Sabtu, 20 September 2008

Polemik Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: satu tinjauan penting.



Melihat perdebatan yang tidak pernah tamat dalam media massa berkaitan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris membuat saya terpanggil untuk menulis satu artikel yang mungkin dapat menyedarkan kita (terutamanya buat politikus), orang Melayu akan kepentingan isu ini.


Pada persidangan Malaysian Student Leaders Summit 2008 yang lalu, saya telah berkesempatan untuk mengajurkan persoalan ini terus kepada Menteri Pelajaran kita, Datuk Seri Hishamuddin:




Jawapan yang beliau berikan:





Sebagai mahasiswa, saya rasa peranan ini masih belum cukup. Ditambah lagi seolah-olah isu Bahasa Melayu ini telah diilhat sebagai agenda yang kurang penting berbanding isu hangat yang lain dari kaca mata para pejuang Melayu (UMNO dengan Melayu Modennya, PAS dengan anti-tesis UMNOnya).

Saya sendiri telah masuk kampung melihat bagaimana para pelajar Melayu seolah-olah sudah hilang harapan apabila berhadapan dengan subjek-subjek penting ini oleh kerana dasar yang tempang tersebut.


Apa hendak jadi dengan masa depan pewaris Melayu jikalau di zaman persekolahan lagi mereka sudah dihimpit dengan masalah sebagini? Sudah tentu yang mati-mati pertahankan dasar ini adalah golongan bukan Melayu dan Melayu yang moden, yang mana pandangan alam mereka sangat dibentuk rapi oleh slogan-slogan seperti globalisasi, pembangunan, kemajuan yang datang dari Barat.


Mereka telah lupa sejarah keagungan Bahasa Melayu dan kebolehan Bahasa Melayu itu untuk dijadikan Bahasa Ilmu. Malah lebih parah apabila para ulama' kita tidak peka akan kepentingan dan peranan Bahasa Melayu dalam penyampaian risalah Islam di rantau ini.


Saya rasa setakat ini, yang sudah jenuh mempertahankan kepentingan Bahasa Melayu dalam sudut pandangan Islam hanyalah Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Tidak ada sebab remeh untuk para pejuang Melayu, baik PAS mahupun UMNO untuk menutup sebelah mata dalam berhadapan dengan isu ini. Nak harapkan GAPENA dan PAKSI bukanlah mampu menghasilkan dampak yang besar dalam suasana sosio-politik masyarakat kita sekarang yang masih sibuk dengan peralihan kuasa. Orang politik dalam UMNO dan PAS harus bukak mata berkenaan isu ini dengan lebih serius dan golongan mahasiswa sendiri harus sedar isu bahasa ini lebih parah daripada isu AUKU! Kita ketandusan hujah dan suara intelektual yang mampu mengakar ke bumi masyarakat berkenaan isu ini.


Dengan itu saya harap artikel di bawah dan video di atas dapat dihadam dengan baik dalam membentuk idealisme perjuangan Melayu dalam konteks mempertahankan Bahasa Melayu.




Bahasa Melayu dari sudut Islam



Oleh: Wan Ahmad Fayhsal ( tersiar dalam Siasah edisi 21-21 September 2008)



Pada tahun 1970-an, Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan pada waktu itu telah bertegas menyatakan bahawa Bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa pengantar utama untuk semua kursus di universiti. Selang 20 tahun kemudian, individu yang sama tetapi telah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, telah beralih angin dengan mengisytiharkan pada tahun 1993, bahawa semua kuliah sains dan teknologi di universiti hendaklah disampaikan dalam Bahasa Inggeris.



Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam Bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Individu tersebut tidak lain tidak ialah Bapa Pembangunan Malaysia itu sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.



Menurut Profesor Awang Sariyan yang merupakan seorang ahli bahasa terkemuka, inilah pertama kalinya berlaku dalam sejarah negara ini satu dasar baru telah merombak dasar yang telah wujud selama puluhan tahun dan dilaksanakan dalam satu tempoh yang cukup singkat iaitu satu tahun.



Para pejuang Bahasa Melayu tidak duduk diam sepanjang pergolakkan itu berlaku. Mereka telah mengadakan pertemuan demi pertemuan, dan pelbagai nasihat telah disampaikan kepada kerajaan pada waktu itu untuk tidak melaksanakan keputusan yang bakal menyisihkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu. Tetapi sayangnya isu ini tidaklah dianggap berat oleh banyak orang Melayu terutamanya dari kalangan politikus dan profesional. Maka perjuangan Bahasa Melayu akhirnya tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam kalendar perjuangan rakyat.



Makalah ini tidak ingin membicarakan ‘dosa’ Tun Mahathir kerana sudah tidak signifikan lagi untuk kita lontarkan beban masalah ini kepadanya tetapi makalah ini ingin mengajak para pembaca untuk bermuhasabah akan kepedulian kita terhadap Bahasa Melayu ini sekadar tutup sebelah mata atau bagaimana?



Perspektif inilah yang kita harus perbetulkan. Peri penting Bahasa Melayu ini bukan sahaja melibatkan survival bangsa tetapi agama Islam juga. Jikalau kita perhatikan sejarah pengislaman yang berlaku ke atas bangsa Arab dan bangsa Melayu kita akan mengerti betapa pentingnya kedudukan bahasa dalam menjayakan misi dakwah Islamiyah. Antara proses penting yang berlaku dalam aktiviti pengislaman sesebuah bangsa, atau tamadun adalah proses islamisasi bahasa.



Proses Islamisasi bahasa ini berlaku buat pertama kalinya terhadap Bahasa Arab sewaktu Islam mula berputik di jazirah Arab. Terminologi dan makna perkataan yang terdapat dalam Al-Quran adalah sama seperti yang wujud pada zaman Jahiliyah tetapi mempunyai maksud yang berlainan daripada yang asal. Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat proses Islamisasi bahasa yang berlaku dimana perkataan-perkataan tersebut masih diguna pakai cuma diubah konsep dan pengertiannya. Seperti contoh istilah Allah pada zaman Jahiliyah dahulunya menggambarkan salah satu daripada tuhan-tuhan berhala orang Arab di Mekah tetapi setelah Islam muncul, istilah Allah menggambarkan Tuhan Yang Esa dan tiada sama dengan mana-mana yang lain.



Fenomena ini telah dikaji dengan cermat oleh Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Beliau merupakan antara ilmuan Islam yang cukup perihatin dalam memperjuangkan penggunaan bahasa yang betul dan perkaitannya dengan risalah Islam. Al-Attas menganggap perubahan semantik yang kuat pada konsep-konsep kunci dalam pandangan alam Jahiliyah adalah satu sebab mengapa mereka menuduh Nabi Muhammad s.a.w sebagai dukun, penyair, orang yang kena rasuk, bahkan tukang sihir. Ini jelas telah disanggah oleh Allah s.w.t seperti yang tertera dalam Al-Quran (36: 69):



Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Qur'an itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan



Perkara yang sama turut berlaku ke atas kaum ajam (bukan Arab) yang memeluk Islam. Bahasa-bahasa rumpun Islam seperti Parsi, Turki Lama dan Urdu pada awalnya telah di’islamkan’ bentuknya kepada skrip Arab dan pada masa yang sama turut berlaku perubahan penting terhadap perkataan dan makna yang diguna pakai dalam bahasa-bahasa tersebut. Perkara yang sama turut berlaku ke atas Bahasa Melayu. Kosa kata seperti ‘dosa’ dan ‘pahala’ merupakan warisan daripada budaya Hindu-Buddha tetapi telah diubahsuaikan maknanya mengikut acuan dan konsep yang wujud dalam agama Islam.



Al-Attas menekankan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat Bahasa Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima Islam, terutama dengan pengenalan akan “…peristilahan dasar yang membayangkan faham-faham dasar yang menayangkan pandangan alam serta kehidupan yang dialami…”



Melalui perubahan bahasa ini juga telah wujud satu bentuk pandangan alam Islam dalam aspek sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat orang Melayu. Demikian juga Islam telah memberikan acuan baharu kepada wacana Bahasa Melayu dengan pengenalan akan pelbagai bentuk wacana yang sebelumnya tidak ada dalam tamadun Melayu, seperti wacana ketatanegaraan (seperti Tajul Salatin), wacana undang-undang (seperti Hukum Kanun Melaka), wacanan pensejarahan atau historiografi (seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Raja Pasai) dan pelbagai bentuk susastera prosa dan puisi.



Bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu benar-benar menjadi tonggak tamadun kerana digunakan dalam segenap lapangan kehidupan-pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, ilmu dan pendidikan. Karya persuratan Melayu klasik yang tertulis banyak sekali menayangkan falsafah dan logika yang bersumberkan dan berteraskan Islam. Dalam bidang undang-undang, misalnya, Hukum Kanun Melaka jelas berdasarkan undang-undang Islam. Demikian juga dalam bidang ketatanegaraan menggunakan istilah ‘adab ketatanegaraan’. Ini jelas bahawa asas-asas tanggungjawab pemerintah yang dinukilkan dalam karya seperti Nasihat al-Muluk, Taj al-Salatin, dan Bustan al-Salatin didasarkan kepada lunas Islam. Bahkan karya agung Melayu Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) yang dikatakan penuh dengan mitos dan lagenda itu pun banyak mengandung unsur-unsur Islam, termasuklah dalam penampilan pelbagai metafora yang berlunaskan prinsip islam.



Walaupun kita telah dijajah beratus tahun oleh Portugis, Belanda dan Inggeris, jati diri orang Melayu pada waktu itu terutamanya yang berteraskan Islam masih tidak luput dengan mudah kerana penjajahan yang dikenakan lebih berbentuk fizikal. Berlainan pula keadaan orang Melayu selepas merdeka. Kita terpaksa berhadapan dengan satu bentuk ancaman baru yang lebih diskrit iaitu ancaman kemasukkan pandangan alam Barat yang membawa falsafah pemikiran sekularisme sebagai tunjangnya ke dalam kehidupan seharian kita. Bahasa Melayu telah diasak dengan hebat oleh pandangan alam Barat yang datang mencurah-curah dalam bentuk maklumat dan ilmu. Pandangan alam Barat ini banyak menyusup melalui sistem pendidikan terutamanya di peringkat pendidikan tinggi di mana orang Melayu telah didedahkan dengan pelbagai konsep asing yang tidak pernah wujud dalam sistem kosmologi Melayu itu sendiri.



Al-Attas mendefinisikan sekularisme sebagai:

“satu bentuk proses kefalsafahan dan keilmahan yang membuang makna-makna ruhani dari alam tabii, menghilangkan kekudusan politik dan kepimpinan dalam urusan kemasyarakatan, dan menisbikan nilai dari akal fikiran dan tingkah laku manusia


Oleh kerana fahaman sekularisme ini hadir dalam bentuk proses falsafah dan keilmahan, maka ianya mampu menyelinap masuk dalam diri orang Melayu secara diskrit terutamanya melalui aktiviti kognitif yakni proses pencernaan ilmu dan maklumat yang membuahkan sistem pemikiran tertentu. Kesan sekularisme dalam aktiviti kognitif ini akhirnya akan membuahkan kekeliruan ilmu. Kekeliruan ilmu ini pula akan melahirkan pemimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri adil maka kesan selanjutnya adalah lahirnya pelbagai masalah sosial seperti korupsi dan kebejatan moral. Semua ini akan membentuk satu lingkaran ganas (vicious cycle) yang senantiasa mengulangi permasalahan yang ada kerana titik permasalahan yang asal iaitu kekeliruan ilmu tidak ditangani dengan menyeluruh.



Aktiviti yang menggunakan bahasa merupakan satu aktiviti kognitif. Maka adalah sangat penting buat seseorang itu untuk menjadi lebih teliti dalam memastikan penggunaan kata yang betul dan pada masa yang sama cuba memahami makna yang sahih bagi sesuatu perkataan tersebut. Dalam perihal asas agama, menggunakan bahasa yang salah akan melahirkan kekeliruan kepada pemahaman seseorang. Penggunaan kata yang salah akan pasti memberi kesan kepada perubahan semantik dalam konsep teologi dan cara seseorang itu menilai ‘al-haqq’ (reality and truth). Maka, adalah sangat penting untuk kita sentiasa berwaspada akan penggunaan bahasa yang salah dalam menerangkan sesuatu perkara terutamanya berkaitan ilmu.



Kekeliruan makna dalam beberapa perkataan penting telah lama berlaku dan wujud dalam sejarah Islam. Pada zaman Imam Al-Ghazali lagi telah wujud sekatan dan perubahan kepada makna sebenar yang telah diguna pakai oleh orang Islam pada zaman sebelumnya. Antara perkataan yang telah berubah maknanya pada zaman Al-Ghazali dan juga dapat dilihat pada hari ini ialah fiqh, ilm, tawhid, zikir dan hikmah yang membawa maksud dan konsep yang berbeda seperti yang digunakan asalnya. Akhirnya polemik kekeliruan makna dalam kata kunci penting pada waktu itu telah merosakkan banyak ulama’ yang kerap berbalah perkara-perkara sempit disamping sikap fanatik terhadap mazhab dan kuasa yang dapat diraih melalui pencapaian ilmu masing-masing. Kesemua ini telah dirakamkan dengan begitu tersusun oleh Al-Ghazali sendiri dalam magnum opus beliau Ihya Ulumuddin.



Ada baiknya disini untuk kita lakukan satu perbandingan masalah semantik yang melibatkan penggunaan perkataan ‘ilmu’yang diguna pakai dalam menerangkan maksud tertentu yang wujud pada zaman Al-Ghazali dan masa kini. Imam Al-Ghazali telah menjelaskan dalam Ihya Ulumuddin bahawa :


…maksud orang yang berilmu adalah orang yang asyik berdebat dengan musuh dalam masalah-masalah fiqh dan lainnya. Lalu dikatakan orang itu alim yang sebenarnya. Dia akan dianggap sebagai seorang tokoh ilmu pengetahuan. Orang-orang yang tidak berbuat demikian dan tidak menghabiskan waktunya untuk itu, dihitung sebagai orang lemah dan tidak dihitung sebagai ahli ilmu.


Pada zaman ini pula, pengertian orang yang berilmu itu adalah lebih cenderung kepada orang yang mempunyai sumbangan kepada pembangunan negara. Definisi ilmu dalam dunia akademik di pusat pendidikan tinggi banyak berlegar dengan makna ‘ilmu’ yang terdapat dalam falsafah utilitarianisme dan pragmatisme. Ilmu wahyu dan hadith tersisih secara sistematik dan tidak wajar disertakan dalam sebarang disiplin ilmu yang membawa wacana pembangunan negara terutamanya dalam disiplin ilmu sains dan teknologi. Secara tidak langsung wacana sains dan teknologi dalam Bahasa Inggeris telah mengenepikan konsep sains Islam yang menerima pakai metodologi (seperti intuisi, ilmu wahyu dan hadith) dalam mencari jawapan atas alasan ‘tidak saintifik’ kerana maksud saintifik dalam Bahasa Inggeris seperti yang banyak tertera dalam buku-buku teks sains dan teknologi tidak memuatkan sebarang unsur suci (sacred) dari fahaman agama seperti ilmu wahyu dan hadith ke dalam pengertiannya.


Perkataan ‘ilmu’ itu jika ditakrifkan melalui Bahasa Melayu mempunyai pertalian semantik yang rapat dengan takrifan ‘ilmu’ dalam bahasa Arab iaitu ‘ilm’. Malah takrifan ‘ilmu’ yang wujud dalam Bahasa Melayu kini telah melalui proses islamisasi dengan membawa makna yang tepat berdasarkan fahaman ilmu dalam Al-Quran dah hadith. Perubahan semantik ‘ilmu’ yang berlaku kepada Bahasa Melayu ini telah banyak mencorak pandangan alam Islam terhadap masyarakat Melayu pada zaman dahulu hingga kini yang banyak menjelaskan hakikat dan peranan ilmu sebagai tonggak asas ketamadunan Melayu.


Jelas disini takrif ilmu dalam Bahasa Melayu itu tidak ‘kosong’ malah berkait rapat dengan elemen Tauhid. Takrifan ilmu inilah yang membawa kepada fahaman nilai dan adab dalam Islam dimana ilmu itu difahami sebagai milik Allah dan diberikan oleh-Nya kepada insan yang berusaha untuk mendapatkan ilmu dalam bentuk kefahaman yang meyakinkan, bukan semata-mata dengan mudah mencapainya melalui buku teks. Ilmu yang datang dari Allah dapat membawa kepada hikmah (wisdom) seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran (12: 22) :


Dan tatkala dia (Nabi Yusf a.s) cukup dewasa, Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.


Analogi ini adalah seperti yang diterangkan berkenaan perihal nama Allah pada zaman Islam dan selepas Islam sangat berbeza sekali maknanya walaupun masih mempuyai identiti luaran yakni suku kata yang sama.


Inilah yang perlu kita risaukan. Dalam keghairahan kita menuju era baru dengan kemajuan yang didefinisikan barat, kita telah terperangkap dalam fahaman semantik dan epistemologi yang diketengahkan oleh mereka. Pada masa akan datang jikalau dominasi Bahasa Inggeris menjadi lebih hebat dalam lapangan ilmu, maka jadilah Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang bisu, menurut Prof Wan Mohd Nor, Felo Penyelidik Utama, Institut alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Mengikut beliau, bahasa yang bisu yang tidak dapat diguna pakai dalam wacana ilmu semasa dan akan tersisih dengan mudah oleh komuniti ilmuan. Ilmu matematik dan sains bukan terbatas kepada dua mata-pelajaran sahaja tetapi terkandung dalam pelbagai bidang ilmu lain dalam bidang Kemanusiaan seperti Ekonomi, Perniagaan, Akauntansi, Kaedah Penyelidikan Kuantitatif dan lain-lain. Malah bidang agama juga akan terbabit seperti bidang zakat dan pengurusan harta-pusaka serta ilmu falak. Selain itu, beliau bimbang kebisuan bahasa Malayu Malaysia akan lebih ketara jika rakyat Malaysia berdepan dengan orang Melayu Singapura, rakyat Brunei dan Indonesia dalam urusan rasmi dan tidak rasmi.


Bagi mengatasi masalah ini seharusnya kita menggagas kembali proses Islamisasi ilmu kontemporari seperti yang dianjurkan ulama’ terdahulu dan juga seperti yang diperjuangkan oleh Al-Attas pada masa kini. Untuk menjalankan Islamisasi Ilmu kontemporari ini, asas utamanya adalah dengan membina pandangan alam Islam (Islamic weltanschauung) ataupun dalam Bahasa Arabnya seperti yang didefinisikan oleh Al-Attas sebagai ru’yat al Islām li al wujūd



.

