Selasa, 6 Januari 2009

Aku dan dua Presiden


Dalam 8 bulan saya di mengikuti industrial training di Kuala Lumpur, saya sangat beruntung kerana dengan izin Allah dapat mendampingi dua 'orang besar' gerakan mahasiswa Islam di Malaysia ya'ni Ustaz Dzulkhairi ,Presiden Gabungan Anak Muda Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Mohd Hilmi. Ramli, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) secara langsung, santai dan personal. Tiada birokrasi, tiada diskriminasi.


Kedua-dua mereka jauh lebih tua daripada saya. Tapi alhamdulillah, kemesraan itu ternyata wujud atas dasar ilmu.


Hampir setiap minggu saya makan, dan keluar menuntut ilmu dengan saudara Hilmi. Rasa macam dah jadi ahli PKPIM pulak. Tapi saya masih tetap ahli biasa GAMIS. Ahli biasa sahaja. Tak ada jawatan, tapi Insyaallah bersedia menyumbang yang termampu.


Seperti yang saya katakan selalu, di kampus, saya ini dilihat seperti 'wabak' dan 'racun' oleh insan-insan yang " i am holier than thou " ini (faham-fahamlah ye). Maka,memang sangat sukar untuk diterima "perbezaan" yang ada berkenaan diri saya dalam hutan Tronoh itu. Kerana saya kritis sedikit, maka habis difitnah pelbagai perkara.


Tapi di luar berbeza. Saya diletakkan di tempat yang sepatutnya ( inilah makna adab yang dimaksudkan Prof. al-Attas) dalam pelbagai juzuk perjuangan yang saya sertai baik dalam GAMIS, PKPIM, TERAS, CAP, SAM, dan banyak lagi.


8 bulan adalah satu masa yang lama untuk saya meresapi "semangat perjuangan" yang menjalar luas sekitar kampus di Lembah Kelang ini. Persahabatan saya dengan pimpinan PKPIM, PMIUM, GAMIS menjadikan saya lebih memahami apa sebenarnya perjuangan mahasiswa Islam di negara ini. 


Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan tersendiri dan saya yakin kerjasama yang erat terutamanya dari sudut wehdatul fikr mampu melahirkan aura kebangkitan mahasiswa yang jitu.


Bagaimana mahu bersatu? Ini kena belajar daripada pengalaman Prof. al-Attas sewaktu di ISTAC.


Semua pelajarnya datang dari pelbagai jenis latar belakang. Ada PKPIM, ada penyokong tegar PAS, ada Wahhabi, ada Tabligh etc. Tapi, akhirnya, semua bersatu di bawah payung ilmu yang dibentuk oleh Prof. al-Attas dalam suasana di ISTAC.


Terbukti berjaya! Jikalau anda berpeluang hadir ke kuliah anak-anak murid beliau di UIA, IKIM atau di mana sahaja, anda akan dapat melihat wehdatul fikr yang ditonjolkan dalam penyampaiaan ilmu mereka. 


Ada semacam synchronization of thoughts and ideas dalam kalangan anak murid Prof. al-Attas. 


Melalui pengalaman inilah saya yakin bahawa kesatuan gerakan mahasiswa Islam di Malaysia ini harus diwujudkan atas dasar keilmuan. Barulah masalah taadud jemaah ini dapat dikurangkan.


Malangnya, idea ini tidak disambut dengan baik oleh ahli bawahan gerakan mahasiswa Islam di Malaysia (terutamanya di kampus saya yang dalam hutan Tronoh).


Tapi idea ini dipersetujui oleh kedua-dua Presiden gerakan mahasiswa Islam yang terbesar dan berpengaruh di Malaysia. 


Saya takkan komen pasal PKPIM sebab saya bukan ditarbiyah dalam acuan mereka tapi saya memang yakin pembudayaan ilmu sedang dicambah oleh saudara Hilmi dan harapnya akan diteruskan oleh pimpinan yang seterusnya.


Di pihak GAMIS, idea sebegini mula meresap masuk melalui fikrah Presiden-nya sendiri. Saya percaya kejayaan gagasan ini perlu masa yang lebih lama. Tak mudah ubah status quo yang ada tapi dengan niat yang murni kerana Allah pasti berjaya. 


Dengan itu saya lampirkan pemikiran Tuan Presiden GAMIS yang saya sudah minta izin daripada beliau untuk disiarkan dalam blog ini khas untuk tatapan ahli GAMIS terutamanya yang duduk di kampus kawasan Utara.


Saya pasti kalian akan terkesan persamaan yang wujud antara saya, Hilmi dan Ustaz Dzulkhairi. 



