Isnin, 9 Februari 2009

Bincang-bincang



Semenjak Perak ‘meletus’ dengan krisis politik sebegini, saya masih memikirkan realiti dan penyelesaian buat segala macam masalah. Ternyata, ilmu yang ada setakat ini tidak mampu menggapai semua itu.


Ada eloknya saya coret sedikit buah fikiran dalam beberapa isu penting agar dapat kita sama-sama fikirkan. Yang mana salah tolak, yang mana betul ambil.

 

1)Non-partisan


Saya sering kali menggunakan konotasi “non-partisan” ini dalam siri penulisan saya. Mungkin ramai yang salah faham akan ma’na yang saya maksudkan.



Non-partisan disini berma’na tidak fanatik kepada mana-mana pihak dalam amal ma’ruf nahi mungkar. Menegur kerana kesalahan bukan kerana pihak tersebut bukan daripada kumpulan kita maka semua benda yang mereka buat, hatta yang baik sekalipun dituduh salah ataupun kita diam membisu tidak mengi’tiraf perbuatan baik tersebut.



Suka saya petik sejarah silam pengislahan masyarakat Malaysia oleh ABIM di bawah pimpinan Anwar Ibrahim pada era 80-an. ABIM merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba melakukan proses Islamisasi @ Dakwah dalam masyarakat Malaysia yang baru sahaja keluar daripada kancah penjajahan. ABIM tidak mempunyai aspirasi politik kekuasaan – ya’ni merebut kuasa untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional seperti mana dilakukan oleh parti-parti politik lain pada waktu itu.

 


Islam berjaya mendapat tempat dalam masyarakat pada era tersebut bukan melalui kegiatan politik tetapi kegiatan dakwah non-partisan sebegini. Mereka sedar bahawasanya umat Melayu pada waktu itu masih sangat ‘tin kosong’ berkenaan Islam daripada peringkat bawah sampailah kepimpinan negara. Maka, kerja utama buat mereka ialah menyampaikan kebenaran dengan berhikmah. ABIM mengi’tiraf perbezaan darjat kefahaman Islam dalam lapisan masyarakat dan tidak memaksa mereka menerima bulat-bulat apa yang diperjuangkan.



Ternyata ABIM merupakan sebuah gerakan Islam yang melampaui zaman-nya. Gerak kerja dakwah yang sangat berpusat kepada budaya ilmu disamping mempunyai kepimpinan anak muda yang dinamik dan moderat telah menarik ramai anak-anak muda pada waktu itu untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup.



Jikalau kerajaan melakukan kezaliman seperti kes di Baling, mereka turut protes. Protes yang dilancarkan mereka bukan untuk jatuhkan kerajaan tetapi untuk ‘pressure’ kerajaan mengubah dasar yang buruk kepada yang baik. Sudah tentu Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya telah dihumban ke Kamunting pada waktu itu kerana perjuangan mereka membantu golongan yang tertindas.



Melihat gerak kerja mereka yang sederhana (ABIM lebih fokus kepada pendidikan) dan jauh dari kancah politik kekuasaan, ABIM dilihat sebagai sebuah gerakan Islam yang boleh diterima ramai hatta oleh Barisan Nasional. Ma’na diterima ramai ini ialah apabila ABIM menegur, maka teguran itu turut memberi kesan walaupun sukar diterima oleh si pembuat salah. Ini kerana, ABIM tidak ingin menggugat status quo pemerintah yang jahil tersebut.


 

Berbanding dengan PAS, PKR dan DAP pada hari ini, sangat jarang sekali, mungkin tidak ada langsung kenyataan, yang memuji atau meng’itiraf  jasa dan sumbangan Barisan Nasional kepada umat. Semuanya kritikan yang kadang-kala (selalunya pun) tidak beradab – melampaui batas akhlak sebagai seorang Muslim dalam menasihati sesama Muslim. Malah isu kafir mengkafir dahulu cukup berbekas kepada komuniti Melayu sampai pada hari ini.

 


Kita sedar Barisan Nasional zalim, dan kejam. Tetapi dengan reaksi kita yang melampaui batas dalam ceramah-ceramah, akhbar, maka secara tidak langsung dakwah kita kepada mereka akan terputus kerana kita sendiri yang meletakkan penghadang psikologi tersebut.

