Selasa, 21 Oktober 2008

Matematik Huluan




Dr.Adi Setia (berbaju hijau) dan saya (berseluar jeans) di bilik membaca beliau.Nampaknya koleksi buku saya masih jauh untuk menyamai Dr. Adi dan Prof. Wan. Credit to cameraman and driver of that day, Mr. Hilmi ( Presiden PKPIM ).




“Kita harus menjadi helang. Terbang mengawan kemudian mampu menyambar mangsa dengan tangkas dan tepat. Kemudian kembali mengawan di udara memantau alam yang luas terbentang”.

 

 

Itulah nasihat anak murid Prof. al-Attas, Dr. Adi Setia kepada saya dan saudara Hilmi (Presiden PKPIM). Beliau merupakan antara anak murid Prof. al-Attas  yang cukup prolifik dalam menulis makalah ilmiah. Google sajalah nama beliau dan anda akan menemui khazanah ilmiah yang banyak berkisar berkenaan sains dan alam sekitar.

 


(Hampir kesemua scholars yang ada affiliation dengan Prof. al-Attas akan quote helang sebagai metafora kepada penjelasan world view. Haiwan kedua yang selalu saya dengar ialah puyuh sebagai antagonis kepada Helang. Dalam interview dengan Hamza Yusuf pun Prof. al-Attas sebut pasal helang. Cuba rujuk sajak-sajak Prof. Wan (ada dalam blog saya). Memang berlambak metafora sebegini. But it make sense though!)

 

 

Pada hari Ahad yang santai, saya dan Hilmi telah dijemput bertandang ke rumah Dr. Adi Setia. Tujuan kami ke sana: borak-borak benda berat-berat.

 

 

3 jam kami borak panjang mostly pasal ekonomi. Saya sangat terpanggil sebenarnya dengan makalah (akan di lampirkan di bawah)  yang ditulis oleh Dr. Adi Setia mengenai ‘kajian matematik huluan’ ( upstream mathematical research ).

 

 

Saya tak suka matematik. Saya hanya dapat ‘A’ bagi subjek Matematik Tambahan pada peperiksaan sebenar SPM. Sebelum itu kitaran gred saya bagi subjek Matematik Tambahan hanya berlegar pada ‘F’, ‘D’, ‘C’ dan ‘B’. Alhamdulillah dapat juga ‘A1’ masa SPM. Kalau tak, tak dapek la den masuk UTP tu.

 

 

Walaupun saya memang tak suka, tapi makalah di bawah ini menjentik kantung intelek saya untuk merenungi masalah ini dalam-dalam. Maka saya percaya, walaupun kalian bukan peminat Matematik, orang sastera mahupun seorang yang Numerophobia (fobia kepada nombor) makalah Dr. Adi ini sangat menarik untuk direnungi.

 

 

Dah lama saya cari artikel daripada anak murid Prof. al-Attas yang membawa topik yang dekat dengan isu ekonomi. Kali ini saya dah jumpa satu! Terima kasih Dr. Adi kerana sudi berkongsi!

 

 

Makalah di bawah ini boleh diertikan seperti metafora helang di atas. Merumus masalah dari sudut pandang yang luas kemudian mengupas beberapa akar masalah yang bersangkut paut dengan disiplin ilmu yang ada kaitan dengan nombor.


 

Bagai saya, makalah ini juga menjawab beberapa persoalan penting dalam memberi satu kerangka baru dalam menyelesaikan masalah umat manusia yang bersangkut paut dengan nombor. Kepada para pembaca yang sering bertanya kepada saya berkenaan alternatif kepada kapitalisme, saya harap artikel ini menjadi preliminary answers buat kalian fikirkan juga jalur-jalur penyelesaiaan. Cambahkan idea anda melalui pembacaa makalah di bawah.


Insyaallah saya akan kemukakan alternatif kepada sistem ekonomi kapitalisme yang boleh diaplikasikan oleh civil society kelak. Bagai sedikit masa ye!

 

Saya tidak ingin bercerita panjang. Jemput kalian membacanya di bawah. Kita sambung diskusi dalam ruangan komentar.

 


P/S: Kalau tak faham sekali, baca balik. Kalau tak faham terminology dan isu yang diutarakan, google la sikit kat Wikipedia. Rajin-rajin la ye. Mahasiswa terutamanya, tak boleh malas. Kita bukan produk Maggi. Kita mi Ramen Jepun.



Rencana Penyelidikan Matematik Huluan: Huraian dan Contoh Ringkas

Adi Setia

Institut Penyelidikan Matematik


1.  Pengenalan

 

Makalah ini sedikit sebanyak terilham daripada pembacaan dan pemahaman saya terhadap sejarah matematik Islam khasnya melalui karya Profesor Roshdi Rashed (1994, 1996), dan karya salah seorang ahli falsafah matematik dan falsafah sains tersohor pada abad ke 20 iaitu Imre Lakatos. Antara karya Lakatos yang paling berkaitan dengan bicara makalah ini ialah The Methodology of Scientific Research Programmes (1984) dan Mathematics, Science and Epistemology (1980). Buku kedua amat berguna bagi mereka yang ingin memikir dengan mendalam pengertian dan tujuan matematik serta sifat kebenaran dan keyakinan yang dicari dalam matematik.

 

 

Meskipun dalam makalah ini saya akan tumpu kepada persoalan Matematik Islam, Matematik Melayu-Islam dan Pengislaman Matematik, namun saya yakin bahawa buah pemikiran Lakatos boleh digunapakai dalam usaha mana-mana pihak yang ingin memajukan falsafah, pengkaedahan dan pengamalan matematik yang serasi dengan sistem nilai dan pandangan hidup agama anutan masing-masing, persis sebagaimana penghujahan Profesor Shaharir bin Mohamad Zain dalam Syarahan Perdana beliau yang bertajuk Simbiosis antara Sistem Nilai dengan Tabii Matematik (2006). Andaikata matematik sarat-nilai and sarat-budaya, maka mana-mana teori, kaedah dan model yang dibangunkan dalam matematik juga sarat-nilai dan sarat-budaya.

 

 

Yang dimaksudkan dengan “penyelidikan huluan” (upstream research) ialah penyelidikan yang terbit daripada rasa sedar-diri yang tinggi akan “makna-diri” penyelidik itu sendiri, sesuai dengan kefahaman dan kepekaan beliau terhadap sistem nilai dan pandangan hidup yang dianutinya, termasuk permasalahan sebenar yang ditanggapi dan dikenalpasti hasil daripada kefahaman dan kepekaan tersebut. Ini jelas mengandaikan kesanggupan tinggi untuk berdayacipta serta keberanian ilmiah luar biasa demi memajukan rencana penyelidikan yang dipandang ramai sebagai melawan arus perdana atau tidak berguna sama sekali bahkan tidak masuk akal langsung, lalu sukar untuk disokong oleh sistem geran penyelidikan sedia ada.



Dalam sejarah matematik Islam dan Barat, penyelidikan huluan sebeginilah yang biasanya mencetuskan teori bahkan bidang matematik yang baru sama sekali yang tidak terbayangkan sebelum itu, iaitu teori dan bidang yang seterusnya bukan hanya mencipta sains dan teknologi baru, tapi turut membuka jendela baru ke dalam beberapa aspeks hakikat yang tersirat di sebalik alam tabii yang selama ini terlindung daripada pandangan mata-akal malah renungan mata-hati para bijak-pandai sebelumnya. Apa yang bertentangan (tetapi tidak semestinya berlawanan) dengan penyelidikan huluan yang dimaksudkan di atas ialah “penyelidikan hiliran” (downstream research), yang malangnya kini menjadi tumpuan kebanyakan ahli matematik di barat dan di timur, khasnya ahli matematik Melayu-Islam sendiri.

 

 

Penyelidikan hiliran ialah penyelidikan runcitan sekadar mengemaskinikan di sana-sini teori dan bidang yang sudah sedia ada, malah yang sudah lama “matang,” atau lebih parah lagi, sekadar menemukan penggunaan baru atau menguji keberkesanan bagi pelbagai teknik atau pengisian matematik (mathematical software) atau pemodelan matematik (mathematical modelling) sedia ada. Kerja-kerja akademik remeh-temeh sebegini memang mudah lagi kerap menghasilkan puluhan makalah setiap tahun yang seterusnya memudahkan kenaikan pangkat akademik seseorang sehingga pangkat profesor penuh, namun kerja yang bersifat “mengesat sisa-sisa debu” (mopping-up operations) daripada teori dan model sedia ada tidak mungkin menemui permasalahan baru apa lagi menyelesaikannya.