Peri penting Islamisasi ilmu kontemporari yang digagaskan oleh Al-Attas ini turut dijelaskan oleh Prof Wan Mohd Nor:



Beliau (Al-Attas) menerapkan konsepsinya tentang Islamisasi fikiran melalui kaedah linguistik baik dengan memperkenalkan istilah-istilah Arab-Islam dalam erti yang tulen mahupun dengan mendefinisikan kembali istilah-istilah dan konsep kunci yang telah ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris agar dapat mencerminkan pandangan alam Islam tentang realiti dan kebenaran atau dalam contoh lain dengan mengaplikasikan kedua-duanya. Islamisasi istilah dan konsep kunci dalam Bahasa Melayu, Arab atau dalam rumpun bahasa Islam lainnya yang selepas abad-abad pertama Hijrah telah dibatasi atau disalahertikan bukanlah sekadar usaha pembaratan, atau lebih khusus lagi pensekularisasian makna dan implikasinya, melainkan juga merupakan suatu proses reislamisasi, proses kembali atau devolusi kepada makna Islam yang tulen. Itulah sebabnya Al-Attas sangat berhati-hati dalam mendefinisikan dan menjelaskan istilah dan konsep kunci yang digunakannya sama ada dalam bahasa Inggeris, Melayu atau Arab. Penekanannya pada definisi yang benar tentang istilah dan konsep kunci memang terkenal dan telah menjadi salah satu wataknya yang menonjol.


Proses Islamisasi ilmu kontemporari ini menekankan berkenaan pendefinisian yang betul tentang makna-makna penting seperti pendidikan, kebahagiaan, pembangunan serta kata kunci lain yang harus diberi penekanan yang tegar dalam membentuk pandangan alam Islam. Disini, kita harus ingat bahawa pandangan alam Islam tidak bersifat hegemoni dengan memaksa kaum bukan Islam untuk menerimanya secara paksa.



Berdasarkan keterangan di atas, ianya jelas menggambarkan peri penting peranan bahasa dalam membina tradisi keilmuan, maka Bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik yang harus diguna pakai dalam sistem pendidikan negara.Kita juga harus ingat bahawa Bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan kira-kira 51 tahun yang lalu. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah jelas termaktub dalam perlembagaan Negara Malaysia dan telah disepakati bersama oleh para ilmuan sewaktu berlangsungnya Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Resolusi daripada kongres tersebut telah digubal menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dan ini telah mengukuhkan lagi peranan Bahasa Melayu dalam masyarakat kita. Masih belum terlambat untuk kita menyelematkan Bahasa Melayu daripada menjad bisu sebegitu sahaja.

15 ulasan:

ASaL berkata...

seorang pakar linguistik, untuk kedua-dua bahasa, Melayu dan Inggeris, berbalas hujah dengan saya.
Kena kekalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik kerana memang pelajar kita lemah dalam bahasa Inggeris. Jika tidak meluaskan penggunaan, pelajar kita akan terus tertinggal. Saya katakan padanya, tidakkah kita punya solusi lain dan tidak cukupkah jam yang diajar di sekolah-sekolah untuk Bahasa Inggeris? Dia kata tidak mencukupi. Saya rasa dia sendiri tidak yakin, Bahasa Melayu dapat digunakan sebagai pengantar dalam bidang sains dan matematik.

Rausyanfikir berkata...

Itu dari hujah seorang ilmuan yang pragamtisme dan utilitarianisme. Sebagai org Islam, kita harus pertahankan BM kecuali kita nak bawak B Arab jadi B pengantar, yg mustahil untuk masa terdekat ni.

Sbb tu kita kena kaji sejarah dan falsafah kebangkitan tradisi sains masing2. Islam ada caranya, Barat ada Renaissancenya.

Tak sama dan kita takkan mampu berjaya dengan acuan org lain. Copycat.


Saya sedang tulis artikel pasal sains islam untuk Milenia Muslim.tp keluar lambat lg la.

