Jumaat, 12 Disember 2008

"Badan Penipuan": berfalsafah, dan berpolitik dalam panggung wayang






"Trust no one. Deceive Everyone"


Itulah tagline kepada filem yang bertajuk " Body of Lies" yang telah saya tontoni seminggu yang lalu. 


Daripada tagline ini sahaja kita boleh mengupas dengan mendalam akan tema dan mesej yang ingin disampaikan oleh filem ini. 


"Jangan percaya sesiapa. Tipu semua orang"


Mungkin itulah terjemahan secara literal akan tagline yang terpampang pada poster tersebut.


Tagline tersebut bagi saya sarat dengan bau falsafah pasca moden, kenisbian nilai, kepincangan kepercayaan dan fitnah yang berleluasa. Bukankah ini antara gambaran sesuai yang menzahirkan kebenaran akan suasana umat manusia pada Akhir Zaman seperti yang diterangkan dalam hadith?


Saya memang jarang tonton wayang tetapi filem ini sangat menarik perhatian saya atas beberapa sebab:


1. Pengarah filem ini ialah Ridley Scott yang telah menghasilkan filem blockbuster seperti "Gladiator" yang berlatar belakangkan tamadun Romawi dan "Kindgom of Heaven" yang berlatar belakangkan Perang Salib sewaktu zaman Salahuddin al-Ayubbi.


2. Leornado Dicaprio dan Russel Crowe yang sudah sedia maklum akan status quo mereka sebagai pelakon yang berwibawa.


3.Tema filem ini yang banyak mengetengahkan isu keganasan rambang (terrorism), CIA, status quo masyarakat Arab kontemporari, ekstremisme keagamaan.


4.Melatih tubi rangka pemikiran falsafah dalam memahami latar semasa seperti fenomena modenisasi, globalisasi, termasuk juga kaitan falsafah sejarah yang terbentuk hasil pertembungan zaman-berzaman antara dua tamadun agung dunia ya'ni Barat dan Islam. 



Ya, sebenarnya saya bukanlah pergi menonton semata-mata untuk menikmati kesenian filem tersebut (walaupun sememangnya Ridley Scott memang pakar audio visual)  tetapi yang lebih penting ingin memahami hubung kait diskrit antara situasi semasa berkenaan dasar luar Barat kepada dunia Arab moden, dan jaringan keganasan rambang antarabangsa di dunia Timur Tengah.


Sebelum menonton, saya akan cuba semak beberapa reviu filem ini di web pengkritik filem Rotten Tomatoes. Rating yang diberikan sememangnya tidaklah tinggi tetapi bagi saya selepas menonton filem ini dengan menyelongkar sedalam mungkin tema yang ditimbulkan, ianya adalah amat berguna dalam memahami latar perjuangan masa depan kita dalam berhadapan dengan ancaman luaran (Barat) dan dalaman ( ektremisme keagamaan, kekeliruan ilmu).


Suka ataupun tidak, TImur Tengah ya'ni Dunia Arab adalah hotbed kepada pelbagai isu besar yang mempengaruhi kehidupan masyarkat dunia baik dari sudut ekonomi, politik, serta agama. 


Sememangnya peranan filem dalam masyarakat moden pada hari ini adalah sangat berpengaruh dalam mengatur cara pandangan alam masyarakat dunia secara sedar mahupun separa sedar.


Ya, filem yang ditayangkan di pawagam, televisyen semuanya mampu membentuk pandangan awam (public opinion) sesebuah masyarakat dan ini sangat mempengaruhi strukur politik yang dibentuk melalui sistem demokrasi kapitalisme-konsumerisme di mana para peserta sistem ini rata-ratanya adalah pengguna tegar yang telah dibius kesedaran akliahnya dalam memahami realiti semasa dengan jitu.


Walaupun kita tidak tinggal dalam negara Komunis yang mempunyai Big Brother seperti yang digambarkan dalam novel George Orwell yang terkenal "1984", hakikatnya kita masih merupakan watak tertawan dalam dunia moden pada hari ini. 


Fenomena ini menjadi lebih serius apabila kita buta sejarah seperti PAS yang anti-tesis kepada UMNO dan UMNO yang anti-tesis kepada PAS. Yang rugi siapa? Bangsa Melayu juga.


Sudah tentu filem ini membawa beberapa mesej yang agak berat sebelah ( kalau Hollywood nak kata apa lagi bukan?) tetapi cuba kita jangan prejudis dahulu dan letakkan diri kita dalam kasut mereka sebagai orang Barat yang jahil dan terbentuk kefahaman mereka melalui media Barat yang sememangnya berat sebelah selama hari ini. 


Islam yang mereka fahami, dunia Arab yang mereka amati rata-ratanya adalah melalui lensa CNN, BBC, CNBC. Jikalau begitu, tidak boleh lagi kita kategorikan mereka secara membuta tuli sebagai conspiracy theorist (rancangan Yahudi, Kristian) kerana secara hakikatnya memang pandangan alam mereka anti-tesis kepada Islam dan Dunia Arab itu sendiri!


Oleh kerana kuasa pengaruh filem yang cukup berkesan, sudah tentu para penguasa dunia Barat terutamanya Amerika Syarikat sendiri melalui badan induk intelegensia mereka ya'ni CIA, Pentagon dan FBI ingin sekali menjadi rakan kongsi dalam industri perfileman antarabangsa.


Seperti contoh, CIA tidak terkecuali dalam menampilkan propaganda berkenaan Amerika melalui kerjsama erat dengan Hollywood seperti yang ditampilkan melalui beberapa buah filem seperti hero askar ala Superman "Rambo",  penipuan sejarah krisis Somalia dalam "Black Hawk Down" (arahan Ridley Scott juga) dan banyak lagi yang sarat membawa tema propaganda yang halus.


Saya tidak ingin menceritkan perjalanan filem "Body of Lies" ini tetapi apa yang saya ingin sarankan jikalau belum dan telah menontonnya silalah fikirkan tema-tema tersembunyi yang boleh dikaji bersama rakan-rakan yang telah menontonnya.


Cubalah juga jikalau ada kesempatan persatuan-persatuan di universiti masing-masing boleh rancang sesi wacana kritikan filem yang berbasiskan intelektualisme. Saya percaya aktiviti sebegini boleh dijadikan satu metode dakwah yang halus untuk golongan hedonis yang gemar menonton filem.


Barulah masa dan wang yang dilaburkan kepada TGV ataupun GSC Cinema membawa pulangan ma'na yang berharga.


Pendek kata, dengan metode sebegini anda boleh meng-'Ibn Khaldun'-kan diri sebelum, semasa dan selepas menonton filem.


Selamat mencuba.





 

2 ulasan:

Hasbullah Pit berkata...

Dah tengok Wall-e?

boleh nampak bagaimana kapitalisme dan konsumerisme menghancurkan dunia.

LensaPR berkata...

Fenomena ini menjadi lebih serius apabila kita buta sejarah seperti PAS yang anti-tesis kepada UMNO dan UMNO yang anti-tesis kepada PAS. Yang rugi siapa? Bangsa Melayu juga.

penuh persoalan????