Khamis, 22 Januari 2009

Kemiskinan falsafah dan konsep ‘Rausyanfikir’ dalam Pengkhususan (majoring) dan Projek Tahun Akhir (Final Year Project) Universiti Teknologi PETRONAS.


Minggu pertama setelah semester bermula buat mahasiswa tahun akhir seperti saya ini selalunya dihidangkan dengan pelbagai jenis proses membuat keputusan yang agak sukar.


Selain daripada memilih pengkhususan (major) dalam bidang pengajian, kami juga dikehendaki memerah otak untuk menentukan projek tahun akhir (final year project) yang bakal kami siapkan selama setahun ini.


Sebagai aktivis mahasiswa yang memegang falsafah rausyanfikir dan mazhab pemikiran al-Attas, saya mendapati terdapat kepincangan yang agak berat dalam sistem akademik di UTP.


Dalam urusan pemilihan pengkhususan tahun akhir, saya memilih pengkhususan ‘Alam Sekitar’ (Environment) dalam jurusan Kejuruteraan Kimia (Chemical Engineering) yang saya ambil. Seperti yang dijangkakan, pengkhususan ini hanya berjaya menarik beberapa kerat mahasiswa dan mahasiswi sahaja.


Dalam kes batch saya, hanya saya seorang yang mewakili kaum Adam untuk pengkhususan Alam Sekitar ini. Jumlah kesulurahan kami yang ambil pengkhususan ini hanyalah 4 orang daripada 100 lebih orang mahasiswa tahun akhir Kejuruteraan Kimia batch kemasukkan Januari 2005 UTP.


Majoriti daripada rakan sekelas saya memilih pengkhususan ‘Kejuruteraan Petroleum’ (Petroleum Engineering) dan ‘Petrokimia’ (Petrochemical).


Antara hipotesis awal yang boleh saya lakarkan adalah bahawasanya kebanyakkan mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir tidak sedar akan nasib planet bumi ini yang semakin tenat dengan pelbagai masalah alam sekitar. Masih ramai yang melihat bidang ilmu mereka bebas nilai yang akhirnya akan membentuk kekeliruan moral akan perjalanan karier mereka kelak.


Sangat ironis sekali bijak pandai yang ingin dipupuk menjadi graduan yang dinamik (well rounded students yang menjadi falsafah UTP) tetapi pincang konsepsi berkenaan kosmos ciptaan Ilahi yang semakin tenat diserang bahana ekonomi kapitalisme yang membiakkan wabak pencemaran alam sekitar melalui kerakusan penggunaan bahan api hidrokarbon dan bahan kimia yang tidak mesra alam.


Maka saya menilai kepincangan ini melalui kaca mata rausyanfikir yang di-tassawur-kan (didefinisikan) sebagai “ mereka yang menyedari dan arif mengenai situasi sosial manusia yang sebenarnya pada zaman kini dan masa lampau dan mempunyai tanggungjawab sosial.” 


*(rujuk artikel saya berkenaan rausyanfikir di sini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut)


Jelas disini jikalau kita sedar ( conscious ) dan peka ( sensitive ) akan masalah fundamental umat manusia seperti yang dijaja oleh pemenang hadiah Nobel, Al Gore dalam dokumentari ‘An Inconvenient Truth’ dan juga Leornado Di Caprio dalam filem ‘The 11th Hour’ kita akan berasa bersalah (guilty) untuk meneruskan kerja-kerja yang menyumbang kepada keserosakkan planet bumi ini.


Dunia tidak perlukan lebih banyak jurutera yang beracuankan weltanschauung falsafah ekonomi neoliberal-kapitalisme yang telah menyumpah alam ini menjadi ciptaan yang tidak sakral, dinodai kesuciannya serta kemiskinan ma’na metafizika yang memadamkan kebesaran Ilahi daripada umat manusia.


Dengan melahirkan graduan yang tidak bersifat rausyanfikir kita sebenarnya menyumbang kepada kehancuran masa depan umat manusia dengan lebih pantas. Antara tanda-tanda kegagalan awal kita melahirkan graduan rausyanfkir dan well rounded ialah kurangnya minat terhadap pengkhususan yang sebenarnya bersih daripada elemen-elemen kapitalisme yang merosakkan.


