Sabtu, 20 September 2008

Beban 'dosa' sang kapitalis di pundak rakyat: satu analisa ringkas



Sebagai seorang mahasiswa kejuruteraan kimia yang hendak melangkah ke tahun akhir pengajian, terimbau kenangan mengambil 2 subjek elektif yang tidak pernah langsung ditawarkan secara rasmi kepada mahasiswa lapangan kejuruteraan.


Semasa saya di tahun 2, saya telah mengambil subjek International Business (tahun 2, sem.1) dan Economics (tahun 2, sem 2.) secara berseorangan diri. Kadang kala saya terpaksa 'ponteng' waktu eksperimen di makmal kejuruteraan kimia untuk menghadiri slot subjek-subjek tersebut.


Dipendekkan cerita, saya hanya berjaya mendapat gred 'B' untuk kedua-dua subjek selepas menduduki peperiksaan di hujung semester. Walau macam mana sekali pun keputusannya, saya amat berpuas hati dengan pengalaman dalam proses memahami selok belok disiplin ilmu ekonomi kerana semenjak itu, saya tidak lagi meninggalkan ruangan bisnes dalam akhbar dengan begitu sahaja daripada tidak membacanya malah saya turut berjaya memujuk Ibu untuk melanggan majalah neo-liberal The Economist sampai ke hari ini.


Berlatar belakangkan kisah ini jelas sekali menunjukkan bahawa subjek Ekonomi bukanlah jurusan rasmi saya sebagai mahasiswa. Tetapi sebagai seorang aktivis dan pemikir polisi alternatif ianya adalah satu kerja khas yang telah di'taklifkan' oleh sahabat-sahabat NGO dari Pulau Pinang ( CAP, SAM, PUMPP,TERAS). Maka saya belajar bukan kerana untuk menaikkan CGPA tetapi untuk digunakan dalam menyelesaikan masalah rakyat. Itu niat dan misi saya selama ini. Tidak mengapalah kerana penaja saya (PETRONAS) yang membayar yuran kedua-dua subjek tersebut. Memanfaatkan sumber dan peluang yang ada.


Dan minggu ini merupakan antara episod paling penting buat saya cuba memanfaatkan ilmu tersebut dalam menganalisa permasalahan ekonomi yang saya kira cukup getir pada saat ini.


Saya akui dengan kapasiti ilmu dan kefahaman yang saya ada, sudah tentu terdapat kelemahan dalam analisis yang telah saya sampaikan dalam artikel-artikel yang telah saya tulis sebelum ini. Walaubagaimanapun saya harap ianya dapat mencetus satu budaya 'sedar' kepada para pembaca untuk berfikir dan memperbaik pulih analisis yang telah saya lakukan agar boleh diguna pakai oleh pemerintah (baik BN mahupun PR) mahupun rakyat biasa.


Hari ini kita telah dikejutkan ( atau mungkin saya seorang yang terkejut kerana Malaysia masih igaukan 16 September) dengan berita berkenaan:


The $180bn has been released by the US Federal Reserve to five other main central banks, who in turn are issuing the funds in their own countries.

The Bank of England is making $40bn available, while the European Central Bank is to provide $55bn.

Central banks in Switzerland, Canada and Japan are also taking part.

The Swiss National Bank is releasing up to $15bn extra, while the Bank of Japan is offering $60bn, and the Bank of Canada $10bn.

Commercial banks in each country will be able to access the funds in the form of loans to boost their short-term funding requirements.

sumber: BBC News.


Ibu kepada para kapitalis (baca: central bank) di setiap negara membangun telah 'bertindak' untuk menyelematkan anak-anak mereka (baca: syarikat kewangan) yang merupakan nadi utama dalam memastikan sistem yang ada pada hari ini (baca: kapitalisme ) untuk terus berfungsi walaupun sebenarnya mereka tahu ianya sedang nazak.


