Jumaat, 31 Oktober 2008

Penyakit Hubris







Dapatkan Majalah Milenia Muslim edisi bulan 11. Ada 2 artikel saya(di bawah nama Wan Ahmad Fayhsal) yang telah termuat di dalamnya. Isu ini agak menarik kerana membincangkan aspek kewangan dan ekonomi. Belilah tak rugi.


Penyakit Hubris Empayar Amerika




Oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ( tersiar dalam Milenia Muslim edisi November 2008)


Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia telah mencipta satu keyakinan bahawa mereka adalah satu bangsa yang sedang berada di kemuncak ketamadunan manusia. Rakyat Amerika merasakan diri mereka sebagai satu bangsa yang unik dan tersendiri berbanding bangsa-bangsa yang lain.


Walaupun pada asalnya negara itu didirikan atas pengaruh Puritanisme-Protestanisme yang kuat, percambahan idea Darwinisme secara tidak langsung telah mempengaruhi banyak disiplin ilmu. Ini akhirnya membawa mereka kepada penerimaan idea evolusi yang mendokong konsep “survival of the fittest” dan ianya telah diterapkan hampir ke dalam segenap penjuru kehidupan rakyat Amerika.


Sebagai sebuah negara yang mewarisi tradisi keilmuan Yunani dan sistem kenegaraan Romawi, Amerika juga turut mewarisi sejenis penyakit dalaman daripada kedua-dua tamadun tersebut. Penyakit yang dimaksudkan itu dipanggil hubris.

Achilles lakonan Brad Pitt dalam filem Troy harus ditontoni bagi yang ingin mengenali penyakit hubris.

Perkataan hubris ini pertama kalinya muncul dalam sejarah ketamadunan Yunani. Sasterawan agung Yunani, Homer telah menulis dalam karya agungnya Iliad berkenaan penyakit hubris yang timbul dalam kisah pertarungan antara Achilles dan Hector di Troy. Dalam kisah tersebut, Achilles telah berjaya mengalahkan Hector dalam pertempuran senjata satu lawan satu. Sebelum Hector menghembuskan nafas yang terakhir, beliau telah meminta jasa baik Achilles untuk memulangkan mayatnya kepada Raja Priam dalam keadaan penuh hormat.

Achilles tidak menghiraukan permintaan tersebut. Beliau telah menzalimi mayat Hector dengan mengheretnya menggunakan kereta kuda di hadapan pintu gerbang kota Troy selama 12 hari berturut-turut. Mengikut tradisi Yunani, perbuatan Achilles ini menggambarkan penyakit hubris yang membarah dalam dirinya.

Apakah penyakit hubris ini sebenarnya?

Ahli falsafah agung Yunani, Aristotle telah mengupas bahawa hubris adalah “sifat seseorang yang bertindak untuk memalukan mangsa, bukan untuk mempertahankan diri, bukan juga untuk menuntut sebarang perkara yang telah berlaku kepada kita, tetapi semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu serakahnya. Hubris bukanlah menghukum untuk keadilan tetapi melunaskan dendam kesumat yang terbuku di dada. Nikmat dalam hubris, akan menjadikan manusia itu beranggapan bahawa dengan menzalimi orang lain ianya akan membuatkan mereka lebih berkuasa daripada sebelumnya.”

Pada zaman moden ini, hubris telah diertikan sebagai satu kebongkakkan dan kesombongan yang melampau, selalu dikaitkan dengan ketiadaan sifat rendah diri bukan kerana kekurangan ilmu tetapi kerana kekotoran dalaman yang melampaui batas moral manusia.

Hubris yang wujud pada zaman Yunani dahulu tidak jauh bezanya dengan realiti Amerika Syarikat pada hari ini. Bangsa Amerika memperlihatkan diri mereka sebagai bangsa yang berada di kemuncak ketamadunan manusia. Mereka mungkin telah mendarat di bulan, meneroka alam nan indah tetapi Kebenaran masih jauh dari pandangan.

Bertahun lamanya mereka telah melayan nafsu tanpa mempedulikan kesannya kepada alam sekitar, kesengsaraan kepada manusia dan binatang, hanya kerana mereka mempunyai kuasa ekonomi dan ketenteraan yang kuat di dunia ini.

Dalam lembaran sejarah, sifat hegemoni Empayar Amerika ini sepersis dengan apa yang telah ditonjolkan oleh sejarah Empayar Romawi. Slogan ‘veni, vidi, vici’ (aku datang, aku lihat, aku tawan) yang diucapkan oleh Julius Ceasar dalam kempen ketenteraanya telah memakan dirinya sendiri setelah dibunuh oleh teman-teman Dewan Senatnya. Kegilaan berkuasa untuk menghancurkan musuh dan melumatkan bangsa lain memperlihatkan penyakit hubris dalam diri Ceasar. Penyakit hubris ini telah terus diwarisi oleh pemimpin Romawi yang mengambil alih tampuk kekuasaan dan akhirnya menjadi benih-benih kehancuran tamadun Romawi yang telah dikuburkan oleh serangan kaum Biadap Visigoth.

