Selasa, 30 Disember 2008

Ideas have consequences

Piramid Agung di Giza (Great Pyramid of Giza)

Taman Tergantung Babylonia (Hanging Gardens of Babylon)

Patung Zeus di Olympia (Statue of Zeus at Olympia)

Kuil Artemis di Ephesus (Temple of Artemis at Ephesus)

Makam diraja Maussollos di Halicarnassus (Mausoleum of Maussollos at Halicarnassus)

Patung Colossus di Rhodes (Colossus of Rhodes)

Rumah Api Alexandria (Lighthouse of Alexandria)


Nama-nama ini merupakan lambang kagungan sesebuah tamadun…pada satu ketika dahulu.

Kini, hanya tinggal Piramid Agung di Giza sebagai wakil tunggal 7 Keajaiban Dunia Silam.


Yunani

Romawi

Umaiyyah

Abbasiyah

Turki Uthmaniyyah

Soviet Union

Empayar British


Nama-nama ini merupakan lambang kekuasaan politik sesebuah tamadun…pada satu ketika dahulu.

Kini, hanya tinggal serpihan-serpihan negara bangsa yang terpecah belah dek wabak demokrasi.


Aristotle

Immanuel Kant

Al-Ghāzalī

Ibn Sinā

Friedrich Nietzsche

Karl Marx

Adam Smith


Nama-nama ini merupakan lambang ketamadunan sesebuah tamadun…dulu, kini dan akan datang..


Dulu, kini, dan akan datang akan diperingati, diajar dan diselami jiwa dan minda yang telah melahirkan sebuah tamadun dengan tinta mereka..


Golongan ini tidak mengangkat senjata membaham musuh tetapi mereka amat mengerti bahawa pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Mereka juga mengerti, buah fikiran itu mampu membina Tamadun dan mereka sangat memahami ideas have consequences...


Tatkala Gaza diserang…mayat bergelimpangan…emosi marah, sedih membuak-buak..kebangkitan massa mengundang tuntutan perubahan…


Sangat sedikit sekali cuba bertafakkur dimana sebenarnya akar permasalahan berdarah ini…



Ketika Gaza diserang lumat, tarikh 24 Disember 2008 juga merupakan tarikh pemergian pemikir kontroversi Dunia Barat, Samuel P. Huntington.


Dengan makalah yang bertajuk "The Clash of Civilizations?" yang diterbitkan di dalam majalah politik antarabangsa yang berpengaruh Foreign Affairs dan kemudian di jadikan sebuah buku di bawah tajuk The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order, Samuel Huntington telah berjaya “membasuh” minda para penggubal dasar Dunia Barat untuk menerima hakikat bahawa pergolakan pada abad ini bukanlah disebabkan perbezaan ideologi tetapi perbezaan idea antara tamadun besar dunia.


Beliau menggariskan dunia pasca Perang Dingin kepada beberapa tamadun seperti (i) Barat (Western), (ii) Amerika Latin (Latin American), (iii) Islam (Islamic), (iv) Cina (Sinic,Chinese), (v) Hindu, (vi) Kristian Ortodoks (Orthodox), (vii) Jepun (Japanese), dan (viii) Afrika (African).


Tesis ini mendapat perhatian yang cukup berpengaruh dan sememangnya serangan keganasan 11 September menjadikannya lebih ber-ma’na di mata orang-orang Barat seterusnya menjustifikasikan peranan mereka sebagai sebuah Tamadun yang perlu berhadapan dengan Tamadun Islam terutamanya di kawasan Timur Tengah.


Gaza berdarah pada hari ini kerana idea seperti ini.


Indonesia di serang penyakit SIPILIS (sekular, pluralisme, liberalisme) kerana idea seperti ini.


Siapa sangka pakcik tua berkaca mata seperti beliau mampu me-rasionalisasi-kan (rationalization) kempen pergolakan di Timur Tengah?


Itu belum lagi kita kaji gerakan sistematik untuk melakukan hegemoni ke atas dunia umat Islam melalui perang saraf yang amat sulit seperti RAND Corporation, dan intelektual-intelektual dhollin seperti Richard Dawkins dengan Darwinisme-nya.


Tetapi itulah hakikat. Hakikat yang banyak sekali dipandang enteng oleh golongan ilmuan pada hari ini terutamanya daripada golongan agama. Kita pandai marah, dan beremosi ketika musibah menimpa tetapi kita sangat lemah mengkaji dan memahami titik permasalahan yang ada.


“Hujjatul Islam” Imam Abu Hamid Muhammad Al-Ghāzali merupakan role model terbaik untuk kita ambil i’tibar dalam berhadapan dengan ancaman tamadun Barat yang sangat diskrit ini.


Atas kesedaran dan ketajaman pemikiran yang tinggi hasil kebergantungan kepada Allah S.W.T, Imam al-Ghāzali telah menyaring arus pemikiran songsang falsafah Yunani daripada pemikiran umat Islam. Karya Tahafut al-Falasifah ( The Incoherence of the Philosophers) menjadi saksi bahawa umat Islam bukan tin kosong dalam berhadapan dengan ancaman saraf daripada Barat.


Kalau dahulu kita perlukan Tahafut, zaman sekarang kita perlukan Tahafut AAAAAA+.


Pada hemat saya, Islam and Secularism karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas layak menerima mantel perjuangan Tahafut itu.


Tesis Samuel Huntington bukanlah sesuatu yang asing bagi Prof. al-Attas kerana beliau sendiri melihat permasalahan luaran umat Islam bertitik tolak daripada ancaman Ketamadunan Barat.


Beza antara dua intelektual gergasi ini adalah dari segi takrifan Ketamadunan Barat dan kedalaman penghuraian permasalahan tersebut.


Prof. al-Attas sendiri memperakui bahawa ancaman Ketamadunan Barat merupakan satu ancaman yang berbentuk perennial. Akan berterusan sehingga entah bila!


Gaza akan terus berdarah selagi mana kita umat Islam tidak mampu melahirkan generasi Salahuddin al-Ayubbi AAAA+. Konflik Gaza bukan konflik dunia Arab tetapi cerminan konflik dalaman kebejatan akliah dan spiritual ketamadunan Islam.


Percayalah bahawa Gaza berdarah bukan kerana Israel tetapi kerana idea yang telah mendapat tempat dalam diri Tamadun Barat dan idea yang telah melemahkan Tamadun Islam ke tahap kekeliruan yang melampau.


Ayuh kita sama-sama memahami konflik ini daripada akar umbinya untuk mempersiapkan generasi Salahuddin yang baru.


Untuk itu kita harus memahami dahulu bahawa ideas have consequences.

2 ulasan:

LensaPR berkata...

kekadang hujah intelektual pun satu escapism dan satu falasi. ha ha

ammosham berkata...

bro,
mahathir tak termasuk intelektual islam ke?