Selasa, 2 Disember 2008

PPSMI "topeng" sekularisasi abad ke-21



Forum anti-PPSMI anjuran PKPIM pada Ahad yang lalu.


Inilah medan sebenar mahasiswa buat ketika ini hinggalah tahun hadapan sebelum Mac 2009. Mendengar hujah Prof. Emeritus Abdullah Ahsan dalam isu PPSMI ini, saya tidak nampak kerelvenan gerakan mahasiswa Islam untuk menumpukan seluruh tenaga pada Pilihan Raya Kampus (PRK).



Menang kalah PRK, kesannya tidaklah jauh beza. Tetapi jikalau PPSMI diteruskan riwayatnya bukan sahaja Bahasa Melayu di kesampingkan malah agama Islam turut sama menjadi mangsa!



Hairan bukan? Apa kaitan Bahasa Melayu dengan Agama Islam? Klik
sini untuk membaca hujah saya.



PPSMI seperti yang diperkatakan oleh Prof. Emeritus Abdullah Ahsan, hanyalah
topeng
kepada penghakisan bukan sahaja jati diri Melayu tetapi Islam itu sendiri.



Ini adalah kerana di Nusantara ini, aspek Islam secara
juz'i dicerminkan melalui jati diri Melayu. Ringkasnya orang Melayu dari segenap institusinya merupakan wahana kepada kemandirian Islam di rantau ini!



Sifat yang kita pertahankan ini, ya'ni Ke-Melayuan itu adalah satu sifat
assabiyah yang baik selagi mana berpaksi kepada Islam seperti mana yang diterangkan oleh Ibn Khaldun dalam kitab Muqaddimah.



Saya tidak ingin pergi kepada Ketuanan Melayu lagi. Cukuplah buat masa ini kita semua terutamanya golongan mahasiswa sedar akan peri pentingnya perjuangan kita dalam isu ini. Saya berani bagi hujah kepada para pimpinan kampus dan nasional akan perihal
awlawiyat kita pada masa ini adalah berkenaan isu PPSMI bukan lagi PRK.



PKPIM sudah clear. Mereka akan
lead perjuangan ini. Gamis, Karisma dan segala macam lagi gerakan Islam mahasiswa harus buka mata dan bersama-sama kita bincangkan masalah ini dengan lebih mendalam.



16 Disember ini akan dirancang satu perhimpunan aman di Putrajaya sempena rundingan meja bulat terakhir buat isu PPSMI ini.



Laman petisyen anti PPSMI ini pun sudah bergerak di ruangan maya, harap para pembaca tidak kira duduk di Eire, Scotlandia, UK, Uncle Sam, Aussie, Mesir dan mana-mana sahaja dapat menyokong usaha ini dengan tegar.



Di peringkat "penguasa" dan "yang gilakan kuasa", tiada siapa yang pedulikan sungguh-sungguh. kalau mereka peka, sudah lama benda ini akan disekat semacam demonstrasi BERSIH.



Setakat politikus yang berkokok untuk
political mileage, jangan mimpi isu ini dapat ditangani dengan baik. Ini bukan isu politik kepartian yang sempit. Ini isu yang melibatkan masa depan aqidah genearsi Melayu Muslim di tanah air ini!



Kealpaan (secara kasarnya "kejahilan") para pemimpin UMNO, PKR, dan PAS berkenaan isu ini harus ditampung oleh kita mahasiswa yang tidak sepatutnya dibius oleh
ad nauseam (aku dah naik mual) politik kepartian yang sempit.




Ayuh mahasiswa sekalian! Di mana pergi hilang jati diri-mu? Abang-abang, dan kakak-kakak kita dahulu sudah selesaikan tanggung jawab mereka dalam memartabatkan Bahasa Melayu! Takkan kita ingin di cop bacul oleh sejarah!



Sebarang hubungan kerjasama boleh hubungi GAP di
sini.



Petisyen
online di sini.



Laporan forum tempoh hari:


Forum Khas Selamatkan Bahasa Melayu, Hapuskan PPSMI Berjaya Capai Sasaran


En.Kamal Shukri, Sdr Faisal (Pengerusi GAP), saya berbaju hijau PAS mewakili (TERAS Melayu), dan sdr. Hilmi (Presiden PKPIM)


30 November, Gombak -
Forum Khas Selamatkan Bahasa Melayu, Hapuskan PPSMI
anjuran Gerakan Anti-PPSMI (GAP) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang diadakan di sini pada hari ini berjaya mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan. Panelis-panelis forum tersebut terdiri daripada En. Kamal Shukri Abdullah Sani, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Sdr. Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Koordinator Kampus TERAS dan Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM. Forum tersebut diselia oleh Sdr. Muhamad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM sebagai moderator.


