Jumaat, 5 September 2008

Melayu Baru: Satu persoalan pasca kolonial yang mengelirukan



Salam Ramadhan Mubarak kepada para pembaca sekalian. Sebenarnya saya dan beberapa sahabat dari UM antaranya saudara Faisal (SU Agung PMIUM) telah hadir ke satu perjumpaan tertutup anjuran Sekretariat Melayu Muda(SMM) di Sime Darby Convention Center, Mount Kiara pada 30/8 yang lalu.


SMM ini rata-ratanya golongan Melayu profesional yang juga merupakan ahli UMNO. Sudah tentu bukan UMNO biasa tetapi yang anti-KJ dan pro-Mahathir.


Majlis pada hari tersebut menampilkan dua tokoh politik tanah air veteran iaitu Che Det dan Sanusi Junid. Istimewanya pada hari tersebut hadirin dikehendaki mengenakan pakaian baju Melayu dan yang perempuan baju kurung. Simbolisme perjuangan Melayu mungkin...


Saya sedang bertanyakan soalan kepada Tun.


Walaubagaimanapun, macam biasa saya sempat bertanya kepada Tun (Che Det) di penghujung majlis. Kepada sahabat-sahabat UTP mungkin dah biasa melihat saya bertanya soalan kepada Tun setiap kali beliau hadir ke UTP memberi ceramah khas. Soalan yang saya ajukan kira-kira berbunyi begini:

"Kenapakah perbincangan mengenai perjuangan Melayu bermula pada titik selepas Merdeka? Sepatutnya perbincangan (discourse a.k.a wacana a.k.a forum) harus mengambil berat titik permulaan sejarah Melayu yang awal dan terpenting iaitu ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu beratus-ratus tahun dahulu. Seharusnya framework perbincangan itu merangkumi aspek 'ketamadunan Melayu' bukan semata-mata 'bangsa Melayu' kerana pada hari ini banyak yang dibincangkan adalah status quo post-colonial Malay. Apakah komen Tun?"



Kira-kira begitulah soalan saya. Agak berbelit dan berbau akademik. Jikalau anda perasan soalan saya itu intinya adalah berkenaan 'Islam' . Entah kali ke berapa apabila saya cuba membawa persoalan berbau Islam ketika berdialog dengan Tun, beliau semestinya akan memandang enteng kepada Islam sebagai solution.


Ketika Tun menjawab soalan ini secara tidak langsung beliau terpaksa mengulas perihal dan peranan Islam dalam sejarah ketamadunan Melayu dan inilah yang banyak berlaku setiap kali beliau berhujah: beliau sangat skeptik dengan Islam sebagai solution.


Ini bukan kali pertama saya dengar tetapi dah berkali-kali semenjak beliau sering datang ke UTP lagi. Apabila sahaja ada persoalan berkenaan Islam, beliau akan cuba memperkecilkan peranan dan kepentingannya kepada bangsa Melayu. Memandang remeh sekolah agama, fardhu ain etc.


Kalau tak percaya bolehlah semak ucapan-ucapan beliau dahulu di Perpustakaan negara dan tidak kurang juga pelbagai dasar yang dilancarkan oleh beliau sewaktu menjawat jawatan PM dahulu pun apa kurangnya. Isu sekolah agama rakyat etc.



Disinilah masalah wacana perjuangan Melayu yang memilih titik permulaannya pada era pasca kolonial.

Merdeka orang Melayu itu, seperti kata Presiden TERAS Pengupayaan Melayu yakni Cikgu Azmi, sudah bermula ketika jiwa dan fizikalnya menerima Islam semenjak dahulu kala lagi.



Wacana perjuangan Melayu pasca kolonial yang sering dibawa hero-hero UMNO ini telah menipu orang Melayu bahawa Melayu itu bangun dan hidup hanyalah selepas Merdeka. Walaupun ianya tidak dinyatakan secara explicit tetapi melalui tema-tema wacana dan forum selalunya berlegar disitu.



Apabila sering dibuai dengan tema-tema sebegini TANPA sedikit pun menyentuh aspek-aspek sejarah ketamadunan Melayu yang agung, kita orang Melayu telah menyiat-nyiat identiti kita sendiri.


Harus ingat, bangsa yang baru Merdeka akan senantiasa tercari-cari identiti dan semangatnya semula. Ibnu Khaldun sendiri dalam Muqaddimah menyatakan bahawa " bangsa yang lemah akan sentiasa meniru bangsa yang kuat dalam pelbagai segi". Disinlah perangkap samar yang kita kurang peka.


Dengan menyempitkan perbincangan perjuangan Melayu kepada titik selepas Merdeka kita seolah-olah cuba membentuk satu generasi Melayu yang terpisah daripada identiti ketamadunan Melayu yang agung dahulu.


Implikasinya, Islam yang menjadi nadi utama ketamadunan Melayu hanya dilihat dari aspek budaya sahaja, sama seperti yang dilihat oleh orang-orang Barat dalam bidang antropologi.


Prof. Al-Attas sendiri menegaskan bahawa definisi agama yang difahami Barat itu tidak sama dengan definisi agama dalam Islam. Ini jelas sekali kerana agama dalam pandangan alam Barat tidak ubah sebagai salah satu cabang ilmu Antropologi, bukan sebagai satu agama yang ditanzilkan kepada Rasulullah S.A.W dan bukan juga Al-Haqq ( reality and truth ).


