Jumaat, 9 Januari 2009

al-Muslimah dan gerakan anti-PPSMI



Kepada yang menghadiri sesi wacana "Akar permasalahan krisis Gaza" tempoh hari di Masjid APIUM, saya berhujah bahawa krisis Gaza ini tidak bermula dalam vakum.


Ada rentetan-rentetan peristiwa yang memungkinkan krisis ini. Ada yang berlaku melalui faktor luaran dan ada juga kerana faktor dalaman.


Kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam magnum opus-nya "Islam and Secularism", kebejatan kaum Muslimin pada hari ini bermula daripada masalah kehilangan adab. Ini seterusnya melahirkan kekeliruan ilmu yang memungkinkan lahirnya para pemipin yang palsu dalam setiap lapisan masyarakat.


Saya juga berhujah bahawa krisis Gaza ini bukanlah Israel versus HAMAS, tetapi merupakan satu projek simbiosis beberapa musuh Islam yang kita rangkumkan sebagai Ketamadunan Barat. 


Sebelum Israel mampu menyembelih saudara-mara kita di Gaza, Barat sudah "menyembelih" fakulti minda kita melalui serangan pemikiran yang datang secara diskrit melalui pintu ilmu fardhu kifayah berupa ilmu sains sosial, dan sains tabi'ie yang berepistemologikan falsafah sekularisme. Ada pun jua serangan Orientalisme yang mengetuk pintu masuk ilmu fardhu ayn sehingga lahirnya para ulama' yang dualisme, yang turut sama keliru akan falsafah ketauhidan ilmu fardhu ayn dan fardhu kifayah. 


Semua ini bukanlah bertujuan meng-kafirkan umat Islam tetapi cukuplah sekadar menciptakan "kegoyahan" dan "kekeliruan" dalam memahami ma'na dan tujuan ilmu sebagai penyuluh kehidupan.


Bak kata pepatah hikmah:


"a fish rots from the head down"



Itulah asbabnya. Kekeliruan  yang lahir dalam benak pemikiran umat Islam telah menelurkan lebih banyak permasalahan.  Sesuatu tindakan yang dizahirkan harus bermula di ufuk minda dahulu.


Maka, wahana yang mencernakan dan menzahirkan ma'na ilmu tersebut tidak lain tidak bukan melalui jalur bahasa. Bahasa yang rosak melahirkan pemikiran yang rosak. Bahasa yang "asing" akan melahirkan pemikiran yang "asing".


Itulah yang telah berlaku terhadap Bahasa Arab kontemporari dimana wabak sekularisme telah bertapak secara halus- biarpun sedikit, tetapi cukup untuk mengelirukan umat Islam. 


Begitu juga dengan nasib umat Melayu yang terhimpit dengan kebodohan pemimpin yang jahil murakkab terhadap peranan bahasa dalam membina ketamadunan. 


Apabila Nabi bersabda " Tuliba 'ilma walau bis Sin", janganlah dilihat ma'na hadith itu dari sudut geografinya sahaja. Fikirkanlah jua bagaimana hendak kita belajar di Cina tanpa memahami bahasanya itu!


Isu bahasa bukan isu runcitan. Oleh itu, mahasiswa sekalian, ini juga adalah medan kita. Jadikan kempen Pilihan Raya Kampus anda sebagai titik jihad membantu Palestin dengan mendaulatkan bahasa Islami seperti Bahasa Melayu yang jenuh sudah di-Islamisasi-kan oleh ulama' silam yang berwibawa.


Lemah-nya umat ini kerana "busuk"-nya minda. "Busuk"-nya minda kerana "busuk"-nya Bahasa. 


Jemput rujuk lebih lanjut kupasan berkenaan kempen anti-PPSMI dalam majalah al-Muslimah edisi Januari 2009.Penerangan ringkas dan padat untuk yang tidak biasa mendengar hujah kepada penentangan isu ini. 


Insyaallah tidak lama lagi akan ada rancangan yang lebih "meletup" untuk mendaulatkan bahasa ini kembali kepada tempat-nya yang asal.






2 ulasan:

sufi mustika berkata...

barangkali ada kebenarannya apa yang diutarakan. pendidikan kita ini laju perubahannya tetapi meminggirkan pendidikan adab (diulangi pendidikan)akhirnya benar kita punya institusi yang melimpah dalam negara tetapi fokusnya bukan membina suatu insan yang mampu menjana suatu aspirasi baru demi agama bangsa dan negara tetapi aspirasi memenuhkan kocek dengan wang ringgit, bagaimana supaya mereka dapat membeli rumah kereta mewah dan lain-lain barangan berjenama.

justeru saya melihat institusi pendidikan swasta amat kurang menekankan perkara begini kerana objektifnya adalah melahirkan tenaga kerja semata-mata (barangkali)bukan tenaga minda dan kerja. mereka mahir seperti robot tetapi tidak bijak seperti seorang insan.

benar juga bila diselak lembaran ihya' maka perkara utama yang disebut adalah berkenaan ilmu dan bagaimana ADAB ketika menuntut ilmu itu merupakan perkara yang teratas diketengahkan. malangnya tidak banyak sektor terutama pendidikan yang cuba menjadikan ihya' sebagai garis panduan bagaimana seharusnya membina suatu generasi yang hebat keilmuannya tinggi pekertinya.

tidak dapat dinafikan kita punya umat Islam yang bijaksana dengan pendidikan dalam dan luar negara namun kerana kadangkala pendidikan adab itu dianggap enteng maka melebarlah kekacauan berbanding kebaikan. lahirlah golongan cerdik pandai yang licik rasuah, skandal, dan seumpamanya. bermula tamadun dengan ilmu dan bermula ilmu dengan adab. peringkat ini perlu ditempuhi dengan sabar.

Ibn Yusof berkata...

Assalamu'alaikum saudara wan,

'Ghozwul Fikr' atau perang pemikiran sememangnya telah lama berlaku.Begitu juga halnya apabila ilmu Aqidah yang pada dasarnya mudah tetapi dipengaruhi falsafah dan disiplin logik semata.

"Kegoyahan" dan "kekeliruan" yang saudara maksudkan memang berlaku dalam realiti hari ini terutama pada para ulama' yang menjadi harapan masyrakat. Kini peranan bahasa dalam membina ketamadunan terpaksa digalas pula oleh mereka yang memepunyai kesedaran akibat kebobrokan pemimpin dan para ulama' yang membisu.

Semoga perjuangan saudara dan ummat Islam keseluruhannya diberkati insyaAllah.

Wallahu'allam.

p/s:Mungkin ada baiknya jika pernyataan 'Nabi bersabda' dalam tulisan ini diubah kepada 'Bak kata pepatah yang masyur' akibat status hadis itu yang telah dipertikaikan oleh kebanyakan ulama hadis sebagai lemah dari semua jalan-jalannya.Ada pula yang menghukumnya sebagai sangat lemah atau bahkan sampai ke derajat batil.Maka ianya tidak dapat disandarkan sebagai ucapan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.Wallahu'allam.