 

 

Kemuncak keparahan daripada penyelidikan hiliran-runcitan ini ialah apabila teori, bidang, pengisian, teknik dan pemodelan tersebut pada asalnya dicipta oleh bangsa dan budaya asing demi memecahkan permasalahan mereka sesuai dengan sistem nilai dan pandangan hidup mereka, namun kini pula dipindahkan tanpa soal-periksa ke dalam konteks permasalahan bangsa dan budaya yang berlainan sama-sekali sistem nilai, dasar kepercayaan dan pandangan hidupnya.

 

 

Sebagai contoh ringkas, ramai ahli sains pendokong teori evolusi di Barat telah membina pelbagai model dan kaedah matematik demi “mengukur” perubahan rambang merentangi masa tertentu (gradual, random change over time), atau untuk “membuktikan” perubahan kepada pengaturan-diri secara mendadak (spontaneous self-organization) . Namun, apa kena-mengena model dan kaedah matematik tersebut yang sudah dari awal lagi mengandaikan kebenaran teori evolusi dengan ahli sains Islam yang menolak teori tersebut serta ingin membagunkan teori baru berdasarkan kepercayaan bahawa alam semesta ini dicipta oleh Tuhan Maha Tinggi dan Bijaksana? Kan parah kalau kaedah dan model matematik tersebut terus digunapakai dalam bidang biologi tanpa mendedahkan lalu mengkritik andaian bersifat anti-tuhan di sebalik model dan kaedah matematik yang tampak tepat dan objektif serta bebas-nilai itu? Jadi, teori, kaedah dan model matematik itu hanya sebenar atau sepalsu andaian sarat-nilai yang mendasarinya.



Seperkara lagi, harus diingati bahawa penyelidikan huluan atau penyelidikan dasar (fundamental research) tidak semestinya bersifat tulin (pure) atau teori (theoretical) semata-mata atau hanya melibatkan sains atau matematik tulin, sepertimana yang ingin diusahakan oleh David Bohm (1980, 1993) dalam bidang fizik dan matematik (huraian lanjut di bawah). Dalam banyak hal, apa yang dikatakan sebagai penyelidikan dasar dan huluan di sini turut melibatkan aspek-aspek sains dan matematik gunaan sedia ada demi menangani permasalahan yang terbit daripada pemikiran semula terhadap faham atau pendekatan tertentu dalam bidang sains tabii dan sains sosial. Sebagai contoh, dalam bidang kewangan, gerakan sedunia mengembalikan dinar emas dan dirham perak sebagai wang sebenar (real money) yang memiliki nilai tersirat (intrinsic value) demi menggantikan wang kertas dan wang elektronik yang tiada tersirat nilai apa-apa sudah tertentu akan mencetuskan matematik kewangan (financial mathematics) dan ekonometrik yang baru. 



Dalam soal ini pula, bukan hanya orang Islam (seperti al-Maqrizi dan Umar Vadillo), malah pakar ekonomi bukan Islam (seperti Nathan Lewis dan Addison Wiggin) pun sedang giat memperjuangkan pengembalian emas dan perak untuk menggantikan wang kertas dan wang elektronic (fiat money). Jadi di sini, faham “wang” yang berubah daripada kertas kepada emas dan perak jelas akan mengubah matematik kewangan sedia ada demi memerikan fenomena kewangan dan eknonomi makro yang baru itu (huraian lanjut di bawah).

 

 

Pendek kata, penyelidikan matematik huluan akan didorong oleh perubahan teori atau kognitif (contohnya perubahan daripada teori evolusi kepada teori keciptaan, atau teori Newton kepada teori Einstein), atau perubahan etika (contohnya kimia toksik kepada kimia lestari atau kimia hijau), atau perubahan perundangan (contohnya sistem riba kepada sistem berkongsi untung-rugi, atau sistem pengswastaan neo-liberal kepada sistem wakaf Islam). Jadi adakalanya penyelidikan matematik huluan sebegini bertujuan menemui teori atau kaedah baru, dan adakalanya bertujuan menggunakan teori dan kaedah sedia ada demi memecahkan permasalahan baru yang tercetus daripada pemikiran semula terhadap idea, gagasan atau konsep sedia ada, dan adakalanya bertujuan untuk memupuk kepekaan etika yang tinggi dalam bidang sains itu sendiri.

