Selasa, 27 Oktober 2009

Politik di kalangan umat







Oleh Prof. Wan Mohd Nor. Wan Daud ( mantan Timbalan Pengarah ISTAC, kini Felo Penyelidik Utama ATMA, UKM)



Para penguasa bersama anbiya di syurga Tuhan,

Jika amanah dipikul bersuluh Tanzil memancar keadilan,

Jika amanah dikhianati, kerana terpukau kilau Firauni

Merekalah paling tersisih dari-Nya, terdinding wangi Firdausi


Aristotle menulis politik sesungguhnya cabang etika,

Faylasuf Awwal bijak mengatur benda dan perkara,

Kini, semua negara dihormati dunia, mengamalnya

Penguasa mereka dipayungi etika, persetujuan bersama

Etika dibincang berkurun lama, diperkuduskan mereka.


Umatku di mana-mana, telah mengetepi Lampu Ilahi,

Cuba menjejaki Eropah yang telah lama menjajahi

Memilih bentuk moden, semangat diri kuno lagi

Diri kuno yang tidak terkena Suluh Muhammadi.


Eropah menjadi moden kerana semangat dirinya bertukar

Ditolak anasir sihir dan agama mencengkam jasad dan akal

Setelah bertemu umat Mustafa di Quds, Sicily, Granada

Lilin akli diganti sumbu dan digilap cerminnya

Melihat kembali khazanah Yunani, lama dikecam Gereja

Lilin baru menerangi Paris, Bologna dan seluruh benua.


Lilin Eropah diperbesarkan sumbunya ke Tanah India Merah

Bagai pendekar, Dunia Baru itu membuka langkah

Quincy, Adams, Jefferson menyelam ke dalam Sejarah.

Mendalami khazanah sendiri, merangka ke depan jauh

Politik Baru terpancar dari etika rumusan para penubuh

Kelemahan dalam diri, diperbaiki, diselesai segala mushkil

Benarlah sabda Nabi, Tuhan restui Kerajaan kafir jika adil.


Malu Nabi melihat pengikut Sunnahnya

Mereka mengkaji Lampu Nabi dan Khalifah kita

Meminda mengikut keperluan bangsa dan sejarah mereka:

Berani menghukum Presiden berdusta pada bangsa

Tidak malu mengganti Menteri yang menyalahguna kuasa

Perbezaan politik hanyalah pelbagai cara mencapai cita

Cita tidak berbeza – kemajuan bangsa paling berkuasa

Menyebar citra ke segenap ceruk bumi dan hati manusia.


Kerangka mereka tidak berubah, siapapun memerintah

Setelah dua kurun, Roma Baru bangun dari Tanah India Merah.


II


Saudara, politik wasilah penting menguasai umat

Memecah masalah hidup bermasyrakat

Menggenggam erat Syariat Mustafa penuh hikmat

Menjulang umat terbilang bila hati-budi diikat sepakat.


Sayang, perbezaan kaedah mencapai maslahah

Diperunggulkan tinggi bagai ghayah tak berubah

Umat berpecah-belah dari masjid ke sekolah

Keluarga, suami isteri, saudara mara bertelagah

Yang jelas berfaedah dunia-akhirat tiada diendah

Hati mengisi marah, akal sentiasa mencari salah.


Walau bangsa sendiri bangga mengisi kerusi

Kita tersungkur di medan pendidikan, ekonomi

Walau kini hati galak gembira menang bersabung

Anak-cucu derita kehilangan maruah dan kampong


Politik umatku di mana-mana

Diperkudus tinggi menyamai agama;

Penguasa menentu hukum dan etika

Senang saja menegur alim ulama, sesiapa saja:

Tanpa dibeza puyuh dan helang, antara mereka

Tanpa mengira siapa sebenarnya berdosa.


Ketika kuasa mahu digenggami

Bakal pemimpin mudah dicari

Senyum murah diberi, kelihatan ikhlas sekali

Berbaik dengan ulama, cendekiawan di sana sini

Bersedia diteguri, marah dikekangi.

Tapi bila kuasa tergenggam erat,

Belang lama disimpan, kini jelas terlihat.

Akan menerkam siapa yang menghalang jalan

Walau dalam diam dan senyuman

Walau hadir di depan atau ketiadaan

Pasti hendaknya dilaksanakan.


Ilmuan akan dikecam jika berani melantangi suara

Akan dianggap tawaduk jika muka tunduk sentiasa

Akan dikira berjasa jika selalu berbicara:-

Tentang pencapaian sekelumit tuannya

Tentang pemikirannya walau sehelai dua

Tentang arkanul Islam tahap remaja

Tentang kesilapan kekuman rakyat jelata

Tentang kelemahan musuh ketuanya.


Pesan Mustafa ulamalah pewarisnya

Bukan yang berlilit kepala dan berjubah saja

Kini secara amali diganti semua penguasa

Ulama, sarjana mentafsir segala laku dan kata.


Universiti berebut mengalung ijazah tertinggi

Ibn Ubayy disanjung dan dinobat ahli ajaran Nabi.

Orang Eropah tersenyum sesama sendiri penuh arti

Islam tidak perlu dimusuhi seperti dulu lagi:

“Sumbu dan cermin Lampu Muhammadi diganti

Ciptaan kitalah kini menerangi

Semua lembaga pengajian tinggi dari Brunei ke Turki

Mereka menghantar ke sini bakal ulama dan ilmuan

Dengan bayaran tinggi kita tentukan

Rela menutup lembaga ulong tempatan

Kerana perbalahan lama dan dendam tersimpan.”

Bila Lampu bersumbu baru, zaitun diganti benzin

Sinarnya samara, asapnya mual, Lampu agung diganti lilin

Muhammad, Ghazzali, Raniri, Attas dianggap kuno, ketinggalan

Ataturk, Taha Huesin, Hanfi, Arkoun disangka penyuluh jalan.


Sukar mendapat pemimpin rakyat rajin beribadat

dan bisa mengurus mesyuarat mengawal peta pendapat

Yang keruh dijernihkan, yang samar diterangkan

Yang kusut dileraikan, yang salah dihukumkan.


Bila permata siyasi ini terjumpa, dan kilauannya menyeri

Kita cepat mencari helah menutupi kilaunya kerana iri:

Permata itu bukan datang dari lombong sendiri

Tapi dari lombong jiran, sekian lama tidak disenangi.


Rela bertuankan cucu Iblis asalkan berjemaah sama

Mengikis habis pengaruh semua dari jemaah berbeza

Walau cukai mereka dinikmati, tidak berhak dihormati

Kononnya itulah pilihan rakyat, walau kemenangan diragui.


Allah melarang kita memaksa dalam agama

Walau terdapat golongan bertuhan dua dan beberapa.


Tuhan Yang Esa Maha Tahu kebenaran agama-Nya

Tidak terkurang nilai itu walau insan tidak bersetuju

Tidak hilang bisa ular, walau menyusur di bawah kayu

Kenapa perbezaan politik dianggap lebih berbahaya?

Apakah tidak yakin akan kebenaran pegangannya?


Sudah tiba masanya pemimpin umat bangun semula

Mengibar gagah panji-panji Nabi dan pewarisnya.



Tiada ulasan: