Jumaat, 31 Oktober 2008

Penyakit Hubris







Dapatkan Majalah Milenia Muslim edisi bulan 11. Ada 2 artikel saya(di bawah nama Wan Ahmad Fayhsal) yang telah termuat di dalamnya. Isu ini agak menarik kerana membincangkan aspek kewangan dan ekonomi. Belilah tak rugi.


Penyakit Hubris Empayar Amerika




Oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ( tersiar dalam Milenia Muslim edisi November 2008)


Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia telah mencipta satu keyakinan bahawa mereka adalah satu bangsa yang sedang berada di kemuncak ketamadunan manusia. Rakyat Amerika merasakan diri mereka sebagai satu bangsa yang unik dan tersendiri berbanding bangsa-bangsa yang lain.


Walaupun pada asalnya negara itu didirikan atas pengaruh Puritanisme-Protestanisme yang kuat, percambahan idea Darwinisme secara tidak langsung telah mempengaruhi banyak disiplin ilmu. Ini akhirnya membawa mereka kepada penerimaan idea evolusi yang mendokong konsep “survival of the fittest” dan ianya telah diterapkan hampir ke dalam segenap penjuru kehidupan rakyat Amerika.


Sebagai sebuah negara yang mewarisi tradisi keilmuan Yunani dan sistem kenegaraan Romawi, Amerika juga turut mewarisi sejenis penyakit dalaman daripada kedua-dua tamadun tersebut. Penyakit yang dimaksudkan itu dipanggil hubris.

Achilles lakonan Brad Pitt dalam filem Troy harus ditontoni bagi yang ingin mengenali penyakit hubris.

Perkataan hubris ini pertama kalinya muncul dalam sejarah ketamadunan Yunani. Sasterawan agung Yunani, Homer telah menulis dalam karya agungnya Iliad berkenaan penyakit hubris yang timbul dalam kisah pertarungan antara Achilles dan Hector di Troy. Dalam kisah tersebut, Achilles telah berjaya mengalahkan Hector dalam pertempuran senjata satu lawan satu. Sebelum Hector menghembuskan nafas yang terakhir, beliau telah meminta jasa baik Achilles untuk memulangkan mayatnya kepada Raja Priam dalam keadaan penuh hormat.

Achilles tidak menghiraukan permintaan tersebut. Beliau telah menzalimi mayat Hector dengan mengheretnya menggunakan kereta kuda di hadapan pintu gerbang kota Troy selama 12 hari berturut-turut. Mengikut tradisi Yunani, perbuatan Achilles ini menggambarkan penyakit hubris yang membarah dalam dirinya.

Apakah penyakit hubris ini sebenarnya?

Ahli falsafah agung Yunani, Aristotle telah mengupas bahawa hubris adalah “sifat seseorang yang bertindak untuk memalukan mangsa, bukan untuk mempertahankan diri, bukan juga untuk menuntut sebarang perkara yang telah berlaku kepada kita, tetapi semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu serakahnya. Hubris bukanlah menghukum untuk keadilan tetapi melunaskan dendam kesumat yang terbuku di dada. Nikmat dalam hubris, akan menjadikan manusia itu beranggapan bahawa dengan menzalimi orang lain ianya akan membuatkan mereka lebih berkuasa daripada sebelumnya.”

Pada zaman moden ini, hubris telah diertikan sebagai satu kebongkakkan dan kesombongan yang melampau, selalu dikaitkan dengan ketiadaan sifat rendah diri bukan kerana kekurangan ilmu tetapi kerana kekotoran dalaman yang melampaui batas moral manusia.

Hubris yang wujud pada zaman Yunani dahulu tidak jauh bezanya dengan realiti Amerika Syarikat pada hari ini. Bangsa Amerika memperlihatkan diri mereka sebagai bangsa yang berada di kemuncak ketamadunan manusia. Mereka mungkin telah mendarat di bulan, meneroka alam nan indah tetapi Kebenaran masih jauh dari pandangan.

Bertahun lamanya mereka telah melayan nafsu tanpa mempedulikan kesannya kepada alam sekitar, kesengsaraan kepada manusia dan binatang, hanya kerana mereka mempunyai kuasa ekonomi dan ketenteraan yang kuat di dunia ini.