Forum yang dimulakan pada pukul 10 pagi tadi tamat pada pukul 12.30 tengahari menyaksikan para panelis menyampaikan dasar-dasar penting sebagai landasan di dalam perjuangan Bahasa Melayu yang diusahakan oleh Gerakan Anti PPSMI ini. En. Kamal Shukri menyelar Persidangan Meja Bulat PPSMI anjuran Kementerian Pelajarn Malaysia (KPM) yang beliau sifatkan sebagai berat sebelah. Beliau juga menyatakan bahawa hasil perbincangan persidangan tersebut tidak boleh disama tarakan dengan hasil kajian yang dilaksanakan oleh cendekiawan-cendekiawan universiti di dalam isu ini sebagai contoh hasil kajian berhubung keberkesanan PPSMI di kalangan pelajar oleh Prof. Emiritus Dr. Isahak Haron daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau menyeru supaya Akta-Akta yang berkaitan dengan Bahasa Melayu tidak hanya tinggal sebagi Akta-Akta kosong yang tidak bererti. Akta-Akta tersebut perlu dikuatkuasakan dan dipatuhi. Beliau merujuk kepada kedudukan Bahasa Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan lain-lain. Beliau turut memberi persoalan penting untuk difikir oleh pemikir-pemikir polisi di dalam KPM iaitu adakah kita ingin hancurkan Bahasa Melayu dengan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam mengembangkan sains dan teknologi?



Panelis kedua, Sdr. Wan Ahmad Fayhsal (rausyanfikir) pula menyentuh tentang hubungan di antara Bahasa Melayu dan Islam yang disifatkannya sudah berasimilasi sepanjang kehadiran Islam ke Tanah Melayu di dalam lipatan sejarah. Bahasa Melayu sudah melalui proses Islamisasi sehingga menjadikannya sebuah bahasa yang tidak boleh hidup tanpa Islam. Beliau memperkaitkannya dengan keperluan untuk Bahasa Melayu digunapakai sebagai medium transmisi ilmu. Sekiranya PPSMI diteruskan, ia akan menghilangkan sifat keagamaan yang ada di dalam Bahasa Melayu untuk diterapkan di dalam kebangkitan sains dan teknologi pada hari ini. Malah, pada beliau, sekiranya kita menolak kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa untuk transmisi ilmu, seolah kita menidakkan kepentingan bahasa sesuatu bangsa sebagai medium transimisi ilmu seperti yan disebutkan di dalam ayat 4 Surah Ibrahim. perantara untuk penyampaian ilmu yang Perjuangan memartabat dan pemerkasaan Bahasa Melayu pada beliau bukan sangat kerana isu PPSMI ini, tetapi ia sebenarnya isu yang lebih serius dan lebih dalam daripada apa yang dilihat secara luaran. Beliau turut menyifatkan segelintir kita sebagai terperangkap di dalam watak tertawan dengan menjadikan bahasa asing sebagai bahasa ilmu di dalam negara kita.Tampaknya, bangsa Melayu lebih kelihatan terperangkap dengan minda yang terjajah dan watak yang tertawan selepas daripada Malaysia mencapai kemerdekaan berbanding daripada sebelumnya.



Mohd. Hilmi Ramli menekankan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan seperti yang terkandung di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dipegang sekian lama. Bahasa Melayu merupakan agen pemersatu untuk bangsa-bangsa yang hidup sebuumbung di Malaysia. Perjuangan untuk menamatkan PPSMI ini sudah pun dimulaakn sejak ia mula dilaksanakan pada 2003. Sudah pelbagai usaha melalui memorandum, resolusi, petisyen dan bermacam lagi yang dicapai di dalam kongres, seminar, konvensyen dan kolokium Bahasa Melayu yang dianjurkan. Sekiranya pihak pemerintah masih tidak memahami bahas diplomasi yang digunakan untuk menunjukkan protes rakyat terhadap pelaksanaan PPSMI ini, sudah tiba masanya untuk gerakan perjuangan Bahasa Melayu ini menggunakan bahasa advokasi. Beliau juga turut menyeru generasi muda khususnya di kalangan mahasiswa untuk turut sama bangkit dan berdiri di barisan hadapan di dalam mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang benar-benar dihayati dan bukannya setakat omong-omong kosong atau sekadar tulisan di atas kertas. Di dalam hal ini, beliau dengan lantang menyatakan bahawa PKPIM akan membuat laporan polis terhadap KPM kerana didakwa mencabul Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan beberapa Akta lain yang berkiatan dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Beliau turut menasihati para perwakilan UMNO di dalam Persidangan Agung UMNO Mac hadapan untuk menolak pemimpin-pemimpin yang menjahanamkan Bahasa Melayu.



