Rabu, 10 September 2008

Berbuka Puasa dengan Ilmu




Ahad yang lalu saya dan beberapa sahabat dari PKPIM berkunjung ke rumah ilmuan muda yang hebat iaitu Dr. Syamsuddin Arif. Siapakah beliau ini? Mengikut biodata yang tertulis di bahagian buku baru beliau, 'Orientalis dan Diabolisme Pemikiran' yang cukup 'hit' di Indonesia:

" lahir 19 Ogos 1971 di Jakarta, tamat dari KMI Gontor 1989. Setelah dua tahun mengaji dan mengabdi di Majlis Qurra' wa-l Huffazh, Tuju-tuju Kajuara, Bone (Sulawesi Selatan), menepuh program S1(1st degree) di IIUM sampai selesai 1996. Ia kemudian menempuh S2(master) di ISTAC Malaysia sampai selesai 1999 debgab tesis Ibn Sina's Theory of Intuition, di bawah bimbingan Alparslan Acikgenc.

Program S3 (Phd) juga di ISTAC-berhasil diselesaikannya pada 2004 dengan disertasi berjudul Ibn Sina's Cosmology: A Study of the Appropriation of Greek Philosophical Ideas In 11th Century Islam, di bawah bimbingan Paul Lettinck. Saat ini ia tengah menyiapkan disertasi keduanya di Orientalisches Seminar, Johann Wolfgang Goethe Universitat Frakfurt, Jerman. Di samping Arab dan Inggeris, bahasa yang telah (dan masih terus) dipelajarinya antara lain Greek, Latin, Jerman, Perancis, Hebrew dan Syriac."

Gerun tengok CV beliau...oh lupa, beliau juga seorang hafiz Al-Quran. Antara anak murid Prof. Al-Attas yang paling brilliant.

Majlis ilmu tersebut merupakan anjuran Institute for the Study of Islamic Thought and Civilization (INSISTS) yang berpusat di Indonesia tetapi ramai pemikirnya mengajar di Malaysia. Pada hari tersebut, Dr. Syamsuddin tidak menyampaikan ceramah sebaliknya saudara Malki Ahmad Nasir yang sekarang ini sedang dalam proses untuk menamatkan Phd dari ISTAC menyampaikan ceramah dalam wacana tersebut.

Tajuk yang disampaikan oleh saudara Malki adalah " Menggagas Fikih yang Ramah Lingkukngan". Itu dalam Bahasa Indonesia. Saya kira dalam Bahasa Melayunya adalah 'Fikh Pembangunan Lestari' ataupun lebih dikenali dalam Bahasa Inggerisnya sebagai 'Jurisprudence of Sustainable Development'.


Ramai yang hadir. Sangat ramai. Rata-ratanya para ilmuan Indonesia yang turut terdiri daripada pelajar ISTAC generasi pertama seperti Dr Anis Malik Thoha dan juga pelajar ISTAC generasi kedua (pasca kehancuran di bawah Sanusi Junid) iaitu Dr. Khalif Muammar.

Inilah yang saya sangat kagum berkenaan dengan para pelajar Indonesia. Mereka ini baik di UTP hingga ke UIA sangat utuh dan senang bertemu kerana ilmu. Melihat iklim intelektual yang wujud di rumah Dr. Syamsuddin tempoh hari, saya 'mencabar' diri saya sendiri dan para mahasiswa Malaysia untuk melakukan perkara yang sama di kampus mahupun di luar kampus dalam menyemarakkan wacana ilmiah yang tidak formal sebegini.

Ketika wacana belum bermula. Setengah jam selepas itu ruang ini penuh hingga ke pintu masuk rumah Dr. Syamsuddin Arif.

Alhamdulillah saya sampai awal kerana setengah jam selepas itu memang penuh dan sendat ruang wacana tersebut. Tiada mikrofon, tiada kerusi. Kami duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang dan dengan teliti kami mendengar celoteh saudara Malki menyampaikan idea-ideanya.

Rupa-rupanya kertas kerja yang disampaikan saudara Malki ini akan dibentangkan dalam Seminar Fiqh dan Pembangunan Lestari di USM Oktober ini. Samalah juga dengan saya kerana saya juga akan membentang kertas kerja bertajuk " Islam, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan" dalam seminar tersebut. Secara amnya tema kertas kerja kami sama tetapi dari segi 'wow factor' saya pasti kertas kerja saudara Malki lebih baik daripada saya. Maklumlah mana nak sama taraf kertas kerja pelajar Phd dengan pelajar tahun akhir kejuruteraan kimia yang menulis berkenaan falsafah Islam.