Saya, sebagai seorang rausyanfikir telah memilih pengkhususan ‘Alam Sekitar’ melalui pertimbangan di atas.


Ini tidak bermakna apa yang rakan-rakan saya telah pilih itu satu keputusan yang jahil tetapi sedikit sebanyak menjelaskan ketidak pekaan mereka terhadap bencana besar yang bakal menimpa dunia ini tidak lama lagi kerana seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran, surah Rum, ayat 41:


“Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.”

Begitu juga ayat 11 dalam surah ar-Rad:


“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Mengikut mufassirun (ulama’ tafsir) yang awal, ma’na perkataan ubah (taghyir) itu lebih merujuk kepada perubahan daripada baik kepada buruk, bukan seperti biasa yang kita fahami ya’ni melalui penafsiran ulama’ reformis daripada buruk kepada baik.


Ini berma’na, kitalah, yang empunya ilmu paling berpotensi untuk merosakkan bumi. Kerana ilmu yang kita pelajari selama hari ini tidak berasaskan kefahaman yang menjunjung tinggi al-haqq ( reality and truth). Maka, ilmu itu lebih membawa kepada kehancuran dalam jangka masa panjang berbanding kebaikkan yang diberi dalam jangka masa pendeknya.


Dalam kes pengkhususan kejuruteraan kimia ini, dengan lambakkan calon-calon mahasiswa tahun akhir yang menumpukan tenaga dan intelek mereka kepada bidang kejuruteraan petroleum, ianya akan melambatkan lagi proses untuk menghijaukan kembali sektor tenaga (greening the energy sector in its fullest and honest way) di Malaysia yang mana PETRONAS sendiri merupakan antara pemain utama dalam sektor ini.


Kita harus sedara bahawa masa depan yang lebih cerah tidak akan sama sekali bergantung kepada sumber bahan api hidrokarbon seperti petroleum. Kegilaan perindustrian (industrialization ) yang menjadi tunjang ekonomi kapitalisme telah menjadikan kita ketagih kepada bahan api petroleum tanpa berusaha dengan lebih keras untuk mencari penyelesaiaan jangka panjang yang lebih syumul sifat mesra alam-nya.


Maka ijtihad saya dalam memilih pengkhususan ‘Alam Sekitar’ ini bertitik tolak daripada keseadaran moral dan intelektual bahawa umat manusia pada zaman ini dan zaman mendatang lebih memerlukan “jurutera hijau” yang tidak melihat alam sebagai lubuk ekonomi semata-mata.


Bagi saya, zaman kegemilangan bahan api fosil seperti petroleum sudah semakin malap dan akan pupus tidak lama lagi. Tamadun Barat walaupun rakus merobek minyak di bumi Iraq, para intelektual mereka sudah lama bersiap sedia untuk berhadapan dengan sebarang krisis tenaga. Maka penekanan terhadap kelestarian gaya hidup (sustainable development) itu sudah menjadi makanan ruji minda mereka dalam bidang-bidang akademik di universiti-universiti.


Yang menjadi halangan kepada idea mereka ini hanyalah puak-puak kapitalis yang masih buta, pekak dan bisu terhadap krisis alam sekitar kerana telah menjadikan keuntungan melebihi daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.


Dalam bab Projek Tahun Akhir yang saya perlu pilih turut juga menghadapi masalah yang sama berkenaan kepincangan konsep rausyanfikir. Ini kerana hampir ke semua tajuk projek yang dikemukakan oleh pensyarah fakulti saya bersifat runcitan dan spesifik.


*(rujuk kajian menarik berkenaan penyeledikan huluan (upstream research) dalam bidang Matematik oleh Prof Madya Dr. Adi Setia dari UIAM di sini. Saya berpendapat para cendekiawan UTP harus berfikir dalam kotak yang sama seperti yang diutarakan oleh Dr. Adi Setia ini).