ASaL berkata...

salam, ramai tidak tahu, meski asal usul penemuan saintifik dari Yunani, bila dikaji dari sudut sejarahnya, semua bersumberkan haremensah. Ramai yang percaya, teknologi dan penemuan sains adalah hasil evolusi perkembangan intelektual manusia, sedang hakikat, teknologi juga ditanzilkan. Seperti yang diajari teknologi pembuatan kapal kepada Nabi Nuh. Tapi ya, dalam dunia caca marba, teknologi yang berkembang laju, siapa ya, siapa yang mahu mempertimbangkan soal sejarah, sedangkan lebih baik mengejar material yang terbentang di depan.

Rausyanfikir berkata...

Saya xpernah dengar pulak berkenaan haremensah.Tp saya pernah terbaca satu entri jurnal Al-Shajarah ISTAC tulisan Dr. Adi Setia yang budaya ilmu dan intelektual Greek sebenarnya bersangkut paut juga dengan tindak balas budaya yang berlaku antara tamadun Greek dan Mesir kuno yang sudah tentu mempunyai pengaruh agama Hanif yang dibawa Nabi Musa a.s. Makanya hikmah (wisdom) Aristotle itu tidak semestinya secara pukal datang dari akal semata2 tetapi dari ajaran para nabi2 terdahulu juga.

rastom berkata...

Ini masalah sakit lain tempat ubat lain tempat. Lemah penguasaan berbahasa Inggeris bukan bermakna lemah penakkulan ilmu ilmu. Yang lemahnya ialah kaedah pengajaran/pembelajaran bahasa sebagai alat komunikasi. Penguasaan bahasa ada peringkat, tahap dan jurusan tertentu. Ada penguasaan lisan, ada penguasaan membaca untuk maklumat (ini yang sebenarnya).Para elit Melayu yang fasih itu idamkan semua rakyat Malaysia fasih seperti mereka. Ini karut. Dasar ini dari mula sudah tidak betul.

Dirumus oleh orang yang tiada kemahiran pedagogi bahasa dan di angguk angguk oleh para menteri. Nasi sudah jadi bubur, tetapi bubur masih boleh dimakan, usaha patut diteruskan selagi masih ada kesedaran.

muhaiminsulam berkata...

Nabi Daniel mengembangkan ilmu di Lembah Sg. Tigris Euptrates. Nabi Syith pula di Sg. Nil. Kedua2 adalah anak nabi Adam. Pengikut Nabi Idris (Hermis)yang bertapk di Sg. Nil, sebhgaiannya mempengaruhi pemikiran tamadun Yunani - antaranya Pyhtagoras (yang bermakna Anak Tuhan). Bukankah ADam diajar oleh Allah akan nama-nama (ilmu) sewaktu ujian yang menentukan jawatan khalifah di mukabumi? Skdr nasi tambah tanpa lauk.

Rausyanfikir berkata...

Setuju en.rastom.Tapi saya risaulah tgk kita mcm x 'push hard enough' dalam isu bahasa ni.Mcm ambil sambil lewa je oleh pejuang rakyat.

T. Kasih en.muhaimin dgn input baru ini.ternyata tradisi ilmu Islam itu sudah lama berkembang.Kita lupa sejarah dan org lain yg manfaatkannya.

bloganaigh berkata...

Tak sama dan kita takkan mampu berjaya dengan acuan org lain. Copycat.

Betul. tergiur acuan orang lain padahal tidak sedar kita sudah miliki bahasa yang sangat berpotensi menjadi bahasa ilmu. Tiada keyakinan pada bahasa sendiri mungkin serpihan daripada penyakit tidak percaya pada Islam sebagai solution. Mengaku tikus yang kecut dan kerdil kerana lupa yang kita berketurunan singa.

Bahasa Inggeris pun tidak selamanya akan menjadi bahasa ilmu. Tamadun tu akan runtuh dan adakah pada masa tu kita baru nak terkenang2 bahasa Melayu yang sangat berpotensi?

Bahasa jiwa bangsa. Bangsa kita melayu dan melayu itu Islam.

Wayfarer berkata...

