Rabu, 27 Ogos 2008

Risalah Untuk Aktivis Umat

Memandangkan rakyat sudah mabuk dengan kejayaan Permatang Pauh, saya rasa sajak ini patut direnungi dengan mendalam. Saya mengajak para Aktivis dakwah untuk merenungi hakikat perjuangan Islam dengan lebih mendalam melalui sajak serta kupasannya di bawah.

Risalah untuk Aktivis Umat 
Runtuhan bangunan dan kota bedilan meriam,
Tangisan bayi dan laungan insan kelaparan,
Derita di wajah Hawa dinoda tentera,
Tengorak bersepahan di padang luka:
Mudah menganut simpati umat ku
Para aktivis segera ke hilir ke hulu. (1)


Dari kampus ke hujung desa dan pinggir kota
Kering tekak menyebar cerita: umat derita! (2)


Dan putaran sengsara umat tiada putusnya,
Dari helah kejam Yahudi ke angkara Serbia,
Para aktivis tiada gentar bersuara lantang,
“Ayuh! Kita tentang segala petualang!” (3)


Tapi runtuhan tiang-tiang mahligai ilmu dan iman,
Tiada terkesan pada badan dan bangunan,
Hanya terpapar pada budi dan bahasa,
Jelas terang pada hati nan tiada buta. (4)


Dan keluhan ilmuan dalam pendakian
Mencari makna dua kehidupan
Memerah akal menggilap pekerti
Menimba hikmat Ali dan Ghazzali
Membangun lembaga pengajian tinggi
Menghimpun alim muta'alllim sejati;
Dan bila pewaris Nabi mengedar piala
Minuman budi dan akal perkasa
Ingin membina bangsa semesta
Mengangkat amanat junjungan Mustafa. (5)

Para aktivis menggeleng kepala…
Perjuangan apa sebegini rupa?
Tiada darah tumpah tiada rumah musnah?
Tiada Hawa diratah tiada bayi dimamah?
Hanya dakwat terhimpun di muka surat
Hanya kata-kata yang mudah dibuat! (6)


Kehancuran khazanah ilmiah pada mereka,
Akibat kedegilan ilmuan terlalu leka,
Dengan kertas-kertas lama dan kata-kata,
Dengan ide-ide yang tak dapat diniaga,
Pemahaman tentang Tuhan dan segala sifat,
Pemurnian jiwa dari khilaf dan khurafar,
Bukan berupaya mengisi perut lapar,
Bukan mampu menangkis peluru liar! (7)


Aktivis mencari kuasa membina bangsa
Kuasa sebenar dalam dada tiada nyata (8)


Bila kuasa tergenggam sedikit
Namun harta berganda berbukit
Jiwa hampa menjelma belangnya
Dianggap musuh segala hukama!
Nilai akhlak terpaku di libas zahir
Wibawa agama dirujuk ke pena Kafir! (9)


Kata-kata di muka kertas beratnya hakiki
Tersimpan khazanah Ilahi dan mutiara insani
Jika digali-gilap disimpul makna dalam dada
Jika diserap pada ribuan jiwa remaja dan dewasa
Jika dipimpin helang ilmi menerbang di langit luas
Mengawal padang dari belalang dan haiwan buas (10)


Para aktivis: bermukimlah di taman adabi
Sungguhnya kekuatan kita bermula disini,
Membangun bangsa berjiwa singa berhati mulia
Kita mampu bangkit semula, percayalah hamba! (11)

Oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud
Dipetik dari Mutiara Taman Adabi.


Kupasan:

Rangkap (1)
Krisis luaran, fizikal amat mudah direnungi dan disimpati. Krisis Palestin, Bosnia dilihat dengan begitu insaf sehingga mampu menggerakkan para aktvis/da’ie ke sana sini mensebarkan berita kehancuran umat.

Rangkap (2)
Mahasiswa, Ustaz Al Azhar dan segala macam aktivis bertebaran ke merata tempat menceritakan penderitaan umat.

Rangkap (3)
Semangat perjuangan sering dilafazkan oleh aktivis/da’ie dalam menyuarakan kebencian mereka kepada Yahudi dan musuh-musuh Islam yang lain. Apakah mereka sedar masalah ini tidak terputus-putus dari satu bencana kepada bencana yang lain.

