Ahad, 16 November 2008

Pandemik konsumerisme di sebalik krisis ekonomi





Segala-galanya di Tesco.




Oleh Rausyanfikir ( tersiar dalam Siasah 14/11 - 21/11 di bawah tajuk lain)


Kenaikkan harga minyak telah memacu hebat harga barangan keperluan. Makanan, pakaian dan segala macam keperluan asas turut sama mengalami peningkatan harga yang melangit.



Apabila harga minyak sudah susut, ternyata dampak harga keperluan asas tersebut masih melambung yang tinggi. Logik yang mengatakan apabila harga minyak turun maka harga barangan akan turun tidak menjadi. Dalam keadaan yang tertekan ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk mengurangkan beban rakyat dengan bekerjasama dengan pasar raya besar seperti Tesco, Carrefour dan Giant dalam usaha mengurangkan harga barangan keperluan secara besar-besaran.



Sekilas pandang seperti satu langkah yang bijak, tapi kalau kita renungi dengan lebih tajam akan kita ketemui di mana bahayanya.



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah tumbuh bak cendawan selepas hujan akan entiti perniagaan yang bernama pasar raya besar (hypermarket). Kewujudan entiti pasar raya besar ini secara amnya disambut baik oleh rakyat Malaysia kerana kebaikkan yang dianjurkan mereka dari sudut konsumerisme kerana mereka mampu membeli barangan dengan harga yang jauh lebih murah daripada yang biasa diperolehi melalui kedai-kedai kecil.



Sambutan yang begitu menggalakkan telah mengaburi mata kita akan kesan negatif yang turut diimport masuk melalui pertumbuhan pasar raya sebegini.



Kita ambil contoh nama yang sudah menjadi sebutan golongan suri rumah Malaysia pada ketika ini, iaitu Tesco.


Empayar konsumerisme Tesco


Dengan keuntungan lebih daripada 2 bilion pound setahun serta memiliki 2300 rangkaian pasar raya di 13 buah negara, sudah tentu Tesco bukanlah pemain kecil-kecilan dalam sektor ini.



Statistik sebegitu dengan mudah dapat ditafsirkan sebagai satu simbol kuasa yang dimiliki oleh Tesco berkenaan percaturan perniagaannya dalam sistem ekonomi kapitalisme.



Dalam sistem yang menganjurkan kepercayaan membabi buta kepada kuasa pasaran ekonomi tanpa memerlukan campur tangan kerajaan, Tesco dan entiti pasar raya besar yang lain telah berjaya mewujudkan pasaran ekonomi jenis oligopoli, yakni sejenis pasaran yang mendokong dominasi sebilangan kecil entiti bisnes dalam sesebuah sektor industrsi tersebut.



Sudah tentu dari satu sudut pandang pemain oligopoly, mereka melihat fenomena ini sebagai satu usaha murni untuk memberi keuntungan yang baik kepada para pengguna yang menginginkan harga yang lebih murah tetapi disebalik kebaikkan ini, wujud harga tersembunyi (hidden cost) yang perlu dibayar oleh rakyat.



We are going to open as many as allowed”. Itulah harapan menggunung yang diperkatakan oleh James Caan, Pengurus Besar Tesco Stores Malaysia seperti yang telah dilaporkan oleh agensi berita AFP pada Ogos 2005.



Bukan sebarang peta: Jikalau dilihat dari aspek geografi ekonomi, peta ini melambangkan betapa rakyat kita telah 'dijajah' oleh pasar raya besar. Bayangkan bagaimana peniaga kecil dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dalam keadaan tersepit dengan Empayar Tesco sebesar ini.



Janji beliau untuk membina lebih daripada 20 buah pasar raya besar Tesco dalam jangka masa 5 tahun bermula tahun 2005 telah menjadi kenyataan. Sekarang, Tesco mempunyai lebih daripada 26 buah pasar raya besar di Semenanjung Malaysia.



Bayangkan kuasa pasaran yang dimiliki oleh Tesco dan entiti pasar raya besar yang lain.



Mungkin orang ramai akan tertanya-tanya bagaimana sebuah entiti perniagaan seperti Tesco ini mampu membawa elemen negatif?



