Jumaat, 28 November 2008

Hari tidak membeli




Selepas pulang dari pejabat, kelihatan lautan manusia di Isetan KLCC. Tag harga diskaun meletup-letup. Lagi dekat dengan sambutan perayaan ( Aidil Adha dan Krismas) lagi melimpah ruah manusia di pasar raya elit. Apakah mereka ini tidak sedar yang dunia dilanda krisis ekonomi? 



Inilah masalah yang berlaku pada semua tempat yang memeluk budaya ekonomi kapitalisme. Secara sedar ataupun tidak, kebanyakkan daripada kita telah bertukar menjadi pengguna yang cetek. Budaya kepenggunaan/konsumerisme ini merupakan satu cara hidup yang melambangkan prestij buat masyarakat moden. Secara tidak sedar (unconscious) ataupun separa sedar (sub conscious)  kita telah bertukar menjadi homo economicus.



Oleh kerana wabak konsumerisme ini lebih melarat di Barat, terdapat banyak aktivis anti-konsumerisme yang benar-benar telah menyumbangkan kudrat dan idea dalam melawan arus materialisme yang kental.





Antara kempen yang benar-benar melahirkan dampak di Barat adalah Buy Nothing Day.  Kempen ini merupakan sebuah acara tahunan yang dipelopori oleh gerakan massa yang inginkan kehidupan yang lebih waras dalam bertarung dengan budaya kapitalisme moden.




Dilancarkan lebih 17 tahun yang lalu, Buy Nothing Day telah berjaya meninggalkan kesan yang cukup signifikan terhadap minda para pengguna di Barat. Aktivis mereka yang dipanggil culture jammers merupakan satu golongan yang cuba mencetuskan arus kesedaran tulen melalui kegiatan counter culture terhadap sebarang kegiatan ekonomi yang menggugat alam sekitar serta kekudusan nilai manusiawi.



Di bawah naungan Adbusters Media Foundation, aktivisme sebegini semakin berkembang di serata dunia. Majalahnya yang terkenal, Adbusters merupakan satu wadah kreatif dan kritis dalam membangkitkan kesedaran dalam masyarakat yang terperangkan dalam budaya kapitalisme.



Buy Nothing Day merupakan satu kempen yang ringkas tetapi cukup berkesan. Tidak perlu konfrantasi politik tetapi terus menyerang kepada punca masalah yakni masalah budaya konsumerisme yang telah banyak membius minda waras masyarakat moden. 




Bentuk aktivisme dan kempen sebeginilah yang saya harapkan bakal berkembang di Malaysia di bawah gerakan Islam mahasiswa. Walaupun terdapat banyak elemen liberal dan anarkis, kita boleh saring yang mana tidak sesuai dengan budaya kita agar mesej yang cuba dibawa dapat disampaikan dengan lebih berkesan.




Sukar hendak dibandingkan kualiti aktvisme civil society Barat dengan yang ada di negara kita. Di Malaysia, segala masalah dihalakan kepada politikus. Seolah-olah mereka itu tahu segala masalah dan penyelesaiaannya sedangkan mereka sendiri belum bersedia untuk berkuasa. Realiti yang ada dalam benak pemikiran mereka masih tetap sama dengan yang ada sekarang. Perubahan kulit sahaja berbanding isi. Sebab itu, NGO, dan mahasiwa merupakan golongan yang cukup penting dalam mengubah paradigma rakyat. Bukan golongan politikus. Perubahan yang datang daripada kesedaran massa yang tulen tidak bersifat superficial kerana tumpuan perubahan adalah terus kepada inti masalah rakyat. 




Buy Nothing Day memaparkan realiti tersebut.




Untuk rujukan lanjut berkenaan Buy Nothing Day yang telah berlangsung pada hari ini dan esok, sila rujuk sini.



Untuk video menarik akan budaya konsumerisme tengok di bawah:




1 ulasan:

peza berkata...

aish.. orang byk duit lebih.. biarlah digunakan duit tuh seseuai dengan kemampuan diri masing2