Rangkap (4)
Disini jelas menerangkap masalah dalaman umat. Sudah tentu semua ini tidak kelihatan secara zahir seperti penderitaan umat di Palestin. Bahasa Melayu yang rosak dimamah konsep sekular humanisme, budi dan etika yang berpalit pada Barat. Bermulanya semua ini apabila mahligai ilmu dan iman yang boleh diertikan sebagai Institusi Pendidikan hancur berderai dari dalam. Dicemari ilmu yang salah. Dualisme antara fardhu ain dan fardhu kifayah. Tuhan di Makmal dan Tuhan di Masjid tidak sama. Belajar sains bertuhankan Darwin, solat di Masjid bertuhankan Allah. Sekualrisme.

Rangkap (5)
Bukan senang menimba ilmu. Bukan ilmu ciplakan murahan dari buku-buku teks sekular humanisme tetapi ilmu yang membawa kepada ma’rifatullah. “ Mencari makna dua kehidupan” mungkin boleh ditafsirkan sebagai bagaimana ulama’ muktabar dahulu melakukan integrasi ilmu yang membawa pengertian duniawi dan ukhrawi. Tauhidik sifatnya seperti yang dinukilkan oleh Ali dan Ghazali yang betul-betul well rounded.
Mendidik umat melahirkan ilmuan pewaris Nabi. Ulama’ sebagai pewaris Nabi inilah yang akan mengangkat umat kembali ke tempat yang sepatutnya. Bukan ahli poitik, dan bukan juga ulama’ yang sempit lagi dualis. Sudah tentu kita perlukan ulama’ yang arif lagi bijaksana menyelesaikan masalah dunia dan akhirat. Kita biasa lihat yang mana pada masa kini ilmuan Islam gagal memahami reality semasa dengan mendalam manakala saintis, jurutera yang hebat memahami masalah semasa gagal memahami Islam dengan baik. Dualisme dalam disiplin ilmu. Semua ini tidak berlaku pada zaman Ibnu Sina, Al-Ghazali etc. Beza.Sangat beza kualiti dan kesepaduan ilmu ulama’ hari ini dan dahulu. Nak memerintah secara Islam kenalah mahir kedua-duanya bukan?

Rangkap (6)
Selalunya perjuangan ilmuan dipandang remeh.Dilabel berteori sahaja. Pada hemat saya perjuangan gerakan Islam masa kini (PAS, JIM, ABIM) banyak dipengaruhi oleh reformis Timur Tengah seperti Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida, Hassan Al Bana yang banyak menekankan perubahan sosio ekonomi umat. Golongan ini di satu sudut baik tetapi di sudut memahami masalah umat secara mendalam tidak beberapa kemas terutamanya dari segi falsafah. Mungkin juga kerana pengaruh gerakan Salfiyyah di Timur Tengah yang mengangkat ulama’ yang salah sebagai panduan perjuangan contohnya membesar-besarkan Ibnu Taimiyah berbanding Al-Ghazali yang diperkecil-kecilkan kerana mencampuri falsafah dan kalam. Maka rata-rata reformis ini seperti yang wujud di Malaysia dalam PAS lebih menekankan aspek luaran perjuangan Islam (i.e menegakkan Negara Islam) berbanding menyelesaikan masalah dasar umat seperi Prof. Al-Attas tekankan berkenaan pendidikan ta’dib. Saya pun selalu je diremeh-remehkan di kampus oleh pejuang-pejuang Islam ala PAS ini.Tetapi saya tidak berganjak kerana saya percaya dengan perjuangan dasar Prof. Al-Attas yang mendalam dan berantai sehingga ke zaman Al-Ghazali dari segi sifat dan semangatnya.

Rangkap (7)
Rangkap ini menerangkan sifat perjuangan pragmatisme pejuang Islam masa kini. Nak instant success sahaja. Kita bukan nak bina negara Islam kerana Islam itu lebih besar dari makna ‘Negara’. Kita nak bina Tamadun Islam yang kalau kalian baca ‘Islam and Secularism’ tulisan Prof. Al-Attas, kalian akan nampak bahawa perkataan ‘deen’ itu merupakan akar kata kepada Tamadun. Maka dari situ disimpulkan Islam sememangnya agama yang bertamadun yang progresif. Nak bina tamadun ni bukan sekejap. Foundationnya mesti kuat. Bangunan yang kuat mempunyai foundation yang dalam dan kukuh. Begitu juga tamadun Islam. Tanpa Ilmu(al-Ilm) yang kukuh, integrasi tauhidik Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah jangan mimpi nak bangunkan Tamadun Islam apatah lagi Negara Islam. Maka pragamatisme pejuang-pejuang Islam masa kini seperti yang ada pada PAS telah terlepas pandang martaba perjuangan Islam yang asas iaitu perjuangan Ilmu. Kalau kita lihat politik pejuang Islam di negara ini sangat sempit. Kepartian dan dogmatik. Bukan menyatakan kesalahan dalam sisasah tetapi kena selari. Sekarang ini umat Islam di dunia sangat inferior kepada tamadun Barat dari segi ilmu. Kita sujud kepada Sains dan Teknologi Barat tanpa memahami epistemologi ilmu tersebut yang mampu mencemarkan pandangan alam Islam kita.

