Jumaat, 26 Disember 2008

Bukan senang...



Bukan senang. Semakin ramai yang singgah di blog ini semakin 'dahsyat' soalan-soalan yang diajukan. Fitnah juga tidak kurang banyak yang ditinggalkan.


Baru umur setahun blog ni dan kena pikul beban yang memenatkan ini.


Tidak kiralah bagaimana sekalipun anda pandang dan nilai saya baik dalam blog ataupun dunia realiti berulamkan graviti, saya tetap saya ya'ni:


1) Mahasiswa tahun akhir Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP)
2) Umur 21 tahun.
3) Bujang


Hal-hal ISTAC, falsafah, Prof. al-Attas, dan segala macam yang saya ungkapkan dalam blog in, tulisan dalam majalah, dan akhbar semuanya berlaku dalam masa setahun ini.


Sangatlah muda sekali usia dan pengalaman tu.


Semua ini menggambarkan bahawasanya saya bukanlah autoriti dalam bidang yang sering diajukan tersebut. Maka, jangan salah sangka terhadap saya jikalau saya tidak mampu melunaskan penjelasan yang sewajarnya.


Masih belajar dan terus belajar sampai mati Insyaallah.


Bukan senang.


Sebelum hendak tulis, kena berfikir. Sebelum boleh berfikir kena renung. Sebelum renung kena membaca. Sebelum membaca kena membeli. Sebelum membeli kena ada duit. Sebelum ada duit kena tunggu biasiswa/duit Mak/gaji menulis Siasah/Milenia Muslim. Sebelum tunggu semua itu kena tunggu ilham. Sebelum dapat ilham kena berdoa dan beri'tiqad kepada Allah dalam mencari ilmu yang memberi ma'na dan kefahaman. Dan proses ini mungkin melingkari antara satu sama lain.


Fuh. Memang rasa kepala ni berdenyut-denyut. Masalah makin banyak dan nak selesaikan tu hanya Allah yang tahu betapa sukarnya nak cari jawapan dan menunggu kefahaman!


Patutlah ulama' silam macam Ibn Sina, Imam Syafiee tak tidur malam bersengkang mata memikir, menulis. Kalau dapat jawapan punyalah mereka bersyukur kepada Allah.


Kepada para pembaca budiman, saya tidak dapat menerangkan banyak perkara dengan mudah dalam jangka masa terdekat ini kerana saya kena:


1)Siapkan laporan latihan industri selama 8 bulan di KLCC.
2)Siapkan kertas kerja persidangan di UTP berkenaan universiti.


Semua ini akan mengambil masa yang banyak dalam beberapa minggu ini.


Walaubagaimanapun, untuk yang berminat untuk selongkar idea kritis berkenaan gerakan Islam moden/reformis, bolehlah rujuk dua buku di bawah:






Kedua-dua buku ini mampu membuat gerakan Islam di Malaysia tidak senang duduk jikalau kita mampu berhujah dengan baik atas niat untuk membantu mereka bermuhasabah akan status quo perjuangan yang dipikul mereka sekarang. Satu dari sudut epistemologi perjuangan (berkaitan Muhammad Abduh) dan satu lagi aspek sosio-budaya-politik perjuangan gerakan Islam.


Apabila kita kritik bukan hendak jahanamkan mereka tetapi hendak membantu mereka jadi lebih baik. Ini yang susah bila ulama' berpolitik. Rakyat jadi keliru ulama' mana yang lebih afdal untuk diikuti.


Maklumlah, bila ulama' berpolitik, macam mana nak bezakan kenyataan yang dibuatnya sama ada kenyataan politik untuk political mileage dan kenyataan menyampaikan al-haqq yang tidak pilih bulu.


Sebab itulah dalam sejarah silam, ulama' yang berwibawa seperti al-Ghazali, Bediuzzaman Nursi, dan banyak lagi akan sedaya upaya menjauhi jaringan kekuasaan dalam hal-hal agama. Ini untuk mengelakkan sebarang kekeliruan yang bakal timbul daripada rakyat yang merujuk.


Ulama' have to be independent from the interest of political power to safe guard the Truth from being distorted inside-out of the context!


Panjang ceritanya tapi makin lama saya makin disillusion dengan ulama' politik.


Sehari suntuk saya di UIA tadi. Banyak buku saya beli dan fotostat. Antaranya adalah di bawah:





Ini harus dibaca oleh semua aktivis/da'ie mahasiswa dan cuba fahami bagaimana semua ini berlaku di Malaysia.


Selamat berfikir dan harap bersabar dengan penulisan saya yang seterusnya.

11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Zainah Anwar??

:)

Tanpa Nama berkata...

