Khamis, 18 September 2008

Sajak untuk para pemikir (1)

Memandangkan blog ini asyik bawa benda 'berat-berat', apa kata kita turunkan tempo pembacaan buat sementara waktu. Saya pun ada beberapa kertas nak kena tulis. Sajak khas untuk golongan manusia yang suka berfikir dan merenung fenomena sosio-politik dalam dan luar negara.


Yang Lurus, Yang Dibengkokkan.

Oleh: Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud ( Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM)

 


Orang Inggeris berkata, jika kejahatan jelas kelihatan

Bukan bertopengkan kebajikan dan kebaikan

Bukan seperti musang berbulu ayam

Atau serigala berbulu anjing peliharaan

Hakikat itu dikenali depravity

Zahir mencermin batin, mudah dijauhi.

 

 

Tetapi, jika Tuhan dilupakan, digantikan insan dan patung

Dan syirik besar dianggap penyembahan terulung

Jika ilmuan bisu dayus dianggap sederhana dan santun

Hakikat keji ini disebut mereka corruption.

 

 

Inilah satu cabang nifaq, penyakit rohani

Berserban di kepala, iblis bertakhta di hati.

 

Mulut menyata bakti pada rakyat jelata, negara tercinta

Nikmat dikaut berjuta untuk sahabat, juak dan keluarga.

Bila ketua gagah berkuasa tangannya dikucup mesra

Akal mencipta fitnah, hati memendam nanah berbisa

Bila ketuanya alpa dan takhtanya mula bergoyang

Tersemburlah najis dari mulut penciumnya, petualang!

 

Petualang menjilat ludahnya sendiri, memeluk ketua baru

Lemparlah sisa tulang kepada anjing, pasti dikawalnya kamu

Tidak dikira tulang itu tulang saudaranya sendiri

Atau tulang gurunya yang dulu disayangi-geruni.

 

 

II

 

Apabila sesuatu yang lurus menjadi bengkok

Apabila yang berani menjadi dayus penakut

Apabila yang manis menjadi masam

Apabila yang putih menjadi hitam

Apabila yang jernih menjadi keruh

 

Apabila yang haram menjadi makruh

Dan yang dilarang menjadi yang disuruh:

Itulah fasad ciptaan insan kehilangan arah

Merosak langit dan bumi; semua terjarah.

 

Apabila zina menjadi hubungan kasih insan merdeka

Pencurian berjuta direstui Parlimen dan pemimpin negara:

Apabila pemberi wang menjadi raja penentu pendidikan

Ilmuan dinilai pada jumlah ringit penyelidikan

Pentadbir dinaik-pangkat kerana ketua dipertuhan;

Apabila rasuah seringgit dikeji-kecam semua

Berjuta hilang dari saku rakyat diperbiasa:

Itulah fasad membuah kezaliman dahsyat

Segala sesuatu disalah tempat,

Fahisya dan mungkar diperadat.

 

Bila lampu dieni dimatikan mufti dan kaum Wahhabi

Yang gagal mengenali zaitun dalam lampu nan suci

Terbiasakan benzin berasap menghitam hati

Gelaplah umat meneroka malam, terjatuh ke longkang dalali.

 

Lampu pusaka Nabi, dinyalakan semuala Imam al-Ghazali,

Digilap lagi cerminnya oleh Sheikhul Akbar, Jami dan Rumi.

Di Alam Melayu, lampu ini diarak Raniri:

Melayu, Jawa dan sebagainya giat mendalami

Arti agama meliputi segala syariat, akhlak, hakikat tinggi

Melawani kaum juhala, sufastaiyyah pelbagai segi

Berperisai akli, berpedang syar’i, bertombak siyasi.

 

Lampu inilah-wahai Mufti dan kaum Wahhabi semua

Menyuluh umat walau Sultan hilang kuasa, Portugis bertakhta

Belanda  dan Inggeris begitu lama mengaut harta pusaka

Tidak seorangpun Melayu, Aceh atau Minang menjadi gila

Menolak aqidah Muhammad dan Memeluk Nasrani bersenjata.

 

Lampu agung menyuluh umat beratus tahun lama

Walau Raja dan laksamana tumpas, saling sengketa

Namun umat masih gigih menyembah Tuhan nan Esa

Berimamkan Nabi dan pewarisnya berbilang bangsa,

Gagah menunggang ombak mencari ilmu di merata daerah-

Melaka, Pasai, Kelantan, Haydramaut, Madinah, Kahirah

Bertahun mengembara, tanpa wang, berpenat lelah

Berjauhan saudara, ibu ayah, pantang mengalah.

 

 

Kini lampu-lampu agung dipadam, leluhur dikebumi dalam hati

Bolehkah lilin-lilin kerdil menerangi kelam sekularisasi?

 

 

Portugis lama menghilang dari Melaka dan jajahannya

Belanda dan Inggeris tidak lagi menguasai Selat dan Tenggara

Siam telah lama diam, mentari Jepun pudar sinar tenteranya-

Namun kedengaran khabar duka dari merata Kepulauan kita

Kaum remaja dan dewasa mudah meninggal ajaran Mustafa

Telah rela membutakan mata dengan salib Kristian

Dan berjalan bertongkat, dipimpin anjing peliharaan!

 

Kau, cendekiawan dan pemimpin pelbagai bidang

Luruskan semula yang dibengkokkan, jauhi petualang!

Tinggalkan tulang, kau bukan bangsa binatang

Kau insan ciptaan gemilang, berfikirlah panjang!

3 ulasan:

alqasam berkata...

Salam.

Saudara, tahniah latar baru yang bersih, comfy dan menyegarkan.

Bagaimana dengan pendapat saudara tulisa Faisal Tehrani tentang Praxis dan Realism Magis?

Terima kasih.

Rausyanfikir berkata...

Salam Puan AlQasam

Syukran.Ramai sgt complain.Since blog ni pun dah ramai dtg kita rebranding skit.


Tulisan Faisal Tehrani tu sgt menarik untuk ditenung dalam konteks politik semasa kita.Berat jugak nak diteran gkan tapi pandangan saya mmg betullah apa yg Faisal Tehrani cakap.

Dia bahas isu ni melalui titik tolak bahawa "PAS seharusnya jadi jemaah Islam dulu baru parti politik".

alqasam berkata...

Ok, setuju. Namun bagaimana pula dengan kaitannya dengan figura yang ingin menjadi PM sekarang. Tidak mengapa andai dipinggirkan dahulu soalan ini, inshAllah ana baca dahulu tulisan yang akhi cadangkan.