Ahad, 22 Mac 2009

3 benua




Sibuk. Sangat sibuk. Baru sahaja keluar dari fasa kesibukkan pertama semester Januari 2009 ini dengan menyelesaikan beberapa buah kertas ujian. E-mail dan komen yang masuk pun sudah melimpah ruah tidak terjawab oleh saya. Maaf kepada yang berkenaan. Harap dapat bersabar.



Kesibukkan bidang akademik yang pekat dengan unsur kapitalisme telah membantukan produktiviti penulisan saya mutakhir ini. Tak ada masa pun untuk ber-
tafakkur secara tenang. Projek kejuruteraan kimia yang menggila telah menjadikan diri saya seorang rausyanfikir yang menjadi watak tertawan sebentar. Inilah kegilaan kehidupan dibawah sistem pendidikan kapitalisme.



Teringat komentar menarik daripada pensyarah saya yang berna Ir. Abdul Aziz yang mengajar kami subjek 'sisa buangan bendalir industri
' (Industrial Effluent Engineering). Beliau cuba membuat perbandingan ringkas antara sistem pendidikan tinggi kejuruteraan kimia di Amerika Syarikat dan juga Malaysia. Kata beliau, jaguh dunia dalam kejuruteraan kimia seperti Massachusets Instititue of Technology (MIT) dan Berkeley tidak mendefinisikan kejayaan mereka di peringkat undergraduate tetapi lebih kepada post-graduate yang melahirkan penemuan hebat. 



Apa yang mahasiswa kejuruteraan kimia mereka lakukan sewaktu di peringkat undergraduate? Ir. Aziz kata, sistem di sana menekankan dinamika pendidkan di peringkat undergraduate kerana mahasiswa kejuruteraan kimia di sana hanya mengambil subjek asasi seperti reaction engineering, separation process etc. dan selebihnya apa-apa subjek yang membolehkan mereka lulus dengan cemerlang. Di peringkat undergraduate, mereka tidak akan didedahkan dengan mendalam akan perihal kejuruteraan kimia.



Di UTP juga menekankan falsafah
well-rounded students tapi di peringkat teori sahaja. Realitinya, mahasiswa UTP merupakan bahan bakar kepada sistem kapitalisme global (termasuklah ahli gerakan Islam kampus).



Mana tidaknya, kami memang robot! Semua perkara akademik dibentuk melalui acuan korporat seperti
key performance indicator (KPI) etc. Mungkin inilah drawback apabila universiti dipegang oleh syarikat minyak no.1 negara. Maka, orientasi pendidikan-nya pun menjurus kepada penghasilan sumber manusia (human capital) yang jelas sekali berbau kapitalistik.



Manusia yang 'mencabar' sistem yang sedia ada akan dilabel sebagai 'bodoh', 'bebal' dan segala konotasi yang melemahkan moral intelektualisme sebagai seorang mahasiswa atau pensyarah.



Ingat, kadar dan kapasiti intelektualisme tidak boleh dikuantifikasikan (
quantification) dengan mudah dan diambil sebagai ukuran mutlak seperti yang jelas dipaparkan oleh sistem CGPA! Universiti bukan kilang produk pekerja! 



Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam Dewan Masyarakat Mac 1988 menulis :

“ …universiti bukan hanya bangunannya, bukan hanya kenyataan zahirnya. Sesungguhnya, dalam sejarah universiti manapun, pengajar atau gurunya dan yang belajar daripada mereka adalah unsur utama yang kewujudan universiti. Jadi cemerlang atau tidak universiti itu bergantung kepada ilmu pengetahuan dan pengenalan yang ada pada diri guru-gurunya masing-masing. Sekiranya ilmu yang ada pada guru itu tidak betul-betul matang serta mendalam maka tentu sahaja taraf universiti tidak akan cemerlang”



Ah, alangkah bagusnya kalau jemaah Islam kampus mampu membawa agenda ini dengan baik. Tahukah anda para pensyarah kita yang ikhlas dalam mendidik turut sama, dalam diam menentang sistem totok ini? Kalau tak tahu, nasihat saya pergilah berbual dengan mereka.




Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, malam Jumaat saya dan beberapa teman keluar untuk
supper di kedai mamak Tronoh.


Lamberto, saya dan Leo.


Sengaja pada kali ini saya mengajak rakan sekelas saya, Leonhard Neunteufel (nama manja, Leo yang membawa maksud Singa dalam mitos Yunani) yang berasal dari Austria ( tuan rumah Euro 2008) untuk menikmati makanan dan budaya santai orang Malaysia di kedai mamak. Beliau dibawa ke Malaysia sebagai mahasiswa
post-graduate melalui skim pertukaran pelajar Malaysia-Austria.