Melihat jumlah wang yang 'dipam' masuk ke dalam sistem kewangan negara masing-masing, yang sudah tentu akan menjalar keluar ke peringkat sistem kewangan antarabangsa, apakah makna semua ini buat masyarakat dunia yang amat bergantung kepada sistem ekonomi dan kewangan ini?


Saya teringat sebuah cerita pendek yang ditulis sebagai analogi kepada masalah 'mengepam' duit secara membabi buta ini dalam buku The Theft of Nations: Returning to Gold yang ditulis oleh pensyarah ekonomi UIA, Dr. Ahmed Kameel Mydin Meera.


Sebelum itu, kita harus memahami bahawa dalam sistem ekonomi dunia pada hari ini terdapat 3 elemen penting yang diguna pakai oleh semua negara di dunia:



1) Riba' (interest)

2) Duit keras (fiat money) yang tidak mempunyai sebarang nilai intrinsik seperti emas.

3) Fractional reserve banking yang saya tidak tahu maknanya dalam Bahasa Melayu.


Kemudian Dr Kameel cuba menerangkan ketiga-tiga elemen ini dalam satu cerita yang bertajuk 'The Story of Sukus and Tukus'.

Saya hanya akan menceritakan gist cerita tersebut sambil mengaitkan 'kejutan' yang saya maksudkan di atas tadi.

Persoalan asasnya, apakah kesan jangka panjang yang bakal berlaku ke atas sistem ekonomi ini dengan 'mengepam' a.k.a mencetak duit sebegitu banyak?

Kita harus ingat berdasarkan 3 elemen/ciri yang digariskan di atas, apabila central bank mencetak duit sebegitu banyak dalam suatu jangka yang pendek, sebenarnya mereka telah mencetak nilai YANG TIDAK BERSANDARKAN KEPADA APA-APA INPUT/PRODUKSI ekonomi yang wujud. Tiada sebarang produk yang ditukarkan dengan duit kertas yang dicetak tersebut.


Ringkasnya, mereka mencetak duit kertas seperti mereka mencetak duit kertas permainan Saidina dan Monopoly dengan begitu sahaja tanpa sebarang sandaran kepada apa-apa aktiviti ekonomi yang dapat ditukarkan daripada input (bahan mentah) kepada output (keuntungan)!


Jadi, mengikut penjelasan yang saya faham dari hujah-hujah ahli ekonomi yang anti neoliberal-kapitalisme, perbuatan 'mengepam' berbilion dolar wang ini merupakan satu aktiviti yang bakal menjerut golongan pekerja. Ini kerana, apabila mereka telah mencetak duit sudah tentu mereka (baca: central bank) sebenarnya telah 'berhutang' kepada sistem ekonomi dunia.


Mengikut analogi yang diberikan oleh Dr. Kameel dalam cerita Sukus dan Tukus tersebut, 'hutang' yang terhasil melalui pencetakan duit kertas secara berleluasa perlu ditampung/diimbang/'dibayar' oleh subjek-subjek ekonomi (baca:golongan pekerja) dalam bentuk meningkatkan produktiviti kerja, meningkatkan keuntungan etc.



Nak tahu kesan jangka panjangnya? Mari kita kaitkan krisis kewangan ini dengan kes kesihatan produk susu bayi di China akibat pencemaran bahan toksik melamin yang terdapat di dalamnya. 3 bayi telah meninggal dunia, 160 lagi mengalami 'kegagalan buah pinggan yang serius', dan 6200 bayi lagi menunjukkan kesan sampingan akibat menggunakan produk susu tersebut.


Sebelum kita pergi lebih jauh dalam memahami kes kesihatan ini, ada baiknya kita tinjau status quo China pada masa kini. Negara China bukan lagi sebuah negara dunia ketiga seperti dahulu tetapi telah berada di satu puncak yang cukup tinggi antara negara-negara membangun di dunia ini. Kita boleh lihat saja bagaimana mereka begitu 'gah' dengan pengajuran Olimpik 2008 disamping kebanjiran para pelabur yang tidak putus-putus dari negara-negara Barat untuk beroperasi di Cina dalam 2 tahun kebelakangan ini.


