Isnin, 22 Disember 2008

Wacana krisis ekonomi dunia melalui pandangan Profesor Jomo KS





Antara intelektual awam yang dihormati. Masa ceramah beliau tempoh hari, orang Melayu yang datang sangatlah kecil bilangannya berbanding orang Cina. Tak hairanlah kita lemau dalam sektor ekonomi. Berbalik kepada soalan asasi: Adab terhadap ilmu sangat kurang berbanding sifat yang ditunjukkan kepada politik kekuasaan!



Oleh Rausyanfikir ( tersiar dalam Siasah edisi 21/12-27/12)


Pada 4 Disember yang lalu, penulis sempat hadir ke satu majlis wacana ekonomi yang dianjurkan oleh Alumni Chevening Malaysia. Tokoh yang dijemput untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dalam perihal ekonomi semasa adalah tidak lain dan tidak bukan, Profesor Jomo K.S, mantan Profesor Ekonomi Gunaan daripada Universiti Malaya. Beliau merupakan antara ahli ekonomi yang berwibawa dalam memahami dan menyelesaikan masalah ekonomi pembangunan (development economics). Bertempat di auditorium Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, wacana tersebut telah menarik ratusan individu daripada pelbagai jenis latar belakang untuk bersama-sama menimba ilmu dan pandangan daripada Prof. Jomo sendiri.


Prof. Jomo sekarang sedang menganggotai Suruhanjaya Pakar untuk Pembaharuan Sistem Kewangan Antarabangsa (Commission of Experts on Reforms of the International Monetary and Financial System). Atas tiket inilah juga beliau merupakan antara ahli ekonomi yang paling menjadi buruan oleh banyak pihak dalam memahami dan menangani krisis ekonomi dunia ini. Kata kunci utama yang sering dilemparkan oleh orang ramai dalam wacana ekonomi semasa kini adalah berkaitan dengan “perubahan”.


Dalam majlis tersebut, Prof. Jomo sendiri mengaku bahawa perubahan yang ingin dilakukan tersebut turut berhadapan dengan perbezaan pendapat yang tegar sesame cendekiawan ekonomi dunia.


Yang pasti kata Prof. Jomo, amaran berkenaan risiko akan berlakunya krisis ekonomi global ini telah lama didendangkan oleh ramai ahli ekonomi yang melihat tanda-tandanya daripada cara kerajaan-kerajaan dunia melakukan pengguguran peraturan ( deregulation ) secara berleluasa dalam sektor kewangan dan pelaburan terutamanya dalam pinjaman perumahan, perturkaran mata wang asing dan perihal memperdagangkan (commercialization) sistem sekuriti sosial.


Amaran ini tidak diendahkan dan akhirnya melahirkan krisis kewangan yang serius sehingga merebak kepada ekonomi sebenar ( real economy) iaitu aktiviti jual beli harian dalam pelbagai peringkat yang disertai oleh orang awam yang tidak bersalah langsung dalam mencetuskan krisis ini pada awalnya.


Prof. Jomo juga menggariskan bahawa krisis ini seiras dengan peristiwa yang membawa kepada masalah ekonomi paling serius abad ke-20 ataupun lebih dikenali sebagai “the Great Depression” yang berlaku pada hujung 1920 dan awal 1930. Walaubagaimanapun, beliau berkata bahawa krisis ini sepatutnya boleh ditangani dengan lebih awal dengan mengkaji semula tulisan cendekiawan ekonomi terdahulu tetapi tidak ramai yang ingin berbuat demikian kerana terlampau percayakan sistem pasaran bebas.


Prof Jomo menegaskan bahawa ahli ekonomi yang tidak bertanggung jawab seperti bekas pengerusi Federal Reserve, Alan Greenspan merupakan punca kepada masalah yang ada pada waktu ini. Ini kerana merekalah yang menjadi tunjang kepada promosi pengguguran peraturan dalam pasaran kewangan dan pelaburan. Kenyataan Prof Jomo ini bukanlah satu tembakan rambang kerana Alan Greenspan sendiri mengakui kesilapannya dalam perbicaraan khas di Capitol Hill pada bulan Oktober yang lalu.