Dalam lembaran sejarah, sifat hegemoni Empayar Amerika ini sepersis dengan apa yang telah ditonjolkan oleh sejarah Empayar Romawi. Slogan ‘veni, vidi, vici’ (aku datang, aku lihat, aku tawan) yang diucapkan oleh Julius Ceasar dalam kempen ketenteraanya telah memakan dirinya sendiri setelah dibunuh oleh teman-teman Dewan Senatnya. Kegilaan berkuasa untuk menghancurkan musuh dan melumatkan bangsa lain memperlihatkan penyakit hubris dalam diri Ceasar. Penyakit hubris ini telah terus diwarisi oleh pemimpin Romawi yang mengambil alih tampuk kekuasaan dan akhirnya menjadi benih-benih kehancuran tamadun Romawi yang telah dikuburkan oleh serangan kaum Biadap Visigoth.

Jikalau Empayar Romawi dengan hubris peperangannya, Amerika Syarikat juga mempunyai hubris yang sama. Kempen Perang Menentang Keganasan anjuran Rumah Putih sangat sarat dengan nilai hubris. Pencabulan maruah tahanan di Guantanamo Bay dan Abu Ghraib bukan lagi menjadi satu rahsia. Tidak cukup dengan permainan penjara, mereka telah terus-menerus melapah rakyat Iraq dan Afghanistan tidak kira wanita mahupun kanak-kanak hutang dendam terhadap Saddam dan Taliban telah ditunaikan.

Usah bicara soal demokrasi dengan Amerika. Dengan penyakit hubris itulah Rumah Putih menganjingkan kemenangan demokrasi Palestin yang digalas Hamas.

Kerana hubris, Amerika tidak pernah belajar dari kesilapan masa lalu. Daripada peristiwa Pearl Harbour hinggalah kepada Perang Vietnam, semua ini bak satu episod sejarah yang bebas nilai dan perlu dilupuskan daripada ingatan rakyat. Tidak hairanlah para veteran Perang Vietnam, dan Iraq disisihkan dengan begitu hina sekali oleh Rumah Putih. Terkontang kanting meneruskan sisa hidup yang penuh dengan trauma fizikal dan mental. Kesakitan batin menggerogoti penyakit hubris dalam diri mereka.

Mission Accomplished” yang diucapkan Presiden Bush di atas kapal perang USS Abraham Lincoln pada 1 May 2003 sebenarnya lebih kepada ucapan takziah kepada seluruh rakyat Amerika.

Malah rakyat AS telah ditipu kerana Perang Iraq itu adalah satu lagi projek puak kapitalis dalam melariskan penjualan industri senjata disamping laba minyak Iraq yang dikongsi bersama Israel.

Apa yang rakyat Amerika dapat? Beban hutang Perang Iraq sejumlah US Dolar 3 Trilion. Semua ini merupakan bara awal yang telah mencetuskan kebakaran besar di Wall Street pada ketika ini.

Penyakit hubris turut menyerang cara hidup rakyat Amerika. Peribahasa Amerika yang berbunyi ‘dog eat dog’ jelas sekali menggambarkan realiti persaingan kehidupan rakyat Amerika yang sarat dengan tipu daya dan kezaliman sosial. Persaingan yang wujud dalam masyarakat Amerika tidak didasari dengan akhlak mahmudah ajaran agama masing-masing sebaliknya mempertuhankan nafsu tamak haloba yang dibelai atas nama ‘kebebasan individu’.

Tidak hairanlah budaya sebegini telah menyuburkan skandal korupsi yang membantu melingkupkan syarikat gergasi seperti Enron dan Worldcom. Kejatuhan bank-bank besar seperti Bear Sterns, dan Lehman Brothers juga adalah kerana penyakit hubris yang melahirkan sifat tamak untuk membolot kuasa pasaran.

Perbuatan ini lebih jelas dalam persaingan ekonomi yang didasari oleh sistem kapitalisme anjuran Amerika. Sistem ekonomi kapitalisme ini memerlukan mekanisme riba’ bagi memastikan kemandirian sistem ini senantiasa berada dalam genggaman mereka yang berkuasa, rata-ratanya golongan yang menjadi tekong pasaran kewangan di Wall Street.