Negara kita sekular bukan erti kata membenci Islam seperti yang ada di Turki tetapi terkena wabak dualisme iaitu pemisahan tegar seperti air dan minyak antara Islam dan kehidupan seharian. Inilah yang ada pada minda Tun Dr Mahathir selama beliau memerintah sehinggalah pada hari tua kini. Dualisme. Bagi beliau agama Islam ini hanyalah agama biasa seperti yang ada pada bangsa-bangsa lain.


Saya sarankan kepada semua intelektual, ulama' , mahasiswa dan politikus yang ingin membawa agenda perjuangan Melayu ke arus perdana, jangalah dikesampingkan sejarah ketamadunan Melayu itu sendiri. Perbincangan perjuangan Melayu haruslah bermula dan diambil kira titik sejarahnya sewaktu Tanah Melayu ini diIslamisasikan bukan semata-mata titik pasca kolonial yang sudah larut dalam pengaruh dan pandangan alam Barat. Perbincangan perjuangan Melayu juga harus didirikan atas falsafah 'ketamadunan' bukan semata-mata 'bangsa'. Ada perbezaan yang ketara. Perbincangan yang didirikan atas aspek 'ketamadunan' akan merangkumkan pelbagai aspek penting jati diri Melayu itu sendiri terutamanya Islam.


Bagaimana dengan PAS? Masih memperjuangkan aspek Melayu tetapi sering keliru antara nasionalis dan nasionalisme. Saya tidak hairan kerana tarbiyah yang dianjurkan PAS banyak merujuk kepada situasi Timur Tengah terutamanya Ikhawnul Muslimin sendiri. Ulama' PAS juga banyak yang belajar di Timur Tengah. Kadang kala saya gusar melihat PAS kerana hendak perjuangkan Islam sebagai sesuatu yang Universal, aspek Melayu itu dikesampingkan. PAS mahu jadi anti-tesis kepada UMNO.


Ini yang bahaya kalau sejarah ketamadunan Melayu dilupakan dan digelapkan dari pengetahuan semasa. Sebenarnya, Islam dan Melayu itu sendiri sangatlah rapat. Mustahil Melayu yang ada dalam sejarah dan hari ini akan terus dipanggil Melayu tanpa Islam. Saya kira ilmuan yang sangat arif akan peri penting hubungan Melayu dan Islam itu ialah Prof. Al-Attas sendiri. Projek Islamisasi ilmu anjuran beliau sebenarnya adalah hasil penelitian yang kemas dari aspek ketamadunan Melayu itu sendiri juga terutamanya dari sudut bahasa (lain kali saya akan tulis polemik isu Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik dari konteks falsafah Islamisasi Al-Attas).


'Melayu Baru' yang dibangunkan oleh Tun harus diheret semula ke dalam terowong sejarah untuk mengenal kembali jati diri mereka yang sebenar jika tidak sampai bila-bila anak muda Melayu akan teraba-raba mencari identiti perjuangan bangsa dan ketamadunan asing yang bertentangan dengan Islam itu sendiri.





P/S: Faisal PMI suruh saya bergambar dengan Sanusi Junid. Saya jawab " No thank you. I will not take pictures with the one who destroy ISTAC".

Kredit gambar kepada saudara Jinggo.

4 ulasan:

LensaPR berkata...

Bib, pemuja mahathir dulu ialah anwar dan geng abim. he he

alqasam berkata...

Haha.

Ketawa sinikal kepada penghancur ketamadunan ISTAC. Benar, sungguh sayang hebatnya ISTAC hancur dan telah menyebabkan banyak pemikir-pemikir dan intelektual hebat di institusi itu lari meninggalkan ISTAC disebabkan jahatnya politkus melayu pasca 99-2003.

Ini diakui oleh pensyarah saya sendiri semasa mengambil subjek Islamization Of Knowledge untuk pasca master di IIUM. Impian saya juga untuk ke ISTAC, namun sayang jejak Naquib Al-Attas, Ismail Raji faruqi dimamah politikus Melayu yang dahaga kuasa.

ASaL berkata...

jadi, pernahkah orang menggali jati diri Melayu yang ada di era sebelum kolonial?
dan membuat satu buku besar mengenai orang Melayu dan Kemelayuan?
Jika skrg Melayu didefinisi sbg Melayu post-kolonial, kita memang akan rugi besar, sangat2 rugi, sbb tidak tahu ttg sejarah nenek moyang.
Kita malah dihadapkan dengan pertikaian bangsa lain (baca: bukan melayu) tentang tulisan Jawi dipertikaikan ditulis di papan tanda, sedang tulisan jawi wujud dan malah wujud untuk menulis deklarasi Kemerdekaan Malaysia!
aduh, akan apa adanya dengan bangsa yang pernah dikatakan, "Takkan Melayu hilang di dunia?"
mungkin kita tidak punya puisi hebat yang boleh dibanggakan, seperti orang Iran berbangga dengan Shahnameh, dan orang2 Barat bangga dengan Homer.

Faizal Riduan berkata...

" No thank you. I will not take pictures with the one who destroy ISTAC".

Ayat saudara itu sungguh tepat dan berbekas dalam jiwa. Saya menunggu bilakah saudara akan mengulas perihal kejatuhan ISTAC dengan kronologi tragis yang menyayat hati umat Melayu Muslim.