Selasa, 3 Februari 2009

Politik: candu penjajah kepada umat





Oleh Ibn Ramadan (http://sanaabel.blogspot.com)



Sesungguhnya tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada Ku - al-Zariyat 56. Segala puji bagi Allah pencipta dan pentadbir segala yang di langit dan segala yang di bumi, selawat serta salam penuh penghormatan kepada penghulu para Ambiya`, Muhammad saw, kaum keluarga Nabi dan semua sahabat yang diredhai Allah swt. Tidak dilupakan kepada semua muslimin dan muslimat yang mewarisi perjuangan mereka sehinggalah ke hari qiamat.



Tidak ada sebuah negeri atau daerah ummat Islam yang ditinggalkan oleh penjajah kepada anak-anak pribuminya melainkan setelah mereka memastikan setiap anak-anak pribumi tersebut menganut fahaman atau mempunyai persepsi yang sama dengan penjajah, melihat dan bermuamalah dengan dunia sekeliling mereka. Persoalan ini sebenarnya bukan sekadar penjajah berjaya mendoktrinkan spesis pewaris ideologi mereka seperti sekularisma, pragmatisma, nasionalisma dan lain-lain. Tetapi jauh lebih ke dalam dari yang disangkakan ummah selama ini apabila fahaman atau amalan politik sistem demokrasi telah seolah-olah diterima pakai oleh semua pihak, termasuk yang mendakwa mewakili kelompok ummat Islam.



Fahaman ini begitu rakus mencengkam khalayak ummah sehingga mengujudkan `status quo` tertentu di dalam masyarakat ummah seperti yang telah saya sebutkan dalam keluaran yang lalu. Politik pilihanraya sebenarnya satu ruang yang begitu sempit yang diizinkan oleh sistem demokrasi di kebanyakan bekas negara-negara jajahan untuk `menjinakkan` keupayaan ummah berjihad dan bersiasah. Apakah kewajarannya ummah perlu tunduk kepada persepsi atau sistem jahiliyyah tersebut?



Perjuangan ummah sebenarnya tidak perlu terikat atau mengikut rentak kemahuan musuhnya pada zaman mana sekalipun, itulah yang dicontohkan kepada kita oleh junjungan Rasulullah saw. Kenapa kita perlu melihat atau membuat kesimpulan mudah bahawa politik berpilihanraya tersebut adalah medan `jihad` kita zaman sekarang? Lalu kita mencetuskan satu suasana bahawa sesiapa atau golongan lain yang tidak bertungkus lumus menggunakan kaedah itu sebagai tidak berjihad, tidak Islamik. Saya tidak nampak kewajaran takrifan sebegini melainkan satu escapisme yang nyata dari sekelompok ummah untuk mengabaikan tanggungjawab ataupun amanah berjamaah dan berjihad seperti yang difardhukan oleh Allah swt. Mereka memilih zon selesa dan membiarkan bidang-bidang yang lain dipenuhi oleh ummah sendiri…




Tanggungjawab jihad ataupun siasah itu sendiri, tidak perlu ummah meminta Obama, Olmert atau Pengerusi PBB untuk mentafsirkannya kepada kita, kemudian barulah kita boleh bertindak dan bersiasah menjalankan tugas `jihad` kita menegakkan `perjuangan Islam` dan mendirikan negara Islam. Definisi politik pilihanraya bagi sistem demokrasi yang berjalan sekarang menjadikan ummah alpa kepada tanggungjawab sebenar mereka membangun, menegakkan dan membebaskan ummah dari segala rangkaian sistem jahiliyyah dengan mengamalkan agama yang ummah yakini iaitu Islam. Tetapi ummah diheret membuang masa bertahun-tahun untuk membincang dan menganalisa issu-issu dari sistem jahiliyyah seterusnya memberi komen atau mendedahkan korup penguasa-penguasa (pengamal sistem jahiliyyah).



Sebagai ummat Islam yang menganut ad-Deen yang sebenar, lebih-lebih lagi mereka yang telah meletakkan diri masing-masing di saf hadapan sebagai pejuang-pejuang Islam, sepatutnya lebih dahulu maklum bahawa sistem jahiliyyah itu sendiri yang pincang dan korup. Mana mungkin pengamal-pengamalnya tidak pincang dan korup. Tidak ada dalam fikrah penganut Deenul-haq untuk mengiktiraf atau meyakini bahawa masih ada ruang untuk pengamal-pengamal sistem yang lain dari al-Islam dalam kehidupan mereka. Terlalu dangkal dan hina rasanya jika ummah yang kalut dan sibuk menegur si anu bin si anu tidak layak menjadi penguasa no 1 negara pengamal sistem demokrasi (jahiliyyah), seolah-olah jawatan no 1 itu agenda agama kita pula, sedangkan tugas kita ialah membebaskan semua ummah dari mengikut atau menjadi hamba penguasa no 1 tersebut, supaya menjadi pengikut atau hamba Penguasa No 1- Allah swt. Tiada makna jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya menjadi penguasa no 1 atau menggantikan pemegang jawatan tersebut dengan menjunjung di kepala sistem yang sedia ada. Bila perbezaannya adalah sistem, cara hidup, muamalah - maka jalan, cara serta kaedah-kaedah untuk sampai juga tentulah berbeza.