 

 

Seterusnya dalam makalah ini saya akan bentangkan secara ringkas beberapa contoh rencana penyelidikan matematik huluan yang seharusnya diceburi oleh ahli matematik Islam yang memiliki kepekaan tinggi untuk menerapkan sistem nilai dan pandangan hidup Islam ke dalam bidang matematik yang diceburi mereka lalu menemui dan membina teori, kaedah dan model matematik yang baru demi memecahkan permasalahan yang mereka sendiri kenalpasti dan pilih, bukan permasalahan asing yang remeh-temeh yang tiada kaitan langsung dengan latar agama dan budaya mereka sendiri. Pendek kata mereka perlu tahu mengenalpasti masalah dan tahu mencipta rencana penyelidikan sendiri demi mengatasi masalah itu. Itulah kemerdekaan matematik sebenar-benarnya daripada belenggu faham barat dan sekular yang tidak pedulikan peranan agama dalam kerjaya sains.


2. Matematik Kewangan 


Semasa menghadiri salah satu seminar matematik anjuran INSPEM tahun lalu saya dikejutkan dengan pendedahan seorang ahli matematik kewangan bahawa sistem perbankan Islam sebenarnya tidak memiliki model matematik bagi sistem kewangan tanpa-riba. Sebaliknya model yang digunapakai sekadar diciplak daripada model sistem riba dan diubah sana-sini secara ad hoc demi memodelkan sistem tanpa-riba. Sepatutnya, setelah berlalunya sekitar empat dekad sejak penubuhan sistem perbankan Islam, ahli matematik Islam sudah pun membina dan mematangkan secara tersusun-atur model kewangan tanpa-riba, tapi itu tidak berlaku, hal mana jelas mendedahkan kemuflisan ilmiah para pendokong perbankan “Islam” itu sendiri.

 

Justeru itu, tak hairanlah kalau kini semakin ramai ahli fikir dan pakar kewangan mendakwa dengan hujah-hujah kukuh bahawa sistem perbankan Islam arus perdana cuma Islam pada kulit sahaja sedangkan intinya masih bersifat riba di sebalik topeng pelbagai istilah-istilah Arab demi mengaburi mata orang ramai. Golongan ini giat menganjurkan sistem kewangan baru berdasar dinar emas dan dirham perak, lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis kewangan besar yang sedang melanda sistem perbankan riba di seluruh dunia sekarang.

 

Sudah tentu sistem kewangan baru berdasarkan penggunaan emas dan perak akan memerlukan model matematik kewangan (financial mathematics) dan model matematik economi (econometrics) baru yang seterusnya menjanjikan medan penyelidikan matematik huluan yang sangat luas bagi pakar matematik Islam dan juga bukan Islam yang mendahagakan cabaran aqliah dan ilmiah yang tinggi lagi bermakna, apatah lagi kalau penyelidikan huluan sedemikian mengarah kepada pelaksanaan sistem nilai dan pandangan hidup yang dipegangi ke dalam alam nyata, iaitu dalam konteks ini, ke dalam alam kewangan, ekonomi dan perdagangan setempat, serantau dan antarabangsa.



Perubahan model kewangan dan ekonomi yang begitu mendasar ini agar serasi dengan sistem nilai Islam yang menolak riba akan seterusnya mencetuskan model kekayaaan dan kemiskinan (models of wealth and poverty) yang tidak lagi merujuk kepada wang kertas yang hampa nilai tersirat sebagai pengukur harta (measure of wealth) malah sebaliknya merujuk kepada sumber alam seperti galian, tanah, ladang dan kelestarian alam sekitar amnya sebagai harta kekayaan sebenar dengan pengukurnya sendiri yang bakal dikenalpasti. Perubahan model kekayaan dan kemiskinan tersebut seterusnya mengandaikan matematik kekayaan dan kemiskinan baru pula yang akan membuka lapang penyelidikan matematik huluan yang baru pula.


3.       Penghidupan Semula Sistem Wakaf demi Menggantikan Pengswastaan

 

Pengswastaan (privatization) adalah dasar makroekonomi neoliberal di mana harta dan perkhidmatan awam (public goods and services) seperti bekalan air, letrik, telekom, pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan sebagainya diswastakan, iaitu dijual oleh kerajaan (pemegang amanah harta rakyat) kepada syarikat-syarikat swasta untuk dikendalikan sebagai perniagaan yang mencari dan mengumpul untung. Tujuan pengswastaan sekali imbas tampaknya murni, iaitu mengurangkan saiz jentera kerajaan demi mengurangkan beban kewangan kerajaan seterusnya mengurangkan beban cukai ke atas rakyat jelata, sesuai sengan slogan minimal state (“kerajaan kecil”).