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu masa ketika Nabi saw. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A'rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw., "Bilakah akan terjadi hari qiamat?". Maka Nabi saw. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu". Sehingga apabila Nabi saw. selesai dari percakapannya beliau bersabda, "Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya! Saya hai Rasulullah". Maka Nabi saw. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu"? Nabi saw. menjawab...

"Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat".

Izudin Abqori berkata...

Sebab itulah kita perlu renung lebih jauh kalau kita nak jadi blofawan tegar pada zaman sekarang. Menulis pada zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu. Nak siapkan sesuatu makalah perlu masa yang panjang. Ditulis. Perlu direview oleh majalah-majalah besar. Difotokopi banyak-banyak(zaman dahulu pakai alat gelek agaknya). Disebarkan. Nak tunggu komen dari orang tempatan agaknya baru dapat setahun kemudian.

Tapi sekarang, nak komen pada makalah seseorang hanya perlu klik sahaja. Tak percaya. Tengoklah bagaimana komen saya ini boleh jadi komen yang pertama. (Mungkin sebab saya adalah pengikut blog ini, jadi sebarang update masuk secara terus ke akaun blogspot saya.

Mahalnya buku ISLAM EMBEDDED.

Ada orang alim pesan pada kawan saya dan kawan saya pesan pada saya. Jika mahu jadi ulama, jangan jadi ulama yang berpolitik, sebab politik itu fitnah. Bahkan menjadi ulama itu sahaj sudah fitnah. Moga Allah menyelamatkan kita dari segla fitnahnya.

Udahlah review buku. Kecewa Abqori sebab tak dapat membacanya. (Ayat merajuk). Haha.

Teruskanlah!

admin berkata...

salam

maybe you can add Fethullah Gulen as one of your favs.

just a suggestion.

MK berkata...

Salam.

Nak beri komen apa2, tak reti. Kandungan blog ni pun jauh lagi dari tahap pemikiran saya.

Tapi saya suka baca, sebab saya pun ada keinginan belajar, dan mengambil kesedaran. InsyaAllah sampai satu tahap mungkin saya boleh turut berjuang.

Jadi.. teruskan menulis ya :)

Tanpa Nama berkata...

Anonymous said...
Zainah Anwar??

Zainah Anwar is a prominent Malaysian non-governmental organisation leader and activist. She was the head of Sisters in Islam for over two decades before deciding to step down to give way to young blood to continue the fight for Muslim women's rights.


Keutamaan dalam perjuangan PAS

Saya diajukan beberapa soalan berkaitan keutamaan amal Islami yang dilakukan oleh PAS. PAS dikatakan sebuah parti politik, bukan lagi badan dakwah. PAS telah lari dari tradisi ulama'. Saya terdiam. Malah sumber kenyataan yang dibuat ini kata mereka hanyalah pendapat pemikir-pemikir bebas semata-mata.

Pendapat lain turut bertanyakan di mana PAS dalam isu memperjuangkan Bahasa Melayu dalam Matematik dan Sains (PPSMI)? Di mana ulama' PAS dalam perjuangan anti FTA atau perjuangan anti Islam Liberal? Ingin sahaja saya mendiamkan diri dengan kedangkalan kata-kata tanpa asas berkenaan.

Namun begitu memandangkan saya seorang ahli Jamaah Parti Islam SeMalaysia, malah saya diamanahkan sebagai anggota penerangan dakwah parti, maka ingin saya menulis berkaitan isu awlawiyyah dalam pertimbangan kerja-kerja Islam sekadarnya sahaja. Sebagai insan, saya bukanlah pejuang agama yang hebat untuk berbicara keutamaan kerja dalam Islam.

Pejuang Islam tidak akan mendabik dada bahawa dirinya pejuang. Pejuang agama hanya menceritakan serba sedikit teknik kerja Islaminya agar dicontohi oleh pejuang dan rakan-rakan yang lain. Pejuang Islam tidak akan menuduh melulu rakan seperjuangan agamanya sendiri. Pejuang agama tidak akan menidakkan usaha dakwah pihak lain demi menyatakan kerja-kerja agama dan kerja-kerja amal mereka.
Dalam usia PAS lebih daripada setengah abad, PAS tidak pernah menyelar atau mengkritik pemimpinnya secara jahar(terbuka) sama ada benar atau salah. Teguran dan usaha baik pulih dilakukan secara mahabbah dan tidak dihebahkan. Aib yang dihebahkan adalah sikap para munafik.

PAS tidak pernah menghina Dato' Asri yang meninggalkan perjuangan PAS dengan menyertai UMNO. Malah perjuangan Dato ' Asri menulis lirik lagu tema PAS kini, perjuangan Dato' Asri memperjuangkan bahasa Melayu di saat akta 152 ingin dipugarkan masih segar dalam ingatan semua. Teguran dan kritikan hanya dilakukan secara dalaman untuk meningkatkan dakwah, bukan menghina atau merosakkan.