Hampir semua agama yang wujud dalam dunia ini telah mengharamkan riba’ tetapi benda paling ditegah itulah yang berlaku dengan terang-terangan dalam kehidupan seharian kita, malah telah berjaya dikosmetikkan dengan terminologi yang indah seperti ‘interest’ dan ‘bunga’. Dengan riba’ itu jugalah kapitalis di Wall Street dihinggapi penyakit hubris dan kerana hubris itu jugalah mereka pada saat ini.sedang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Walaupun terdapat usaha-usaha berbau sosialis untuk menyelematkan rakyat Amerika daripada krisis kapitalisme oleh golongan pemerintah elit, ironinya mereka masih mempunyai peratusan yang tinggi dalam pemilikan harta kekayaan yang menggunung oleh golongan tertentu. Masalah seperti kemiskinan, pengangguran, dan ketiadaan tempat tinggal masih berleluasa di Amerika.

The American Dream yang menjadi motto kehidupan jutaan rakyat Amerika telah bertukar menjadi The American Nightmare.

Dalam mitos Yunani juga terdapat hukuman kepada para manusia yang memilih hubris sebagai perhiasan diri mereka. Dikisahkan bahawa tuhan orang Yunani bernama Nemesis merupakan penghukum muktamad kepada pendosa hubris.

Jikalau krisis yang sedang berlaku ini merupakan satu bentuk hukuman daripada Allah yang Maha Esa, maka biarkanlah ianya terus berlaku. Semoga ada kebaikkannya kepada pendosa-pendosa hubris Amerika dan sekutunya-termasuklah para pemimpin kita yang memilih jalan yang sama seperti mereka.

P/S: Ingin rujuk penyakit Barat lain dalam penulisan Bahasa Inggeris bertajuk "Body Language" saya boleh rujuk di sini.

Ahad, 26 Oktober 2008

Perjuangan Intelektual di Pulau Mutiara




Minggu ini mungkin minggu paling 'kow' buat saya dalam semester latihan praktikal ini. 



Memang melakukan gerak kerja aktvisme tulen (Insyaallah).




Saya akan bertolak ke P. Pinang pukul 3 pm sebentar lagi. Tinggal sebilik dengan Presiden TERAS Melayu, yakni guru aktivisme saya Cikgu Azmi Abdul Hamid bagi menjayakan satu persidangan kecil yang penting.











Saya telah dijemput oleh Citizen International (CI), sebuah NGO dari P.Pinang yang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan antarabangsa untuk menghadiri persidangan round table yang dilakukan melalui kerjasama dengan Islamic Human Rights Comission (IHRC) dari United Kingdom bagi membincangkan tema "Challenges and Opportunities Facing Muslims" selama 3 hari bermula hari ini sampai Selasa minggu hadapan.




Ditugaskan sebagai peserta dan tukang catit, saya akan berpeluang menyelam dalam lautan permasalahan dan penyelesaiaan tentang beberapa persoalan yang melibatkan:


CHALLENGES – EXTERNAL

  1. Occupation - direct and indirect control of Muslim states e.g. Iraq, Afghanistan,

      Palestine, Egypt, Saudi Arabia etc.

  1. Opposition to Islamic political movements.
  2. Cultural and intellectual subversion of Muslim societies.
  3. Promoting division and conflicts among Muslim nations.
  4. Secularising Islam
  5. Islamophobia

 CHALLENGES - INTERNAL

1.      Corrupt, dictatorial political leadership.

2.      Poor institutional development

3.      Lack of civil society initiative

4.      Culture of dependence on governments to initiate change

5.      Poor Ulama leadership.

6.      Sectarianism

7.      Colonial education system with the separation of religious education from secular education.

8.      Failure to apply Islamic values in real life.

   9.     Lack of understanding of global issues and the global players



Dengan harapan daripada round table akan lahir:  

  1. A plan of Action

                          2. Setting up a Coordinating Secretariat

                          3. Initiating closer cooperation and networking among NGOs

                          4. Effective participation in international meetings and organizations.

                          5. Programme of skills development and leadership training for activists

                          6. A major Conference of Muslim Activists, Intellectuals, Journalists,

                              Businessmen to discuss the state of the Muslim World and to develop

                              a Plan of Action 

 


Kemudian pada 29-30 Oktober saya akan ke USM bagi membentangkan kertas kerja  "Islam, Pendidkan Tinggi dan Pembangunan" dalam "Seminar Kebangsaan Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari". Penampilan sulung saya dalam arena Islamic scholarship ini bertujuan sebenarnya cuba nasib sahaja nak bentang paper. Alhamdulillah, abstrak kertas kerja diterima pula. Maka saya pun pulunlah selama 2 minggu menyiapkan kertas kerja tersebut. Ini kali pertama saya tulis kertas kerja akademik yang serius. Tak pernah mahasiswa Kejuruteraan Kimia di UTP diajar tulis kertas kerja Sains Sosial. Tulis lab report tu biasalah. 