Pemerintahan Saidina Umar dapat membebaskan Baitulmaqdis dahulu apabila beliau dan tenteranya tidak meletakkan sistem jahiliyyah ketika itu di kepala, tempatnya di bawah telapak kaki mereka! Empayar Parsi runtuh dan hancur apabila tentera dan ummat Islam sehati sejiwa melihat mereka hina tak layak menguasai dunia yang pemilik sebenarnya ialah hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Barulah diketika itu seorang mujahid mampu dengan kuda-kudanya memijak dan menjatuhkan kebesaran dan kesombongan kisra.



Tidak timbul masalah anugerah-anugerah kebesaran (jahiliyyah) diberikan kepada pelakon bollywood menjadi issu besar `ummat`. Bukan urusan dan sebab kita berlaku kepincangan dan kemelesetan ekonomi negara dan serantau. Bukan asuhan atau didikan kita juga akhlak muda-mudi runtuh. Persoalan-persoalan, anugerah, kemelesetan dan muda-mudi yang tenat bukan akibat dari agenda agama kita (Islam), sebab itu kita tidak akan sibuk dengan urusan jahiliyyah, tetapi tak cukup masa serta kakitangan untuk berusaha membebas, menegakkan dan membangunkan keupayaan ummah dengan menggunakan seluruh potensi ummat Islam yang berorientasikan ad-Deen kita.



Ummah yang sedar akan merasa hairan melihat ada dikalangan kita yang siang malam, pagi petang menghalakan segala potensi ummah membuat kerja sia-sia membina dan mempertahankan sistem jahiliyyah. Dengan kata lain menegur dan mengkritik supaya `tak sepatutnya buat begitu tetapi kena buat begini… ..anugerah itu tak layak bagi kat `maarup tuu` tapi bagilah kat aku atau pun orang-orang aku sama.` Awat! Bila bagi kat aku atau orang-orang aku… anugerah itu jadi anugerah Islam ka? `Dato` Mufti tu tak patut diberhentikan kerana masih muda dan ternyata sihat lagi…ini semua kerana ada kaitan dengan kepentingan politik pihak-pihak tertentu`. Awat kekalkan dia atau lantik `tok peti` baru mampukah dia mendaulatkan Islam? `Kita perlu buat rombongan pi mengadap golongan berdarjat, jangan biarkan musuh saja yang bersahabat dengan yang berdaulat.` Awat ! kekalkan golongan koperat dan keparat ini menguntungkan ummat? Merekalah spesis lintah darat yang pandai-pandai mengaku ketua bagi ummat Nabi Muhammad! Ciiss!! Minta simpang…dijauhkan Allah dari bersyubahat dan bersahabat.



Ya! malang bagi ummat selama… puluhan tahun ini menjadi penagih yang tegar kepada candu yang ditinggalkan penjajah mereka sendiri. Politik pilihanraya dalam sistem yang bukan Islam biar sebagai mana indah dan molek rupa parasnya, sebenarnya palsu, memukau, memabukkan, khayalan…lagha…!



Menjanjikan jalan pintas kepada ummat kononnya….



Perjuangan Islam mesti bermula dan berjalan, seterusnya berkembang serta meraih kejayaannya dengan uruf atau akhlaknya yang tersendiri. Akhlak atau uslub perjuangan yang tidak tunduk kepada kehinaan para makhluk tetapi patuh serta tunduk lalu sujud mencari keredhaan Allah Azzawajalla. ` Permulaan Islam itu dalam keadaan dagang, dan akan kembali dagang,. Maka berbahagialah orang-orang yang bersama-sama orang-orang yang dagang.` Sekian dahulu untuk pertemuan dan perbincangan pada kali ini, semoga kita semua diberi hidayah oleh Allah swt, yang mampu dijadikan panduan menjalani perjuangan ini.


Salam ukhuwah!



Komentar:


Tulisan daripada Ibn Ramadan ini cukup terkesan sebagai satu muhasabah buat kita yang berjuang menegakkan Islam dalam medan politik. Ternyata apa yang ditulis beliau, merupakan satu kritikan yang cukup tajam buat kita yang sudah menjadikan politik demokrasi sebagai candu dalam perjuangan Islam.


