Ahad, 18 Januari 2009

Semangat adik-adik tentang krisis Gaza



Dalam 2 minggu ini, sejak Gaza jadi
abattoir tentera Zionis, saya dah berceramah tentang krisis Gaza ini sebanyak 5 kali.



UIA PJ, UIA Nilai, UM API, UM Kolej ke-11, dan yang terakhir di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam.



Insya-Allah, bakal disusuli di Masjid UTP kalau tak kena 'gam' lagi dengan mana-mana pihak di UTP.



Sewaktu di UIA Nilai, saya dijemput se-podium dengan rakan seperjuangan bermazhab pemikiran Attasian, saudara Mohd. Hilmi Ramli yang juga merangkap Presiden PKPIM, sebuah gerakan mahasiswa Islam ke-dua terbesar di Malaysia selepas GAMIS.



Orientasi kami pada malam itu bukanlah sangat bercakap berapi-api macam yang dapat ditonton sewaktu demonstrasi jalanan, tapi kami cuba besarkan skop perbincangan yang ada berkenaan krisis Gaza.





Saudara Hilmi membicarakan pelan jangka panjang dalam menangani krisis Palestin-Israel ini dengan mengambil contoh yang dikaji oleh Dr. Majid Irsan al-Kilani dalam bukunya yang bertajuk
Hakadza Zhahara Jîlu Shalahuddin wa Hakadza ’Âdat al-Quds ( dalam Bahasa Indonesia-nya "Misteri masa kelam Islam dan Kemenangan Perang Salib: Refleksi 50 tahun gerakan dakwah para ulama' untuk membangkitkan umat dan merebut Palestina").



Sememangnya, saya sendiri sudah membaca separuh daripada buku tersebut dan mendapati bahawa apa yang Prof. al-Attas telah buat dahulu merupakan satu kerja fundamental yang cukup penting dalam mempersiapkan generasi Muslim akan datang seperti mana Imam al-Ghazali sendiri mempersiapkan akar kebangkitan generasi Salahuddin al-Ayyubi.



Saudara Hilmi 'memaksa' adik-adik UIA Nilai untuk membeli buku tersebut dan bincang dalam usrah seterusnya ambil tindakan untuk menyambung rantai-rantai perjuangan berbasiskan modul buku Dr. Majid Irsan al-Kilani ini.



Saya setuju 100%.



Kita sekarang banyak
fire-fighting daripada persiapkan diri dengan asas yang kukuh berkenaan kebangkitan tamadun Islam.



Bukan tak boleh berdemo tetapi kena juga lihat permasalahan ini dari konteks jangka panjang. Dalam siri ceramah saya bertajuk ' Akar permasalahan krisis Gaza' ini pun saya mengupas panjang akan perlunya kita mengangkat masalah yang ada di Timur Tengah ini sebagai masalah pertembungan ketamadunan (clash of civilizations) versi Prof. al-Attas yang lebih
syumul daripada versi Samuel Huntington yang bersifat sosio-politik.




Boleh cuba dapatkan di kedai buku Indonesia Alam Raya yang berdekatan dengan pejabat Harakah dan Hospital Tawakkal. Tapi kalau tak dapat beli tu kena lah buat
order sebab memang buku ni laku macam pisang goreng panas.




Paling menarik tengok budak-budak UIA Nilai lakukan seperti ini:



Kalau berani, buat jugalah di kampus masing-masing. Saya difahamkan mesin tersebut baru dipasang di kampus UIA Nilai tapi tak sempat diisikan lagi air tin-nya sudah dikerjakan begitu.




Ceramah saya di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11, Shah Alam merupakan atas jemputan ibu kepada rakan sekolah saya dahulu yang menjawat jawatan pengetua sekolah tersebut.




Saya memang dah biasa berceramah depan budak sekolah menengah tapi kali ini agak kaget sebab
powerpoint saya agak berat isi-nya. Maka, sepanjang ceramah tu saya terpaksa rendahkan sikit penjelasan agar adik-adik tingkatan 1-3 mampu faham.





Agak seronok melihat adik-adik di sekolah itu bersemangat juang menzahirkan
izzah mereka akan bantahan serangan Zionis laknatullah di Gaza. Mereka 'berdemo' kecil-kecilan di atas pentas dewan besar dengan semangat yang meluap-luap. Atas pentas pun jadilah ye.



Baguslah adik-adik, semoga jadi mahasiswa/mahasiswi yang berjiwa rausyanfikir (pemikir tercelik) seperti yang di ketengahkan oleh Ali Syariati di Iran pada 70-an dahulu.



Terima kasih daun keladi kepada semua yang sudi menjemput saya. Harapan saya seperti biasa adalah harapnya, budaya ilmu di institusi masing-masing dapat diperkemaskan agar persiapan melahirkan generasi Salahuddin yang baru dapat diteruskan usahanya.


1 ulasan:

Pengurus Blog: Iman berkata...

Menarik.. Saya pernah menubuhkan dan menganggotai pergerakan ilmiah yang diberi nama "Rausyenfikirs" ketika menuntut di UIAM PJ dan kemudiannya di UIAM Gombak, sekitar tahun 1999-2001. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama, ya akhi? - Muhd. Nur Iman Ramli.