Sabtu, 21 Februari 2009

Neo-kolonialisme?


Saya mendapat emel daripada seorang mahasiswa/siswi (?) yang berbunyi begini:


assalamualaikum, saya pelajar dari universiti malaya,di sini saya mahu bertanya satu soalan kepada saudara, apa pandangan saudara mengenai negara- negara maju masih dapat pertahankan kepentingan mereka di negara- negara sedang membangun walaupun sepertimana yang kita ketahui negara- negara ini sudah lama merdeka. harap saudara dapat memberi pandangan.



Jawapan saya:


Wassalam,


Terima kasih kerana sudi bertanya. Soalan ini dapat dikaji dari pelbagai sudut dan dimensi. Mari kita sama-sama perjelaskan ta’rif negara maju dan negara sedang membangun.


1) Negara-negara Maju ( Developed countries, First World countries, Western countries, Asian Tigers etc.)

Negara-negara sebegini kebiasaaannya membawa imej pembangunan material, kemajuan sains dan teknologi, serta taraf hidup fizikal yang selesa.


2) Negara-negara sedang membangun ( Developing countries, Third World countries, Asian/African/Caribbean countries, Failed States etc.)

Negara-negara sebegini kebiasaannya membawa imej yang kontra dengan imej yang difahami ramai berkenaan negara maju. Realitinya, memang negara-negara sedang membangun ini menghadapi pelbagai masalah asasi berkenaan kehidupan manusiawi seperti kesihatan, makanan, pendidikan.


Secara ringkasnya, seolah-olah wujud ketidak seimbangan kuasa dan pengaruh dalam dunia ini apabila dipadankan kedua-dua jenis negara yang dikelaskan sebegini. Polariti ini secara am-nya boleh diterima pakai tetapi haruslah diambil sekadar pada face-value, bukan sebagai hakikat dan realiti untuk kita menerima pakai sebagai kayu ukur untuk melalui proses evolusi mencapai sepertimana yang telah dicapai oleh negara-negara maju tersebut (rujuk tulisan Prof. al-Attas berkenaan ma’na ‘pembangunan’ dalam Prolegomena to the Metaphysics of Islam, dan juga tulisan komprehensif Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam Pembangunan di Malaysia)


Apabila kita mengguna pakai konotasi dualisme antara “bangun-sedang membangun”, “maju-tidak maju” secara harfiah (literal) tanpa mengambil peduli silsilah keberadaan kita di takuk ini maka kita sebenarnya sedang terperangkap dalam jaringan wacana hegemoni Barat yang disuntik secara sulit ke dalam benak kesedaran (consciousness) kita sebagai orang bukan Barat untuk menerima pakai proses evolusi daripada “tidak maju” kepada “maju” dalam acuan yang disediakan mereka. (rujuk tulisan Karl Marx, Antonio Gramsci, Louis Althusser, dan juga Michel Foucault dalam memahamai beberapa analisis penting berkenaan wacana ideologi, hegemoni).


Apa kaitan perkara ini dengan keberjayaan negara-negara maju dalam mempertahankan kepentingan mereka di negara-negara sedang membangun?


Saya boleh jawab soalan ini daripada banyak sudut.


Dari sudut pandang sosiologikal, mengikut Prof. Syed Hussein Alatas, ringkasnya proses penjajahan ke atas bangsa bukan Eropah, merupakan satu projek penjajahan kapitalisme (colonial capitalism) dengan merompak segala hasil bumi kita bagi memacu hebat Revolusi Industri di negara-negara Barat. Prof. Jomo KS juga melihat sejarah penjajahan ke atas rantau ini dari sudut sebegini.


Untuk kata kepentingan mereka masih terjaga tidak betul sepenuhnya juga kerana syarikat seperti Sime Darby dan Guthrie sudah berjaya dinasionalisasikan (nationalization) oleh kerajaan kita selepas merdeka dan ini adalah satu kejayaan yang perlu di’itiraf.


Tetapi penjelasan ini tidak dapat menjelaskan sepenuhanya tentang hakikat dan realiti yang berlaku pada ketika ini.


Dari sudut pandang falsafah dan metafizika, mengikut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, apa yang sedang berlaku pada ketika ini ke atas Kaum Muslimin dan bukan Barat adalah pertembungan Tamadun Barat dengan Tamadun Bukan Barat. Kita bertembung bukan sahaja dari segi fizikal tetapi lebih halus daripada itu dari segi budaya, ilmu, agama etc.


Sebenarnya rahsia kepentingan negara-negara maju dapat dikekalkan sampai hari ini bukan kerana penjajahan fizikal tetapi lebih kepada penjajahan yang halus berupa penjajahan epistemologi ilmu.


Kalau sekadar kepentingan fizikal yang dimaksudkan maka kita boleh sahaja menendang mereka keluar seperti mana PETRONAS berjaya menendang perompak minyak seperti Shell dan Exxon daripada mengaut keuntungan yang banyak sewaktu kita masih tin kosong dalam bidang ilmu minyak dan gas. Begitu juga kejayaan memilik penuh Sime Darby dan Guthrie.


Biarpun mereka hilang kepentingan berupa bentuk fizikal seperti yang diterangkan di atas, dari segi sumber untuk menggerakkan entiti tersebut masih dimiliki oleh negara-negara maju. Dan ini tidak mungkin berlaku jikalau epistemologi ilmu kita tidak dijajah oleh mereka sampai hari ini.