Beliau berkata cabaran getir yang kita terpaksa hadapi pada waktu ini adalah dengan menghalang krisis kewangan ini daripada tersebar luas ke pelusuk dunia. Untuk itu, kerjasama yang rapat antara negara membangun dan yang sedang membangun adalah sangat penting. Ini dapat dilihat keterbukaan kuasa besar dunia yang diwakili oleh G7 membuka ruang untuk G20 dalam usahasama mencari penyelesaiaan terhadap masalah ini.


Biarpun indah sekali niat mereka, keterbukaan yang ditonjolkan oleh G7 ini dipandang sinis oleh banyak pihak kerana dalam waktu terdesak ini barulah negara-negara besar yang terkenal dengan perbelanjaan yang melampaui batas itu mula menadah wang ihsan daripada negara-negara G20 yang banyak terdiri daripada negara-negara sedang membangun yang sedang menikmati pertumbuhan ekonomi yang rancak dan lebih stabil berbanding negara-negara G7.


Ini merupakan satu ironi yang zalim. Dalam keadaan mereka senang, kuasa besar seperti Amerika Syarikat sangat angkuh dalam menzahirkan tindakan politik dan ekonomi mereka. Perang Iraq yang sepatutnya tidak berlaku diteruskan juga oleh kerana ketamakkan Amerika Syarikat terhadap minyak. Dalam hubungan ekonomi antarabangsa pula, negara-negara Barat seperti Britain dan Perancis lantang mengkritik ketidak terbukaan pasaran ekonomi dikalangan negara-negara sedang membangun tetapi mereka sendiri dalam rundingan Perdagangan Antarabangsa bersikap hipokrit dengan mengamalkan dasar ketidak terbukaan (protectionism) dalam beberapa sektor penting ekonomi seperti perladangan dan pakaian. Ini jelas sekali berlaku dalam rundingan perdagangan yang sampai sekarang tidak menjadi di bawah selian Badan Perdangan Dunia (WTO).


Prof Jomo turut menjelaskan dengan kejatuhan pasaran saham secara mendadak yang turut sama menjadi petunjuk keseriusan krisis ekonomi pada ketika ini sememangnya memberikan dampak yang besar kepada orang awam. Tambah beliau lagi dalam pasaran yang baru meningkat naik, bukan sahaja orang kaya tetapi golongan kelas menengah turur sama mempunyai ekuti dalam pasaran sebegini. Kerugian dalam pasaran ekuiti sememangnya mampu memberi dampak yang besar kepada pendapatan dan kekayaan orang awam secara meluas.


Untuk golongan miskin yang tidak mempunyai sebarang saham, dampak secara tidak langsung juga mampu memberi kesan yang signifikan: Apabila pasaran saham jatuh, keupayaan bank dan firma untuk menyelesaikan segala hutang (solvency) bergantung kepada jumlah simpanan yang mereka miliki. Jikalau nilai simpanan mereka susut, bank dan firma akan menghadapi masalah yang serius.


Banyak bank yang telah berhenti menyalurkan pinjaman. Ini akhirnya membuatkan syarikat dan firma terpaksa mengurangkan pelaburan dan seterusnya merebak sehingga peringkat pembuangan pekerja seperti yang banyak berlaku kini di Amerika Syarikat.


Kejatuhan harga dalam pasaran saham merupakan sebahagian daripada mekanisme yang bakal menjadikan ekonomi dunia bergerak dengan lebih perlahan, memungkinkan lebih banyak pengangguran dan keadaan kerja yang serba sukar. Keadaan ini juga akan mempengaruhi hasil pungutan kerajaan dan menghadkan skop perbelanjaan kerajaan terhadap sektor awam terutamanya kepada golongan yang lebih memerlukan.


Secara keseluruhannya, impak daripada krisis ini akan dirasai oleh semua orang. Kebanyakkan daripada senario yang bakal berlaku amat bergantung kepada peranan kerajaan dalam berhadapan dengan masalah ekonomi yang memerlukan dasar perlindungan sosial bagi mengurangkan dampak krisis ini kepada golongan yang paling terhimpit nasib ekonominya.


Berkenaan pelaburan dari luar (FDI), Prof Jomo menganggarkan kemerosotan dalam sektor ini. Oleh kerana krisis ekonomi ini mempengaruhi jumlah simpanan kewangan yang ada pada negara-negara membangun, kadar FDI akan turut berkurangan dari dalam mahupun luar negara. Memetik laporan UNCTAD, Prof. Jomo menganggarkan akan berlaku penurunan sebanyak 10% daripada FDI untuk pasaran yang sedang membangun pada tahun 2008 berbanding tahun 2007. Turut dijangkakan dengan penurunan kadar sebegini, tahun 2009 juga bakal menyaksikan situasi yang lebih merosot berbanding sekarang.