Semua ini telah mengubah struktur dan gaya hidup masyarakat China secara drastik. Lebih banyak rakyatnya berhijrah ke bandar. Mereka mula menggunakan kereta dan memakan makanan yang bermutu tinggi seperti daging import. Turut sama berlaku ialah penambahan bilangan tenaga kerja profesional, dan separa profesional yang berkembang dengan begitu pantas. Fenomena ini turut sama menjelaskan bahawa bukan sahaja si suami yang keluar bekerja malah si isteri yang juga merangkap sebagai ibu, telah turut sama terjun ke dalam sistem ekonomi negara China.


Perubahan struktur dan gaya hidup ini akhirnya memberi kesan kepada gaya hidup ibu-ibu muda di Cina. Mereka tidak lagi mampu memberi susu ibu kepada anak-anak mereka yang kecil lagi akibat kesuntukkan waktu berada di rumah. Turut sama berlaku seperti yang dilaporkan oleh Al-Jazeera bahawa kualiti dan kuantiti susu ibu-ibu Cina yang menetap di bandar semakin merosot.


Terdapat banyak laporan dan kajian saintifik yang mendedahkan kesan pencemaran industri yang banyak berlaku di kawasan bandar mampu memberi dampak yang cukup kuat terhadap kualiti dan kuantiti susu badan ibu.


Oleh kerana dua faktor penting tadi, ibu-ibu moden di Cina terpaksa berpaling dan bergantung kepada produk susu bayi yang ada di pasaran. Maka berlakulah peningkatan permintaan kepada produk susu bayi tersebut.


Disebabkan saya tidak ada anak dan isteri, saya rasa para pembaca yang mempunyai pengalaman dalam penyusuan susu badan dapat memahami realiti dan keseriusan masalah ini.


Yang saya tahu, jikalau bayi tersebut jarang diberikan susu ibu (breast feeding ), kesannya ialah kuantiti susu ibu yang akan keluar bakal berkurangan dan akhirnya boleh membawa kepada ketidak mampuan langsung untuk mengeluarkan susu oleh ibu tersebut. Kesan ini bertambah parah lagi buat golongan ibu yang bekerjaya.


Al-Jazeera melaporkan bahawa kempen dan promosi penggunaan produk susu bayi serbuk ini telah begitu rancak berlaku sekitar 2-3 tahun kebelakangan ini semenjak negara Cina membangun dengan pesat. NGO di Cina turut mendapat laporan bahawa para Doktor di sana telah dibayar oleh syarikat-syarikat yang membuat produk susu bayi formula ini untuk mengesyorkan produk mereka kepada para ibu berbanding memberi galakan menyusukan anak mereka dengan menggunakan susu badan.


Kita tahu bahawa dengan peningkatan dan perubahan drastik sebegini, sudah tentu syarikat-syarikat tersebut akan menjadi lebih 'tamak'. Ketamakkan mereka ini yang didorong kuat oleh pemikiran ekonomi kapitalisme akhirnya telah menimbulkan aspek-aspek yang tidak sihat dalam kegiatan bisnes mereka.


Isu berkenaan keselamatan produk yang mereka keluarkan tidak diambil peduli dengan serius kerana untuk meningkatkan keuntungan, mereka terpaksa memotong kos produksi dengan pelbagai cara seperti menyogok pegawai kerajaan untuk bersikap ringan dalam melakukan siasatan kesihatan dan quality control terhadap produk yang dikeluarkan oleh mereka. Ini berlaku dengan cukup banyak sekali di China seperti kes pencemaran plumbum dalam produk mainan yang dikeluarkan oleh mereka.


Akhirnya ke semua ini menimbulkan satu pandemik yang serius terhadap anak-anak kecil yang tidak bersalah akibat kebodohan ibu bapa mereka disamping kerakusan dan ketamakkan syarikat-syarikat produk susu bayi yang berfahaman kapitalisme.