 

Pembentangan saya ini lebih kepada penonjolan kembali beberapa idea penting hasil penilitian, pemikiran dan pengalaman saya selama 3 tahun kebelakangan ini dalam menelaah persoalan yang mendalam berkenaan  Islam, Pendidikan Tinggi dan juga Pembangunan. 

 

 

50% idea dalam kertas kerja ini ditulis menggunakan framework  Prof. al-Attas dan Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud manaklan 30% lagi adalah gagasan idea Intelektual Dunia Ketiga serta 20% adalah hasil rumusan idea saya sendiri. 

 

 

Memang kertas ini pekat dengan idea Prof. al-Attas. 

 

 

Itupun setelah semak beberapa kali, saya rasa masih banyak yang perlu dikemas kinikan. Kesilapan tatabahasa, format penulisan kertas kerja ini pun berterabur. Tapi tak apalah, first timer kita cuba dahulu. 

 

 

 Sesi pembentangan saya ialah pada hari Khamis, 30 Oktober 2008:

 


 

  10.30 -  1.00 ptg                   Pembentangan Selari D


Sesi10(DPU)
Moderator : Us. Mohamad Zarifi bin Hj. Mohamad Daud (JAKIM)


Peranan Kurikulum dan Methodologi Perbandingan Agama dalam Melestarikan Kemahiran dialog Sesama dan Antara Peradaban, Budaya dan Agama
Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali @Hambali
(Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)


 

Jalinan Institusi Pendidikan Tinggi Islam di Malaysia dan Indonesia dan Kaitannya Dengan  Pemerkasaan Pemikiran Islam Lestari
Profesor Dr Abdul Halim Mat diah,Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd. Rahim, Mohd Faisol Abdul Hamid & Nor Adina Binti Abdul Kadir
(Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)


 

Tajdid Institusi Pengajian Islam di Malaysia dan Kaitannya dengan Pemikiran Islam Lestari
Prof. Madya Dr. Datin Paizah Ismail, Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd. Rahim, Mohd Anuar Ramli & Mohammad Aizat Jamaludin
(Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya)


 

Islam, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan.
Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal.
(Universiti Teknologi Petronas)

 

 

Budak tak habis belajar kejuruteraan kimia kena beregu dengan Prof. Madya dari pengajian Islam. Moga dipermudahkan sesi tersebut.

 

 

Butiran lanjut berkenaan pembentang lain boleh rujuk disini.

 


 

Sasaran saya: Menghangatkan kembali wacana Islamisasi ilmu kontemporari dalam kalangan ustaz-ustaz serta pensyarah universiti yang bakal hadir kelak. Mungkin bonusnya disini adalah kerana saya adalah subjek hidup (living subject) kepada projek penjajahan ilmu  ( colonization of knowledge)  dalam lapangan sains dan kejuruteraan ( bersekolah di Sek. Men. Sain Selangor- 5 tahun, Universiti Teknologi Petronas - 4 tahun). Maka apa yang saya tulis dan ingin sampaikan dalam seminar tersebut lebih kepada pengalaman peribadi dalam menilai tema-tema besar tersebut.

 

 

Nak tahu lebih lanjut tunggulah saya upload kelak dalam blog ini kertas kerja saya tersebut. Mungkin kalau sempat video pembentangan itu juga akan saya lampirkan.

 

 

Doakan saya. Semoga perjuangan rakyat terus dibumikan oleh Mahasiswa. Amin.

 

Jumaat, 24 Oktober 2008

Dinar emas alternatif krisis ekonomi









Pek keselamatan buat golongan proletariat yang telah penat menabung demi hari tua. Jangan jadi seperti mereka yang malang di Barat apabila hancur luluh simpanan dalam bentuk bond, derivatives etc.