Saya tidak pernah membenci jemaah Islam yang berpolitk. Tetapi saya berasa tidak selesa apabila jemaah Islam yang berpolitik membesarkan identiti dan gerak kerja jemaah kepada politik kepartian yang sempit berbanding politik akar umbi seperti yang digilap rapi dan terbukti berjaya oleh Hizbullah di Lebanon dan HAMAS di Palestin.



Apakah ini satu perkara yang salah? Tidak jikalau kita memberatkan perjuangan politik itu sebagai satu wadah untuk mendidik umat, bukan untuk tempat berlaga mendapatkan kuasa.



Kita sudah lihat bagaimana orang Melayu pada hari ini berpecah belah kerana politik. Ya, kerana politik. Satu masa dahulu kafir mengkafir merupakan satu perkara normal dalam politik di Malaysia. Sedangkan jikalau kita mengkaji kitab aqidah yang mu’tabar seperti Aqaid al-Nasafiyyah, Al-Fiqh al-Akbar, dan Aqida al-Tahawiyya amat jelas sekali menerangkan perihal boleh berimam kepada pemimpin yang zalim dan melarang menghukum sesama Muslim kafir selagi mana mereka masih mempercayai Allah dan Rasul-nya. Kitab Aqaid al-Nasafiyyah dan syarah yang panjang lebar oleh Imam Sad al-Din al-Taftazani telah digunakan sebagai buku teks selama beratus-ratus tahun di madrasah-madrasah dalam selian Khilafah Turki Uthmaniyyah.



Tidak hairanlah walaupun Khilafah Turki Uthmaniyah bersifat dinasti (tidak demokratik dan seketika korup juga kepimpinannya) tetapi kekuatan budaya ilmu dan ulama’ yang non-partisan (mereka tidak bercita-cita untuk jadi vizier@ Menteri) menjadikan empayarnya stabil dan teguh walaupun sering berhadapan dengan ancaman tamadun Barat yang menekan.



Zaman kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah mengambil masa yang panjang dan yang paling drastik setelah bermulanya era ‘Tanzimat’ (Reformasi) pada tahun 1839 yang membenihkan bibit-bibit sekularisme dan kemudian telah disempurnakan oleh Kemal Attartuk dengan jayanya.


Dalam jangka masa kekacauan inilah Allah menghadiahkan mujaddid bernama Said Bediuzzaman Nursi dengan magnum opus-nya Risala-e-Nur dalam mendaulatka kembali Islam di bumu Turki yang semakin sekular jadinya.


Said Bediuzzaman Nursi


Said Bediuzzaman Nursi layak diletakkan on par seperti Imam Hassan al-Banna, dan Mawdudi tetapi Nursi lebih bersifat mewarisi metod perjuangan ulama Islam daripada ulama reformis seperti Abduh dan al-Afghani. Ada baiknya kita kaji cara Nursi dalam menyelesaikan masalah umat.


Dalam satu surat terakhir yang beliau kirim kepada para pelajarnya, Nursi menulis:


“ Wahai para pelajarku, tugas kita adalah untuk melakukan perkara yang baik, bukan perkara yang buruk. Ianya adalah untuk berkhidmat kepada Islam sepertimana yang diredhai oleh Allah s.w.t. Kita tidak perlu campur tangan akan tugas Allah s.w.t (dalam menentukan perjalanan kehidupan manusia). Kita harus berasa bersyukur dan sabar dalam berhadapan dengan kesukaran dalam menjunjung tanggungjawab kita dalam menyampaikan risalah Islam. Cara begitu dapat melindungi masyarakat daripada kekacauan dan porak peranda.”

Walaupun surat ini berbau pacifism tetapi sebenarnya Nursi bukanlah seorang pacifist kerana beliau hanya menganjurkan perbuatan yang baik. Beliau menetnang sikap “tidak apa” atau dalam bahasanya “nemelazim” kerana beliau melihat sikap ini hanya melahirkan kediktatoran dalam masyarakat ( tiadak check and balance ).


Untuk mengelak daripada berlaku keganasan, beliau melarang penggunaan kuasa dan pemaksaan. Nursi menyamakan politik dengan kekuasaan dan sering kali beliau dan para pelajarnya menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang niat dalam menyertai kegiatan politik kerana gusar akan bertindak kasar dalam menyampaikan risalah. Nursi pernah berkata:


“ Kami tidak mempunyai kayu politik di kedua-dua belah tangan, Kami mempunyai dua belah tangan yang mana masing-masing memegang cahaya. Jikalau kami mempunyai 100 tangan pun, kami akan memegangnya dengan cahaya.”


