Rabu, 25 Februari 2009

Seminar: wadah intelektualisme buat para aktivis umat.



Alhamdulillah, selesai sudah dua persidangan yang menarik. Walaupun agak kelam kabut kehidupan saya sebagai mahasiswa tahun akhir kejuruteraan kimia, peranan sebagai rausyanfikir tetap perlu dilaksanakan sebaik mungkin.


Apakah ada perkara yang lebih berharga daripada mencari ma’na al-haqq (reality and truth)?


Maka, sebagai senior/abang/orang tua di kampus, saya harus meninggalkan sesuatu buat warga kampus canaikan dengan bersungguh-sungguh di masa hadapan bagi memperkasakan kembali institusi kemahasiswaan di UTP.


Lahirlah sebuah makalah bertajuk “The University and the captive mind” yang telah saya bentangkan di dalam Regional Conference on Humanities 2009 tempoh hari di UTP.


Setakat ini sambutan amat menggalakkan daripada para pensyarah saya terutamanya para pensyarah fakulti Social sciences and Humanities.


Lebih ‘memeranjatkan’ saya, UiTM Shah Alam telah mempelawa saya untuk mengupas panjang lebar berkenaan kertas kerja tersebut di hadapan warga UiTM pada bulan Mac ini. Tak sangka ada pensyarah UiTM Shah Alam yang sanggup memberi ruang yang sebegini untuk insan kerdil seperti saya berkongsi rasa dan pengalaman dengan warga UiTM.


Tekanan intelektual dan emosi mula menghinggap jiwa. Mujur ada sedikit sedutan video Syakh Dr. Afifi al-Akiti dengan alunan qasidah ‘Qad Kafani’ nukilan mujaddid sufi agung Imam ‘Abdallah Ibn ‘Alawi al-Haddad untuk menemani diri di saat sudah tidak bermaya lagi untuk memerah otak.


Persidangan Regional Conference on Humanities 2009 memberi beberapa ma’na penting dalam proses pengislahan di UTP. Mungkin tidak ramai yang menyedari akan kepentingan persidangan seperti ini kerana secara am-nya, manusia-manusia yang berslogankan "perubahan" lebih event-oriented yang bersifat robotik dan kaku dalam menilai the essence of the problems.


Peluang untuk membina ukhuwah bersama para pensyarah yang saban hari memikirkan jalan terbaik untuk menyuntik roh kemanusian dalam jiwa makhluk yang bakal menjadi jurutera ini dipersiakan dengan sebegitu sahaja. Tidak ramai yang hadir malah saya tak nampak wakil Majlis Perwakilan Pelajar UTP untuk turut serta berdiskusi dengan serius bersama para pensyarah dan wakil dewan senat UTP yang terpacak saban hari dalam persidangan tersebut!


Tak hairanlah warga UTP ambil sikap acuh tidak acuh dengan mereka. Pemimpin ‘tin kosong’ maka pengikutnya begitu. Betullah peribahasa Melayu yang berbunyi “bapa borek, anak rintik”. Orang di luar sibuk mencacai berpolitik kita pun sama nak jadi seperti mereka sedangkan peranan mahasiswa harus lebih jelas sebelum memutuskan sesuatu untuk perjuangan dalam acuan ke-mahasiswa-an. Apa guna kita jadi carbon copy kepada para politikus. Mustahil perubahan dan pembaik pulihan dapat berjalan lancar dengan adanya 'watak tertawan' sebegini!


Kita ketepikan dulu isi yang mendukacitakan ini kerana akar permasalahan golongan ini tidak terletak kepada badan-badan yang mereka dokongi tetapi lebih kepada proses tarbiyah yang mereka jalani saban hari seperti proses input – output yang jumud dan indoktrinisasi yang robotik sifatnya (akan dikupas pada masa mendatang).


Saya ditempatkan bersama Prof. Murad Merican dan beberapa pembentang lain dalam sesi pembentangan kertas kerja. Para hadirin terdiri daripada para pensyarah dan juga beberapa sahabat handai saya yang sudi meluangkan masa dalam menimba ilmu dalam majlis sebegini.


Menanti dengan sabar untuk menekan punat tetikus.


10 minit. Itu sajalah masa yang diberikan kepada saya untuk membentangkan kesulurhan isi penting makalah tersebut. Mustahil dapat saya sampaikan dengan baik dan adil dalam jangka masa sependek tersebut dek kerana kelambatan sesi pembentangan sebelumnya.


Walaubagaimanapun, peluang yang ada jangan dipersiakan. Ikuti pembentangan tersebut di bawah entri ini.


Prof Murad benar-benar menyampaikan kuliah ketika itu.

Selesai sudah pembentangan saya, giliran Prof. Murad menyusuli. Rupa-rupanya, makalah kami membawa tema yang hampir sama iaitu analisa kritis berkenaan sistem pendidikan universiti kontemporari. Prof. Murad dengan selamba ‘menembak’ para hadirin dengan peluru intelektual kritis sehingga saya sendiri pun ‘terluka’ dek tembakan tersebut.


Ternyata beliau bukanlah seorang intelektual sipahi. Buktinya adalah ini:


Apabila saya membelek-belek karya beliau ini, saya dapat katakan bahawa kami mempunyai korpus intelektualisme yang hampir sama. Cumanya sudah tentu beliau lebih lebih ke hadapan kerana beliau seorang Profesor!