 

 

Tetapi pada hakikatnya pengswastaan merupakan proses di mana harta dan kemudahan awam tersebut dijual lelong (fire sale) kepada segelintir ahli korporat yang menjadi kroni ahli politik berkuasa tertentu, dan penjualan itu pula disubsidikan pembiayaannya dengan pinjaman kerajaan dan dengan simpanan bank rakyat jelata. Malah yang lebih parah lagi, syarikat yang terlibat dalam projek pengswastaan itu diselamatkan pula dengan wang rakyat bilamana projek itu gagal dikendalikan dengan baik, sepertimana yang berlaku kepada Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan Perwaja. Jadi ekonomi pengswastaan ialah ekonomi meraup harta rakyat tiga kali (the scoop thrice economy): kali pertama bila harta awam dijual murah kepada kepentingan swasta; kali kedua bila penjualan itu pula dibiayai dengan pinjaman kerajaan atau pinjaman bank; dan kali ketiga bila wang awam pula digunakan demi menyelamatkan projek pengswastaan yang gagal atau tidak cekap.

 

 

Jadi, meskipun dasar “kerajaan kecil” itu baik dan ada hujahnya, tapi kaedah pengswastaan harta dan kemudahan awam bukan caranya untuk mengecilkan kerajaan, apatah lagi bila dasar pengswastaan membuka peluang seluas-luasnya bagi harta negara diambil-alih oleh kepentingan syarikat-syarikat dan pelabur-pelabur dari negara asing, sebagaimana yang telah berlaku di Indonesia. Lagipun terbukti bilamana kita meneliti belanjawan negara Malaysia yang dibentangkan baru-baru ini, kita dapati jentera kerajaan tetap membesar dengan perbelanjaan pengurusan jauh melampaui perbelanjaan pembangunan.

 

 

Sebaliknya dalam sejarah ekonomi Islam sebagaimana yang diselidiki oleh Profesor Murat Cizakca (1995, 2000), kita dapati bahawa institusi wakaf-lah yang mainkan peranan penting dalam menyalurkan harta perseorangan atau swasta bagi tujuan awam demi membiayai hampir kesemua kemudahan dan perkhidmatan awam yang diperlukan rakyat jelata hinggakan peranan kerajaan semata-mata tertumpu kepada pertahanan negara dan kepolisan menjaga keselamatan awam, seperti halnya dengan kerajaan Empayar ‘Uthmaniyyah. Jadi perkhidmatan awam seperti madrasah, hospital dan kebajikan awam dibiayai melalui pewakafan harta dan wang oleh penguasa dan hartawan setempat lalu terlaksana dasar “masyarakat penyayang” dalam ertikata sebenarnya.



Pendek kata institusi wakaf sebenarnya merupakan pengswastaan cara Islam di mana segala hasil pendapatan daripada harta wakaf disalurkan kembali kepada menyediakan keperluan awam dan tidak diraup secara rakus oleh kepentingan peribadi seperti yang berlaku dalam model pengswastaan tajaan ekonomi neoliberal. Ini sudah tentu membuka peluang luas bagi merencanakan penyelidikan matematik huluan, khasnya matematik kewangan, percukaian dan ekonometrik demi memodelkan makroekonomi yang berdasarkan pewakafan dan bukan pengswastaan sebagai cara lebih berkesan lagi saksama bagi mengecilkan kerajaan serta sekaligus menyampaian keperluan dan perkhidmatan awam kepada rakyat jelata.

 

 

 Usaha penyelidikan ini boleh dinamakan pemodelan matematik wakaf (mathematical modelling of waqf) yang seterusnya akan melahirkan sistem ekonomi baru yang tidak lagi bertitik tolak daripada pengumpulan, pertumbuhan dan penumpuan harta (growth economics), tetapi sebaliknya berasaskan faham pengagihan semula (zero-growth, steady-state and redistributive economics). Pendekatan ekonomi sedemikian lebih secocok dengan sistem nilai Islam dan boleh dinamakan sebagai Ekonomi Memberi (the gift economy) berdasarkan prinsip-prinsip pengagihan semula seperti sedekah, hibah, hadiah, zakat, faraid dan waqf, bukan Ekonomi Meraup (the scoop economy) yang didasari prinsip riba serta pertumbuhan, pengumpulan dan penumpuan harta yang memindahkan harta daripada orang miskin kepada segelintir hartawan dan penguasa.