Mungkin ada yang tertanya:

Apakah salah kita bersifat begitu dalam menetapkan standard penyelidikan akademik yang lebih runcitan dan spesifik?


Jawapan saya adalah:

Memang tidak salah TETAPI keadaan sekarang memerlukan pemerhatian dan peniliaan yang lebih berhikmah (wisdom) dalam mengerah tenaga intelek di universiti.


Konsep rausyanfikir mengajurkan bahawa universiti harus sedar dan peka apakah masalah sebenar umat manusia pada ketika ini. Apakah akar permasalahan kita pada hari ini dalam industri minyak dan gas.


Tidak perlu pergi jauh ke dalam wacana falsafah tetapi cukup sekadar memahami realiti yang telah, sedang dan bakal berlaku terhadap industri minyak dan gas.


Pada hemat saya, antara bidang kritikal yang perlu diambil perhatian pada ketika ini adalah ketidak stabilan ekonomi yang bakal menjadi satu krisis yang cukup besar kelak melebihi taraf The Great Depression 1930 mahupun embargo OPEC 1973.


Dengan nasib mata wang US Dollar yang semakin tenat, adalah amat mustahak buat para cendekiawan di UTP untuk melahirkan penyelesaiaan yang mampu menyelematkan Malaysia daripada terjerebak dalam lubang biawak krisis ekonomi yang sama seperti Amerika Syarikat.


Di sini saya melihat perlunya ada kajian berkenaan model perdagangan dan ekonomi petroleum ( petroleum economics) yang bersandarkan kepada mata wang alternatif yang lebih stabil dan kebal daripada wabak inflasi dan deflasi mata wang di peringkat global.


Iran sedang bertungkus lumus merencanakan model ekonomi yang baru dalam urusan jual beli minyak tetapi banyak negara Arab yang kaya dengan emas hitam itu masih berkiblatkan Amerika Syarikat dalam hal pengurusan ekonomi.


Maka saya memang teringin hendak memilih tema ini sebagai kajian Projek Tahun Akhir saya, tetapi malangnya tidak mungkin berlaku buat masa ini. Ini kerana saya bukanlah mahasiswa bidang ekonomi dan saya perlu memilih tajuk yang lebih teknikal sifatnya dan berat kepada kejuruteraan.


Saya amat memahami sekatan akademik ini kerana UTP bukanlah seperti IPTA yang lebih multi bidang akademik. Malah terikatan kepada Agensi Kelayakkan Negara (MQA) dan Board of Engineers Malaysia dalam penentuan silibus akademik dan keperluan untuk memenuhi tuntutan industri melebihi tuntutan masyarakat am menjadikan topik kajian yang saya pilih ini satu fantasi.


Saya tidak menyalahi mana-mana pihak kerana masing-masing terperangkap dalam sistem pendidikan tinggi yang bersifat sebegitu rupa.


TETAPI biarlah kali ini, kita membuat bidaah hasanah terhadap struktur Projek Tahun Akhir ini kerana umat memerlukan kita menyelesaikan masalah ini dengan segera.


Apakah sudah kita, para jurutera dan cendekiawan Muslim telah bersedia untuk menghadapi the global meltdown of capitalist system, khususnya dalam sektor minyak dan gas yang semakin mengering?


Apakah sudah kita mampu untuk tidak bergantung kepada US Dollar sebagai mata wang petrol (petroldollar) dalam urusan jual beli minyak?


Saya rasa tidak. Kita masih jauh untuk berhadapan dengan situasi ini.


Makanya saya melihat adalah perlunya diantara kita, baik mahasiswa mahupun pensyarah yang serius ingin mengemukakan penyelesaiaan alternatif terhadap krisis ini, membuat penyelidikan berkenaan model ekonomi petroleum yang berasaskan dinar emas.


Saya dengan amat berbesar hati ingin menawarkan diri untuk penyelidikan sebegini rupa jikalau diterima sebagai topik Projek Tahun Akhir saya.