ENGKAU HARAPAN NEGARA

on Khamis 11 Dis 2008

Sahabat saya meniupkan semangat yang padu kepada saya. Katanya, sudah tiba masanya untuk kita merapati golongan ilmuan bagi memperkasakan nilai kebijaksanaan kita. Saya bersetuju, malah sangat sangat bersetuju. Sudah lama saya melaungkan gagasan ini namun nampaknya kurang bersambut.


Saya pun lembap juga. Sepatutnya saya jangan menunggu orang bersetuju atau tidak. Saya harus pergi dahulu, dan buktikan. Saya mesti merapati golongan ilmuan ini dahulu, sebagaimana sekarang saya sedang merapati golongan murabbi di Kelantan. Murabbi di Kelantan sangat berilmu, saya rasa sangat seronok.



Apabila saya ke rumah Ustaz Yahya Othman baru-baru ini, beliau bangun menymbut saya. Beliau ingat saya. Dulu pun beliau ingat saya. Kini pun beliau masih ingat. Harap esok lusa, beliau tetap ingat. Apabila ingin berpisah, beliau perkenalkan saya kepada orang lain, ini orang kanan….



Kita takut merapati ulama dan ilmuan, walhal merekalah yang paling mudah dirapati. Tawadhu’ itu sikap dan pakaian mereka. Mereka ibarat padi, tunduk apabila semakin berisi. Sudah ramai orang yang saya takut untuk rapati gara-gara ilmu mereka, rupanya mereka sangat lembut dan ramah. Yang tidak ramah pun, sangat lembut. Bila ceramah, menakutkan. Bila berbicara, aduh, sangat lembut dan menyenangkan.



Saya masih ingat kenangan malam tu, malam yang membuka satu lagi paradigma baru dalam diri saya. Saya bersama tiga empat orang sahabat sedang berbincang tentang strategi mengukuhkan lagi penguasaan gerakan Islam masa depan. Kami berbincang tentang Negara, dalam masa yang sama membincangkan tentang kampus. Ada dua epilog bicara yang mengubah minda saya. Satu, ia terpacul keluar dari mulut seorang yang lain, dan satu ia terkeluar daripada keazaman saya sendiri selepas terkena percikan semangat yang lain pada malam yang bertuah itu.



Pertama, kita bukan lagi group strategi semata-mata, strategi hanyalah skill dan kepintaran, sebaliknya kita adalah pemimpin Negara masa depan. Saya teruja sama sekali. Ya, strategi hanyalah satu kepintaran. Benar juga pandangan sebegitu. Lantas, saya pula menyebut, bulan tiga tahun depan (2009), ana sudah tidak mahu menjadikan kampus sebagai soal utama perbincangan kita, sebaliknya kita mahu berbncang soal Negara dan dunia. Tinggalkan kampus, ambil jiwa Negara.



Semalam, sahabat saya mengirimkan idea baru kepada saya, kuasai ISTAC,* atau dalam pengertian lain menurut syarah saya, rapatilah golongan intelektual dan kuasai kemahiran berfikir mereka. Ya, ia membuatkan saya kian teruja dan terkesima.



Saya sudah ingin meninggalkan dunia kampus, tidak lama lagi kata saya kepada Ustaz Ridhuan. Saya ingin melangkah terus ke depan. Saya tidak suka alam sekolah, saya juga ingin tiinggalkan alam kampus. Tetapi jiwa tarbiah, tetap meresap dalam segenap pelosok. Tarbiah itu suatu perkara yang lain. Strategi politik, orang lain lah yang ambil. Saya ambil bahagian tarbiah.



Bila saya berkecimpung dalam dunia sekolah dengan mengadakan program untuk pelajar (ayat ini hanya untuk saya, harap yang lain tidak terasa), saya rasakan pemikiran saya akan tersekat. Saya tidak akan puas dengan menjadi budak sekolah. Saya ingin mendewasakan pemikiran saya sepantas mungkin. Jika ada program sekolah, saya hanya ingin menjadi pengurus, bukan orang yang turun berprogram. Memberi pengisian pun kalau boleh saya ingin elakkan. Cuma setakat ini saya masih turun untuk memberikan pengisian. Satu hari, saya ingin tinggalkan. Anda mesti memahami, tinggalkan bukan bermaksud, saya tidak akan terlibat. Tinggalkan maksudnya, saya tidak mahu pemikiran saya masih kekal berada di situ. Tetapi jasa mesti ditabur, ilmu mesti dicucur, pengalaman mesti dikongsi.



