dan juga isu-isu yang berhubung kait dengan pertaninan seperti pengenalan kepada benih teknologi ubah suai genetik (GMO) menjadi tanda tanya.


Melihat perkembangan semasa yang berlaku, kumpulan tersebut telah menyimpulkan bahawa kerajaan negeri Kedah tidak mengambil endah berkenaan agenda pembangunan yang lestari untuk negeri Kedah.


Seharusnya perkara-perkara yang dibangkitkan ini dijadikan sumber peringatan buat para pemimpin yang berjanji memikul amanah bagi membela rakyat dengan baik tidak kira dimana sekalipun mereka memerintah.Cukuplah sepotong ayat Quran dibawah menjadi peringatan yang baik kepada semua yang memimpin:


“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Ash Shaff:2-3)

 

 

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

yeah.. u r rite dude.. mereka2 di atas itu terlalu rakus merosakkan alam. saya di utp juga sebenarnya turut terkilan dengan sikap sebahagian besar warga utp yang boleh saya kata kan tidak bertamadun. maksud saya, lihat sahaja sampah! toilet! dahsyat.. tidak menggambarkan mereka seorang mahasiswa. result on paper bagus. akhlak and adab dengan alam zero. mungkin sudah jadi budaya kita. hurm..

anyway tahniah atas kesungguhan menggerakkan Islamica.. hee.. Mcdonalization.. great idea!

Hasbullah Pit berkata...

Hodoh sungguh Federalisme.

Perajaan Persekutuan Kaya.
Kerajaan negeri ada yang kaya, ada yang miskin.

Yang miskin pening kepada, mewujudkan kemungkinan untuk menggadaikan alam sekitar.

Yang peliknya, Kerajaan persekutuan yang kaya itu boleh cetak duit.

Bank Negara hanya milik persekutuan.

"Pelan Rangsangan" yang dalam bentuk penciptaan duit baru itu hanya dikuasai persekutuan.

Tidak pula ambil 7 billion, bahagi 13 negeri dapat 1 negeri 500 juta.

Rausyanfikir bercakap tentang 100 juta, saya bercakap tentang 500 juta.

Akulah berkata...

Askm...

Hang ni...mcm publish diri sendiri saja. Org yg ikhlas berjuang.. tak payah nak puji diri sendiri. Masih ramai lagi org mcm hang yg boleh berpolitik. Hang ni berpolitik utk tonjol diri sendiri. Nak dapat sanjunganlah tu konon. Piiiigi lah. Tak payah lah nak tutup muka kalau hang betui2 berani. Baik hang berhijrah ke Afghanistan saja. Negara tu sesuia dgn pesen hang.