Dalam ajaran dakwah Nursi, cahaya menggambarkan keamanan, harmoni, kebijaksanaan dan segala perkara yang positif. Menurut beliau, tiada siapa pun akan menentang ‘cahaya’ kerana ‘cahaya’ memberi manfaat kepada semua.



Sudah tentu Nursi bukanlah menentang politik yang berbentuk memberi khidmat kepada masyarakat, tetapi beliau melihat bahaya kekuasaan yang didokong melalui kepentingan peribadi.



Sebab utama beliau meninggalkan politik adalah kerana beliau melihat bagaimana politik mampu menukar seorang yang alim dan wara’ kepada manusia yang hina. Beliau penat melihat bagaimana seorang alim dan wara’ dalam sebuah parti politik menuduh seseorang yang juga alim-kesufian sebagai manusia yang berjiwa Syaitan hanya kerana dia mewakili parti lawan. Malah, orang alim dan wara’ itu memuji melangit seorang individu yang ternyata bersifat jahat hanya kerana individu tersebut berada dalam partinya. Selepas melihat akan bahaya politik kepartian (partisanship), Nursi terus meninggalkan politik dan mengeluarkan kenyataan yang cukup terkenal: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik”



Ulama’ dahulu menegur pemimpin zalim BUKAN untuk menjatuhkan pemimpin tersebut, tetapi Ulama’ berbaju politik sekarang menegur pemimpin zalim UNTUK MENJATUHKAN pemimpin tersebut bagi MENGGANTIKAN MEREKA untuk memerintah.



Malah teguran terhadap para pemimpin zalim kadang kala melampaui batas sehingga memburukkan keluarga dan sifat-sifat diri pemimpin seperti dengan melukis kartun dan gambar photoshop yang cukup mengaibkan!



Mana mungkin golongan yang sekular (ingat bukan kafir) ini mahu mendengar nasihat daripada golongan ulama’ jikalau ada segelintir ustaz dan ulama’ yang berbaju politik bersikap amat kasar dan biadap dalam berdakwah!



Caci-mencaci, kutuk mengutuk, itulah bunga rampai politik di Malaysia. Golongan sekular ini pada asalnya adalah golongan yang keliru. Yang sekular tua bangka ini tetap akan mati tetapi yang muda-mudi yang sekular dan jahil akan berasa meluat kepada golongan ulama’ dan ustaz berbaju politik yang biadap ketika menegur kerana sikap mereka yang tidak Islamik dalam menegur pemimpin sekular yang menjadi hero dan heroin mereka. Maka pertarungan untuk memenangi hati golongan yang jahil ini akan terus gagal!



Walaupun niat baik untuk mendapatkan kuasa bagi menzahirkan syariat Islam, tetapi kadang-kala niat itu boleh terbabas seperti yang diperkatakan oleh Nursi tadi.



Pemimpin yang zalim dalam masyarakat kita berhasil daripada pendidikan yang rosak juga. Maka, ulama’ yang ikhlas dan faham akar permasalahan akan fokus lebih kepada pendidikan daripada mengejar kuasa seperti mana Nursi telah lakukan. Tanpa sumbangan Nursi dan para pelajarnya yang gigih, parti Refah dan AKP tidak mungkin akan wujud kerana dalam suasana sekularisme totok di Turki, kefahaman Islam yang jitu amatlah penting untuk dijadikan benteng kepada kekeliruan aqidah.



Yang pasti, orang ramai tidak akan terdidik melalui ceramah politik! Tetapi ceramah politik sebegitulah yang menjadi minat orang ramai!



Tidak dapat dinafikan ini boleh jadi perkara terpencil tetapi damage has been done. Orang Melayu kita sudah berpecah belah kerana politik. Ini tidak berlaku dalam masyarakat Cina di Malaysia. Walaupun berbeza fahaman politik tetapi apabila kepentingan bangsa mereka tergugat seperti isu bahasa dan sekolah Cina.



Tidakkah ini perlu menjadi satu tanda tanya mengapa orang Cina lebih bermutu nilai perpaduan antara mereka berbanding kita orang Melayu. Ternyata orang Melayu pada hari ini memerlukan lebih perhatian kepada pendidikan Islam yang sebenar TANPA unsur-unsur politik kepartian bagi mengelakkan berlaku salah faham antara dakwah pencerahan jiwa dan dakwah caci-maki politik.



The Malays are really divided race when it comes to politics. The one who suppose to educate become the backstabber for the sake of power. How would the ignorance (juhala) listen to this so-called preacher of Islam?



And these phenomena have been perpetrated in all levels of society by its followers in campuses, villages etc. The attitude of “I am holier than thou” has been prevailing most of the time thus creating illusive barrier for good quality da’wah.