Cara kita mengendali syarikat-syarikat tersebut masih beracuankan ilmu Barat. Hampir semua perkara yang melibatkan ilmu, kita masih sujud kepada Barat.


Maka tidak hairanlah negara-negara maju tersebut masih mampu menjaga kepentingan mereka di negara-negara sedang membangun.


Neo-kolonialisme.= musuh yang tidak mudah ditafsir dengan panca indera.


Inilah yang dipanggil kuasa lembut (soft power, rujuk tulisan Joseph S. Nye). Orang Yahudi sangat hebat dalam mengguna pakai dimensi kekuasan sebegini untuk mengetengahkan agenda mereka. Kuasa bukan diukur mutlak dengan kuasa politik tetapi yang lebih penting adalah perkara yang mencorakkan politik, ekonomi dan sosial. Tidak lain tidak bukan: Ilmu.


Francis Bacon pun kata “Knowledge is Power”.


Sebenarnya saudara/saudari (?), kita masih terjajah. Dan penjajahan yang berat kepada aspek epistemologi ini lebih sulit daripada apa yang kita biasa sangkakan. Korupsi puak-puak politikus itu adalah simptom kepada korupsi epistemologi ilmu.


Maka usah kita memahami permasalahan ini sekadar di peringkat zahir tetapi harus dibedah dan disiat simptom itu bagi mencari akar permasalahan-nya seperti mana yang telah dijelaskan dengan tuntas oleh para intelektual Muslim kita.


Sekain, harap terjawab.


TAMAT



PENGUMUMAN PENTING buat warga UTP yang cintakan ILMU dan BENCIKAN wayang POLITIK SEMASA!



Sila klik gambar di bawah bagi yang berminat:





4 ulasan:

lelucon berkata...

slm sdra Rausyanfikir,

pertama kali bg komen di blog sdra :)

fenomena yg dibincangkan bukan shj berlaku pd aspek epistemologi ilmu. saya kata demikian sbb ada 1 lagi (mungkin byk lagi faktor) iaitu cara ekonomi berfungsi.

Misalnya, bg Malaysia, FDI (Foreign Direct Investment), antara faktor penting utk negara membangun. Kerajaan tak mampu buat semua. Jadi melalui FDI, kita 'ajak' budaya dan pengaruh asing melalui pelabur mereka ke negara kita. Misalnya, pengurus2 yg dilantik oleh pelabur asing sbg wakil selalunya dari kalangan mereka, dan sistem yg digunapakai adalah sistem asing tersebut. Kerajaan tidak ada kuasa utk mengubahnya. Tp di Malaysia, kerajaan berjaya kawal pengaruh ni melalui sekatan-sekatan tertentu (undang-undang dan akta perdagangan dll.).

Jadi di malaysia,'penjajahan' itu bukanlah berlaku secara terpaksa, tapi disengajakan cuma dlm keadaan terkawal, kerana diperlukan. Dalam erti kata lain bukanlah 'penjajahan', sebaliknya 1 strategi 'kerjasama'. Bukan sbb ilmu Barat/asing lebih hebat, tapi juga kerana faktor duit, kemahiran dll tidak yg kita tidak miliki.

Rausyanfikir berkata...

Wassalam,

Betul2. Saya setuju.Tapi kita harus lihat model Cuba, Venezuela, yg mana mereka mampu berdiri dengan sendiri walaupun ditekan hebat oleh kuasa kapitalis.

Kita sbg umat Islam, bukan xda ada framework cuma malas nak buat research. Maklumla, budak muda yg berjiwa perjuangan suka politik sempit. Maka camne nak maju.

Kita dapat lakukan pembebasan dengan 'selective de-linking'. usaha Islamisasi ilmu harus digagahkan semula.


Sbb tu saya xhairan biar siapa pn pegang kuasa, kalau ilmu dia xmantap dia akan bawak model yg sama.


Kalau Cuba mampu, kenapa Malaysia tidak? Sampai bila kita perlu bergantung kpd FDI?

lelucon berkata...

blh jelaskan 'selective de-linking'? (menarik bunyinya :)

saya rasa kjaan pun tak bercdg nak bergantung selama-lamanya kpd FDI, sbb klu tgok dsar zaman Tun M - dasar pandang ke timur, W2020, MSC dll - semunya menjurus kepada mengurangkan kebergantungan pd bangsa asing dgn meningkatkan kemampuan rakyat tempatan menguasai bidang2 penting. Tp FDI ttp perlu (wlupun 1%) sbb selain kepakaran dan dana, FDI juga menyumbang kepada teknologi, cukai, pekerjaan dll. US pun perlu FDI, cth: dari Jepun.

Kalau nak tengok Malaysia kuasai bidang ilmu mungkin terpaksa tunggu lama sikit...tp tak mustahil, sbb tanda2 dah ada!

kalau sistem negara2 lain tu saya tak arif. Yg ni pun tahu mana,skdr pembacaan. bukan bidang saya. Mungkin blh belajar dr sedara :) wallahua'lam

Rausyanfikir berkata...

Selective delinking ni idea para intelektual dunia ketiga yang menentang hegemoni kapitalisme.

Lebih kurang kita bina daya upaya kendiri i.e self sustain.

Macam Cuba, mampu hasilkan sistem kesihatan world class.

Mmg perlu FDI tp jgn lah kita anggap itu sahaja cara ke hadapan.

Wallahua'lam.