Saya tahu pada ketika ini semua ini hanya tinggal angan-angan kerana sekatan akademik yang wujud dalam sistem pendidikan negara kita TETAPI fikir-fikirkanlah bahawa ini adalah antara masalah yang cukup serius yang perlu golongan intelektual dari pelbagai bidang untuk tanganinya bersama.


Kebanyakkan cendekiwan teknikal tidak dapat menghargai kerisauan cendekiawan bukan teknikal kerana seperti kupasan berkenaan pemikiran seorang ahli falsafah Sepanyol, Jose Ortega y Gasset dalam bukunya ‘The Mission of University’:


“He (Ortega y Gasset) blamed modern civilization and the technical specialization inherent in it for the rise of new barbarians”


Hujah ini diteruskan lagi dalam kupasan karyanya yang lain bertajuk The Revolt of the Masses:


“Making a vital distinction between "mass" and "class," he defines "mass-mind" as the commonplace mind, no matter in what class it is found. The massman is barbarian, only concerned with his own wellbeing, content to plunder civilization, not labor intelligently to continue it. By his definition of "barbarian" Ortega y Gasset covers a multitude of public "leaders": "If anyone in a discussion with us is not concerned with adjusting himself to truth, if he has no wish to find the truth, he is intellectually a barbarian. That, in fact, is the position of the massman when he speaks, lectures or writes." Even highly-trained specialists—scientists, financiers, doctors, engineers—behave like barbarians in spheres outside their specialty. Result: "The direction of society has been taken over by a type of man who is not interested in the principles of civilization."

Tak mungkin consultant Mat Salleh seperti Mckenzie, Schlumberger ingin membantu kita merangka model ekonomi petroleum alternatif yang menggunakan dinar emas sebagai sandaran mata wang petrol utama.


Sebagai mahasiswa yang menyerapi falsafah rausyanfikir, saya rasa sangat terpanggil untuk meluangkan masa yang ada di kampus ini untuk memberi sumbangan yang bermanfaat kepada PETRONAS dan negara-negara Islam dan bukan Islam yang percaya kepada kekuatan dinar emas sebagai medium transaksi alternatif kepada US Dollar.


Ketepikan semua birokrasi MQA, dan pemikiran ortodoks teknikal yang sempit dalam hal ini. Semua projek penyeledikan hiliran ( downstream research) yang diusahakan dengan penuh dedikasi oleh para cendekiawan UTP tidak akan membari apa-apa ma’na jikalau sistem ekonomi kita terjerumus dalam kancah kegagalan ekonomi kapitalis.


Mana mungkin biofuel, dan segala macam projek penyelidikan sebegitu mendapat tempat dalam kehidupan seharian umat manusia ketika mana pengangguran berleluasa, dan keruntuhan sistem kehidupan moden berlaku ketika mana sistem ekonomi kapitalis sedang berkubur.


Kita umat Islam mempunyai potensi yang cukup besar untuk menyediakan pek keselamatan dalam berhadapan dengan krisis ekonomi global ini. PETRONAS yang sudah terkenal dari segi kewibawaannya mengurus sumber bahan api fosil di Malaysia mampu menjadi pedoman dan contoh yang baik buat syarikat minyak milik dunia Arab yang lain.


Perdangangan minyak antara negara-negara OIC menjadi alternatif yang baik untuk menyerap kesan kemerosotan ekonomi global kerana pada ketika itu saya percaya akan berlaku kesulitan yang serius dalam dunia perdangan antarabangsa.


Ingatlah sejarah silam kita dahulu yang tidak ubah seperti apa yang ada sekarang. Pada zaman Imam al-Ghazali sendiri para ulama’ (cendekiawan) telah sibuk membicarakan dan mengenengahkan perkara-perkara furu’ (cabang) yang tidak memberi apa-apa manfaat yang signifikan terhadap umat.


Penindasan, korupsi, serangan Mongol, Tentera Salib dan kekalutan kehidupan dunia Islam pada waktu itu tidak dapat diselesaikan dengan kerja-kerja penyeledikan yang sangat rigid dan jumud sifatnya.


