Ahad, 1 Mac 2009

ISLAMICA : Revolusi Intelektualisme di UTP





Setelah 3 tahun lebih mencuba, akhirnya Allah S.W.T membuka jalan buat gagasan intelektualisme bergerak di bumi Tronoh ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnianya Islamica Resource Center berjaya ditubuhkan.


Saya masih ingat bagaimana sewaktu saya masih budak hingusan di UTP, entah berapa banyak
proposal saya ajukan kepada pihak Hal Ehwal Pelajar (patut tukar jadi Hal Ehwal Mahasiswa) untuk memberi izin menubuhkan sebarang persatuan yang berorientasikan kegiatan intelektualisme. Malah saya juga telah cuba memujuk abang-abang yang duduk dalam syura untuk menyokong usaha ini tetapi ternyata gagal.


Penggantian orang-orang penting dalam Jabatan Hal Ehwal Pelajar UTP di beberapa peringkat telah membuka ruang yang begitu luas untuk saya melobi mereka menyokong usaha ini. Tidak sia-sia saya turun naik tingkat 4 bangunan Canselori UTP selama 3 tahun ini. Dialog, debat, e-mail dan terbaru kertas kerja "
The University and the captive mind" yang menjadi sandaran kepada saya untuk me-rasional-kan (rationalization) revolusi intelektual di bumi Tronoh ini dan ternyata kini telah membuahkan hasil yang tidak disangkakan.


Sebelum pulang ke kampus lagi saya telah dhujani dengan sokongan padu oleh para pensyarah, pihak pengurusan dan
murabbi saya, Imam Masjid An-Nur UTP untuk memulakan revolusi intelektual di kampus. Bukan tidak pernah saya lakukan semua ini. Sewaktu saya di tahun 2 lagi saya telah memulakan diskusi intelektual di kalangan mahasiswa pasca sarjana dari Pakistan dan India dalam membicarakan pelbagai isu yang disembunyikan daripada yang biasa disajikan dewan kuliah.


Ketika saya menjawat jawatan Naib Presiden Sekretariat Rakan Muda UTP pun saya cuba melakukan anjakan paradigma dalam organisasi tersebut dari segi isi, visi dan misi 
event organization. Sebab saya lihat di kebanyakkan kampus, terutamanya di UTP, event yang dijajalankan semuanya rata-rata berbentuk utilitarian ya'ni hanya sekadar event dan dari segi isi-nya amat hampa nilai intelektual. Malangnya, banyak yang tersekat kerana polemik politik organisasi yang berlaku antara saya dan pihak pengurusan. Walaubagaimanapun, semua itu menjadi pengalaman yang menarik dalam usaha cuba meyakinkan mereka agar perkara ini perlu dilakukan dengan kadar segera dan Islamica merupakan hasil daripada dialektik ini.



Ini baru 10% daripada buku-buku Islam yang dimuatkan ke dalam perpustakaan Islamica.



Adakah Islamica akan meng-ISTAC-kan UTP? Wallhua'lam. Sedikit sebanyak koleksi legasi al-Attas yang ada di perpustakaan Islamica.



Diskusi pertama kami dibawah institusi (ya, bukan kelab ataupun persatuan tetapi satu badan yang diberi autonomi keilmuan yang unik) bernama Islamica Resource Center ini berlegar di bawah tajuk " Democracy vs. Demagogy vs. Shuracracy".



Bilangan yang hadir mencecah 10-12 orang dan terdiri daripada mahasiswa warga Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Turkmenistan. Saya kira ini satu permulaan yang baik buat kami kerana berjaya merentasi sempadan lokaliti dalam penganjuran event sebegini.



Diskusi intelektual tidak perlu ramai. Tapi kesannya jangan diambil mudah!


Perbincangan yang pada mulanya dijangka tamat dalam satu jam setengah telah berlangsung melebihi 2 jam setengah! Kami melontarkan semahu-mahunya pandangan, idea dan kritikan membina dalam membicarakan isu ini. Yang pasti, para hadirin tidak lagi melihat politik semasa sama seperti mana yang selalu kita fikirkan. Perkongsian pandangan daripada sahabat-sahabat daripada Indonesia, Pakistan dan Turkmenistan menjadikan kami, warga Malaysia lebih bersyukur dalam menikmati kestabilan sosial yang ada. Ternyata, jalan menuju ke-Khilafah-an itu masih jauh apabila kita berbincang panjang dengan sahabat-sahabat daripada pelbagai negara ini.