Jikalau Empayar Romawi dengan hubris peperangannya, Amerika Syarikat juga mempunyai hubris yang sama. Kempen Perang Menentang Keganasan anjuran Rumah Putih sangat sarat dengan nilai hubris. Pencabulan maruah tahanan di Guantanamo Bay dan Abu Ghraib bukan lagi menjadi satu rahsia. Tidak cukup dengan permainan penjara, mereka telah terus-menerus melapah rakyat Iraq dan Afghanistan tidak kira wanita mahupun kanak-kanak hutang dendam terhadap Saddam dan Taliban telah ditunaikan.

Usah bicara soal demokrasi dengan Amerika. Dengan penyakit hubris itulah Rumah Putih menganjingkan kemenangan demokrasi Palestin yang digalas Hamas.

Kerana hubris, Amerika tidak pernah belajar dari kesilapan masa lalu. Daripada peristiwa Pearl Harbour hinggalah kepada Perang Vietnam, semua ini bak satu episod sejarah yang bebas nilai dan perlu dilupuskan daripada ingatan rakyat. Tidak hairanlah para veteran Perang Vietnam, dan Iraq disisihkan dengan begitu hina sekali oleh Rumah Putih. Terkontang kanting meneruskan sisa hidup yang penuh dengan trauma fizikal dan mental. Kesakitan batin menggerogoti penyakit hubris dalam diri mereka.

Mission Accomplished” yang diucapkan Presiden Bush di atas kapal perang USS Abraham Lincoln pada 1 May 2003 sebenarnya lebih kepada ucapan takziah kepada seluruh rakyat Amerika.

Malah rakyat AS telah ditipu kerana Perang Iraq itu adalah satu lagi projek puak kapitalis dalam melariskan penjualan industri senjata disamping laba minyak Iraq yang dikongsi bersama Israel.

Apa yang rakyat Amerika dapat? Beban hutang Perang Iraq sejumlah US Dolar 3 Trilion. Semua ini merupakan bara awal yang telah mencetuskan kebakaran besar di Wall Street pada ketika ini.

Penyakit hubris turut menyerang cara hidup rakyat Amerika. Peribahasa Amerika yang berbunyi ‘dog eat dog’ jelas sekali menggambarkan realiti persaingan kehidupan rakyat Amerika yang sarat dengan tipu daya dan kezaliman sosial. Persaingan yang wujud dalam masyarakat Amerika tidak didasari dengan akhlak mahmudah ajaran agama masing-masing sebaliknya mempertuhankan nafsu tamak haloba yang dibelai atas nama ‘kebebasan individu’.

Tidak hairanlah budaya sebegini telah menyuburkan skandal korupsi yang membantu melingkupkan syarikat gergasi seperti Enron dan Worldcom. Kejatuhan bank-bank besar seperti Bear Sterns, dan Lehman Brothers juga adalah kerana penyakit hubris yang melahirkan sifat tamak untuk membolot kuasa pasaran.

Perbuatan ini lebih jelas dalam persaingan ekonomi yang didasari oleh sistem kapitalisme anjuran Amerika. Sistem ekonomi kapitalisme ini memerlukan mekanisme riba’ bagi memastikan kemandirian sistem ini senantiasa berada dalam genggaman mereka yang berkuasa, rata-ratanya golongan yang menjadi tekong pasaran kewangan di Wall Street.

Hampir semua agama yang wujud dalam dunia ini telah mengharamkan riba’ tetapi benda paling ditegah itulah yang berlaku dengan terang-terangan dalam kehidupan seharian kita, malah telah berjaya dikosmetikkan dengan terminologi yang indah seperti ‘interest’ dan ‘bunga’. Dengan riba’ itu jugalah kapitalis di Wall Street dihinggapi penyakit hubris dan kerana hubris itu jugalah mereka pada saat ini.sedang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Walaupun terdapat usaha-usaha berbau sosialis untuk menyelematkan rakyat Amerika daripada krisis kapitalisme oleh golongan pemerintah elit, ironinya mereka masih mempunyai peratusan yang tinggi dalam pemilikan harta kekayaan yang menggunung oleh golongan tertentu. Masalah seperti kemiskinan, pengangguran, dan ketiadaan tempat tinggal masih berleluasa di Amerika.

The American Dream yang menjadi motto kehidupan jutaan rakyat Amerika telah bertukar menjadi The American Nightmare.

Dalam mitos Yunani juga terdapat hukuman kepada para manusia yang memilih hubris sebagai perhiasan diri mereka. Dikisahkan bahawa tuhan orang Yunani bernama Nemesis merupakan penghukum muktamad kepada pendosa hubris.

Jikalau krisis yang sedang berlaku ini merupakan satu bentuk hukuman daripada Allah yang Maha Esa, maka biarkanlah ianya terus berlaku. Semoga ada kebaikkannya kepada pendosa-pendosa hubris Amerika dan sekutunya-termasuklah para pemimpin kita yang memilih jalan yang sama seperti mereka.

P/S: Ingin rujuk penyakit Barat lain dalam penulisan Bahasa Inggeris bertajuk "Body Language" saya boleh rujuk di sini.

1 ulasan:

PENDEKAR berkata...

Moga kita yang waras ini mampu menilai dengan sempurna dan menagambil pelajaran terhadap penyakit yang berlaku di US.

hindari bangsa ini dari mengulangi kesilapan demi kesilapan...