Pemikiran saya mesti luas. Justeru, saya belajar berfikir dan belajar menganalisis kebijaksanaan orang lain. Sebab itulah saya berani menentang gerakan arus sekarang. Orang suka belajar Usul 20 yang dibawa Ikhwan, saya pula tidak suka. Orang suka memahami teori Maratibul Amal, saya pula tidak suka. Saya menganalisis dan berfikir, rupanya kita banyak mencedok pemikiran al-Banna tanpa mengambil kefahaman Rukun Bai’ah yang pertama iaitu Daya Kefahaman.
** Nah, situasi kita, gerakan kita, kita lebih memahaminya berbanding al-Banna. Jadi, mengapa kita masih sibuk-sibuk dengan pemikiran puluhan tahun yang lepas yang bermula di Mesir. Jiwa Mesir dengan jiwa Melayu berbeza.



Maafkan saya, sudah saya jelaskan, saya cuma belajar menganalisis. Jika salah, tidak mengapalah. Saya akan belajar lagi.



Kebijaksanaan bagi saya akan terlahir apabila kita bersama dengan orang-orang yang memilikinya. Tetapi jangan sampai tertakluk dengan pemikiran mereka, tetapi analisis. Saya berforum bersama Ustazah Sakinah, saya ada tidak bersetuju dengan pandangan mereka meskipun umumnya berpegang begitu. Mungkin pemikiran Kuala Lumpur berbeza dengan pemikiran Kelantan. Saya juga ada tidak bersetuju dengan pemikiran Ramadhan Fitri, tetapi apakah ini salah dalam Islam? Tidak salah, malah inilah kemurnian berfikir yang sepatutnya disemai. Malah jika satu ketika saya tidak bersetuju dengan Tuan Guru Nik Aziz, apakah ini salah dalam Islam?



Tuan Guru bukannya Nabi. Tetapi beliau seorang ahli hikmah yang mempunyai pengikut yang sangat ramai. Jka Anwar disentuh, orang berdemonstrasi sehingga mencetuskan reformasi. Jika Tuan Guru, saya tidak tahu apa yang akan menimpa Malaysia. Sebab itu mereka tidak berani menyentuh Tuan Guru. Bahaya, bahaya. Tetapi, apakah salah saya berbeza pandangan dengan beliau? Sudah tentu tidak salah.



Tarbiah melahirkan orang yang bijaksana, yang mampu berijtihad. Meskipun al-Syafei murid kepada Imam Malik, tetapi ia tidak menghalang al-Syafei mengasaskan mazhab baru, begitu juga dengan Imam Ahmad. Inilah nilai kebijaksanaan dan tidaklah pula Imam Malik menghalang al-Syafei. Malah Imam Malik sangat menyintai perbezaan pendapat dalam mencari kebenaran hakiki.



Balik KL nanti, saya ingin bertemu dengan golongan ilmuan, saya mahu kembangkan daya berfikir saya sepantas mungkin.


Komentar:


* Tak silap saya, ini mungkin respon Ustaz Dzul selepas saya menghantar beberapa mesej tentang ISTAC dan Prof. al-Attas.


** Ini banyak berlaku kerana tarbiyah yang berbentuk indoktrinasi tanpa memberi ruang untuk ahli berfikir. Saya akan bahas perkara ini dalam entri akan datang. Setakat ini, kajian peribadi yang saya lakukan ialah bahawa kenapa ahli futur selepas keluar kampus kerana masalah ini juga.




5 ulasan:

"Jangan Takut, Jangan Gentar. Hadapilah dengan Kuat & sabar" berkata...

ana rasa enta harus ketengahkan makna kritik juga pandangan, erti komen dan hentam. Sebab ramai tak mengerti akan semua ni.

Apa pun ana harapkan enta tabah dalam perjuangan. jangan ada takut dan gentar. Selain itu, terimalah ancaman puak-puak yang menghentam dengan sehemahnya.

Salam perjuangan

Hasbullah Pit berkata...

Rausyanfikir:

Kau pernah tak kena senario dimana bila mengemukan sesuatu, semua setuju, tapi faham benda lain.

IndukYati berkata...

adat dalam hidup mcm itulah..kita bicara lain,org yang mendengar faham lain pulak,

IndukYati berkata...

minta izin utk add laman saudara di dlm blog saya...terima kasih

Malik Imran berkata...

>>Jikalau anda berpeluang hadir ke kuliah anak-anak murid beliau di UIA, IKIM atau di mana sahaja, anda akan dapat melihat wehdatul fikr yang ditonjolkan dalam penyampaiaan ilmu mereka.

Mana nak tahu bila dan di mana kuliah-kuliah ini di adakan ?