 

 

4.Pemodelan Matematik bagi Kosmologi Kezarahan/Keatoman

 

Kosmologi Islam arus perdana, iaitu kosmologi kalam Ash‘ari/Maturidi pegangan Ahl al-Sunnah wal-Jama‘ah, yang turut dipegangi Imam Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, dan para ulama Melayu-Islam serta juga ahli tasawwuf dari dulu sampai sekarang, ialah kosmologi kezarahan/keatoman (atomistic cosmology) di mana segala struktur (binaan) dan proses (perjalanan peristiwa) dalam alam semesta ini, termasuk jirim, ruang, masa, tenaga dan cahaya ditanggapi sebagai bersifat terputus-putus atau diskret (discrete, discontinous) , maka tidak selanjar (continous). Faham ketakselanjaran alam semesta ini dibina pula atas faham kewujudan (ontologi = ontology) yang menekankan tanpa bertolak ansur langsung kebergantungan mutlak alam semesta kepada kuasa/qudrat dan kehendak/iradat Tuhan Maha Tinggi. Faham kewujudan ini boleh dinamakan sebagai metafizik kebergantungan (metaphysics of dependance/iftiqar) . Maka ahli fizik Islam, khasnya yang terlibat dalam bidang kosmologi fizik (physical cosmology) and fizik teori/matematik (theoretical/ mathematical physics) seharusnya menganjur, merumus serta melaksanakan rencana penyelidikan matematik huluan demi menemui model matematik canggih yang mampu memerikan sifat ketaklanjaran/ kezarahan/ keatoman yang mencirikan setiap aspek alam semesta ini sebagai saingan ilmiah kepada model kosmologi barat-sekular sekarang yang menekankan keselanjaran alam semesta demi menafikan kebergantungannya kepada Tuhan Pencipta.



5.       Pemodelan Matematik bagi Kosmologi Alam Tersurat dan Alam Tersirat


Menurut kosmologi Islam, seperti yang dihuraikan dengan panjang lebar oleh Profesor al-Attas and Profesor Syed Hussein Nasr, alam semesta ini merupakan alam tersurat, alam zahir, alam tampak yang didasari oleh alam tersirat, alam ruhani, alam batin yang tak dapat dicerapi oleh pancaindera, namun tetap dapat ditanggapi oleh akal dan pengalaman ruhaniah.

 

 

Dalam fizik moden pula, David Bohm termasuk segelintir kecil ahli fizik yang memperjuangkan faham alam tersurat dan tersirat (the explicate and implicate orders) sebagai tafsiran kewujudan (ontological interpretation) bagi teori kuantum dan teori kenisbian, dan seterusnya sebagai pendekatan akliah demi mendamaikan serta mencantumkan antara kedua-dua teori tersebut. Dalam buku-buku beliau, contohnya The Undivided Universe ( ) dan Wholeness and the Implicate Order ( ), beliau cuba membina fizik dan matematik baru, khasnya aljabar baru, demi memerikan hubung-kait dan tindak-balas antara alam tersurat dengan alam tersirat.

 


Pada pendapat saya, sekali lagi ahli fizik dan matematik Islam seharusnya meneliti dan memajukan pendekatan Bohm yang lebih mirip kepada kosmologi Islam daripada terus menerima secara kepakturutan kerangka fizik dan kosmologi arus perdana sekular yang sama sekali menafikan hakikat alam tersirat yang mendasari alam tersurat. Pemajuan pendekatan Bohm secara kritis tentu membuka jendela kepada rencana penyelidika huluan yang baru dalam bidang matematik, fizik dan kosmologi, khasnya demi membina model matematik dan fizik yang dapat memerikan dengan lebih tepat hakikat kebergantungan alam tersurat kepada alam tersirat dan seterusnya kepada Tuhan Maha Tinggi.

 


6. Teori Keciptaan Menggantikan Teori Evolusi

 

Michael Behe dalam bukunya Darwin’s Black Box telah mengajukan satu teori keciptaan (intelligent design theory) yang bakal menggantikan teori evolusi Darwin. Dalam teori itu beliau berjaya menghuraikan faham keciptaan dengan lebih tepat dan berjaya pula mentakrifkannya dengan lebih ketat sehingga boleh membawa kepada implikasi-implikasi empiris yang menarik.