Mari kita bawa isu ini kepada perspektif krisis kewangan dunia. Bayangkan risiko yang bakal kita terima pada masa akan datang kelak. Tiap-tiap daripada rakyat dunia terpaksa memikul 'beban hutang' dalam bentuk 'tekanan kerja' dek kerana kerja-kerja pencetakkan wang kertas yang membabi buta. Akan bertambah ramailah para ibu muda yang terpaksa 'menswastakan' kerja-kerja penyusuan kepada produk susu bayi berbentuk formula yang entah selamat ataupun tidak. Ini belum lagi kita bicara berkenaan dampak sosial yang bakal berlaku kepada anak-anak yang membesar dengan orang gaji dan televisyen.


Tidak mungkin apa yang berlaku di China tidak akan berlaku di Malaysia ataupun mana-mana negara dunia yang lain terutamanya negara-negara yang sedang membangun yang mana kualiti kesihatan mereka sangat runcing dan tidak kompeten.


Pada hemat saya, dua senario penting ini sedikit sebanyak menggambarkan bahawa sistem kapitalisme tidak boleh dilihat dalam sudut ekonomi semata-mata kerana dampaknya menjangkau lebih jauh daripada satu bidang ilmu. Sistem ekonomi kapitalisme yang diguna pakai dengan meluas ini telah mengubah pemikiran, gaya hidup dan pegangan hidup manusia moden dalam keadaan separa sedar ( subconscious ) kerana kita tidak bersikap kritikal dengan serius kepada sistem tersebut.


Saya ada melakukan perbincangan ringkas berkenaan masalah ini dengan Prof. Wan Mohd Nor. Beliau mengingatkan saya untuk tidak bersikap radikal dengan menolak mentah-mentah sistem neoliberal-kapitalisme yang ada pada hari ini sebaliknya "membuang apa yang keruh dan mengambil apa yang jernih". Apa yang beliau maksudkan tersebut adalah perlunya kita melakukan proses Islamisasi ilmu (bukan Islamkan kapitalisme).


Beliau turut menganjurkan saya untuk berfikir berkenaan bagaimana khilafah Turki Uthmaniyah (Ottoman) dapat bertahan selama beratus-ratus tahun dalam berhadapan dengan tamadun Barat yang cukup kapitalisitik pada waktu tersebut. Sudah tentu ada rahsia yang perlu kita fahami daripada pengalaman berharga hasil interaksi khilafah Turki Uthmaniyah dengan Eropah. Beliau mencadangkan saya untuk membuat kajian menggunakan buku ini:


Maka mana-mana mahasiswa/individu yang pernah terserampak dengan buku ini di perpustakaan universiti masing-masing harap dapat memberitahu saya berkenaannya. Saya perlu fotostatnya dalam masa terdekat ini.


Saya akan cuba membaca buku yang saya beli setahun yang lepas ini kembali untuk memahami latar sejarah masalah sistem ekonomi kapitalisme ini dengan lebih baik:



Para pembaca yang ingin serius mengkaji eloklah juga cuba dapatkan buku ini di kedai buku yang bertauliah seperti MPH dan Kinokuniya.


Saya juga ingin cuba berbincang dengan Dr. Ugi Suharto,pensyarah ekonomi UIA yang juga merangkap anak murid Prof. Al-Attas berkenaan hal ini. Kelebihan beliau dalam memahami disiplin ilmu pemikiran dan falsafah Islam disamping berlatar belakangkan disiplin ilmu ekonomi menjadikan beliau calon yang paling ideal untuk saya cuba dapat bantuan nasihat berkenaan isu krisis kewangan ini dalam sudut pandang pemahaman ideologi kapitalisme, sekularisme dan cabaran ketamadunan Barat. Malangnya beliau sudah ke Bahrain untuk mengajar di sana selama 2 tahun. Walau bagaimanapun saya harap para pembaca dapat memberi input tambahan dan membahasnya di ruangan komen di bawah.