Malah dalam politik baik di peringkat nasional dan kampus, nilai Machiavellian di Islamisasikan dengan jayanya dalam menjustifikasikan “matlamat menghalalkan cara” sehingga bercakaran antara kumpulan politik yang beraqidahkan Islam.



Dan sekarang kita lihat bahawa golongan terpelajar di universiti pun hanya mampu melihat jalur politik sebagai wadah penyelesaiaan umat. Mereka sangat kurang mengenali dan menghayati watak-watak penting yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun Islam iaitu ulama’ yang rata-ratanya dahulu bersifat non-partisan dalam menjalankan amal ma’ruf nahi mungkar.



How low we have become in politics in the name of democracy…



Bagi saya, ada eloknya kita tinjau sejarah dimana proses Islamisasi@dakwah yang dibawa ABIM zaman Anwar Ibrahim masih berprinsipkan perjuangan Islam asuhan Prof. al-Attas, dan Pak Natsir pada era 70 dan 80-an yang mana telah berjaya mengubah pandangan alam orang Melayu pasca kolonial untuk menerima Islam sebagai ad-deen sedikit demi sedikit dengan jayanya. Kekuatan ABIM pada waktu itu saya percaya kerana sikap non-partisan dan tidak anti-establishment.



Tidak anti-establishment bukan bermakna ABIM dahulu bersikap bacul untuk mengambil alih kuasa pada waktu itu tetapi mereka fokus kepada pengislahan umat dari akar umbi. Sayagnya, ketidak sabaran Anwar, telah membantutkan proses Islamisasi tersebut daripada berjalan lancar sehingga hari ini…



Ingat, jangan politikkan Islam tetapi mengIslamkan politik. Acap kali jemaah Islam politik telah bersikap mempolitikkan Islam daripada mengislamkan politik. Sudah tentu ada beza antara kedua-duanya.



Betullah kata mujaddid Turki, Said Bediuzzaman Nursi bahawa politik boleh mengubah orang alim menjadi manusia berhati syaitan.


Nauzubillah min zaliq.


Sekadar berpendapat.


Wallahua’lam.




4 ulasan:

rauf berkata...

Salam

Sdr,

Sedihnya bila melihat sdr menulis begini..

-mempertahankan Ketuanan Melayu sebagai asas kepada proses Islamisasi orang Melayu

Asobiah/nasionalisme zaman jahiliah ialah menolong kaum-kerabat/puak samaada ketika mereka dizalimi mahupun ketika mereka menzalimi..

Ye, nabi dah ubah takrif assobiah.. Asobiah dalam Islam –kalaupun kita nak guna term ini spt yg Ibn Khaldun guna dalam Muqaddimah- ialah menolong puak/kaum kerabat yang dizalimi. Nak menolong yang menzalimi –ialah mencegah kezalimannya – balik kepada hadis mencegah kemungkaran dgn tangan(kuasa)-lidah-hati.. Kita kene usaha untuk mempertingkat stage iman –xleh berpada dgn hati sahaja yg merupakan selemah2 iman- kene berusaha kepada lisan, dan berusaha lagi kepada kuasa –inilah orang yang beriman yg sebenar2nya..

Dalam Surah Luqman, Allah berfirman bahawa syirik adalah sedahsyat-dahsyat kezaliman..

Memberikan kekuasaan hukum kpd manusia adalah syirik yang nyata yang membawa kepada kemurtadan. Dalam Aqaid Nasafi dan lain-lain kitab tauhid akan merumuskan pengajian tauhid kepada sifat Istigna’ dan Iftiqar Allah. Takrif sekularisme yg jami’ mani’ yang setepatnya menurut ulamak tauhid zaman-berzaman ialah penafian kekhususan sifat istigna’ dan iftiqar ini hanya kepada Allah Subahanahu Wa Taala..

Masalah kat Malaysia ialah perlembagaan sekularnya. Lihat bahagian 1, perkara 4 fasal (1) –yang membatalakan mana-mana undang2 yang berlawanan dgn perlembagaan sehingga menyebabkan PAS tidak dapat laksanakan hukuman Islam di Terengganu dan Kelantan dahulu.. (konotasi perkataan sekular yg selalu sdr pakai x sentuh pun aspek ini)

Jadi; adakah kita nak pakai hadis ataupun apa yang tertulis kat kitab Aqaid Nasafi yg kata xleh lawan pimpinan sedangkan yang dimaksudkan di sini ialah pimpinan Islam dgn erti kata yang sebenarnya?