 

 

Secara ringkasnya, Behe takrifkan keciptaan atau kerekabentukan sebagai berikut: “Pengatursusunan bahagian-bahagian tertentu demi mencapai keselurahan binaan atau fungsi yang melampaui kemampuan bahagian-bahagian tersebut secara terpisah.” (The arrangement of parts to realise a structural or functional whole beyond the capacity of the separate parts).

 


Saya yakin ahli matematik Islam yang sudah tentu menolak teori evolusi akan mampu mendalami teori sistem (systems theory) dan teori maklumat (information theory) demi merencanakan penyelidikan matematik huluan yang bertujuan menghasilkan model dan kaedah matematik baru bagi memerikan ciri-ciri keciptaan (design features) yang jelas tampak dalam segenap sudut alam semesta, dari peringkat atom hingga peringkat angkasa raya, dari batu-bata hingga otak manusia.

 

 

6.Matematik Perakaunan dan Matematik Aktuari

 

Kedua-dua bidang matematik ini termasuk dalam bidang matematik kewangan yang lebih besar. Jelas, sistem kewangan dinar emas dan dirham perak akan turut mengandaikan perubahan pada model perakaunan dan model aktuari (kaedah meninjau risiko pelaburan dan untung-rugi) sesuai dengan perubahan mendasar dalam faham wang, faham harta dan faham kekayaan yang dicetuskan oleh sistem dinar dan dirham, dan hal ini akan terus membuka jendela kepada pelbagai rencana penyelidikan matematik huluan yang baru dalam bidang matematik perakaunan dan matematik aktuari.

 

 

Seperkara lagi, pemupukan pendekatan yang lestari atau mesra alam dalam pelbagai bidang dan kegiatan (kimia lestari, kejuruteraan lestari, perdagangan lestari, pembuatan lestari, tanggungjawab sosial korporat, ekonomi lestari) dan sebagainya akan tentu memerlukan model perakaunan dan model aktuari yang mengambil kira serta mengukur lagi mengira kesan sampingan dan kesan luaran (externalities) kegiatan tersebut ke atas alam sekitar. Pendek kata, apa yang kini ditolak ke tepi sebagai kesan “luaran” (externalities) akan dinilai semula sebagai kesan dalaman (internalities) yang harus dan semestinya difaktorkan sebagai kos dalam perkiraan untung-rugi sesuatu projek.

 

 

Dalam model perakaunan dan model aktuari arus perdana yang sedia ada, kesan sampingan (by products) tersebut memang dianggap sebagai “sampingan” atau kesan “luaran” (externalities) yang tak perlu diambil kira, maka tak perlu dipertanggungjawabk an, maka tak perlu difaktorkan ke dalam pengiraan risiko dan untung rugi sesuatu projek perniagaan, pembuatan atau pembinaan. Sikap sambil lewa dan mengambil mudah inilah yang menjadi pencetus asas kepada kemerosotan alam sekitar di sebalik pembangunan fizikal dan ekonomi yang pesat, malah terlalu pesat. Sebaliknya, dalam pendekatan lestari kesan-kesan sampingan tersebut ditanggapi sebagai bukan “sampingan” atau “luaran” yang tak perlu diendahkan, tetapi akan difaktorkan sebagai kesan “dalaman” (internalities) yang tersirat dalam proses induk kegiatan itu sendiri, maka harus dipertanggungjawabk an dan ditangani oleh penggiat atau pengusaha itu. Jelas pendekatan yang lebih bertanggungjawab ini akan memerlukan sistem perakaunan dan sains aktuari yang baru, yang seterusnya mengkehendaki para ahli matematik mengemukakan model-model matematik perakaunan dan matematik aktuari yang baru yang lebih lestari dari segenap segi.



8. Pendekatan Sifar-Sisa dan Lingkaran-Tertutup dalam Bidang Pembuatan

 

Salah satu cara terbaik melestarikan pembuatan ialah melalui pendekatan sifar-sisa (zero-waste) dan lingkaran-tertutup (closed loop). Pendekatan sifar-sisa atau sifar-sampah atau sifar-buangan merujuk kepada proses pembuatan di mana tiada sisa atau buangan toksik dihasilkan sepanjang proses pembuatan dari awal hingga akhir. Pendekatan sifar-sisa yang tekal dan berkesan akan hasilkan pula pendekatan lingkaran-tertutup dalam sistem pembuatan hingga kepada sistem masyarakat kita, di mana apa-apa jua “buangan,” “sisa” atau “sampah” dilihat bukan sebagai sampah, tapi dilihat sebagai bahan atau sumber input yang boleh disalurkan semula ke dalam proses pembuatan itu sendiri. Pendekatan lestari secara menyeluruh ini masih baru dan membuka peluang luas kepada perencanaan penyelidikan huluan dalam bidang matematik pembuatan/kejuruter aan, contohnya pemodelan semula faham kecekapan (remodelling efficiency).