Maka, Imam al-Ghazali cuba mencari akar permasalahan ketika itu ya’ni kehilangan adab dalam semua lapangan kehidupan masyarakat dunia Islam pada ketika itu. Beliaulah yang menghamparkan jalan perubahan yang melahirkan generasi Salahuddin al-Ayyubi yang meletakkan dunia Islam kembali kepada tempat yang sewajarnya melalui pengaruh kitab Ihya Ulum a-Din yang tersebar luas di institusi pendidikan dalam dunia Islam pada ketika itu.


Imam al-Ghazali cuba menyelesaikan masalah usul berbanding furu’ yang kurang memberi manfaat kepada umat Islam yang pada ketika itu diserang dengan bala bencana yang cukup dahsyat.


Sama jugalah seperti sekarang bahwa jikalau kita gagal menjadi rausyanfikir, maka penyelidikan kita hanyalah bersifat furu’ yang tidak akan banyak membantu umat manusia daripada menyelesaikan masalah yang lebih fundamental.


Dalam konteks UTP ini, jikalau tiada arah melintang maka perlunya kelonggaran diberikan kepada mana-mana cendekiawan dan mahasiswa yang ingin menyelesaikan masalah fundamental (usul) yang wujud dalam industri minyak dan gas.


Sebagai mahasiswa tahun akhir yang bersifat rausyanfikir, saya tidak meletakkan GPA dan CGPA saya sebagai kayu ukur yang mendefiniskan “siapa saya” selaku graduan UTP kelak tetapi “apakah sumbangan saya” kepada bangsa, agama dan negara melalui Projek Tahun Akhir saya dalam kajian berkenaan “Ekonomi Petroleum dan Dinar Emas” yang agak menyimpang daripada bidang akademik saya tetapi berpotensi besar untuk menjadi penyelesaiaan alternatif utama dalam berhadapan dengan krisis ekonomi dunia yang cukup menggila kelak.


Jikalau PETRONAS ingin melahirkan leaders yang unggul maka, UTP harus mempunyai intellectual will yang kukuh untuk mencabar status quo sistem pendidikan tinggi dan ke-ortodoks-an industrri minyak dan gas dalam mendefinisikan semula ma’na menjadi graduan di institusi pendidikan tinggi Malaysia.


Tetapi pada saat ini saya hanya mampu berharap dan realistiknya mungkin tidak akan berhasil cadangan ini. Falsafah dan konsep Rausyanfikir sememangnya amat dhaif di UTP.


Dengan semangat perbezaan pendapat secara ilmiah, saya selaku mahasiswa tahun akhir jurusan Kejuruteraan Kima dalam pengkhususan Alam Sekitar menyusun sepuluh jari jikalau hujah saya ini melukakan hati mana-mana pihak.


Ikhlas daripada saya yang mencintai agama Islam, bangsa dan negara melebihi daripada keperluan akademik saya selaku mahasiswa tahun akhir UTP.



Yang amat risaukan nasib umat manusia,

Wan Ahmad Fayhsal a.k.a Rausyanfikir


1 ulasan:

Syakir berkata...

Salam,

Suatu lontaran perspektif yang menarik dari sdr Faizal, mungkin pada ketika ini belum ada peluang untuk saudara menterjemahkan idealisme saudara dalam tesis tahun akhir saudara, walaubagaimanapun saya berdoa agar saudara dapat jua melakukannya jua suatu hari nanti. Nur dari pancaran semangat aktivisme saudara mengingatkan saya terhadap pesanan Al Banna dalam Risalah Ta'lim tentang kepentingan tadarruj (berperingkat-peringkat). Mungkin pada peringkat ini, amat sesuai bagi kita untuk melakukan eksperimen terhadap sesuatu projek yang telah diberikan, kemudian mencari maklumat melalui analisis khusus yang kita jalankan, memahami tentang persoalan & permasalahan teknikal yang dihadapi
dan secara berperingkat membina epistemologi yang lebih mesra alam dan lestari... sesungguhnya aktivisme melalui inisiatif penyelidikan memakan masa yang panjang serta memerlukan kesabaran yang kental... Selamat berjaya..!