Asas penglibatan ulamak di dalam politik bukanlah for the lust of power.. Ulamak dahulu menolak jawatan-jawatan yg ditawarkan oleh pemerintah yg zalim di zaman mereka hanya apabila ruang pengislahan ditutup oleh pemerintah yang enggan tunduk kepada kebenaran yang tidak menyampaikan para ulamak kepada matlamat mereka yg sebenar di dalam politik. Dalam keadaan sekarang, penglibatan ulamak dalam politik adalah sebagai memenuhi tuntutan jihad siasi yang menjadikan kefarduan kepada setiap Muslim melaksanakannya termasuklah diri mereka sendiri.

Jadi kita kene bezakan kerajaan kepada 3 iaitu kerajaan Islam yang adil, kerajaan Islam yang menyimpang dari keadilan Islam (di sini letaknya kupasan dr. majid irsan kailani tentang pengislahan dgn semata2 pendidikan dsb, jangan salah letak kedudukannya), dan kerajaan kafir.

Versi lamanya kerajaan kafir muncul melalui penjajahan umat Islam, versi moden; kerajaan kafir yang berasaskan sistem demokrasi berparlimen atau liberalisme, yang bertunjangkan fahaman sekularisme.

Masalahnya Malaysia negara sekular dgn takrif seperti yang diberikan di atas. Alasan yg kata agama Islam agama rasmi ataupun adanya pemberian dana kepada aktiviti agama itu sebagai alasan mengatakan Malaysia negara Islam tak mengikut takrif yg diberikan Islam itu sendiri. Sebab itu org yg perang isu murtad secara issue-oriented dan tidak memandangnya secara penyelesaian kulli -syariat- terperangkap dgn bersetuju bahawa Malaysia negara Islam!

Ini masalahnya bila kita berjuang tanpa tasawur kulli/big pic yg sebenarnya yang dapat kita jadikan asas sebagai penyelesaian2 sementara sebelum daulah tertegak..

Penglibatan ulamak di dalam sistem politik Demokrasi merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Di dalam sistem politik Demokrasi ini, kuasa dicapai secara sah melalui parti-parti politik yang bertanding di dalam pilihanraya. Parti yang menang adalah parti yang akan membentuk kerajaan. sebarang gerakan politik untuk berkuasa tanpa melalui sistem pilihanraya di dalam sebuah negara demokrasi dianggap sbg gerakan subversif yang mengancam keselamatan negara . Oleh itu, berdepan dgn kerajaan yg demikian tidak ada jalan untuk mempertahankan survival Islam secara dilindungi undang2, memperjuangkan aspirasi politik Islam dan melindungi kepentingan muslimin, selain dari perlu terlibat secara langsung di dalam sistem politik demokrasi. Penglibatan ini secara asasnya tercapai melalui pembentukan sebuah parti politik yang memperjuangkan aspirasi politik Islam.

Kerajaan Turki Usmaniyah tidak dilawan oleh ulamak2 masa tu –walaupun kdg2 korup jugak- sebab mereka tidak mempertikaikan Hakimiyatullah ini.. Boleh lihat Majalah Ahkam al-Adillah yang dikodifikasikan sbg kod undang2 untuk seluruh kerajaan di bawah Turki Usmaniah.. Mereka terletak dalam kategori kerajaan kedua ini kalau zalim, dan bukannya kerajaan kafir. Jadi, xdelah ulamak memberontak. Larinya Nursi daripada medan siasah sbb sekularisme telah kukuh menguasai negara sehingga tiada ruang lagi untuk didaulatkan Islam di zaman Mustafa Kamal.. Jadi; langkah yg terakhir yg boleh dibuat ialah menyelamatkan akidah di dalam hati umat.. Tapi sebelum jatuh Khilafah, beliau bahkan dihantar oleh Khalifah ke negara2 Islam lain supaya umat tidak berfahaman nasionalisme untuk memperkukuhkan daulah yang sedang berperang.. tgk sini:

http://abdulrauf.blogspot.com/2007/01/syeikh-bediuzzaman-said-nursi.html

Kat Malaysia pulak, masih ada ruang lagi iaitu demokrasi.. Kita tidak seteruk Turki zaman hari tu.. sebut Islam je, tentera akan hapuskan.. Jadi, nape kita x eksploitkan demokrasi? Bukan kita beriman dgn demokrasi; tapi sekadar pakai.. Nabi pun guna sistem jahiliyyah ketika peringkat awal Islam yg belum kuat –selagi tidak bertentangan dgn Islam- masa balik dari Taif dgn memperalatkan sistem perlindungan yang ada dalam struktur masyarakat jahiliyyah masa itu.. Juga menggunakan pengaruh Abu Talib untuk mengelakkan penindasan yg lebih dahsyat kepada umat Islam yang belum ada kekuatan politik ketika itu..