 


Bayangkan kita duduk di tempat mereka. Sebagai manusia yang Muslim, walaupun mereka melakukan maksiat dan bermacam-macam dosa lain, fitrah manusiawi masih ada dalam setiap diri mereka. Pasti dengan kutukkan, caci maki yang sebegitu, akan tercabar ego dan maruah mereka. Maka PASTI-nya orang-orang yang telah tercabar sebegini akan terus MENUTUP TELINGA daripada mendengar nasihat yang kita sampaikan. Maka kita telah mewujudkan satu benteng yang cukup besar antara kaum Muslimin yang berbeza fahaman politik.  


 

Cuba kita kaji balik bagaimana Rasulullah s.a.w berdakwah kepada kaum-nya.

 


“ Ya, kaumi…”



Bukan sehari dua tapi bertahun-tahun begitu. Rasulullah s.a.w tidak melancarkan revolusi apatah lagi konfrontasi secara kasar tapi baginda cuba menawan hati dengan berhikmah dalam menyeru kepada Kebenaran.



Apakah PAS sering berlembut dengan UMNO? Jarang bukan? Maka tidak hairanlah perpecahan orang Melayu melarat sehingga ke akar umbi manifestasi daripada pergesaran pimpinan atasan yang bersikap biadap antara satu sama lain.



Bagi saya, jikalau majoriti ahli PAS mendahulukan dakwah daripada politik kekuasaan, mengajak umat Melayu kepada Islam dengan ilmu maka saksikanlah perubahan dari akar umbi yang akan memberi kesan kepada perubahan kepimpinan negara pada masa akan datang. Ini pasti berlaku kerana sunnatullah  kehidupan bahawa masyarakat yang terdidik akan mampu membezakan yang benar dan salah dengan lebih berkesan. Maka, akan tertolak kebatilan itu sikit demi sedikit tapan perlu melancarkan revolusi yang entah apa kesan-nya kepada umat kelak.

 


Revolusi Iran berjaya menjadi sedikit Islamik kerana Imam Khomeini berjaya mengatasi pengaruh gerakan lain yang menjadi pendokong revolusi tersebut. Revolusi Bolshevik pula menjadikan USSR neraka hidup buat umatnya walaupun pada awalnya menjanjikan pelbagai ni’mat dan kesenangan.



Saya pelik, kalau kita kaji kisah Obama dan Hillary Clinton, bagaimana mereka yang menjadi seteru yang dahsyat sewaktu pertandingan mewakili parti Demokrat untuk calon Presiden, selepas Pilihan Raya, boleh menjadi sahabat baik sehingga diterima masuk ke dalam kabinet. Apakah yang menjadikan politik di Amerika Syarikat sebegitu rupa?



Kenapa kita, orang Melayu yang berpolitik, sangat susah untuk bersatu seperti mereka selepas ‘selesai’ bertarung di pentas politik?


 

Bagi saya, ini mungkin kerana sikap dan adab menegur kita kepada seteru masing-masing.



Malah satu paradoks juga harus kita fikirkan: Mengapa demokrasi yang dijalankan oleh negara dunia ketiga hampir ke semuanya gagal berbanding demokrasi di negara-negara Barat? Apakah masalah kita sebenarnya?


 

2)Sekularisme


Antara hujah biasa yang kita dengar mengapa kita perlu tumbangkan UMNO kerana mereka adalah kerajaan sekular. Perkataan sekularisme sering kali menjadi kata kunci penting dalam memahami permasalahan umat Islam pada akhir zaman ini.



Tetapi selalunya sekularisme ini disempitkan kepada aspek politik sahaja sedangkan apa yang wujud dalam pentas politik ini merupakan cerminan kepada sekularisme yang lebih diskrit iatu yang terbentuk dalam pandangan alam ( aqidah) orang Melayu pada hari ini.



Maka akar permasalahan, seperti yang dijelaskan oleh Prof. al-Attas bukanlah sangat pada peringkat politik tetapi masalah kehilangan adab yang mana menimbulkan kekeliruan ilmu.



Senjata utama untuk menumpaskan wabak ini adalah melalui jalur pendidikan, seperti yang telah dilakukan oleh ulama’ silam zaman-berzaman.