Dengan pertumbuhan yang begitu pesat dalam jangka masa yang singkat, perubahan ini lebih berupa satu bentuk pandemik ekonomi yang merosakkan jikalau dilihat daripada sudut jangka masa panjangnya yang boleh berlaku ke atas sesebuah masyarakat tersebut.



Ini telah berlaku di tempat kelahiran Tesco sendiri iaitu di Britain. Pada tahun 2004, sebanyak 2000 kedai runcit telah gulung tikar akibat dominasi Tesco dalam sektor perniagaan barangan keperluan.



Andrew Simms daripada New Economic Foundation, sebuah badan pemikir ekonomi alternatif, percaya bahawa sektor perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit ini sedang berada dalam keadaan seperti telur di hujung tanduk kerana pada tahun mendatang akan lebih banyak perniagaan sebegini terpaksa gulung tikar kerana hambatan kesan dominasi kuasa pasaran oleh entiti pasar raya besar seperti Tesco.




Beliau juga menyatakan bahawa dengan kemasukkan rangkaian syarikat multinasional secara meluas, kitaran wang yang diperolehi daripada keuntungan perniagaan tersebut tidak akan mudah tersebar dalam ekonomi tempatan kerana keuntungan tersebut akan dibawa ke luar negara. ( Sime Darby hanya memegang 30% ekuiti dalam Tesco Malaysia).



Oleh kerana kesan buruknya sudah mulai dirasai oleh warga Britain yang sensitif, mereka telah melancarkan kempen Tescopoly yang ditunjangi oleh beberapa kesatuan yang memperjuangkan alam sekitar, keadilan ekonomi dan juga petani kecil. Tujuan mereka adalah menjadi ejen check and balance kepada operasi Tesco yang telah mendatangkan kesan negatif terhadap usahawan kecil-kecilan, alam sekitar yang berlaku di dalam dan luar Britain.



Pengalaman yang telah dilalui oleh masyarakat Britain seharusnya menjadi pengajaran buat kita. Masakan bagaimana kita ingin melatih usahawan muda kita yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan jikalau pasaran ekonomi sudah dikuasai oleh syarikat luar secara berleluasa?



Sememangnya untuk mengenyangkan perut sendiri bolehlah kita memandang perkara ini sebelah mata sahaja asalkan ianya mampu memberi nikmat buat diri dan keluarga. Tetapi bagaimana pula dampak sosial pada masa hadapan terutamanya dalam bidang keusahawanan rakyat tempatan jikalau perkara ini dibiarkan berlaku dengan begitu sahaja?



Apakah kita mahu mewujudkan masyarakat yang kompetitif tetapi penting diri ataupun masyarakat progresif tetapi bermuafakat?



Percambahan pasar raya besar sebegini hanya menyemarakkan lagi bara konsumerisme dalam masyarakat sehinggakan kehidupan manusia dikomoditikan menjadi sebahagian daripada proses ekonomi.



Akhirnya kita akan kehilangan makna yang sebenar tentang kehidupan. Rakyat kita akan bekerja untuk terus bekerja kerana kemahuan mengatasi keperluan. Ini pasti berlaku dalam masyarakat yang mengagungkan manusia jenis homo economicus, yakni manusia yang meletakkan misi dan visi hidup untuk memperolehi kenikmatan material semata-mata.



Terbukti falsafah kehidupan yang disuburkan oleh sistem ekonomi kapitalisme ini akan hancur dari dalam seperti mana yang sedang berlaku pada masyarakat Barat seperti di Amerika Syarikat dan Eropah kini. Kehidupan mereka itu sangat lemas dikelilingi hutang dek penggunaan kad kredit secara berleluasa.



Wang gaji yang diperolehi oleh mereka akhirnya dituang pada tempat-tempat untuk memenuhi nafsu materialisme kerana kemuncak kebahagiaan yang mereka fahami melalui pemilikan harta individu yang tegar telah didefinisikan sebagai matlamat hidup asas manusia Barat zaman pasca Revolusi Industri.



Penolakan ajaran agama Kristian dalam mengatur cara kehidupan seharian hanya mengontangkan lagi nilai spiritual sebagai elemen kebahagiaan kendiri mereka. Perubahan ini seperti yang digambarkan dalam perjalanan sejarah masyarakat Barat lebih deras berlaku setelah kemunculan sistem ekonomi kapitalisme yang menghampakan makna ruhani dalam kegiatan ekonomi.