 

9. Pertanian Lestari dan Matematik Pertanian


Pertanian lestari seperti pertanian organik (organic agriculture) , permaculture (tanitetap), pertanian biogiat (biointensive) dan sebagainya kerap dituduh sebagai kurang cekap dan kurang menguntungkan. Namun terdapat kajian bahawa pertanian lestari lebih berhasil di samping memulihara alam sekitar. Perdebatan ini membuka rencana penyelidikan huluan baru dalam bidang matematik pertanian (agricultural mathematics) demi membina model kuantitative bagi membuktikan bahawa pendekatan lestari sebenarnya lebih menguntungkan dari segi ekonomi dan ekologi sekaligus apa kedua-kedua faktor dan kesan dalaman dan luaran diambil kira.


 

10. Sejarah Matematik Melayu-Islam


Satu lagi rencana penyelidikan matematik huluan yang dilepas pandang oleh kebanyakan pengkaji alam pemikiran Melayu-Islam Nusantara ialah rencana penyelidikan tersusun-atur ke dalam warisan pemikiran matematik yang begitu karya yang ditinggalkan oleh leluhur kita para alim ulama Melayu-Islam sepanjang zaman dari 1500 hingga 1900. Warisan matematik ini termasuk aspek matematik dalam bidang ilmu falak, pentaqwiman, pembahagiaan harta pusaka dan sebagainya. Dalam hal ini saya dengan kerjasama INSPEM telah merencanakan satu cadangan penyelidikan ke dalam karya matematik Arab-Melayu Shaykh Ahmad Khatib bin ‘Abdul Latif al-Minangkabawi (sekitar 1890--1900) yang bertajuk ‘Alam al-Hussab fi ‘Ilm al-Hisab (Panji Ahli Hitung pada Membicarakan Ilmu Hitung). Alhamdulillah, baru-baru ini cadangan rencana penyelidikan tersebut telah diluluskan di bawah Skim Geran Penyelidikan Asas (Fundamental Research Grant Scheme = FRGS).

 

 

Antara tujuan penyelidikan huluan ini ialah memperkayakan khazanah ilmu kita mengenai matematik pribumi Melayu-Islam (Malay-Islamic ethnomathematics) , serta menemui kaedah penghitungan dan aspek pengajaran matematik (mathematical pedagogy) yang baru. Saya yakin kita akan menemui banyak yang perkara yang baru sekiranya kita tidak terlalu menjadi perkembangan di Barat sebagai satu-satunya neraca kemajuan atau kemunduran dalam bidang apa pun.

 

 

11. Kesimpulan

 

Ada banyak lagi contoh rencana penyelidikan matematik huluan yang berakarumbikan pandangan hidup dan sistem nilai Islam yang saya tidak sempat huraikan dengan terperinci dalam makalah yang serba ringkas ini. Saya yakin ahli matematik Islam yang pakar dalam bidang matematik masing-masing, khasnya mereka yang turut juga peka dengan wacana falsafah dan sejarah matematik, akan mampu memikirkan pelbagai lagi Rencana Penyelidikan Matematik Huluan (RPMH) yang harus dipelopori demi kebajikan badaniah dan ruhaniah bangsa Melayu-Islam pada masa ini dan juga pada masa yang akan datang.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

waqaf menggantikan penswastaan.

menarik idea tu.

mungkin boleh dihuraikan lebih lanjut.

penswastaan yang tidak cekap disebabkan berlakunya monopoli, corrupt politician.

monopoli dan corruption adalah musuh free market.

bukan penswastaan itu sendiri satu konsep yang salah.

pakdi
http://pakdi.my

p.s. terima kasih sbb bukan komen anon. jgn risau. saya akan beritahu nama di hujung komen.

marwan berkata...

Oooo alam semesta ni discrete rupanya.. Anyway, memang satu kelemahan besar bagi kita sebab matematik kurang diminati budak-budak sekarang..

Prof tu tak cuba mendekati adik Adiputra ke?