Turut sama menyertai adalah saudara Syafiq (firusfansuri.blogspot.com) dan juga rakan karib dan teman sebilik saya, Lamberto Edu Mbiang daripada Equatorial Guinea yang terletak di Barat Afrika.



Ya, saya tinggal sebilik dengan lelaki Afrika yang beragama Kristian. Selalu-nya ahli jemaah Islam kampus 'digesa' untuk tinggal sebilik atau serumah dengan ahli jemaah yang lain, selalu-nya atas alasan ingin 'menjaga' ahli daripada
futur gerak kerja Islam.



Saya tidak bersetuju. Sepatutnya, ahli gerakan Islam jikalau dicampak di mana-mana sudut planet bumi ini pun seharusnya mampu menjadi seorang
rausyanfikir. Dengan mengenakan dasar tutup pintu sebegitu rupa, biarpun ada baik-nya dari segi membina ukhuwah, akan memberi dampak negatif kerana kita seolah-olah memberi satu suasana ideal kepada mereka untuk hidup.



Makan sama-sama, main bola pun nak sama-sama. Patutlah orang naik rimas lihat ke-ekslusif-an mereka dan seterusnya melebarkan jurang dakwah antara
da'ie dan mad'u.




Orang yang takut kepada bayang-bayang menandakan
ketidakmampuan dalam berhadapan dengan realiti sebenar yang maha dahsyat di luar. Sikap dan metod peng-tarbiayah-an begini lebih sinonim dengan kaedah peng-indoktrinasi-an kerana kita menjadikan ahli bergantung kepada sistem ke-jemaah-an tanpa mengambil kira realiti di dunia luar yang lebih mencabar. Tidak hairan ramai yang akan futur setelah keluar kampus. Antara sebab utama, pada hemat saya adalah sistem perlindungan jemaah yang idealistik atau dalam bahasa lebih mudah 'syok sendiri'.




Allah S.W.T menghantar saya ke bumi Tronoh ini bukan untuk menjadi manusia ekslusif dalam melakukan gerak kerja Islam kerana jelas terang bersuluh,
mad'u yang dikurniakan oleh Allah S.W.T terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan warga negara. Teramatlah rugi sepanjang 5 tahun kalian hidup di kampus yang bertaraf antarabangsa tetapi membawa mentaliti sindrom anak watan dalam berkawan dan bergerak kerja. Bayangkan betapa banyak ilmu dan pengalaman yang mampu kita peroleh daripada sahabat-sahabat yang bukan Islam dan juga pelbagai warganegara lain. Bukankah semua ini aset buat jemaah Islam kampus dalam menimba pengalaman sebelum merangka cita-cita menghidupkan khilafah Islamiyyah yang telah terkubur?



Kadang-kadang saya tergelak melihat ahli jemaah Islam kampus mengenakan baju yang membawa slogan seperti gambar di bawah:





Sekali lagi kita dapat lihat bagaimana visi dan misi gerak kerja Islam kita di kampus hanya dibuai mimpi dan cita-cita yang idealistik. Sudah tentu saya juga turut optimis dengan kejayaan Islam pada masa hadapan tetapi dalam usaha kita mengorak langkah ke peringkat itu, dengan dasar skim perlindungan jemaah yang sebegitu rupa, nampaknya agak sukar untuk jemaah Islam kampus melahirkan para pemimpin yang mampu meleburkan sempadan nasionalisme negara-negara Islam. Buktinya seperti yang telah saya jelaskan adalah kerana mentailiti tertutup dalam pergaulan sehari-harian dengan warga asing ini.



Sepatutnya, jemaah Islam kampus UIA dan UTP menjadi contoh kepada kampus lain dalam melahirkan manusia-manusia yang mampu meng-antarabangsa-kan (internationalization) perjuangan Islam.



Apakah saya tidak rasa 'geli' ataupun 'takut' di-Kristiankan oleh mereka-mereka ini?



Tidak kerana saya
kenal dan tahu agama, budaya mereka dan pada masa yang sama saya senantiasa memantapkan kefahaman aqidah Islamiyyah menerusi metodologi pembinaan pandangan alam Islam yang sistematik hasil tunjuk ajar murabbi-murabbi saya.



