Jumaat, 24 Oktober 2008

Dinar emas alternatif krisis ekonomi









Pek keselamatan buat golongan proletariat yang telah penat menabung demi hari tua. Jangan jadi seperti mereka yang malang di Barat apabila hancur luluh simpanan dalam bentuk bond, derivatives etc.

 


Oleh: Rausyanfikir ( tersiar dalam Siasah edisi 26/10/2008-1/11/2008)



Emas merupakan perkataan yang cukup “mahal” dari segi makna fizikal dan abstraknya pada ketika krisis ekonomi dunia semakin meruncing kini. Untuk memahami persoalan ini, ada wajarnya kita merujuk situasi semasa berkenaan aliran perdagangan yang melibatkan emas.


 


Mengikut World Gold Council, hanya 357 ton metrik emas yang didagangkan oleh bank-bank pusat Eropah pada tahun lepas.

 



Di bawah perjanjian emas Bank Pusat, had kepada penjualan emas adalah 500 ton. Ini jelas bahawa Bank Pusat sebenarnya boleh menjual lebih daripada kuantiti yang didagangkan tersebut. Jerman, pemegang rizab emas kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat, telah menjelaskan pendirian mereka untuk tidak akan melakukan sebarang aktiviti perdanganan emas dalam tempoh 12 bulan.

 



Begitu juga dengan Switzerland yang mempunyai rizab simpanan emas yang besar telah mengambil pendekatan yang sama seperti Jerman.



Para pengurus bank Eropah ini sedar bahawa dalam keadaan nilai aset wang kertas mereka semakin susut, tindakan paling strategik adalah untuk menyimpan emas daripada disalurkan ke pasaran.



Ini tidak berlaku pada China dan Jepun kerana mereka kurang menyimpan emas sebagai rizab luar. Ini bakal berubah dalam jangka masa terdekat.



 

Bank pusat China telah membuat pengumuman pada 15 Oktober yang lalu bahawa rizab pertukaran mata wang asing (foreign exchange reserves) telah mencecah nilai AS $ 1.05 trilion.

 

 

Berbanding dengan Washington yang mempunyai hutang tertunggak berjumlah AS $ 11.4 trilion (belum lagi termasuk liabiliti lain seperti sekuriti sosial, insurans perkhidmatan kesihatan, hartanah) China telah bersedia untuk menjadi peneraju ekonomi kapitalis.

 

 

Larry Eldson seorang pakar dalam pelaburan telah bertemu dengan beberapa pegawai bank, dan pedagang emas, di China dan Asia bagi membincangkan hubung kait antara ekonomi mata wang yuan dan emas:

 


“ Beijing mengetahui bahawa status US Dolar sebagai mata wang rizab (reserve currency) akan menjadi sejarah tidak lama lagi, sama seperti mata wang pound sterling (Britain) yang telah hilang statusnya sebagai mata wang rizab dunia pada awal abad ke-20. Para pemimpin di Beijing percaya dalam proses China menjadi kuasa besar ekonomi dunia, yuan akan turut sama menjadi mata wang utama yang stabil untuk transaksi perniagaan. Visi untuk menjadikan yuan sebagai mata wang antarabangsa yang  utama pada satu hari nanti memberi petunjuk awal bahawa Beijing akan menyandarkan yuan dengan emas…dengan banyak sekali”

 


Ada sebab lain kenapa Beijing begitu beria-ria untuk membeli emas. China mempunyai pelaburan yang berteraskan US Dolar sejumlah AS $ 1.3 trilion. Mereka tidak boleh menarik keluar daripada penggunaan dolar dengan drastik. Jikalau Beijing melakukan sedimikian, ekonomi Amerika Syarikat akan jatuh dengan teruk seterusnya memberi dampak yang besar kepada China.


 

Pada waktu ini, China hanya mempunyai rizab emas sebanyak 0.9% daripada keseluruhan simpanannya. Peratusan ini sangat rendah berbanding negara-negara yang lain seperti Amerika Syarikat ( 77.3%), Kesatuan Eropah ( 23%) malah Negara-negara kecil seperti Lithuania, Mozambique dan Nepal pun mempunyai peratusan rizab harta berbentuk emas yang lebih banyak daripada China.

 

Untuk meningkatkan peratusan simpanan mereka kepada 5% sahaja, Beijing akan terpaksa membeli ketulan emas berjumlah US $ 93 bilion. Kegiatan jual beli sebegini akan meningkatkan harga emas kepada AS $ 2000 setiap satu auns.


 

Bayangkan kuasa membeli China yang ada untuk mengaut emas. Menurut kajian Larry Eldson, kenaikkan harga emas di pasaran dunia turut dipacu oleh pembelian emas oleh China yang berlaku secara sedikit demi sedikit akhir-akhir ini.


 

Begitu juga dengan golongan kapitalis. Mereka tahu sistem yang mereka diami ini korup lagi jijik. Maka mereka sudah siap sedia dengan pek keselamatan jikalau sistem ini berada di ambang kejatuhan. Pek itu tidak lain tidak bukan ialah emas.

 

 


Bagaimana dengan kita? Masih tidak percaya akan emas sebagai pek keselamatan ekonomi? Jangan kerana kita miskin sejarah , kita jatuh dalam lubang yang sama.