 


Oleh: Rausyanfikir ( tersiar dalam Siasah edisi 26/10/2008-1/11/2008)



Emas merupakan perkataan yang cukup “mahal” dari segi makna fizikal dan abstraknya pada ketika krisis ekonomi dunia semakin meruncing kini. Untuk memahami persoalan ini, ada wajarnya kita merujuk situasi semasa berkenaan aliran perdagangan yang melibatkan emas.


 


Mengikut World Gold Council, hanya 357 ton metrik emas yang didagangkan oleh bank-bank pusat Eropah pada tahun lepas.

 



Di bawah perjanjian emas Bank Pusat, had kepada penjualan emas adalah 500 ton. Ini jelas bahawa Bank Pusat sebenarnya boleh menjual lebih daripada kuantiti yang didagangkan tersebut. Jerman, pemegang rizab emas kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat, telah menjelaskan pendirian mereka untuk tidak akan melakukan sebarang aktiviti perdanganan emas dalam tempoh 12 bulan.

 



Begitu juga dengan Switzerland yang mempunyai rizab simpanan emas yang besar telah mengambil pendekatan yang sama seperti Jerman.



Para pengurus bank Eropah ini sedar bahawa dalam keadaan nilai aset wang kertas mereka semakin susut, tindakan paling strategik adalah untuk menyimpan emas daripada disalurkan ke pasaran.



Ini tidak berlaku pada China dan Jepun kerana mereka kurang menyimpan emas sebagai rizab luar. Ini bakal berubah dalam jangka masa terdekat.



 

Bank pusat China telah membuat pengumuman pada 15 Oktober yang lalu bahawa rizab pertukaran mata wang asing (foreign exchange reserves) telah mencecah nilai AS $ 1.05 trilion.

 

 

Berbanding dengan Washington yang mempunyai hutang tertunggak berjumlah AS $ 11.4 trilion (belum lagi termasuk liabiliti lain seperti sekuriti sosial, insurans perkhidmatan kesihatan, hartanah) China telah bersedia untuk menjadi peneraju ekonomi kapitalis.

 

 

Larry Eldson seorang pakar dalam pelaburan telah bertemu dengan beberapa pegawai bank, dan pedagang emas, di China dan Asia bagi membincangkan hubung kait antara ekonomi mata wang yuan dan emas:

 


“ Beijing mengetahui bahawa status US Dolar sebagai mata wang rizab (reserve currency) akan menjadi sejarah tidak lama lagi, sama seperti mata wang pound sterling (Britain) yang telah hilang statusnya sebagai mata wang rizab dunia pada awal abad ke-20. Para pemimpin di Beijing percaya dalam proses China menjadi kuasa besar ekonomi dunia, yuan akan turut sama menjadi mata wang utama yang stabil untuk transaksi perniagaan. Visi untuk menjadikan yuan sebagai mata wang antarabangsa yang  utama pada satu hari nanti memberi petunjuk awal bahawa Beijing akan menyandarkan yuan dengan emas…dengan banyak sekali”

 


Ada sebab lain kenapa Beijing begitu beria-ria untuk membeli emas. China mempunyai pelaburan yang berteraskan US Dolar sejumlah AS $ 1.3 trilion. Mereka tidak boleh menarik keluar daripada penggunaan dolar dengan drastik. Jikalau Beijing melakukan sedimikian, ekonomi Amerika Syarikat akan jatuh dengan teruk seterusnya memberi dampak yang besar kepada China.


 

Pada waktu ini, China hanya mempunyai rizab emas sebanyak 0.9% daripada keseluruhan simpanannya. Peratusan ini sangat rendah berbanding negara-negara yang lain seperti Amerika Syarikat ( 77.3%), Kesatuan Eropah ( 23%) malah Negara-negara kecil seperti Lithuania, Mozambique dan Nepal pun mempunyai peratusan rizab harta berbentuk emas yang lebih banyak daripada China.

 

Untuk meningkatkan peratusan simpanan mereka kepada 5% sahaja, Beijing akan terpaksa membeli ketulan emas berjumlah US $ 93 bilion. Kegiatan jual beli sebegini akan meningkatkan harga emas kepada AS $ 2000 setiap satu auns.


 

Bayangkan kuasa membeli China yang ada untuk mengaut emas. Menurut kajian Larry Eldson, kenaikkan harga emas di pasaran dunia turut dipacu oleh pembelian emas oleh China yang berlaku secara sedikit demi sedikit akhir-akhir ini.


