Rabu, 17 Disember 2008

Realiti Meja Bulat PPSMI





Saya sempat lari sekejap ke Putrajaya sebelum sesi meja bulat terakhir tamat semalam. Rakan seperjuangan Gerakan Anti PPSMI (GAP) daripada PKPIM seramai 3 orang telah berada di sana dari awal pagi lagi.


Saya tidak sempat mengikuti kesemua hujah yang dibentangkan oleh pelbagai pihak. Walau bagaimanapun, saya sempat mengikuti beberapa siri hujah yang dibentangkan oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, Ketua 1 Gapena. Sememangnya sewaktu beliau berhujah nampak suasana agak 'panas' mungkin kerana cara beliau berhujah yang agak menekan secara tidak langsung.


Turut tidak ketinggalan adalah wakil-wakil kaum Cina daripada badan yang cukup berpengaruh dalam pendidikan Cina, iaitu United Chinese School Committees Association of Malaysia atau lebih dikenali sebagai Dong Zong.


Sememangnya golongan ini tidak menyokong PPSMI secara langsung. Mereka sangat kental mempertahankan bahasa ibunda dalam pendidikan anak-anak mereka. Setakat ini rasanya para cendekiawan Cina masih tidak berganjak daripada posisi ini melainkan golongan Cina yang sudah Kebaratan pandangan alamnya.


Hujah-hujah daripada golongan pro-PPSMI sememangnya menggambarkan imej watak tertawan bukan sahaja secara psikologi malah dari segi identiti. Cara mereka berkomunikasi juga sangat rojak dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu malah ada yang lebih bangga bercakap dalam Bahasa Inggeris walaupun hampir semua yang berhujah dalam persidangan tersebut menggunakan Bahasa Melayu!


Format meja bulat tersebut seperti yang saya saksikan bukan kepada perbincangan berbentuk dialektika tetapi lebih kepada lontaran pandangan daripada pelbagai pihak. Datuk Hishamuddin tidak kelihaatn katanya beliau di Norway untuk lawatan rasmi.


Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong menjadi moderator dalam sesi tersebut.


Jujur, melihat apa yang berlaku dalam masa yang singkat itu, disamping desas desus komen yang dapat ditangkap oleh rakan-rakan PKPIM yang berada di sana dari awal pagi, sememangnya PPSMI ini kemungkinan besar akan diteruskan oleh kerana empunya kuasa Datuk Hishamuddin masih acuh tidak acuh.


Sebagai pemimpin Melayu, beliau seharusnya lebih memahami erti fasal 152 melainkan minda beliau sendiri sudah tertawan sifatnya.



Terdapat catatan menarik daripada blog Prof. Emeritus Abdullah Hassan:

Dalam Persidangan Meja Bulat PPSMI di Putrajaya kelmarin, berkali-kali isu Melayu luar bandar yang kuat terpukul oleh dasar PPSMI ini, ditimbulkan oleh mereka yang prihatin.

Lalu seorang pegawai Melayu Kementerian Pelajaran Malaysia berkata dengan menghina, lebih kurang begini “
Orang luar bandar ini dalam bahasa Inggeriskah, Melayukah, serupa sahaja!

Maksudnya ‘j
angan diambil kira Melayu di luar bandar ini, mereka itu tidak penting. Biarkan mereka gagal.’

Ada tiga kesilapan Tuan.

Pertama, Melayu luar bandar inilah yang setia mengundi parti yang memerintah, lalu kita menganggap mereka tidak dikira dalam menentukan nasib mereka.

Kedua, mereka ada hak yang sama dengan kita yang di bandar, mereka pun warga negara.

Ketiga, tepuk dada tanya selera, dari mana usul asalmu Tuan? Tidakkah Tuan juga datang dari darat?

Nasihat kepada Datuk Ketua Pengarah Pelajaran: Segera pindahkan pegawai ini ke suatu tempat yang bernama hulu, selain daripada tempat seperti Ulu Kelang. Moga-moga sedarlah beliau akan tugas yang berat dipikul memandaikan bangsa.


Inilah contoh watak-watak tertawan yang tidak sedar akan dirinya sebagai orang Melayu. Jahil murakkab betul. Biadap. Bodoh sombong. Si barua ini agaknya tidak ada hati perut ataupun tak pernah masuk kampung tengok dengan mata kepala sendiri akan nasib anak Melayu, Cina dan India yang miskin dalam berhadapan tekanan PPSMi ini. Moga si barua ini dipindahkan secepat mungkin.


