Selasa, 16 September 2008

Ekonomi dunia sedang nazak.

Kepulangan saya selepas berbuka Nasi Kandar Pelita telah dikejutkan oleh satu berita yang saya tidak dapat jangkakan langsung. Ibu saya dengan kagetnya menyampaikan berita berkenaan kebankrapan Lehman Brothers,yang merupakan antara bank pelaburan terbesar yang berpengkalan di Wall Street, New York. Tidak dapat tidak saya terpaksa menonton CNN buat beberapa minit bagi memahami berita itu dengan lebih mendalam. AIG (penaja Manchester United) turut bergelut dalam krisis kewangan ini. Merril Lynch (bank pelaburan terkemuka) pula telah dibeli oleh Bank of America dengan harga yang murah iaitu sebanyak US Dolar 50 bilion sahaja. Harga minyak menjunam ke paras US Dolar 97 setong. Nilai saham merudum di seluruh dunia. Kerugian (mungkin juga aktiviti bunuh diri) bakal meningkat dalam tempoh sebulan ini.


Ini bukan kali pertama Amerika Syarikat berhadapan dengan krisis kebankrapan dan kecelaruan pasaran. Awal tahun yang lalu Freddie Mac dan Fannie Mae telah diselamatkan (baca: bailout) oleh Federal Reserve ( lebih kurang sama dengan fungsi Bank Negara kita) daripada hancur luluh dimamah hutang-hutang yang tidak berbayar.


Lehman Brothers bukanlah bank picisan. Berusia hampir 150 tahun, bank tersebut telah melakar auranya yang tersendiri dalam sektor kewangan dan pelaburan dunia. Berita yang mengejutkan itu telah menambahkan lagi satu titik hitam kepada krisis kewangan Amerika Syarikat yang pada awalnya dimulakan oleh krisis subprima (non-performing loan) yang berlaku pada hujung tahun lepas. Kesemua ini, pada hemat saya adalah tanda-tanda kehancuran sistem kapitalisme yang sudah tidak mampu menampung beban masalah hutang ( kesan riba') dan jaringan rumit sistem kewangan yang mereka telah bina sendiri.


Saya agak tertekan dalam memikirkan hal ini. Pertama, isu ini kompleks dan teknikal. Kelemahan dan kurangnya wacana ekonomi yang mantap dalam Bahasa Melayu telah membantutkan kapasiti saya untuk menulis satu kupasan kemas dan yang mudah difahami berkenaan isu ini. Kesan daripada ini jikalau kita lihat adalah betapa sebenarnya orang Melayu merupakan antara bangsa yang rugi dalam memahami selok belok ekonomi dunia kerana para intelektual ekonomi negara kita tidak mampu membicarakan masalah tersebut dalam bahasa kebangsaan mereka sendiri.


Ini merupakan antara hujah penting kenapa kita perlu menolak pengarajan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Kita tidak mahu Bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang bisu dalam lapangan ilmu yang penting seperti ekonomi dan sains. Kalau tidak makin bodohlah orang Melayu dan para politikus Melayu dalam memahami isu-isu sebegini. Macam mana nak tadbir negara. Takkan nak biar Anwar Ibrahim seorang diri memerah otak untuk memahami perkara sebegini.


Sebelum ini saya telah menulis beberapa makalah yang dapat dijadikan rujukan awal untuk para pembaca memahami isu ekonomi yang berputar belit ini. Bolehlah klik pautan dibawah:

1) Ekonomi Sakit atau Tenat?

2) GDP: Kayu ukur pencapaian ekonomi yang merosakkan.

3) Video: Ceramah Kapitalisme-Neoliberalimse di Malaysia



Bagi yang 'adventurous' sedikit, bolehlah rujuk buku-buku ini di perpustakaan universiti masing-masing ataupun perpustakaan negara ( Yang berduit tu janganlah kikir sangat untuk beli buku-buku ini).




















Saya hanya tidak memiliki buku 'The Grip of Death' dalam senarai buku-buku di atas. Tak ada fulus nak beli lagi. Memamng berbaloi untuk dibaca untuk yang berminat dalam memahami selok belok masalah ekonomi manusia moden.


Sebenenarnya isu ekonomi ini merupakan 'core business' kepada kegiatan aktivisme (baca: dakwah) saya. Kewujudan blog Sosialis Kanan ini pun banyak dipengaruhi oleh kelompongan yang ada dalam komuniti bloggers, intelektual awam dan para daie' dalam mengenegahkan isu ekonomi sebegini. Jikalau ada yang berminat untuk menyertai diskusi mahupun program aktivisme informal berkenaan isu ekonomi, kapitalisme dan globalisasi bolehlah email kepada saya butiran anda.


Melihat keadaan ini, saya sangat tertanya-tanya adakah Dato' Seri Anwar Ibrahim masih percayakan kuasa pasaran bebas ( free market ) ? Apakah strategi DSAI dalam berhadapan global financial crunch ini? Walaupun dalam konteks nasional kita mampu senyum lebar tetapi belum tentu kita akan menikmati kegembiraan yang sama apabila berhadapan dengan krisis ekonomi dunia.


Walaupun Tun Mahathir dari satu sudut memang membawa agenda modernisme kapitalis, suara lantang beliau dalam isu dinar emas wajar diberi penghargaan. Saya harap PAS dapat menumpukan semula kepada program dinar emas yang telah mereka jayakan dengan lebih mantap.


Kita kurangkan kegiatan politicking dahulu dan cuba kenal pasti beberapa penyelesaian dan langkah-langkah keselamatan dalam menangani krisis ekonomi dunia yang bakal mengheret kita semua, tidak kira Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat ke dalam kancah yang cukup tragik kelak. Dan saya pasti antara golongan yang paling rugi adalah anak muda (baca: bakal graduan) kerana tidak mengerti sepak terajang ekonomi dunia masa kini. Ayuh, kurangkan politik kepartian mari kita selamatkan anak bangsa kita bermula dengan pemahaman ringkas berkenaan masalah ini.

1 ulasan:

Anak Bumi berkata...

salam,

blog yang menarik, ilmiah, kritis.


mohon capaian di blog saya. :)