Ahad, 14 September 2008

Air Mata Nelayan

3 bulan lepas, sebenarnya aku telah turun ke lapangan bersama rakan-rakan seperjuangan dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) untuk membantu beberapa komuniti nelayan yang telah dihimpit oleh projek pembangunan yang merosakkan.


Ketika bengkel sedang berjalan.

Aku telah turun ke Pantai Kelebang, Melaka. Sebelum kami 'beraksi' bersama para wartawan dalam menjayakan press conference, terlebih dahulu kami telah membantu komuniti-komuniti nelayan tersebut memahami selok belok permasalahan alam sekitar ini dalam satu bengkel ringkas.


Press conference yang sesak.

Ini bukanlah kali pertama aku turun ke lapangan. Semenjak aku berkenalan dengan para aktivis/da'ie yang menganggotai beberapa buah NGO besar dari Pulau Pinang ini, kehidupanku berubah dengan begitu mendalam sekali. Bukan apa, pengalaman yang aku kaut dengan berulamkan ilmu-ilmu yang aku telah jenuh fikirkan selama ini telah menghasilkan satu tindak balas spiritual yang susah hendak ku ungkap dengan kata-kata.


Aku dapat menjiwai semangat perjuangan hero-hero dunia ketiga seperti Che Guevara, Frantz Fanon dan Subcomandane Marcos yang telah mengisbatkan diri mereka ke dalam penderitaan kaum marhain seperti yang dialami para nelayan Kelebang ini. Sudah tentu jauh sekali sumbangan, dan kejayaan yang telah ku sumbangkan jikalau hendak dibandingkan dengan apa yang telah hero-hero dunia ketiga tersebut lakukan.


Tetapi sesungguhnya apa yang mereka telah lalui dalam hutan Congo (Che Guevara) , Chiapas (Marcos) dan juga panas terik padang pasir Algeria (Fanon) telah sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada aku dalam menjalani ekspedisi turun ke lapangan bersama golongan marhain ini. Pengalaman pertamaku ialah dalam isu Perjanjian Perdangan Bebas (Free Trade Agreement) atau yang lebih dikenali sebagai FTA. Hampir setahun aku berkempen di kampus, di masjid, di dalam dewan kuliah, dan kemuncaknya adalah di Jalan TAR,KL.


Tak ramai yang peduli isu-isu sebegini. Kompleks dan kurang pula sentimen politik kepartian yang wujud maka usahlah diharap sangat parti-parti politik yang ada di Malaysia ini untuk bersikap serius dalam menanganinya. Tengok sajalah kes Ulu Muda yang diperkotak katikkan oleh seorang alim. Tidak kisahlah ianya satu gertakan atau apa kerana apa yang dibuat oleh kerajaan negeri Kedah yang baru itu adalah satu perjudian nasib rakyat yang sudah lama dihantaui oleh masalah tersebut.


Dalam kes FTA walaupun Rafidah sudah tumbang, soraknya masih kecil kerana ketidak pastian itu masih ada. Ditambah lagi aku masih belum mampu mengolah dan merumuskan apakah yang bakal Anwar Ibrahim ketengahkan berkenaan dasar ekonomi luar Malaysia kelak jikalau benar peralihan kuasa bakal berlaku.


Melihat air mata pakcik-pakcik nelayan Kelabang mengalir di atas pipi mereka yang sudah berkedut, semua ini memasakkan lagi keyakinan aku untuk memilih jalan yang sangat berbeza dengan rakan-rakan kejuruteraanku yang lain. Apakah erti aku menggapai keputusan cemerlang, dean's list tetapi realiti bangsaku masih terperuk dizalimi oleh puak kapitalis yang tidak pernah kenyang. Apakah erti aku impikan sebuah mahligai indah dan mungkin juga kereta BMW yang sangat mampu ku miliki jikalau sudah berkerjaya sebagai seorang jurutera dalam industri gas dan minyak kelak jikalau pada masa yang sama lebih ramai golongan marhain yang hidup dalam keperitan ? Apakah erti itu semua jikalau masih ramai kaum marhain yang tersepit, tertindas oleh ideologi pembangunan palsu.