Selepas sidang media, rakan-rakan PKPIM menyerahkan petisyen dan memorandum kepada Datuk Dr. Wee Ka Siong sambil disaksikan oleh media massa. NTV 7 dan beberapa media lain turut menemu bual rakan-rakan PKPIM dan saya sendiri, tapi malangnya tidak keluar sepenuhnya dalam berita malam semalam. Akhbar harian pun lebih bersifat neutral.


Biasalah isu bil MACC lebih besar daripada isu Bahasa Melayu ini. Apabila parti politik hanya menumpukan kepada faktor kekuasaan semua perkara lain jadi kabur.


Tidak mengapa. Saya sudah jelaskan pada rakan-rakan PKPIM, bahawasanya ini hanyalah permulaan kepada perjuangan kita dalam isu ini. Perkara yang lebih parah jikalau kita lihat dari sudut pandang helikopter adalah berkenaan institusi Islam yang tertelak di bawah takrif kepimpinan/ketuanan Melayu.


Perkara ini seharusnya menjadi isu perjuangan mahasiswa yang utama selepas PRK dan sebelum perhimpunan agung UMNO.
Like it or not UMNO is here to stay.


Selagi mana PAS mahu kompromi dengan pakatan yang tidak empunya kefahaman akan al-haqq, pada hemat saya adalah lebih berbahaya daripada UMNO. Ini kerana kita sudah mengetahui the nature and reality of UMNO berbanding makhluk yang bernama Pakatan Rakyat.



PAS disebabkan sudah kemaruk kuasa, seakan-akan meminggirkan peranan dakwah dan tarbiyah massa. Sedangkan dalam kesempatan inilah gerak kerja dakwah secara non-partsian harus berjalan dengan lebih rancak. 


Agak-agak kenapa tumpul gerak kerja dakwah ini? Pada hemat saya kerana TIADA PENYELESAIAAN KEPADA PERMASALAHAN YANG ADA.


Yang banyak ada hanyalah slogan. Maka, bila berceramah, keluarkan press-statement banyak yang bersifat mentah. Saya tidak rasa PAS mempunyai blueprint untuk memerintah jikalau berkuasa. Kalau ada pun bersifat pseudo di mana penyelesaiaan yang dirancang berdasarkan cabaran yang hadir pada ketika itu bukan yang lebih kemas dengan rangka pemikiran yang solid. Cabaran ini menjadi lebih kronik apabila orang-orang yang progresif seperti Dr Dzulkifli (MP Kuala Selangor) dan Saari Sungib sudah tersisih secara sikit demi sedikit dari segi pengaruh dalam PAS sendiri. Saya tidak peduli Erdogan ke apa ke tapi yang saya tahu, golongan inilah yang mempunyai potensi untuk membawa anjakan paradigma PAS daripada parti kampung kepada pemain politik yang benar-benar serius.


Prinsip tetap prinsip. Kalau salah kita katakan salah. Hakikat dan realitinya PAS memang tidak bersedia! Mentaliti pembangkang masih menebal! Malah PAS masih tidak memahami hakikat institusi Melayu dan Kemelayuan orang Islam di Malaysia dalam menjamin survival institusi Islam di negara ini! Di mana PAS dalam isu PPSMI ini? Setakat
statement beberapa kerat ahli ajk PAS Pusat tidak melambangkan kesungguhan dan poltical will  yang jitu dalam isu berhubung kait dengan institusi Melayu. Inilah kelemahan paling ketara PAS. 


Apabila tidak faham sejarah, konsep dan realiti bangsa Melayu dalam menjamin kemandirian institusi Islam yang semakin terhakis dalam diam. PAS, selaku jemaah Islam yang no.1, harus menjadi yang paling unggul dalam memperjuangkan bukan saja Islam dari aspek fiqh tetapi metafizikanya sekali dimana dapat dilhat melalui kefahaman peranan jati diri Melayu itu dalam merencanakan masyarakat Islam di tanah air ini! 


Pendek kata PAS ini macam Ibn Taimiyah yang lebih bersifat reactionary berbanding Imam al-Ghazali yang empunya framework yang jelas dan membina.


Apa-apa pun saya ingin rakamkan jutaan tahniah kepada para pejuang bahasa tidak kira orang kerajaan, ahli akademik dan yang paling penting kepada GAP daripada PKPIM kerana biarpun seciput bilangan yang peka dan mampu berkorban masa siapkan lama web, petisyen semua ini akan jadi bahan bukti bahawa perjuangan mahasiswa masih relevan dalam arus ancaman pemikiran sebegini.