Kadang-kadang kita terlampau 'galak' untuk mengubah sehingga tersadung dengan realiti yang palsu. Kerja-kerja dekonstruksi realiti palsu ini masih kurang dilakukan oleh para ilmuan, intelektual dan ulama' dek kerana, seperti kata Prof. al-Attas, kekeliruan dan kesalah fahaman terhadap ilmu (
confusion and error in knowledge). Seterusnya ini menghasilkan masalah kehilangan adab-ya'ni salah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kesan daripada ini maka lahirlah kezaliman dan para pemimpin palsu dalam pelbagai juzuk dan strata masyarakat.



Umat Islam tidak bodoh. Kita sudah empunya berjilid-jilid kitab hadith, fiqh, usuluddin etc. Tetapi kita keliru dengan
realiti yang ada. Kita gagal meletakkan ilmu-ilmu tersebut pada tempatnya sebelum kita beramal. Letupan informasi ( information explotion) melalui arus media massa seperti Internet menambahkan lagi kekeliruan terhadap masyarakat kita.



Mungkin kerana ini jugalah demokrasi telah bertukar kepada demagogi dan terus dilupakan prinsip shurakrasi dalam proses peng-Islah-an umat. Perkara ini sangat kurang dibahaskan oleh gerakan Islam kontemporari.Perlunya kritikan padu dan membina dilakukan terhadap idea-idea ini agar kita tidak mudah terperangkap dalam jaringan musuh.



Sudah tentu mauduk utama kepada isu ini adalah gerakan Islam yang bergerak dalam nuansa politik. Puas saya mencari buku-buku yang mampu menawarkan satu kritikan padu terhadap gerakan Islam ala Ikhwanisme dan ternyata kritikan yang paling mujarab pada ketika ini dapat diperolehi daripada mantan ahli Ikhwan Muslimin sendiri, ya'ni tidak lain tidak bukan Syakh Yusuf al-Qaradawi sendiri. Buku yang dimaksudkan tersebut adalah ini:


Saya tidak pasti apakah tajuknya dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu tetapi terjemahan Bahasa Inggeris ini ternyata menjawab banyak persoalan yang sedang bermain dalam minda saya berkenaan ketempangan dan kekeliruan gerakan Islam ala Ikhwan mutakhir ini. Boleh baca disini untuk versi laman maya. 


Buku ini telah diterbitkan pada tahun 1990 yang lampau. Apakah ianya tidak dibaca oleh para pendokong gerakan Islam? Jikalau betul tidak dibaca dan dibahaskan, ternyata kita gagal mengambil pengajaran dan tunjuk ajar daripada ulama' yang arif menilai kekurangan dan apa yang perlu dilakukan oleh kita dalam usaha memperkemas kini gerakan Islam pada hari mendatang. Apa yang cuba dijelaskan al-Qaradawi sangat sinonim dengan apa yang saya cuba ketengahkan cuma sudah tentu cadangan beliau lebih mendalam.



Sahabat-sahabat yang mengaku sebagai pendokong gerakan Islam, jikalau anda baca buku ini dengan tertib, ternyata rombakkan besar-besaran terhadap sistem tarbiyah dan manhaj dakwah perlu dilakukan segera. Dan sudah tentu anda tidak akan 'membenci' kritikan-kritikan yang ditohmah sebagai 'virus' kepada jemaah di kampus-kampus. Tetapi jikalau anda ingin menjadi ahli yang totok juga, silakan dan rasailah kesan-nya di kemudian hari. 


Bak kata Michael Hardt, penulis buku sains politik 'Empire' yang terkenal di Barat:

" You know, the quality of one's enemy has something to do with making one more or less intelligent. And I think that struggling against Bush made us stupid. Because we had to struggle against the most obvious things: against torture, against the occupation in Iraq. I hope that we don't have to struggle against these in the years to come. My hope for the Obama presidency is that we will be able to focus on struggles that really designate a better world"


Michael Hardt mengalu-alukan 'musuh' yang lebih bijak seperti Obama. Bertarung dengan Bush hanya membodohkan gerak kerja mereka. Begitu juga dengan kita. Tanpa dialektik dalam perjuangan, maka kita juga akan turut jadi bodoh dek terikut musuh yang bodoh. Kita harus lebih pandai daripada musuh dan untuk jadi pandai, Islam sudah zaman berzaman mengangkat budaya ilmu dalam proses peng-Islah-an umat. 