 

Begitu juga dengan golongan kapitalis. Mereka tahu sistem yang mereka diami ini korup lagi jijik. Maka mereka sudah siap sedia dengan pek keselamatan jikalau sistem ini berada di ambang kejatuhan. Pek itu tidak lain tidak bukan ialah emas.

 

 


Bagaimana dengan kita? Masih tidak percaya akan emas sebagai pek keselamatan ekonomi? Jangan kerana kita miskin sejarah , kita jatuh dalam lubang yang sama.

 

 

Rakyat biasa yang tidak mempunyai kefahaman yang jelas dari sudut sejarah dan realiti kepincangan duit kertas akan terbuai dengan ilusi kekayaan yang ada dalam masyarakat kita pada hari ini. Segala wang yang ada dalam bank, pada indeks papan kenyataan elektronik di bursa saham semua itu bukanlah kekayaan sebenar.

 


 

Jangan hairan kalau di Amerika Syarikat sendiri pun telah wujud komuniti yang anti penggunaan mata wang  US Dolar. Melalui produk Liberty Dollar, mereka telah berjaya membentuk satu rangkaian perdagangan sesama sendiri tanpa bersangkut-paut dengan kemelut ekonomi dolar. Mereka mencipta mata wang tempatan yang bebas daripada ancaman inflasi.

 

 

Tidak perlu kita renung jauh. Kita buka balik lembaran sejarah Tamadun Islam dan pasti akan kita jumpa pek keselamatan yang bernama ‘dinar emas’.

 

 


Profesor Umar Ibrahim Vadillo, yang merupakan antara pejuang dinar emas era ini berkata bahawa kesatuan umat Islam pada masa kini tidak boleh dicapai melainkan melalui kesatuan di peringkat ekonomi antara negara-negara Islam tersebut. Menurut beliau lagi, idea penggunaan dinar emas mensasarkan untuk melunturkan kuasa hegemoni US Dolar dan menjadikan emas sebagai mata wang antarabangsa kerana nilai wang kertas senantiasa berubah-ubah mengikut prestasi pasaran berbanding kestabilan mata wang emas yang dipelihara nilainya melalui keadaan fizikal emas itu sendiri. Ini telah terbukti zaman berzaman di mana mata wang dinar emas diguna pakai dengan meluas dalam transaksi perdangangan setiap tamadun Islam.
 

 


Antara langkah awal yang perlu dilakukan oleh kita adalah dengan mengetengahkan dinar emas secara berperingkat-peringkat ke dalam pasaran. Strategi ini biasa dilakukan pada peringkat awal pengenalan kad kredit kepada masyarakat.

 

 

Antara strategi awal untuk khidmat kad kredit ini menembusi pasaran adalah dengan membentuk jalinan kerjasama antara kedai-kedai yang sanggup melakukan urus niaga menggunakan kad kredit. Kedai-kedai yang menerima gagasan kad kredit ini akan menayangkan logo syarikat kad kredit seperti ‘Visa’ dan ‘Mastercard’ pada pintu masuk kedai mereka.

 


 

Lama-kelamaan ianya telah diterima ramai dan menjadi salah satu norma buat transaksi ekonomi tempatan. Sama juga dengan pengenalan kad ‘Touch and Go’ yang menjadi begitu popular buat pengguna jalan raya pada mulanya dan kini telah diguna pakai secara meluas sebagai tiket transit aliran ringan (LRT) di sekitar Kuala Lumpur.

 

 

Dalam keadaan krisis ekonomi sebegini, dinar emas bukan lagi menjadi satu alternatif tetapi sebagai satu kemestian buat  melindungi aset yang kita miliki dalam bentuk wang kertas.

 


Lihat saja di Amerika Syarikat dan Britain. Kejatuhan bank-bank besar telah turut sama menyedut simpanan wang pencen rakyat Amerika dan Britain. Betapa ramainya rakyat Amerika yang telah jatuh bankrap akibat masalah ini.

 


Kesimpulannya, dalam keadaan sangat runcing yang hampir menyamai The Great Depression pada tahun 1930 (tetapi banyak ahli ekonomi kata mungkin lebih teruk), dengan memiliki emas secara fizikal, walaupun sedikit sudah mampu menjamin simpanan kekayaan yang kita usahakan selama ini. Belajarlah dari sejarah silam dan kesilapan lalu.