Hanya gerakan sekular yang akan menghina pemimpin atau ketua mereka sendiri kerana idealisme mereka adalah akal mereka. Apa sahaja yang dikatakan dogmatik pada pandangan mereka, mereka akan menentang. Apa sahaja yang dilihat sebagai bercanggah akan disebar luaskan aib dan sebagainya.

Alangkah malang apabila hari ini ada petugas Islam yang mendabik dada menyelar usaha amal Islami pihak lain hanya kerana kedangkalan kajian dan kebutaan sejarah gerakan Islam itu sendiri.

Jika kita berjuang membela bahasa Melayu, sejak tahun berapakah kita memulakan usaha itu. Sejauh manakah keefektifan kerja-kerja pemuliharaan kita itu? Dalam masa yang sama adakah kita cakna dengan perbincangan akta Rasuah di parlimen yang bakal membina landskap sosial yang bersih jika rasuah berjaya diperangi?Adakah kita ambil tahu isu rasuah dan penyelewengan harta? Apa pula tindakan kita?

Dalam kekalutan kita mencari kelemahan gerakan Islam, adakah kita sedar kesengsaraan keluarga si mangsa ISA? Tahukah kita ISA itu haram dalam agama? Di mana kita dalam isu berkenaan? Dalam hal kebajikan, di mana pula kita semasa banjir teruk di utara tanahair serta pantai timur hari ini? Adakah kita hanya berbincang di kafe-kafe semata-mata?

Jika kita pemula isu anti FTA atas wazan kita ahli intelek yang berfikiran, adakah idea kita akan disambut jika tiada harakah Islamiyyah yang mendidik pengikutnya agar menentang kemungkaran dan menegakkan negara yang berteraskan agama? Dari mana datangnya peserta-perserta demostrasi anti FTA? Adakah kita yang mendidik mereka selama ini?

Atas tiket intelek kita berbicara. Tetapi intelek juga menjadi asas kepada kebangkitan pemikir liberalis dan sekularis. Mereka akan berfikir untuk meruntuhkan agama demi menaikkan kelompok-kelompok mereka walau atas nama apa sekalipun.

Dakwah ada tingkat-tingkat keutamaannya. Dalam isu PPSMI, PAS telah lama menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai lapangan. Malah debat-debat di kampus banyak diadakan oleh persatuan-persatuan mahasiswa Islam, serta disuarakan juga oleh ramai pemimpin PAS dalam siri ceramah umum mereka. Dalam sesuatu keadaan, keutamaan kerja perlu diberikan kepada isu lain.

Sedarkah kita, isu yang membelenggu umat Islam hari ini amat banyak?

Jika kita ada kemampuan untuk melakukan sesuatu kerja Islam, teruskan. Itu hadiah dari Allah. Tetapi jika peluang kerja agama tersebut dijadikan hujah untuk menidakkan usaha dakwah lain, ia adalah sikap para juhala' yang bakal merosakkan agama. Kita masih ada pelbagai cara yang beradab dan tawadhu' untuk menyuarakan pendapat membina dakwah Islam.

Bukannya mengikut cara gerakan liberal menyuarakan hati mereka sedangkan kita sendiri menentang Islam liberal?

Ada yang tidak mahu berjuang menentang ISA atas alasan ia bukan kerja gerakan Islam malah ia banyak didominasi oleh gerakan hak asasi bukan Islam serta gerakan yang liberal. Ahli PAS telah lama menjadi mangsa ISA. Malah gerakan mansuh ISA juga diasaskan oleh Dato' Fadhil Noor di saat kita masih mentah di sekolah rendah. Kini gerakan mansuh ISA telah disahut oleh kaum Cina dan India.

Adakah kita ingin meninggalkan wadah anti kezaliman itu hanya disebabkan ia telah banyak disertai oleh kaum bukan Islam? Adakah ini sikap pendakwah Islam yang istiqamah? Lihat sahaja bagaimana JIM pada awalnya tidak menyertai mana-mana gerakan politik demi menumpukan dakwah dalam bidang pendidikan dan tarbiyyah. Kini JIM juga mengambil pendekatan siasah demi melestarikan amal Islam bersama gerakan Islam yang lain. Itu awlawiyyah bagi jamaah JIM dan ia kena pada kondisi dan keperluan amal Islami JIM.

Setiap gerakan Islam ada keutamaan masing-masing berdasarkan kemampuan ahli dan materi dakwah mereka. Individu-individu sedar juga memiliki keutamaan mereka yang tersendiri. Adakah wajar kita menghina sesuatu gerakan Islam hanya kerana mereka tidak menggariskan isu bahasa Melayu?