Oleh itu dalam pertembungan bentuk baru ini elemen baru bagi menentukan kemenangan telah timbul iaitu elemen kemantapan organisasi. Dalam perjuangan baru para ulamak untuk membawa perubahan politik, kejayaan dakwah dan kemenangan Islam, elemen kemantapan perjalanan organisasi tersangat penting. Dalam perjuangan politik semasa ini ulamak mestilah berupaya melangkau lingkaran kepimpinan tradisinya seperti di dalam ibadah dan kerohanian kepada kepimpinan di peringkat organisasi dan jamaah. Seterusnya di dalam perjuangan politik secara demokrasi ini para ulamak hendaklah mengelakkan sama sekali dari terlibat mengukuhkan organisasi musuh samaada secara langsung atau tidak langsung. Islam telah melihat jauh ke hadapan bahawa kekukuhan organisasi adalah satu bentuk kekuatan. Oleh itu mencipta kekuatan ini bagi musuh adalah satu pengkhianatan.

Sabda Rasulullah Sallallahu alayhi wassalam :

"Barangsiapa memperbanyakkan bilangan suatu kaum maka mereka adalah termasuk dari kalangan mereka itu."

Sekiranya para ulamak memberikan penglibatan mereka secara bersungguh2 dlm melaksanakan agenda2 perubahan politik yg amat kritikal ini, yakinlah kejayaan yang telah diberikan oleh Allah Taala kepada para ulamak silam dalam perjuangan mereka mengembalikan kekuatan politik Islam akan dapat dinikmati di zman ini. Sebaliknya kalaulah ulamak tidak terlibat pula, akan meletakkan perjuangan politik Islam pada masakini berada dijurang yang sangat bahaya.

Ini persoalan jihad, bukan persoalan fitnah..

Takrif jihad seperti yang terdapat dlm kitab2 fiqh ialah mengeluarkan segala keupayaan dalam memerangi orang-orang kafir untuk menegakkan agama Allah, sama ada secara langsung ataupun dengan memberi pertolongan berupa harta, pandangan keintelektualan ataupun dgn meramaikan ahli kumpulan Islam yang menentang puak-puak yang kafir (dgn memberi sokongan kpd kumpulan Islam) atau pertolongan yg lain daripada itu.

Sekular dah menguasai negara ini, dan hukum jihad adalah fardu ain dalam situasi ini. Kalau bapa tidak izinkan anak, suami x izinkan isteri, pemiutang x izinkan penghutang –semuanya boleh dilanggar ketika hukum jihad menjadi fardu ain kerana untuk meramaikan bilangan orang-orang yang akan berjihad dan berperang serta menyatukan kesatuan dan membersihkan wala-wala’ mereka semua untuk diberikan kepada pemimpin jihad sahaja.. (ini bukan Machiavellian, tapi berlandaskan hukum-hukum feqah)

Ini bukan zaman fitnah mcm yg sahabat lalui dahulu dalam perang siffin dsb.. sebab mereka semua mentauhidkan Allah dgn sebenar2nya.. Jadi, fitnah yg berlaku ketika itu menyebabkan org yg duduk lebih baik daripada org yang berdiri, org yang berdiri lebih baik daripada orang yng belari.. Mereka tetap laksanakan Islam.. Tapi cuba lihat, kenapa Saidina Abu Bakar perangi orang yg tak bayar zakat walaupun mereka masih sembahyang? Sebab mereka menafikan hukum Allah, mereka dianggap murtad..sbb itu halal darah mereka..

Ini zaman jihad.. Kita pun bukan nak angkat senjata, tapi pendirian ulamak sekarang ialah muwajahah silmiyah –bertembung secara aman.. kita faham waqi’ sekarang..

Haram berpecah saf ketika hukum jihad menjadi fardu ain.. Maka wajib ke atas setiap puak2 yg ada membuang perpecahan dan perbezaan tatkala diwajibkan jihad khas.. (jihad dgn maknanya yg am seperti jihad hawa nafsu, amar makruf dan nahi mungkar, islah seperti yg dibuat oleh jemaah lain hukumnya fardu kifayah sahaja –dan mereka wajib menggabungkan diri dgn pasukan jihad khas ketika hukum jihad menjadi fardu ain)

Non-partisan dalam keadaan tidak berpihak kepada pihak yang memperjuangkan hakikat tauhid yg khalis ini adalah ain dholal/zat kesesatan itu sendiri.. Sabda Nabi Sallallahu alayhi wassalam :

“Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada di tengkuknya bai’ah, maka matilah dia dalam keadaan jahiliyyah.”

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 143 :

“Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir); tidak memihak kepada golongan ini (orang-orang yang beriman) dan tidak pula memihak kepada golongan itu (orang-orang kafir)

Non-partisan dalam ertikata ini adalah zat kesesatan itu sendiri..