Akhir kata, harap para pembaca dapat rujuk video yang cukup menarik di bawah untuk memahami masalah sistem ekonomi kapitalisme ini dengan lebih baik.










8 ulasan:

bloganaigh berkata...

Artikel yang menarik. Saya yang tidak tahu menahu ekonomi pun runsing dengan perkembangan ni. Jadi benar, sistem kapitalis sekaang ni sedang nazak? Ada x mana-mana nagara sekarang ni tak terikat dengan sistem tu? Adakah perkara ni yang difikirkan oleh Dr Mahadhir semasa beliau nak memperkenalkan kembali Dinar Emas? Pernahkah perkara ni(kejatuhan sistem kapitalis) berlaku atau sipi-sipi berlaku? Dengan tindakan mengepam duit sebanyak itu, berapa besar/lamakah hutang sistem ekonomi dunia yang perlu dilunasi?
Oh, maafkan bertanya banyak. Saya baca komen anda di Saifulislam.com mendengus marah pada yang bertanya dan mahukan jawapan mudah. Saya bukan orang jurusan ini, saya cuma memenuhi hasrat ingin tahu yang remeh2 saja.
Terima Kasih.

Rausyanfikir berkata...

Salam bloganaigh,

Pada pendapat saya, sistem ini sedang nazak jikalau kita renungi sejarahnya.Yg xterikat mungkin negara yg self sufficient seperti negara2 kecil.Rasanya semua terikat sbb inilah 'order of the day'. Sudah tentu. Dr. M nak wat dinar emas atas nasihat beberapa ilmuan islam seperti Umar Ibrahim Vadillo.Sipi2 berlaku pada 1930, 1980,1998 dan sekarang.Hutang yang saya maksudkan itu akan dizahirkan dalam bentuk bukan wang. Kemungkinan dari segi beban kerja yang semakin bertambah akan berlaku.Rakyat terpaksa dikerah untuk meningkatkan produktiviti negara. Saya juga bukan bidang ini. Minat dan tanggunwjawab memaksa diri untuk terus berkongsi dan bertindak.

Wallahualam.

ratuhati berkata...

salam,
susu ibu tu ada sikit pembetulan.

1. ibu2 bekerja juga boleh memerah susu ibu utk diberikan kpd anak2 mereka yg ditinggalkan semasa bekerja. tetapi cabarannya banyak.

2. pencemaran itu mungkin mainan pihak2 yg ada kepentingan dalam bisnes susu formula. jika susu ibu ada toksik sbb pencemaran, kesannya sangat sedikit kepada bayi dan susu ibu tersebut masih lebih baik daripada susu formula.

Rausyanfikir berkata...

Salam,
Jawapan kepada ratuhati:

1. Dari aspek falsafah kewujudan susu ibu, saya rasa ianya bukan satu aktiviti 'mekanikal' seperti memberi makanan. Pemberian susu ibu direct (breast feeding) sebenarnya membawa makna lebih daripada untuk mengenyangkan bayi sebaliknya membina pertalian emosi,dan kasih sayang antara anak dan ibu. Sudah tentu kita boleh memerah susu tetapi hilanglah 'kelebihan' intimacy antara anak dan ibu yang telah menjadi satu norma kehiupan masyarakat pre-industrialization. Sebab tu saya rasa hubungan keluarga org Melayu zaman dahulu sgt utuh.Fakotrnya mungkin datang daripada seciput aktiviti susu ibu ini.