Ringkasnya perbincangan kami tempoh hari telah dirumuskan ke dalam beberapa isi penting seperti yang ditulis oleh firus fansuri antaranya:


1. Bersetuju amalan utama yang dipraktikkan dalam politik kontemporari: bukan demokrasi - tetapi demagogi. Demagogi, ringkasnya adalah strategi demi meraih kuasa politik dengan mendapatkan mandat umum melalui perlakuan, perancangan, dan tindakan yang mengeksploitasi popular prejudice, emosi, kebimbangan dan harapan. Matlamat untuk memegang kuasa politik tercapai dengan meraih sokongan popular rakyat. Demagogi suatu penyalahgunaan demokrasi, dan hasilnya demokrasi tidak terjamin akan menegakkan keadilan dalam masyarakat.


2. Ketelitian dan sifat berhati-hati amat perlu dalam membezakan antara politik Islam (Islamic politics) dan mempolitikkan Islam (politicization of Islam). Isu yang sangat sensitif, perlu penilaian yang lebih mendalam.


3. Keperluan yang sangat mendesak bagi ummah masa ini, kepada kelahiran generasi baru ulama' yang memahami permasalahan sentral dalam fardu 'ain dan fardhu kifayah, supaya segala masalah semasa yang bermacam-macam dapat diawasi dengan ilmu mereka. Ulama' perlu dapat memenuhi keperluan ummah masa ini, menjawab segala persoalan dengan mengutarakan penyelesaian yang tepat, berhikmah dan ditimbang tara dari segenap segi, lapis fikiran dan kemungkinan.


4. Pendidikan lebih utama berbanding politik, tanpa ilmu politik tiada ma'na. Untuk solusi yang benar dan berpanjangan, titik mula penyelesaian adalah dari bawah ke atas, luar-dalam. Meskipun mengambil masa, yang mendasar itulah akan mencengkam.


5. Perlu benar-benar kenalpasti keadaan semasa, fasa da'wah mekah (makkiyah) dan pembinaan negara Madinah (madaniyah) pada manhaj da'wah. Persepsi dalam da'wah perlu difahami bersesuaian dengan latar tempat dan masa. Rujuk pada Sirah Nabawiyah, sejarah ummah. Memahami sejarah penting untuk mengambil ibrah, iktibar dari sunnatullah dan naik-turun tamadun.


Untuk rujukan lanjut bolehlah hadir ke diskusi Islamica pada hari malam Isnin, 2/3/2009, pukul 9pm-11pm dengan tajuk 'Mcdonadization of Knowledge vs. Islamization of Knowledge: A Preliminary Overview".


Juga Islamica akan membawa khas Ustaadh Malek Bennet, (American Muslim) daripada fakulti Sosial dan Kemanusian UTP untuk membicarakan sebuah tajuk yang berbunyi "
The Miracles of Islam" di Masjid An-Nur, 4/3, selepas Maghrib. Bagi saya, beliau ini lebih kurang macam Sykah Hamza Yusuf dan Syakh Abdal Hakim Murad. Rugi kalau tak datang.


Selepas diskusi. Yang rock, yang berserban, yang berkain pelikat, yang makan roti naan-semua ada!


Kami selaku sukarelawan penggerak Islamica berhajat ingin membantu menguraikan kekeliruan ini secara berperingkat-peringkat dengan meletakkan misi pembudayaan ilmu sebagai matlamat utama di kampus UTP ini. Kami mengalu-alukan pelbagai jenis pihak untuk sama-sama menyertai misi ini secara konsisten.


Rujukan lanjut berkenaan diskusi tempoh hari:

Pautan 1
Pautan 2
Pautan 3


Program lanjutan selepas ini:









Video diskusi tempoh hari:






3 ulasan:

van buyten berkata...

tahniah saudara Rausyanfikir, saya betul betul berbangga dan gembira dengan usaha yang saudara telah lakukan,saya mendoakan usaha saudara akan berjaya..insyaAllah dengan izinNya.

tiba tiba datang rasa cemburu kerana tidak dpt join aktiviti menarik yg saudara anjurkan...bertuah siapa siapa yang berpeluang.

YUSSAMIRYUSOF berkata...

Saya cuba lontarkan satu pertanyaan. Bagaimanakan intelektualisme itu dijustifikasikan? Adakah dengan membenarkan diri secara bersendirian atau ada tanda arasnya?

Rausyanfikir berkata...

Diri secara bersendirian yang bagaimana tu? Bagi saya, inteletekualisme itu satu bentuk budaya, atau pemikiran yang cuba membedah sesuatu perkara dengan teliti dan mendalam.