Sudah tentu ada sebab penting kenapa Allah s.w.t memandu ke jalan sebegini. Allah telah membekalkanku dengan pelbagai kemudahan menuntut ilmu, pengalaman ke lapangan sebegini...sudah tentu ada sebab penting...aku harus memilih antara jalan kesenangan dan kemewahan atau jalan sederhana tetapi penuh makna...

Pantai Kelebang ranap ditelan pembangunan kapitalis.


Oleh Omar Rubaiyat (tersiar dalam Siasah 3 minggu lepas).


Pantai Kelebang dahulunya terkenal sebagai kawasan rekreasi buat keluarga bagi masyarakat Melaka. Laut yang luas terbentang itu juga menjadi punca rezeki utama buat beratus keluarga nelayan pantai yang saban hari dari muda hingga ke tua turun ke laut untul menyara anak bini mereka. Disinilah 'kehidupan kekeluargaan' dapat dilihat pada hujung minggu serta cuti-cuti umum. Kanak-kanak berlari riang, ibu bapa menyusuri pantai nan indah menghirup baya laut yang permai.


Namun semua itu sudah berubah semenjak Pantai Kelebang ditimpa ombak pembangunan yang rakus. Pembangunan yang dimaksudkan itu bermula dengan rakus melalui kerja-kerja penambakkan laut. Seperti yang dilaporkan dalam News Strait Times 27 Oktober 1997, Kerja-kerja tambakan laut di sepanjang pantai negeri Melaka telah mencapai hampirr 1/3 dari keseluruhan jumlah pantai sepanjang 96 km itu. Laut Melaka telah mula ditambak mulai pertengahan tahun 1980 an dengan pembangunan kawasan Melaka Raya. Penambakan berikutnya dibuat sekitar tahun 1998 dengan pembinaan ‘Pulau Melaka’, pulau buatan berkembar seluas 40 hektar, yang pertama di Malaysia. Pembangunan pulau yang menelan belanja RM 2 billion ini merangkumi pembinaan 1,518 unit kedai pejabat, 92 unit lot banglo, 1,012 unit condotel, pusat jeti, kompleks komersial serta pejabat.


Dipendekkan cerita projek ini telah gagal mencapai matlamatnya kerana kelihatan banyak bangunan yang tidak terjual dan dibiar terbengkalai begitu sahaja. Seperti yang dilaporkan oleh En. Md. Yusof Abdullah yang memantau masalah penambakkan laut ini, Projek ‘Pulau Melaka’ bukan sahaja gagal disempurnakan tetapi lebih memburukkan keadaan bila kesan yang negatif turut terpalit kepada kawasan sekitarnya. Tambakan yang dibuat telah memusnahkan alam sekitar serta ekologi di kawasan lain sepanjang pantai Melaka sehingga ke Pantai Puteri di Tanjong Keling yang terletak 15 KM dari ‘Pulau Melaka’. Aliran ombak yang berubah telah memusnahkan pantai Limbongan, Kelebang Kecil, Kelebang Besar, Tanjong Keling serta Pantai Puteri di pasir-pasir pantai telah dihakis dan akibatnya banyak kos terpaksa dibelanjakan bagi membina benteng-benteng konkrit untuk mengelakkan robohan tanah daratan.


Tambah beliau lagi “Tambakan yang dibuat telah memusnahkan alam sekitar serta ekologi di kawasan lain sepanjang pantai Melaka sehingga ke Pantai Puteri di Tanjong Keling yang terletak 15 KM dari ‘Pulau Melaka’. Aliran ombak yang berubah telah memusnahkan pantai Limbongan, Kelebang Kecil, Kelebang Besar, Tanjong Keling serta Pantai Puteri di pasir-pasir pantai telah dihakis dan akibatnya banyak kos terpaksa dibelanjakan bagi membina benteng-benteng konkrit untuk mengelakkan robohan tanah daratan.”