Bukankah perihal aqidah dalam Islam tidak boleh ber-taqlid? Setiap ahli gerakan Islam setidak-tidaknya harus melalui proses dialektik dalam menguji kefahaman aqidah Islam dalam berhadapan dengan pelbagai jenis ideologi yang diskrit. Malangnya, sistem tarbiyah kita tidak menekankan ini kerana kita tidak ada tradisi dialektik fikrah dalam sistem tarbiyah jemaah Islam kampus.



Selagi mana nama-nama seperti Imam Al-Ghazali, dan Syakh Nurrudin al-Raniri tidak diperkenalkan dengan tuntas, melebihi status yang sekian lama dinikmati oleh Imam Hassan al-Banna dan Syed Qutb dalam manhaj gerakan Islam, maka saya rasa agak sukar kita keluar daripada kepompong ini.



Gerakan Islam harus jelas akan siapa autoriti dalam pembinaan fikrah. Fikrah harakiyyah seharusnya menjadi subset kepada pandangan alam Islam (ru'yat al-Islam lil wujud)  yang telah dibina dengan lengkap oleh ulama' silam melalui tradiisi kalam jadid seperti yang diketengahkan oleh ulama' kalam seperti Al-Ghazali, Al-Jili dan Fakhr Din al-Razi.



Melihat Leo mengenakan kain pelikat dan baju Melayu dengan bergayanya, saya terfikir untuk berfalsafah bersama mereka:



Proses Islamisasi pakaian kepada bangsa Eropah. Saya pakai kain pelikat ini pun atas arahan murabbi saya, Cikgu Azmi TERAS. Memang pakai ke mana-mana sahaja di luar waktu akademik.



" Guys, you want to know why the Malays like to wear this sarong? Surely there must be some kind of philosophy that underlies it" saya mulakan bicara



"Yeah! Tell us why!" sahut Leo dan Lamberto.



" Haha. Ok. It is like this. The reason being the Malays like to wear sarong is that it helps to preserve the fertility of the men's reproductive system. In hot and humid climate of ours, it is very important to understand the nature of our reproductive system. If you wear tight underwear all day long, it will affect your reproductive system in the long run"



"Wow, we do not know this before" kata Lamberto.



" Haha, yes many people are unconsicous of its philosophy. That is why the Malays tend to have a lot of children!"



Kami ketawa berdekah.



Perbulan mudah dan
witty sebegini sahaja mampu membina jambatan dakwah antara mereka ini. Hujah saya itu bukan rekaan kerana Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sendiri telah melakukan kajian ini (termasuklah bahaya pemakaian bra yang ketat bagi perempuan mampu memberi kesan kanser payudara).



Peluang berkenalan dengan Leo ini membuka pintu untuk saya menyemak idea-idea Prof. al-Attas berkenaan Ketamadunan Barat. Puas sudah saya
interrogate Leo dan ternyata apa yang diketengahkan oleh Prof. al-Attas adalah benar dari sudut pandang dan pengalaman Leo.



" What's the most important thing in your life Leo?"



" My girlfriend, my family and scouting. I love scouting! " balas Leo.



"How about religion? Does Christianity important to you?" saya bertanya kembali.



"Well not really... almost every youth in our country do not adhere to Christian teachings any more..."



Tepat sekali kata failasuf agung Jerman, Friedrich Nietzsche melalui mulut Zarasthura bahawa "God is dead!"



Kata-kata Nietzsche itu telah berkumandang sekian lama sewaktu zaman Pencerahan (
Enlightenment) lagi. Dan kini, kesan-nya lebih parah kerana wabak kehampaan ma'na kehidupan (nihilism) yang miskin ma'na metafizika semakin mencengkam dalam latar semasa orang Eropah.



Leo menggambarkan bagaimana anak-anak muda Austria yang telah banyak terjerabak dalam kancah ketagihan dadah dan arak-semata-mata kerana mahu mengisi kehidupan mereka yang hampa nilai rohani dek proses sekularisasi yang dahsyat.



Berbeza pula dengan teman sebilik saya ini. Lamberto, sama seperti mahasiswa Kristian Afrika yang lain, mereka merupakan manusia yang ambil peduli akan aspek keagamaan Kristian. Jikalau di Eropah agama Krisitian bukan lagi menjadi pegangan hidup, di Afrika berlaku
reverse pyschology.




Sudah banyak kali saya berdebat dengan Lamberto dan rakan-rakan Kristian yang lain. Selalunya saya akan cuba memahami latar sosio-ekonomi dan politik negara-negara mereka untuk saya gunakan sebagai inti perbincangan keagamaan. Ternyata mereka mempunyai masalah cuma penyelesaiaan-nya masih tidak dapat ditanggapi oleh diri mereka masing-masing.