Rujukan bibliografi yang terkandung dalam karya beliau itu sememangnya kena dengan jiwa intelektualisme saya. Mungkin perbezaan kami adalah saya memberatkan diri kepada aliran al-Attas dari segi penyelesaiaainnya ya’ni menumpukan kepada epistemologi Islam klasik berbanding korpus intelektualisme pasca kolonial dan segala macam critical theory lagi.


Buku ini harus dimiliki oleh mahasiswa yang ingin benar-benar serius memahami peranan media dalam mempengaruhi pandangan alam manusia pada abad ini. Highly recommended.


Keynote address untuk persidangan ini disampaikan oleh dua intelektual kontemporari kita ya’ni Prof. Osman Bakar dan Prof. Syamsul Amri. Memang cukup menarik sekali pembentangan mereka. Saya lampirkan di bawah beberapa gambar berkenaan pembentangan Prof. Osman Bakar untuk difikirkan bersama isi penting yang tersembunyi di balik gambar tersebut.





Seminar Sains Islam anjuran Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) tempoh hari yang dianjurkan di UIA lebih menarik untuk saya ceritakan.


Guru falsafah sains saya, AP Dr. Adi Setia membentangkan makalah bertajuk “Green is graceful:some practical lessons from the history of Islamic science and technology”. Saya sangat berminat untuk mengupas lebih lanjut makalah ini bersama Dr. Adi agar dapat dibentuk satu pasukan intelektual yang mempersiapkan kerangka projek pengislaman pembangunan a.k.a “pengislahan hijau” dalam lapangan sains dan teknologi.



Guru ilm kalam dan mantiq saya, Dr. Farid Shahran (Naib Presiden ABIM) seperti biasa mengupas panjang lebar akan kepentingan mempelajari ilm kalam (theology) dalam mendepani cabaran sekularisasi yang sulit dalam lapangan fard kifayah. Saya sangat setuju dengan saranan beliau agar pengajaran subjek aqidah harus bertunjangkan tradisi ilmu silam yang dikupas dengan baik sekali oleh para imam ilm kalam seperti Imam al-Maturidi yang mana karya beliau telah disyarah panjang lebar oleh al-Taftazani dan al-Raniri.


Sesi pembentangan Dr. Syamsuddin Ariff pada sebelah petang kurang mendapat perhatian yang setimpal oleh para hadirin. Mungkin kerana mauduk perbincangan berkenaan Ibn Sina tersebut terlampau berat ataupun kerana perut masing-masing sudah sarat dengan makanan yang lazat.


Saya sendiri berasa sukar untuk memahami apa yang diperjelaskan oleh Dr. Syamsuddin Ariff. Tapi saya tidak dapat tidak harus menerima Ibn Sina sebagai tokoh penting dalam membina sistem pemikiran intelektualisme saya terutamanya berkenaan ilm mantiq (Islamic logic).


Agak sulit untuk kita fahami Ibn Sina jikalau tidak dapat kita kaitkan sumbangan beliau dalam bidang falsafah (bukan semua benda beliau perjuangkan betul tapi dari segi pembinaan sistem pemikiran, Ibn Sina cukup hebat!) Tidak hairanlah Prof. al-Attas sendiri mendapat banyak manfaat daripad Kitab al-Syifa’ Ibn Sina dari segi ilm mantiq.


Pembentangan Prof. Azizan dari Univeristi Malaya merupakan satu pemangkin yang hebat dalam menterjemahkan unsur falsafah rausyanfikir ketika menghadiri sesi seminar seperti ini. Ilmu yang kompleks tersebut harus dijadikan asas kepada perjuangan intelektual di peringkat akar umbi kerana disitulah masalah sebenar kita!


Lihat saja kupasan gambar dibawah. Cuba renungi ma’na gambarajah tersebut. Saya pasti ianya satu gambaran yang sarat dengan ma’na penting dalam memahami permasalahan ummah:


Mungkin itu sahaja daripada saya ketika ini. Edisi akan datang, akan saya cuba kupaskan lagi dengan lebih mendalam berkenaan perihal intelektualisme ini.


*Video pembentangan saya:



 


3 ulasan:

alqasam berkata...

Saudara Wan,

Setiap hari kami suamiisteri akan membuka laman Rausyanfikir. Terima kasih atas perkongsian dalam pencernaan pemikiran. Cuma seandainya dapat dikongsi video-video lain atau kertas-kertas kerja seminar-seminar yang saudara bentang dan hadiri amat bertuahlah rasanya andai dapat kami cicipi sekali.

Buku Prof Murad nampak menarik sekali. InshAllah ada rezeki pasti kami akan dapatkan.

Terima kasih.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam kak,

Boleh2, Nak email. Nanti saya emailkan.

lelucon berkata...

"...Dr. Syamsuddin Ariff pada sebelah petang kurang mendapat perhatian yang setimpal oleh para hadirin."

tak berapa setuju la. Saya cuba fokus waktu tu. Dan lagi kan ada hadirin yg kemuka soalan lanjutan (maknanya dia fokus juga)... :)

p/s: blog ni mmg bagus.