Prof Emiritus Abdullah Ahsan mempersetujui hujah saya  dan sdr. Hilmi akan peri penting Bahasa Melayu dalam institusi Islam.


Forum pada hari ini turut menerima lontaran pandangan yang bernas daripada Prof. Emiritus. Dr. Abdullah Ahsan, seoarang cendekiawan dan pejuang bahasa. Beliau mengajak para hadirin untuk melihat isu ini daripada skop yang lebih luas. Bukan setakat isu PPSMI, Bahas Melayu harus diselamatkan di pelbagai lapangan. Isu PPSMI merupakan salah satu daripada cabang penting di dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, dan ia harus diteruskan. Namun, adalah perlu untuk kita melihat kempen selamatkan Bahasa Melayu ini dari aspek lain juga. Sebagai contoh kepentingan Bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa yang punya beban rohani yang cukup tinggi di dalam kehidupan kita seharian.



Forum tersebut diadakan bertujuan untuk meratakan kefahaman akan peri penting perjuangan memartabat dan pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Jumlah peserta forum tersebut turut mencapai sasaran apabila berjaya menarik minat lebih daripada 50 orang mahasiswa yang mewakili organisasi masing-masing, guru-guru, cendekiawan universiti dan pejuang bahasa. Forum yang diajurkan pada hari ini hanya merupakan permulaan kepada satu protes panjang terhadap PPSMI dan usaha-usaha menyahtaraf Bahas Melayu di Malaysia. PKPIM dan gerakan mahasiswa lain melalui GAP akan terus memobilasi isu ini sehingga KPM mengembalikan hak Bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan Malaysia demi kebajikan dan masa depan keseluruhan generasi muda, para pelajar Malaysia.


Sekretariat PKPIM Pusat








4 ulasan:

Che' Ab berkata...

saya tak nampak relevan untuk oppose ppsmi ini. saya dah karangkan pasal hal ini. bagaimana boleh belajar sains dan matematik meruntuhkan bahasa kita? di universiti, kita menggunakan bahasa inggeris. tapi disekolah tidak boleh pula. sesama gerakan Islam antarabangsa, kita gunakan bahasa inggeris (bukan bahasa arab). bahasa melayu memang sudah rosak dek drama2 melayu yang mengarut, lagu2 yang kosong. saya sendiri fail exam bahasa inggeris di universiti, dek kerana tidak minat bahasa inggeris, walhal ingin ke luar negara. serius, saya tak nampak bagaimana sains dan matematik boleh menghancurkan martabat bahasa kita.
acab someideas

LensaPR berkata...

kekadang bicara dijalanan akan berhasil jua apabila bicara di dewan sejuk tak berhasil. Ayuh anak muda.

SilumanSakti berkata...

Pelik rasanya pabila akhbar dan media sibuk membicarakan berkenaan KETUANAN MELAYU sedangkan 'KETUANAN' yang sebenarnya sedang cuba hendak dihapuskan..Hilang Bahasa, hilanglah jiwa bangsa sekaligus hilanglah 'KETUANAN' yang dipolemikkan..Aduhai politikus melayu, dari kalian sibuk bertelingkah sesama sendiri, bahasa kalian sudah dicabar,masa depan anak bangsa kalian kian tergugat..sedarlah...

hamba bersetuju dengan LensaPR,sudah tiba masanya kita berbicara dijalanan..kita kembalikan 'KERANDA 152'!!..maruah dan masa depan anak Melayu terletak ditangan kita..AYUH!!

resolusibahasa berkata...

Pandangan Prof Di Raja Ungku Aziz mengenai PPSMI satu ketika dahulu, klik di sini (YouTube). Bolehkah kita mempelajari nahu B.I. dengan sains dan matematik?

Pautan berkaitan:
- Idea dan asal usul ideologi PPSMI, dan implikasi PPSMI. Klik di sini(Di sebalik PPSMI)
- lain-lain (Resolusi Bahasa BUKAN Revolusi)