Walaubagaimanapun saya telah menghadiahkan terjemahan Bahasa Inggeris al-Quran yang ditulis oleh Abdullah Yusuf Ali kepada beliau dengan harapan satu hari nanti Lamberto dapat ketemu
al-haqq dengan izin-Nya.




Ingatlah wahai sahabat-sahabat UTP, kita mungkin memandang sepi kehadiran mereka di kampus hanya kerana kita orang tempatan yang terperuk dalam sindrom anak watan, tetapi entah siapa tahu mereka-mereka inilah yang bakal menjadi pemimpin negara mereka kelak dengan izin-Nya. Pada waktu itu, ternyatalah persahabatan dengan mereka ini bakal membuahkan hasil yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.



Oleh itu, jadikanlah kehidupan anda di kampus yang bertaraf antarabangsa seperti UIA dan UTP ini sebagai pemangkin kepada gerak kerja diplomasi perjuangan Islam untuk jangka masa panjang.




Sekadar berkongsi.




6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

subhanallah,

ana amat setuju soal exclusivity tu... tp kenapa mesti kite bertengkar tentang soal sebegini? boleh tak kalau enta bawakan soal ni pada pimpinan. sekurang-kurangny para jundi tidaklah terkial-kial...

Zulfadhli berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Rausyanfikir berkata...

Salam kpd anonymous dan Zul,

Ana kira dua2 sahabat sejemaah UTP.

Alangkah baiknya antum semua TAHU CERITA SEBENAR.

Kalaulah ana diberi peluang seperti yang mana antum berdua harapkan, sudah lama blog ini tidak akan deras mengkritik jemaah Islam kampus.


Kritikan ana bukan semata-mata untuk menjahanamkan jemaah tapi sebagai satu dialektik kepada perubahan. Kalau susah sangat nak bertemu, bermuzakkarah malah BERUKHUWAH! Maka, bagaimana ana dapat membahu bersama jemaah?

Kepimpinan sem ini sangatlah tidak sensitif kepada masalah perbezaan fikrah yang ana hadapi. Janji manis untuk ketemu tapi sampai sudah tidak diketemu.

Maka ana membuat kesimpulan, MAJLIS TERTINGGI sudah membuang ana daripada jemaah secara silent mode.


Kayu ukurnya senang sahaja. Ukhuwah sesama SAHABAT SE-BATCH pun sudah hancur. TIADA SIAPA datang jumpa ataupun minta penjelasan yang sewajarnya daripada ana.

Hanya prejudis yang ada.


Kritikan ana berkenaan isu ini bukanlah dituju kepada orang macam anta Zul, tetapi SECARA TOTAL memang begitu bukan?


Ana juga tidak katakan ana seorang yang betul dan semua benda jemaah buat salah. Cumanya disini, TIADA RUANG YANG SEWAJARNYA diberikan oleh jemaah dalam menegakkan keadilan buat permasalahan perbezaan fikrah ini.


Pimpinan terlampau 'sibuk' dengan agenda politikus. Maklumlah, wala' jemaah Islam kampus UTP kan pada P*S, bukan pada GAMIS hatta sesiapun.

Malah murabbi antum semua pun duduk di luar kampus!


Macam mana ni...tak synchronize...

Ana percaya anta Zul akan jadi pimpinan sem depan. Ana harap kerjasama dan kusut masai antara ana dan jemaah dapat diperbetulkan sem depan. Untuk sem ini, ana hanya mampu duduk dan tenung dari jauh.


Ana tak percaya lagi MT Jemaah Islam Kampus, begitu juga ukhuwah fillah superficial jemaah.


Maaf, keras bunyi nya tapi itulah yang apa ana rasa.


Bukan tak ajak, dah berbuih.

malaydentist berkata...

Saya meraikan kepelbagaian bentuk pemikiran di UTP walau diperingkat bawah sedar wujud pelbagai penentangan...

Berbeza jalan tetapi sama tujuan.

Tahniah, selamat sukses saudara2!

terry bogart berkata...

huhuhu...
balik umah cepat sngat..kalau x...mesti dapat join

Tanpa Nama berkata...

wow, nice one from u. ya. saya selalu nampak leo chatting at v3 cafe. anyway. keep on writing good articles. sentiasa menyedarkan saya dan kwn kwn lain betapa lalai nya hidup di utp ini. terlalu sibuk dgn bidang akademik shj. salam