Pada hari ini, penjajah yang wujud di negara kita adalah yang tersembunyi dalam kantung keilmuan. Ledakkan maklumat yang begitu pesat mempercepatkan lagi proses sekularisasi tersebut. Malah, kata Prof. al-Attas, sekularisme menjadi lebih bahaya kerana ulama’ pada hari ini tidak mampu mengenal pasti pintu masuk falsafah sekularisme yang banyak menerjah melalui pintu ilmu fardhu kifayah kerana ulama’ tradisional pada hari ini tidak memahami realiti semasa dengan baik.



Jikalau ulama’ ini faham akan juzuk ilmu fardhu kifayah dengan baik, maka sudah tentu mereka mampu menyekat-nya daripada membuat onar dalam masyarakat kita. Sebab itu, kerja penting ulama’ pada hari ini ialah Islamisai Ilmu kontemporari.



Insya-Allah, apabila kita kuat di sudut ini, maka akan berkuranglah umat Islam yang keliru dan akan hilanglah para pemimpin yang rosak kerana akar permasalahan sudah di tutup dengan cermat oleh ulama’ yang mampu menggalas tugas seperti mana Imam al-Ghazali lakukan melalui karya Tahafut al-Falasifah. Pemikiran falsafah Yunani terus TKO selepas itu TETAPI yang mana boleh diambil dan digunakan, maka dibolehkan diajar selepas disaring  dengan cermat.


 

3)Makkiyah-Madinah.

 

Dalam saya berborak dengan Ustaz Malek Bennet, beliau berpendapat bahawa ulama’ kita dalam 100 tahun kebelakangan ini, telah keliru akan peringkat kita yang sebenar.



Apakah kita dalam fasa Makkiyah atau Madinah?



Apakah fasa Makkiyah itu statik ataupun perlu selalu, senantiasa didahulukan dan difokus rapikan berbanding fasa Madinah dalam era pasca moden, sekular ini?



Apakah kaitan karya Al-Futuhat al-Makkiyah Ibn Arabi dengan hubungan dan impaknya dalam membina tamadun Islam? Sebab Khilafah Turki Uthmaniyyah didokong hebat oleh golongan sufi intelektual.

 


Bukan tak boleh berpolitik, boleh TETAPI UTAMAKAN PEMANTAPAN PENDIDIKAN UMMAH. Kita semua tidak mempunyai masa 48 jam sehari. Semua ada 24 jam je. Kalau semua tenaga dan masa ahli kita dicampak untuk berpolitik, siapa lagi nak didik ummah?



Sebab itu, kalau kita ikut manhaj dakwah Rasulullah dalam fasa Makkiyah yang nampak lebih berat kepada realiti permasalahan semasa pada waktu ini berbanding manhaj dakwah fasa Madinah, hasilnya lebih memberi kesan untuk jangka masa akan datang.



Pada masa kini, kita macam bomba. Fire fighting. Perlu buat kerja ini tapi jangan la sampai kita lupakan kerja yang lebih penting ya’ni dakwah dan pembinaan tamadun.



Sebab tu bilamana gerakan Islam berpolitik, politik yang diperjuangkan sangat sempit! Semuanya bersifat konfrontasi yang mana banyak mendatangkan perpecahan daripada kesatuan.



Memang UMNO kena balun bila perlu tapi jangan itu sahaja! Semua orang nampak PAS sebagia parti politik. Bukan jemaah Islam.



Untuk ini saya hormati JIM kerana usaha gigih mereka telah lahirkan tokoh-tokoh Erdogan yang berwibawa. Silap mereka hanya kerana mempercayai Anwar Ibrahim terlebih sangat. Dari segi kualiti kepimpinan, idea orang-orang JIM dalam PAS ini jauh ke hadapan berbanding individu yang ditarbiyah mengikut sistem PAS. Mungkin dalam sistem tarbiyah PAS hanya ingin melahirkan pekerja Islam secara am-nya, tetapi bukan pemimpin masyarkat secara khususnya. Maka, jiwa mereka yang ditarbiyah tidak besar. Cukup berpuas hati makan gaji dengan syarikat kaya, dan sumbang di peringkat cawangan.


 

Maka sia-sialah potensi akal keilmuan dan masa di universiti itu. Belajar di universiti untuk dapat kerja bukan untuk mengasah daya intelektualisme untuk membantu PAS yang sememangnya miskin wacana intelektualisme untuk memerintah negara! Untuk memajukan PAS bukan perlu bawak masuk berbondong manusia yang konon-nya golongan ‘profesional’ tapi dari segi isi tin kosong, tapi perlu bawak masuk (baca: kader) manusia yang bijak untuk menyelesaikan masalah kontemporari melalui acuan Islami. Tapi macam biasa, kita lebihkan form daripada substance.