Orang yang beriman mesti berpegang teguh dgn kebenaran dan bersama dengan puak yang benar walaupun mereka berada dalam keadaan apa sekalipun.

Firman Allah dalam Surah at-Taubah :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama dengan puak yang benar.”

Kita bukan nak kafirkan depa. Kita x ta’yin -dia kafir. Tapi kita kena kafirkan dan lawan organisasi depa yang lawan Islam. Kalau ulamak tidak berpihak kepada yg benar, bagaimana umat nak melihat kebenaran?

Saya bimbang dengan sikap saudara seperti ini. Dalam Mazhab Syafei, jika tiada khalifah maka berpindahlah hukum khilafah kepada orang yang paling alim di kalangan penghuni zaman itu iaitu ulamak zaman itu yang paling mengerti dalam urusan agama (sebagai ad-Deen)

Maka dgn siapa sdr nak berbaiah menyatakan wala’ yang wajib ini?

Takkan nak bg ketaatan kepada sekular kot..

Bahkan; hadis yg sering sdr pegang itu sebenarnya yang terpahat dalam kitab-kitab tauhid itu pula mewajibkan setiap orang-orang Islam berpegang dengan jemaah dan mentaati pimpinan Islam. Siapa dalam situasi jihad ini?

“ Sesiapa yang melihat di kalangan pimpinannya sesuatu yg tidak disukainya, maka hendaklah dia sabar dengannya. Sesungguhnya, sesiapa yang memisahkan diri daripada jemaah walaupun sejengkal, maka matilah dia dengan mati yang jahiliyyah.”

Jangan salah pandang siapa yang patutnya jadi pemimpin!

Ya Allah.. janganlah kita melambatkan lagi perjuangan mentauhidkan-Nya.. Jgn kita pecah2kan saf yang sepatutnya yg dibina di atas dasar akidah yang sebenarnya.. Lagilah sekular gembira melihat adanya org yang bagi ‘kekebalan’ kepada mereka seperti ini.. (hujah sdr pakai ni sama je ngan hujah umno masa debat olok2 dulu)

Usaha-usaha mendidik, mengislah umat termasuk dalam jihad dgn erti katanya yg am.. buatlah, hukumnya fardu kifayah.. nak jadikan dia fardu ain dan dikategorikan kepada jihad khas? MMG kene buat pendidikan untuk melawan sekular.. NGO-NGO kene kempen tentang tauhid, tegakkan akidah dalam diri dgn sebenar2nya dan memperjuangkannya dalam hidup.. Kalau x, masih tidak menunaikan erti ketauhidan yang sebenarnya di zaman ini. Jgn terperangkap dan salah-faham dgn roh zaman kitab2 akidah dahulu tulis –sebab zaman itu pemimpin Islam walaupun zalim mereka menunaikan hak Allah dalam pemerintahan mereka..

Isu zaman ini ialah Ancaman Bahaya Sekularisme..

Waallahu a’alam. Maaf salah silap. Ini apa yg saya mengaji. Nak tolak, tolak dgn dalil. Nak berpegang, pegang atas dasar ilmu. Nak taqlid, taqlid ulamak rabbani yang amilin. Moga Allah mempermudahkan segala urusan kaum muslimin.

tgk sini :

http://saifulislam.com/?p=257

http://demiislam.blogspot.com/2008/12/hudud-adakah-hanya-tanggungjawab-pas.html

Tanpa Nama berkata...

kalau mungkin saudara rausyanfikir dapat memberikan 'solution' kepada permasalahan yg diutarakan...terima kasih..

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum saudara Rausyan. sungguhnya telah lama saya meneliti laman ini. sungguh interaktif dan berguna. tahniah kepada saudara. semoga rahmat Allah senantiasa berada bersama kita umat Islam seluruhnya selama-lamanya. Rasanya tidak ingin saya memberi apa-apa komen mahupun kritikan mengenai laman ini, melainkan ingin bertanyakan beberapa soalan juga adanya. Pertama, apakan pendapat saudara mengenai Remaja Masa Kini, terutama membabitkan kata Saidina Umar; "Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah anak mudanya pada masa kini." Sesungguhnya saudaraku, hati dan jiwa ini terasa luluh dan hancur bila mengenangkan akan hal yang demikian. tidak adakah cara bagi kita sama-sama membentuk kembali jiwa-jiwa anak muda supaya kembali ke jalan Allah yang satu.
Salam UkhwahFillah

Rausyanfikir berkata...

Wassalam kpd anonymous. Seluruh blog saya membicarakan perihal kebangkitan Islam melalui kaca mata anak muda. Jawapan mudah ialah ilmu dan penghuraiaannya ada dalam artikel2 saya berkenaan mahasiswa.Nanti saya akan kupas panjang lagi.