Selepas wacana tamat sesi soal jawab diteruskan dengan pelbagai kritikan membina yang banyak membantu kami dalam memahami tema wacana tersebut dengan lebih baik. Inilah satu lagi kelebihan pelajar Indonesia. Mereka memang 'gencar' dalam membahaskan persoalan ilmiah. Saya sudah lihat iklimnya di UTP dan kini terbukti juga iklim tersebut wujud dalam majlis ilmu ini yang mana ramai di antara hadirin yang hadir merupakan penuntut dan tenaga pengajar di UIA sendiri.


"Ini ke yang bernama Sosialis Kiri?" Tanya Dr. Syamsuddin sambil disambut dengan gelak tawa hadirin. Saya kata " Eh bukan! Sosialis Kanan! Saja Dr, provokasi je." Tak sanga beliau tahu blog saya.


Selepas selesai berbuka puasa sempat juga saya mengambil autograf dari Dr. Syamsuddin Arif yang diturunkan ke atas buku beliau 'Orientalis dan Diabolisme Pemikiran' yang telah saya beli dari kedai buku Indonesia Fajar Ilmu Baru yang terletak di dalam bangunan Wisma Yakin setentang dengan Masjid India Kuala Lumpur.


Hebat. Walaupun bulan puasa, pemahaman mereka ini tidak rigid kepada pembangunan spiritual sahaja malah intelektual sekaligus. Inilah kelebihan pelajar Indonesia yang saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri sekian lama saya menuntut di UTP hinggalah bertandang ke kuarters pensyarah UIA ini.


Dalam perjalan pulang, kami berborak panjang dalam kereta. Saudara Hilmi (Presiden PKPIM) menjelaskan kepada saya bahawa iklim inilah yang pernah wujud di ISTAC dahulu. Sewaktu para pelajar ISTAC baru masuk, mereka datang dari pelbagai latar belakang. Ada yang jenis haraki, wahabi, tetapi telah disatukan dibawah payung ilmu yang dibina oleh Prof. Al-Attas dan para Profesor yang lain.

Mujahed (ahli pemikir PKPIM) memberi contoh seperti Ustaz Asham yang sekarang bertugas sebagai felo di IKIM dahulunya merupakan penyokong tegar PAS dan Nik Aziz. Beliau dahulunya orang kuat WUFI(kalau di UM: PMI, kalau di UTP: Rakan Masjid) sewaktu menuntut di UIA tetapi setelah masuk ISTAC telah berubah menjadi seorang ilmuan yang lebih berhikmah (baca: tidak taksub semberono).

Saya percaya dan akan terus melobi saudara Hilmi dan Ustaz Dzulkhairi ( Presiden GAMIS) untuk kita bersatu dibawah payung ilmu bagi melahirkan lebih ramai aktivis mahasiswa yang berdaya intelektual dalam meneruskan perjuangan rakyat. Insyaallah. Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kedua-dua pucuk pimpinan gerakan Mahasiswa Islam ini kerana mereka berdua memang cenderung kepada budaya ilmu walaupun kedua-duanya sudah keluar kampus. Saya harap para ahli GAMIS dan PKPIM haruslah mencontohi pimpinan mereka yang sebegini untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dengan kejumudan dan semangat ekstrimisme politik kepartian yang masih tidak luput dalam kamus perjuangan mahasiswa di IPT seluruh negara.

Untuk yang tidak kenal dan mahu kenal siapakah Prof. Al-Attas secara serius dan falsafah, jemputlah jenguk blog seorang lagi ilmuan muda dari UKM iaitu saudara Aqil di sini. Rugi kalau tak baca sebab memang menarik!

1 ulasan:

hiten mitsurugi berkata...

menarik..

saya bercita-cita melihat PKPIM dan GAMIS duduk dalam suatu forum untuk berdiskusi secara ilmiah. maybe saudara sosialis kanan mampu menganjurkannya..

intelektual memang medannya untuk mahasiswa membicara soal falsafah dan ilmu-ilmu pemikiran. dari ini lahirnya mahasiswa yang mampu mentadbir dan menerajui negara pada masa hadapan..