Melihat hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh Prof. Jomo, penulis berpendapat bahawasanya banyak perlaku paradoks dalam menilai persoalan ekonomi dunia. Walaupun golongan kapitalis dan para pejuang pasaran bebas tegar tahu akan sejarah silam akan kegagalan sistem sedemikian rupa, mereka masih lagi beri’tiqad kepadanya tanpa memikirkan kesan jangka panjang yang maha dahsyat. Apa yang sedang kita alami sekarang merupakan satu bahana daripada ketamakkan para cendekiawan yang jahat dalam mengurus kekayaan yang dikurniakan oleh Tuhan.


Bagi penulis, apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah dengan melakukan pengguguran yang terpilih ( selective delinking) dalam memilih guna modus operandi ekonomi kapitalisme yang menjadi norma seluruh masyarakat dunia di samping pengukuhan jaringan ekonomi tempatan seperti institusi waqaf dan juga pengenalan dinar emas secara berperingkat dalam masyarakat. Untuk usaha ini, parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan dan profesional perlulah bergading bahu tanpa memilih bulu agar kerja-kerja menyelamatkan rakyat daripada bahang krisis ekonomi dunia ini dapat dilakukan dengan penuh semangat keadilan kepada semua.


Rasional usaha sama sebegini perlu dilakukan adalah kerana masalah ekonomi ini suka ataupun tidak tetap akan menghentam semua insan yang terlibat secara lansung ataupun tidak dalam jaringan ekonomi dunia kapitalisme. Sudah sampai masanya pandangan Prof. Jomo dan ahli ekonomi yang lain digunakan dengan bijak merentasi pengaruh politik kepartian dan mengakar ke akar umbi masyarakat.

5 ulasan:

Ibn Ali berkata...

woo!

cepatnya update.

bro, bagusla apa yang enta tulis. nice, ada identiti tersendiri, tp aku fikir,

kalau cepat sangat, xke menganggu ide yang ditulis?

go on

Tanpa Nama berkata...

apa je solusinya oleh ahli2 ekonomi ni?

selain institusi waqaf ngan dinar emas yang dah disentuh dr adi setia dlm rencana matematik huluan yg lalu..

bedah la guna alat apa pun, analisa, dah diagnosis.. tp xnampak lg penawarnya ajaibnya..

terus..

Rausyanfikir berkata...

Betul xnampak sebab xramai yang ambil peduli!

Kita perlu sudahkan kerja islamisasi ilmu ekonomi!

Kuasa sahaja xkan selesai masalah ummah!

Tanpa Nama berkata...

sdrku,

ana faham perasaan enta

tapi elok gak kita menoleh kembali kepada konsep2 asas dalam amal islami. bukankah taadud j yg dibenarkan hanya dari aspek tanawwu'.. kepelbagaian. bukannya pertentangan. so, fokus kerja masing2. tak perlu dilaga2kan. x perlu kata bidang aku lebih baik dan lebih utama dari bidang dia. kalau ni berlaku, elok juga cek balik adab ikhtilaf.

kita bekerjasama la.. dlm perkara yg disepakati. nak tegak syariat, perumusan teoritikal disiplin2 ilmu ngan percaturan di medan siasah kedua2nya penting. berterima kasih la sesama sendiri kerana masing2 menunaikan tuntutan2 yg sepatutnya

apa pun, teruskan kajian sdr. jgn rasa berseorangan. ada je org yg buat keje diam2. nak reconstruct dan restructure balik multi-discipline knowledge ni bukan kerja satu dua hari.

Rausyanfikir berkata...

Betul kita raikan kepelbagaian. Masalahnya, PAS seolah-olah "tidak sedar" akan realiti masalah ummah.

Masalah sebenar ummah bukan pada peringkat politik tapi ilmu kalau ikut Prof. al-attas.

Kita bercakap ttg masalah akar. Root cause.


Kalau PAS ada budaya ilmu Insyaallah akan lebih faham dan bersedia. Skrg ni kita menunggu kuasa. Itu silap.

Bila dah berkuasa sbb xfhm realiti, maka kita akan ditipu musuh!