Sama-samalah kita menghargai usaha mereka dan terus menyokon dan membantu kami setelah kampus buka kembali tidak lama lagi. Jauhi politik kepartian dan sokonglah politik berlandaskan prinsip!


IKLAN:

Seminar ASASI + Pusat Dialog Peradaban

Tema: Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Intelektual dalam Konteks Tamadun Alaf Baru

Pembentang: Prof Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, Dr. Shaharir Mohamad Zain, Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir, Dato’ Dr. Hasan Ahmad, dll

Tarikh: 19 Disember 2008 (Jumaat)

Tempat: Bilek Wawasan, Rumah Tetamu, UM

Penyertaan: Hanya 35 hadhirin (menerusi tiket ASASI), MASUK PERCUMA (Sila mendaftar di sini: http://www.kesturi.net/archives/501)



6 ulasan:

ibnalias berkata...

PAS disebabkan sudah kemaruk kuasa, seakan-akan meminggirkan peranan dakwah dan tarbiyah massa. Sedangkan dalam kesempatan inilah gerak kerja dakwah secara non-partsian harus berjalan dengan lebih rancak.

-anda tidak tahu apa yang PAS buat, jangan mengeluarkan 'kenyataan' sebegini. Ia nampak hebat jika berbeza, namun nampak bodoh jika bercakap dengan lepas begini.

PAS dah lama tentang pengajaran sains matematik dalam BI, awal sebelum anda menjadi 'aktivis' lagi. Bukti? Kenal ir Nizar? Dia orang pertama saman kerajaan persekutuan mengenai perkara ini melalui anaknya. Anda ketika itu?

Mahfuz Omar dan beberapa tokoh lain juga cukup lantang mengenai hal ini sejak dulu lagi.

Eh, eh. jangan cepat melatah!

Pendek kata PAS ini macam Ibn Taimiyah yang lebih bersifat reactionary berbanding Imam al-Ghazali yang empunya framework yang jelas dan membina.

-Ada adab apabila membincang mengenai tokoh ilmuan Islam. Bukan tidak boleh mengkritik, namun ada adabnya saudara!

Anda kenal saya bukan?

Tanpa Nama berkata...

Berdakwah ada adab. Apa faedah kita bandingkan Ibnu taimiyyah dengan Imam Al Ghazali....sedangkan kita masih jahil bahasa arab

Rausyanfikir berkata...

Akan saya jelaskan kelak. Saya faham ramai yang marah.

Harap bersabar ye :)

Tanpa Nama berkata...

Saudara.. berdakwah adalah tugas semua orang Islam. Bukan terletak di bahu PAS sahaja. Di akhirat nanti kalau disoal adakah anda ada mendakwahkan Islam..adakah anda akan menjawab dakwah itu adalah tugas PAS?

Ibn Yusof berkata...

Salam saudara,

Saya kagum dengan luahan saudara, cuma mungkin ada baiknya tatkala tangan menaip, jiwa juga harus mendongak ke langit.

Seperti yang dinyatakan di atas,untuk menggunakan para ulama'sebagai perbandingan mahupun simbolik kepada keadaan semasa adalah kurang wajar.

Saudara lebih arif dalam bidang penulisan, mungkin penulisan lebih berkesan jika kita dapat mengetengahkan idea dengan neutral dan adil tanpa melibatkan emosi.

Apa-apapun, teruskan berkarya.Semoga ianya bermanfaat untuk para pembaca.

Wallahu'allam.

Ibn Yusof
www.ibnyusof.blogspot.com

HR berkata...

agak jauh terlewat sebenarnya untuk memberi komen..
cumanya ingin menyatakan parti politik PAS sememangnya komited dengan gerakan anti-PPSMI..
mungkin dulu diorang tak faham..
jadi bila sudah faham.. sama2 mereka turun berarak membantah PPSMI.. itupun dengan berpakaian 'biasa'tanpa membawa sebarang logo..
alasan yang diberikan pun mudah.. dulu belajar nak solat pun dalam bahasa melayu..

jadi jangan terlalu emosi bila sesuatu isu itu timbul.. parti politik sudah pasti ingin menjaga kepentingan politik mereka.. cumanya perlu disuntik lebih sedikit dengan kefahaman...