 

Bila fikir-fikirkan balik, ternyata masalah asasi kepada kebangkitan Islam adalah ilmu dan ini sangat kena dengan hujah Prof. al-Attas.


 

 

Semua yang saya tulis ini hanyalah lontaran idea. Boleh jadi betul dan salah jika kita perhalusi lagi. Kalau tak kritik, tak bincang, bagaimana boleh kita perbaiki mutu perjuangan bukan?



Berbeza pendapat itu satu rahmat.


 

Wallahua’lam.

 



6 ulasan:

Alias Mohd Yusof berkata...

Walaupun lompat parti tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang tetapi ia tidak sepatutnya boleh menyebabkan parti pembangkang mengambil alih kuasa secara automatik. Kalau pengambilan kuasa secara automatik ini dibenarkan maka kerja kita tidak ada lain melainkan sentiasa mengusahakan ADUN-ADUN melompat parti sahaja.
Akhirnya tahun ini mungkin BN dapat kuasa, tahun depan bertukar ke PR pula, bergantung kepada keaktifan katak-katak dalam negeri tersebut.
Oleh itu cara yang lebih bermaruah, selain dari membenarkan ADUN melompat parti, Menteri Besar hanya boleh dilucutkan hanya melalui undi tidak percaya ahli dewan atau MB sendiri yang sukarela letak jawatan.
Pengambilan kuasa secara automatik melalui lompat parti seharusnya tidak dibenarkan.

Rausyanfikir berkata...

Setuju en Alias.

Saya sangat tidak suka cara lompat2 ni. Kesilapan PAS ialah membenarkan Anwar bising dari awal pasal ini.

Sekarang, semua parti politik sudah jadi katak. Yang rugi siapa?

MS Rizal berkata...

Tulang belakang PAS sememangnya terdiri daripada individu yang terlibat dengan kegiatan usrah dan tarbiyah. Lihatlah Ir Nizar yang tidak meninggalkan peranan dakwahnya walaupun sibuk dalam kegiatan mentadbir negeri.

Kerana PAS dilihat sebagai sebuah Parti Islam yang benar-benar kuat untuk melawan UMNO maka berbondonglah pendokongnya masuk dari berbagai latar belakang. Mereka ini masuk melalui pintu-pintu tak terkawal, mungkin di dalamnya terdapat individu yang tak faham apa itu erti ghulu. Juga tak kisah apa itu disiplin ilmu dan disiplin dakwah. Kerana merasakan diri sudah nyata benar.

Saya fikir PAS akan lebih berkesan jika mengundurkan sedikit demi sedikit individu yang suka memaki hamun di atas pentas dan tonjolkan orang yang bijak merangsang masyarakat berfikir mengikut tahap latar belakangnya.

Pandangan dari seorang yang Dhaif.
WallahuTaala'lam.

alqasam berkata...

Bro Malik Bennet? Dari Amerika. Sekelas dengan ana. Mengajar anaknya menjadi guru kelas dan rakan karib mereka. Sehingga ke pintu airport yang terakhir kami mengucapkan salam.

Seorang yang berilmu.

Isu lompat ini perlu dhowabit dan bersandarkan konsep siasah syariyyah dan prinsip maqasid.

alqasam berkata...

@en Alias:

Setuju.

Paling selamat dan adil dalam mendepani krisis ini adalah melalui undi tidak percaya. Kalau keputusan Sultan legally right tetapi tergesa-gesa form government dengan katak-katak is morally wrong. Merasakan tidak perlu melalui pilihanraya kerana faktor masa etc sebaiknya melalui undi tidak percaya.

Anwar salah kerana memulakan isu lompat, tetapi jika dia menggunkan taktik kotor pasti dia telah menang dan dapat menarik ramai katak.

Isunya, bagaimana dan mengapa mereka melompat.

Satu undang-undang berkenaan isu melompat yang tidak biased kepada mana-mana parti perlu dibuat.


Allahua'lam.

IndukYati berkata...

Betul...betul..betul...akibat terpengaruh dengan ucapan propaganda politikus,emosi diutamakan.Ilmu disisikan sedangkan itu yang perlu dijadikan panduan. Bagaimana bisa memerintah ataupun menguasai sebuah negara jika pendukungnya hanya tin kosong..macam-macam hal!!