Jika kita menganggap kita memahami teras idealisme Melayu Islam, kita tidak akan mengeluarkan kenyataan menghina rakan sepetugas agama.
Ini kerana ia sikap sekular. Persoalan saya yang terakhir, adakah kita mengkaji hingga mendalam benarkah gerakan itu tidak berjuang isu yang kita gariskan? Adakah kita benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah?

Kajilah sejarah gerakan Islam di Malaysia. Bacalah sirah perjuangan cara Rasulullah dan Sahabat. Kita akan mengetahui awlawiyyah dalam pertimbangan kerja-kerja Islam.

Kata Imam Malik , kita tidak berjaya mengikut satu amal bagi seorang anbiya' pun walaupun kesemua amal kita hari ini dikumpulkan serentak. Kegopohan dan gejala ghulu' (melampau) serta isti'jal (melulu) adalah antara punca kita jauh daripada perjuangan Islam malah kita mungkin menikam kebangkitan Islam di tanah kita berdiri.-azm

Muhammad Nuruddin Bashah
(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang)
Harakah Daily.net

Ibn Ali berkata...

Allah! Memang cool.Saya salute kedua-duanya, namun saya nak sentuh sedikit iaitu tentang titik kesedrhanaan.

kesedrhanaan bermakna tidak berlebih-lebihan, tidak melampau, ekstrim, ghuluw.

Memang, PAS ada kelemahan, namun adakah wajar mengkritik keras pAS begitu sahaja?

melihat kepada hujah2 yang diberikan bashah, pAS agak mendahului di bidang2 kerja lain.

saya pun berasa tak sedap hati juga apabila pas seolah2 meremehkan kesenian dan kesusasteraan Islam, tapi saya sedar, jika terlalu ghuluw dalam mengkritik pun,

adakah kesenian dan kesusasteraan Islam akan berjalan?

jadi untuk tidak mau ego dan syok sendiri, saya mengambil keputusan ntuk bergerak.

perlawanan terhadap sekular mestilah secara tersusun.jangan terlalu bergaduh sesama sendiri.

begitu juga kepada bashah, pas ada kelemahan, dan pas kena akui, memang agak lemah dalam intelek berbanding gerakan2 islam lain di malaysia.

namun,saya mencadangkan, agar kita semua, tidak meremehkan antara satu sama lain.

perjuangan secara politik kekuasaan pun betul, kesenian kesusasteraan Islam pun betul, ilmu intelektual pun betul,

ayoh, sama-sama meraikan, dan jangan memaksa aliran kita sahaja.
dan jangan bagi walau sekupang pun saham kita kepada jahiliyah moden,

yakni, sekular

LensaPR berkata...

Alamak Faisal, kan aku dah cakap kena minum teh dengan aku dulu, banyak cerita sulit yang mahu dibisikkan kepada kamu. Ha ha.

anakmuda berkata...

en penulis,
mengetahui umur saudara berusia 21 tahun membuat saya berasa betul betul rendah diri.dengan izin Allah saudara banyak mengetahui ilmu yang sejak dulu saya ingin tahu dan faham.saya pun berusia 21 tahun,tapi ilmu jauh lebih cetek daripada saudara.insyaAllah saudara akan saya jadikan inspirasi untuk saya terus mencari,memahami dan berkongksi ilmu.dengan izinNya insyaAllah.

warkahraudhah berkata...

Assalamualaikum wbt.Salam kunjungan buat seorang penulis.Teruskanlah berkongsi ilmu.Sedia untuk menegur pada tempatnya dan berlapang dada untuk ditegur.Jangan mudah luntur semangat,kerana semangat anak muda seperti saudara sangat-sangat ingin dicontohi buat generasi muda yang lain.Jazakallah,atas perkongsian selama ini.

Prostat berkata...

Saya melihat, gelombang gerakan islam di Malaysia semakin menyerlah dan membuahkan hasil. Sinarnya terasa dimana-mana.

Teguran diberikan kepada sdr bukanlah untuk menjatuhkan. Jauh sekali untuk membina jurang perbezaan.

Oleh itu, sahutlah ia. Saling nasihat menasihatilah. Berhentilah dari kerja mengkritik membuta tuli tetapi fokuslah kepada meruntuhkan idealism sekular di bidang politik, ekonomi dan sosial yang berdiri kukuh di bahu pemerintah dan para intelektual sekular.

Ust Said Hawwa memperingat dalam kitab Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan yang berbunyi "Sesiapa yang tidak berpuat hati dengan kewajipan jihad politik ini sebagai usaha menjatuhkan sistem kuffar (sekular) yang bertapak di bumi islam. Maka orang ini sama ada orang jahil, orang yang meninggikan diri, ataupun pengecut. ia tidak mahu memikul tanggungjawab jihad ini"

Bagaimana pula sdr Wan?