Asslmu'alaikum eh dh x ada shoutbx? Hmm... respect tgk org² muda ni bbnding dgn sy yg lbh tua ni... tmbhn my KYMS collegue dh jd ADUN (Seri Setia) - hmm ttg artikel ni d sini ada komen seorg Mathematician muda...

"istilah Allah pada zaman Jahiliyah dahulunya menggambarkan salah satu daripada tuhan-tuhan berhala" - atau maksud anda dlm keadaan biasa mrk mnsyirikkn Allah swt?

"Sebagai org Islam, kita harus pertahankan BM kecuali kita nak bawak B Arab jadi B pengantar, yg mustahil untuk masa terdekat ni." - buat masa ni?

Mmg klau nk paling mndlm kena B. Arab jg... Jauh sgt?

Sy x terkomen lg artikel sblm ni, cuma tertarik dgn komen tuan: "Ingat, tamadun Islam tidak pernah bersifat Utopia."

"...Ssgghnya semulia² kamu di sisi Allah ialah org yg lbh takwanya d antara kamu, (bkn yg lbh kturunn/bangsanya)." - Al-Hujurat, 13 (tp bknla sy nk mmblkngkn bangsa)

"Ssiapa di antara kamu berpaling tadah dr agamanya, maka Allah akan mdtgkn suatu kaum yg Dia kasihkn mrk & mrk jg kasihkan Dia..." - Al-Ma`idah, 54

p.s. ttg Hermes x taula...
p.p.s. - "decolonize your mind" kn? (z is American... s is British...)

Smg kita smua mnfaatkn baki 10 mlm terakhir ni... Wallahua'lm Wsslm...

Amar Mahmood berkata...

Tertarik dengan tulisan anda. Lain benar bawakannya.

Saya setuju dengan saudara. Kurangnya tekanan dari politikus dalam isu ini hanya merugikan dan merosakan anak-anak melayu di kampung2.

Rausyanfikir berkata...

Semua ini menggambarkan betapa erti politik kita sangat kepartian sifatnya.Sudah dibutakan semacam rupa hingga tidak kenal sejarah.

Ibn Ali berkata...

Bang,pertama skali teruskan penulisan, baik bangat.

kedua, (tapi kena check balik r) tentang "istilah Allah pada zaman Jahiliyah dahulunya menggambarkan salah satu daripada tuhan-tuhan berhala" ,

saya tak berapa setuju la. Allah bukanlah melambangkan atau menggambarkan mana-mana berhala,

namun, Allah telah dipercayai oleh masyarakat jahiliyyah lepas Nabi Ibrahim lagi.

Mereka mempercayai adanya zat yang agung iaitu Allah tapi mereka mensyirikkan Allah maka jadilah mereka musyrikin. Bapa Nabi S.A.W sendiri bernama Abdullah.

saya pernah confuse bab ni dulu.teruskan bang,tapi bab yang saya tegur td harap ambik port ye

sufi mustika berkata...

isu ni bukan isu masalah pelajar tak boleh nak ikut serta dalam proses ni saja tapi turut melibatkan jangka masa panjang atau dalam proses membina suatu ketamadunan bangsa. malek ben nabi dalam bukunya masalah idea dalam dunia Islam pernah mengatakan bahawa penggunaan bahasa penjajah dalam negara hanya akan melahirkan suatu bangsa yang tiada punya daya kreasi yang tersendiri. panjang la lagi apa yang dia tulis tapi lain kali la sambung

Rausyanfikir berkata...

Saya faham apa yg sufi mustika perkatakan. Tp nak dibandingkan hakisan aqidah umat Islam melalui pelacuran bahasa adalah lebih teruk daripada rasuah.

dhuat79 berkata...

Jom dengar wawancara saya mengenai isu ini. sila ke http://kaset79.blogspot.com/2009/03/rud-17-ppsmi-pedulikah-anda.html untuk mendengar atau download.Terima kasih