Rangkap (8)
Kalau tiada haqqul yakin terhadap kuasa di dalam dada yakni Ilmu bagaiamana mampu kita zahirkan pada kuasa yang dipegang nanti. Ombak dan badai sekularisme bukanlah sesempit yang ada pada UMNO seperti yang disangka PAS tetapi lebih besar dan kuat. Bak kata Prof. Al-Attas “ secularism as a philosophical program”. Dengan kuasa pun kita belum tentu mampu selesaikan masalah ini.

Rangkap (9)
Bila dah ada kuasa macam yang berlaku lepas 8 Mac mulalah berebut jawatan itu dan ini.
Siapa tahu inside story faham-faham je lah. Masyarakat lebih senang melihat kewibawaan ulama’ itu pada janggut dan serban yang melilit bukan kepada kualiti dan kedalaman penyelesaian masalah yang dilontarkan kepada umat. Maka macam yang berlaku pada 8 Mac juga, walaupun naik DAP dan PKR, kedua-duanya bawa model yang sama mungkin bersih sedikit berbanding dulu. Free market etc.

Rangkap (10)
Tersirat sikit rangkap ni. Yang saya fahami mungkin bermaksud tentang peri pentingnya ilmu. Helang ilmi mungkin boleh dirujuk sebagai ulama’ tulen yang mampu mengawal masyarakat daripada segala kekusutan yang kecil dan besar kerana helang Ilmi mampu melihat dari atas dengan persepktif yang besar. Malah sifat helang itu sendiri yang tajam penglihatannya mampu mengecam masalah di padang itu dengan mendalam.

Rangkap (11)
Prof. Wan mengajak aktivis memulakan perjuangan di taman adabi yang mungkin membawa maksud melalui pendidikan ta’dib. Bukan tarbiyah dan bukan ta’alim. Sebenarnya kalau kalian baca Muqaddimah Ibnu Khaldun ataupun rujuk sejarah silam Al-Ghazali dan perkaitannya dengan kebangkitan Salahuddin Al-Ayubi, tidak hairanlah semua yang diperkatan dan diperjuangkan oleh Prof. Al-Attas ini. Saya pada mulanya skeptik juga kepada perjuangan Prof. Al-Attas yang low profile dan seolah-olah tak bermaya sebab tak berpencak dalam arena politik semasa. Tetapi bila saya baca, kaji dan bertemu dengan murid-murid beliau disamping cuba kaitkan semangat dan roh perjuangan beliau bersama sejarah silam Al-Ghazali saya bukan sahaja ainul yakin tetapi haqqul yakin! Sudah tentu semua ni ambil masa untuk faham dan kefahaman itu juga bukanlah datang dari sesiapa tapi dari Allah jua. Dari saya mula masuk universiti sampai sekarang saya pasakkan dalam-dalam tujuan mencari ilmu ialah untuk mencari Kebenaran (with a big ‘k’) dalam semua permasalahan yang ada. Alhamdulillah saya telah menyahut seruan Prof. Wan untuk bermukim di Taman Adabi!

Dan saya percaya inilah perjuangan fundamental umat Islam dalam membangunkan tamadun Islam yang sedang tidur dibuai mimpi indah.Percayalah kerana ianya pernah berlaku!

3 ulasan:

Pemikir 21 berkata...

"Prof. Wan mengajak aktivis memulakan perjuangan di taman adabi yang mungkin membawa maksud melalui pendidikan ta’dib. Bukan tarbiyah dan bukan ta’alim"

Saudara, sungguh..saya tak memahaminya!

Pemikir 21 berkata...

"Prof. Wan mengajak aktivis memulakan perjuangan di taman adabi yang mungkin membawa maksud melalui pendidikan ta’dib. Bukan tarbiyah dan bukan ta’alim"

Saudara, sungguh..saya tak memahaminya!

Jufitri bin Joha berkata...

Sebagai Naib Presiden Antarabangsa ABIM, saya memandang pejuang ilmuan juga merupakan aktivis iaitu aktivis ilmu. Dan saya yakin ramai dalam ahli muda ABIM berfikiran sama seperti saya. Malahan kelompok muda ABIM termasuk saya telah menubuhkan HAKIM hasil dari Usrah kami bersama Dr. Farid Shahran semenjak awal tahun 2000.