 

 

Rakyat biasa yang tidak mempunyai kefahaman yang jelas dari sudut sejarah dan realiti kepincangan duit kertas akan terbuai dengan ilusi kekayaan yang ada dalam masyarakat kita pada hari ini. Segala wang yang ada dalam bank, pada indeks papan kenyataan elektronik di bursa saham semua itu bukanlah kekayaan sebenar.

 


 

Jangan hairan kalau di Amerika Syarikat sendiri pun telah wujud komuniti yang anti penggunaan mata wang  US Dolar. Melalui produk Liberty Dollar, mereka telah berjaya membentuk satu rangkaian perdagangan sesama sendiri tanpa bersangkut-paut dengan kemelut ekonomi dolar. Mereka mencipta mata wang tempatan yang bebas daripada ancaman inflasi.

 

 

Tidak perlu kita renung jauh. Kita buka balik lembaran sejarah Tamadun Islam dan pasti akan kita jumpa pek keselamatan yang bernama ‘dinar emas’.

 

 


Profesor Umar Ibrahim Vadillo, yang merupakan antara pejuang dinar emas era ini berkata bahawa kesatuan umat Islam pada masa kini tidak boleh dicapai melainkan melalui kesatuan di peringkat ekonomi antara negara-negara Islam tersebut. Menurut beliau lagi, idea penggunaan dinar emas mensasarkan untuk melunturkan kuasa hegemoni US Dolar dan menjadikan emas sebagai mata wang antarabangsa kerana nilai wang kertas senantiasa berubah-ubah mengikut prestasi pasaran berbanding kestabilan mata wang emas yang dipelihara nilainya melalui keadaan fizikal emas itu sendiri. Ini telah terbukti zaman berzaman di mana mata wang dinar emas diguna pakai dengan meluas dalam transaksi perdangangan setiap tamadun Islam.
 

 


Antara langkah awal yang perlu dilakukan oleh kita adalah dengan mengetengahkan dinar emas secara berperingkat-peringkat ke dalam pasaran. Strategi ini biasa dilakukan pada peringkat awal pengenalan kad kredit kepada masyarakat.

 

 

Antara strategi awal untuk khidmat kad kredit ini menembusi pasaran adalah dengan membentuk jalinan kerjasama antara kedai-kedai yang sanggup melakukan urus niaga menggunakan kad kredit. Kedai-kedai yang menerima gagasan kad kredit ini akan menayangkan logo syarikat kad kredit seperti ‘Visa’ dan ‘Mastercard’ pada pintu masuk kedai mereka.

 


 

Lama-kelamaan ianya telah diterima ramai dan menjadi salah satu norma buat transaksi ekonomi tempatan. Sama juga dengan pengenalan kad ‘Touch and Go’ yang menjadi begitu popular buat pengguna jalan raya pada mulanya dan kini telah diguna pakai secara meluas sebagai tiket transit aliran ringan (LRT) di sekitar Kuala Lumpur.

 

 

Dalam keadaan krisis ekonomi sebegini, dinar emas bukan lagi menjadi satu alternatif tetapi sebagai satu kemestian buat  melindungi aset yang kita miliki dalam bentuk wang kertas.

 


Lihat saja di Amerika Syarikat dan Britain. Kejatuhan bank-bank besar telah turut sama menyedut simpanan wang pencen rakyat Amerika dan Britain. Betapa ramainya rakyat Amerika yang telah jatuh bankrap akibat masalah ini.

 


Kesimpulannya, dalam keadaan sangat runcing yang hampir menyamai The Great Depression pada tahun 1930 (tetapi banyak ahli ekonomi kata mungkin lebih teruk), dengan memiliki emas secara fizikal, walaupun sedikit sudah mampu menjamin simpanan kekayaan yang kita usahakan selama ini. Belajarlah dari sejarah silam dan kesilapan lalu.

 

4 ulasan:

e-leeyana berkata...

salam...topik ni mengingatkan sy ketika sek dlu. sy pernah menyertai pertandingan debat yang bertajukkan 'dinar emas sebagai penyelamat ekonomi dunia'.

sbnrnya mmg releven utk amk tindakan ni. sbg alternatif kpd nilai matawang jika berlakunya kemelesetan ekonomi. tp, msh ada kelemahannya. seandainya ekonomi merundum, bukankah apa shj nilai aset dunia turut merundum.

dan nilai emas juga ada turun naiknya.cuma betullah kata tuan rumah, emas ini blh dijadikan aset yg lbh bernilai berbanding matawang skrg.

even setiap keluarga pn membuat emas sbg aset. nampaknya, dunia sudah berputar kembali pada asalannya.

Izwan berkata...

;) samaratakan hak dan buang sistem feudalisme takleh dijadikan salah satu ubat ke?

:)

Hasbullah Pit berkata...

Tulisan ini cukup hebat, membunuh semua catatan saya tentang emas.

Tapi kenapa tak masukkan jumlah 36 tan rizab emas bank negara yang kritikal itu?

Rausyanfikir berkata...

Xsempt plak sya check pasal emas bank negara. Hehe. Lain kali En Sebol bgtau la saya ek.