Antara kesan daripada kes pembangunan yang tempang ini adalah kerosakkan sistem ekologi maritim, kerosakkan struktur laut di persisiran pantai dan yang paling parah adalah kemusnahan sumber rezeki nelayan pantai. Kes penambakkan laut ini cukup parah kepada golongan nelayan pantai kerana 9 pengkalan bot nelayan telah di tutup laluannya dek kerana kerja-kerja penambakkan laut. Perbuatan ini telah memberi tekanan ekonomi yang cukup perit kepada 250 ketua keluarga nelayan panatai yang bergantung hidup kepada penangkapan ikan dan udang di pesisiran pantai.


Tiada sebarang pampasan yang setimpal diberikan kepada golongan nelayan ini melainkan wang saguhati bernilai RM3000 hingga ke RM8000. Ternyata dengan pemberian sebanyak itu belum cukup untuk memastikan kesinambungan punca rezeki golongan nelayan ini yang rata-ratanya mempunyai pendidikan tahap sekolah sahaja dan majoriti daripada mereka terdiri daripada warga emas yang sudah sebati dengan kerja-kerja di laut.


Jangan disangka kesan buruk ini berlaku pada mereka yang bergantung kepada hasil laut sahaja. Sudah terbukti bahawa apabila hujan lebat berlaku, banjir akan menyusuli di sekitar kawasan yang berdekatan dengan Sungai Melaka dan terus membanjiri banyak kawasan termasuk pesisiran Bandar Alor Gajah, Berisu dan sebagainya serta kawasan sepanjang sungai Melaka bermula dari Empangan Durian Tunggal.


Antara punca kepada masalah ini ialah kelalaian kerajaan negeri dalam mengambil kira kajian Environemtal Impact Assesment (EIA). Kajian ini yang telah diwartakan di bawah seksyen 34A, Akta Alam Sekitar 1974 tetapi tidak diambil endah oleh Kerajaan Negeri Melaka secara serius. Melalui tunjuk ajar kajian EIA ini, kesan-kesan yang wujud akibat aktiviti pembangunan di persisiran pantai Kelebang ini mampu ditangani dengan lebih berkesan dan dapat dicari altenatif lain kepada projek ini.

Solidariti antara nelayan, dan aktivis alam sekitar SAM.


Buat masa ini perjuangan membantu nelayan Kelebang telah dilakukan secara terperinci oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang merupakan badan NGO Alam Sekitar. Pemerkasaan pemahaman kepada para nelayan amat penting dalam memahami selok belok masalah yang mereka alami.


Antara rungutan yang ditimbulkan berkali-kali oleh Jawatan Kuasa bertindak nelayan Kelebang ialah bahawasanya kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ali Rustam hanya mengambil kira kepentingan pemaju / kerajaan tanpa mempedulikan masalah dan masa depan pihak nelayan, peniaga di tepian laut serta mereka yang menggantung harapan untuk mencari rezeki dari laut yang terbentang. Perkara sebegini bukan lagi berkisar mengenai isu politik kepartian tetapi mengenai hak untuk meneruskan kehidupan buat para nelayan Pantai Kelebang serta kemandirian alam sekitar Pantai Kelebang yang kaya dengan khazanah alam ciptaan Tuhan.


Gambar-gambar kerosakkan yang wujud di sekitar Pantai Kelabang:




4 ulasan:

tetamu berkata...

Terharu baca posting ni.

Allahu.. Allah, ramaikanlah insan yang punya akal fikir dan jiwa rasa seperti ini, tegakkan pendirian dengan kekuatan-Mu dan terangi perjuangan mereka dalam cahaya-Mu.. umat islam, dan umum manusia umumnya sangat2 memerlukan, sedari dulu lagi.

Terus saudara, dalam jalan yang ditunjukkan-Nya. Moga Dia berterusan menunjukkan.

LensaPR berkata...

Teruskan perjuangan yang 'membumi'.

Tanpa Nama berkata...

ALHAMDULILLAH..moga2 ALLAH SENTIASA MEMBERI RUANG PADA HAMBANYA :) keep on your spirit

Faizal Riduan berkata...

Begitu menyentuh hati!

Tiba-tiba saya rasa sayu! Saya ingin menyertai SAM. Bolehkah saudara rekemondasikan?