2.Pencemaran susu formula sudah tentu mainan mereka. Malah sejawah awal kewujudan susu formula adalah untuk kegunaan diwaktu 'emergency' seperti di tempat2 kebuluran di Afrika. Malangnya, mereka telah mengubah budaya masyrakat moden dengan menjaja slogan kebaikkan susu formula yang belum tentu setanding dgn susu ibu.malah merbahaya pula. Perst. Pengguna P. Pinang dah lama bertarung isu susu ibu ni dari zaman 70-an lagi. Kesan toksik dari persekitaran dan bahan kimia sgt serius.Boleh rujuk link laporan di atas serta video dibawah tersebut.

ratuhati berkata...

rausyanfikir,

1. saya tak boleh tak bersetuju dgn point no 1 itu. Memang susu ibu lebih daripada sekadar mengenyangkan. Ikatan emosi yang terjalin sebenarnya sebab utama ibu2 mahu menyusui secara terus - direct feeding. Tetapi bila negara dan masyarakat dah dicorakkan dgn material, amat sukar utk ibu2 ini tidak mengikut arus, iaitu isteri harus turut bekerja utk membantu menanggung belanja harian.

2. Kesan toksik boleh dikurangkan dengan berhati2 dengan air yang diminum dan juga makanan yang dimakan oleh ibu yang menyusu. Tapis air dgn sempurna (sebab pengguna tak byk kuasa pastikan air paip di rumah selamat utk mereka), ambil makanan organik, bukan GMO. Masalahnya air dan makanan yg sebegini harganya bukan murah. Jika fardhu kifayah utk menyediakan makanan yang baik dgn harga mampu tak dipenuhi, mungkin ramai yg terpaksa ambil jalan duduk ceruk2 dan tanam serta ternak makanan sendiri.

ratuhati berkata...

2. tertinggal. ada yang mencadangkan susu formula hanya dijual di farmasi. kerana susu formula sepatutnya hanya untuk ibu yg punya keperluan khas (tak dapat memberikan susu badan utk anaknya).

bloganaigh berkata...

"Tiap-tiap daripada rakyat dunia terpaksa memikul 'beban hutang' dalam bentuk 'tekanan kerja' dek kerana kerja-kerja pencetakkan wang kertas yang membabi buta."

Manusia akan bekerja teruk siang malam untuk tujuan ni. Akhirnya terabai aspek-aspek penting yang lain. Yang dinampak hanyalah kehidupan dalam kaca mata material. Tamadun macam apa ini?

Kita menuju kehancuran, kawan. kehancuran. Hanya Islam satu-satunya penyelesaian. Hanya.Dan ia bukan cukup dengan slogan. Kita perlu bekerja. Mula bekerja untuk Islam bagi yang belum bermula. Giatkan lagi usaha bagi yang telah bermula. Semoga saudara ditetapkan Allah dijalan yang benar.

Dah baca Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan oleh Malim Ghozali?

Rausyanfikir berkata...

Puan ratuhati,

1. Sebab itulah kita kena berusaha mengubah status quo masyarakat.Perlu ada gerakan intelektual atas dan bawah dalam menentang mekanisasi manusia.Adakah kita akan terus menjadi mangsa keadaan atau kita cuba mencorak keadaan demi masa depan anak2 kita (saya xda lg bakal insyaallah)?

2.Saya setuju.Secara praktikal masa kini memang susah.Tp kita masih ada pilihan untuk memprotes sebarang kesan sampingan yg wujud hasil kegiatan ekonommi.Contoh kilang2 plastik yg berdekatan kawasan perumahan.Sbg rakyat kita ada hak.

Bloganaigh,

Slogan hanya Islam sebagai penyelesaian harus dikupas sedetail mungkin oleh bakal2 pemimpin.Jgn sekadar berslogan dan memugar idea dengan cara simplisitk.INi yg berlaku dalam kancah politik kita.Anwar Ibrahim bijak orgnya.PAS tidak mampu ikuti idea2 beliau.Anak muda macam kitalah kena tampung kekurangan PAS. Buku Malim Ghozali belum. Ingat, tamadun Islam tidak pernah bersifat Utopia. Setiap zaman ada kekurangan. Apakah rahsia kecemerlangan mereka? Ilmu. Itu pasti. Zaman ini yang dicemaeri sekularisme Ilmu maka jadilah kita macam ini.

Wallahualam.