Apakah evolusi sebegini yang kita mahukan? Tidak sedarkah di sebalik kosa kata “pembangunan”, dan “globalisasi” turut tertanam falsafah sekularisme, dan materialisme yang cukup berbahaya kepada orang awam? Sejauh mana para intelektual dan ulama’ kita memahami persoalan yang cukup halus ini?



Daripada analisa ini, seharusnya kerajaan baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat harus bijak mengawal perkembangan ini daripada terus berleluasa dengan rakus sehingga boleh membawa kepada perubahan sosio-ekonomi dan politik yang radikal dalam negara. Seharusnya yang menjadi agenda utama adalah bagaimana kita memperkasakan rakyat untuk kelestarian kendiri (self-sustainable) dalam menjalani kehidupan yang lebih bermakna tanpa terperangkap dalam suasana kehidupan materialistik yang melampau.


7 ulasan:

ZaHaN berkata...

Salam.Komen ini utk entri di bawah,saudara menulis;

"Belek sahaja surat khabar dan perhati betul-betul isu apa yang hangat diperkatakan sekarang.
Melayu. Melayu. Melayu."

Apakah kata kunci 'Melayu' tidak relevan dgn 'Islam'? Root (akar) pada 'pohon' Melayu ialah Islam.Atau sebaliknya(tidak bersabit dgn politik)..Apa pandangan saudara ttg hal ini?

Rausyanfikir berkata...

Melayu dan Islam itu sangat susah hendak dipisahkan kerana Melayu itu yang ada pada hari ini dan yang menjadi 'Melayu' dalam sejarah yg gemilang adalah yg berkait rapat dengan Islam. Saya ikut hujah Prof. al-attas.

Dari segi bahasa budaya dan pandangan alam melayu itu sarat dengan Islamic values.

bloganaigh berkata...

salam

analisis yang cukup baik. saya juga pernah terfikir tentang kesan monopoli pasaraya gergasi luar terhadap rakyat, tapi dengan fahaman yang terbatas, ia hanya tinggal persoalan. terima kasih.

selain menulis di akhbar dan majalah, bagaimana saudara berkongsi idea-idea saudara dengan pemimpin dan pihak yang bertanggungjawab untuk bertindak?

saya risau juga kalau teori hanya teori tanpa ada siapa cuba mempraktikkannya.

biar kita bersusah-susah sedikit hari ini asalkan kita tidak termasuk perangkap yang akan lebih menyusahkan survival bangsa kita.

wallahua'lam.

Rausyanfikir berkata...

Tulisan2 dalam blog, akhbar dan majalah ini merupakan satu kerja praktikal juga kerana ingin MENGUBAH MINDA pembaca. Tak kira siapa. Dan inilah proses pertama sebelum bergerak untuk MENGUBAH.

Maka disini saya memang menunggu dan bekerjasama dengan rapat dengan ngo dan gerakan Islam lain. So xperlu risau, Insyaallah tulisan ini akan jadi kerja praktikal sikit demi sedikit.

bloganaigh berkata...

ya, saya harap mereka membaca semua ni. dan berfikir.

zacharias berkata...

1) Demand and Supply. Whenever there is demand from the people, TESCO provides the supply. What is wrong in that?

2) Perniagaan adalah akad secara sukarela antara dua orang. TESCO tidak pernah memaksa mana-mana orang untuk membeli belah di TESCO. KEY= conscious decision. Sepatutnya, orang yang ke tesco, hatta kedai mana sekalipun, sepatutnya mampu membuat keputusan secara sedar tentang tindakan masing-masing.

3) Having said things that are pro-TESCO over here, I have to admit that I have never entered any TESCO di malaysia. Again, it was my choice not to go to TESCO, after I consider many things.

Rausyanfikir berkata...

This is my concern. On surface everything we have in Malaysia is nice and sweet. BUT have we considered the underlying effect of this business model? Are we creating a consumerist society or a real humane one?

You need to ask why on earth, human being in 21st century is so greedy and they consume many time faster the rate of previous generation? Why on earth there are many unecessary things being produced for our consumption?

Home economicus.


Do you think this kind of business model sustainable?