Isnin, 18 Ogos 2008

Jalan-jalan cari buku...


Hari ini sangat gembira. Ada dua sebab. Satu sebab 'personal' yang tidak perlu dikongsi dalam entri kali ini dan yang keduanya saya sudah berjaya menemui dan membeli buku failasuf Muslim tanah air kita iaitu Prof. Syed Naquib Al-Attas! Apa yang special? Ini adalah kerana buku ini merupakan antara karya terawal beliau.(mengikut Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, buku ini ditulis sewaktu Prof.Naquib berumur 22 tahun yakni lebih kurang umur saya sekarang!)



Buku yang bertajuk 'Some aspects of Sufism as understood and pracised among the Malays' ini diterbitkan oleh Malaysian Social Research Institue (MSRI) pada tahun 1963.


Saya rasa pada waktu ini Prof. Naquib masih belum menuntut di Universiti Malaya Singapura lagi tetapi kualiti buku ini seakan-akan karya seorang ilmuan yang sudah sebati dengan tema perbahasan berkenaan Sufisme!




Buku yang sudah dimakan ulat kerana berlubang disana sini masih terjual di MSRI di Jalan Uthant berdekatan dengan Kedutaan Palestin. Siapa berminat silalah ke MSRI kerana masih ada beberapa naskah lagi untuk dijual. Harga sangat murah. RM20 sahaja. Rugi kalau tak beli kerana inilah saksi pada anak cucu kita bahawa di Malaysia ini masih terdapa ulama' yang hebat dan dalam ilmunya.



Satu lagi buku yang lupa saya perkenalkan kepada para pembaca sekalian adalah karya dua failasuf besar tanah air iaitu Prof. Naquib sendiri serta guru saya Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud. Sebenarnya bukanlah karya yang dalam kerana buku yang bertajuk 'The International Center for Leadership in Finance (ICLIF) Competency Model (LCM): An Islamic Perspective.' merupakan modul kuliah kepimpinan dan pengurusan yang dipimpin oleh Prof. Naquib dan Prof. Wan hasil kerjasama dengan ICLIF pada tahun 2007.


Ianya menarik kerana idea-idea Prof. Naquib yang susah itu (banyak dipetik dari Prologomena dan Islam and Secularism' ) dipadatkan disamping diselitkan pelbagai mutiara ilmu dari kitab-kitab tradisional Islam yang berkaitan dengan metafizik, falsafah, kepimpinan dan sudah tentu pandangan alam Islam itu sendiri. Nak beli dimana? Saya pun tak pasti kerana saya beli buku ini daripada Prof. Wan sendiri dengan harga RM50 sewaktu melawat beliau di UKM tempoh hari. Teringn nak promote buku ini pada HRM PETRONAS atau UTP agar para pemimpin insitusi ini betul-betul mampu menghidupkan visi dan misi yang lebih utuh iaitu integrasi dunia dan akhirat.


Selepas pukul 5pm, saya merayau-rayau di Jalan TAR. Pada mulanya singgah kedai buku Islam Indonesia di Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin. Ingin mencari tafsir Mafatih Al-Ghaib karya Fakhruddin Al-Razi tetapi tidak ada. Sebab sewaktu Seminar Buku Agung ada peserta kata di Indonesia sedang giat melakukan terjemahan kitab tafsir agung ini. Nampaknya memang tidak ada peluang lah nak miliki tafsir ini dalam masa terdekat. Cara pintas adalah mempelajari bahasa Arab dan cari kitabnya nanti. Lebih ringkas lagi tunggu sajalah jemputan Dr. Farid Shahran untuk hadir ke halaqah ilmu yang mungkin dianjurkan oleh sahabat-sahabat PKPIM kelak. Inilah untung nya merentasi jemaah! Jaringan ilmu bertambah banyak dan luas! Syukur Ya Allah kau tempatkan aku praktikal di KLCC.




Maka saya memutuskan untuk membeli dua buah buku yang saya kira berkaitan dengan falsafah pemikiran Prof. Syed Naquib Al-Attas. Yang satu bertajuk Filsafat Pendidkan Islam: Analisis Pemikran Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas hasil tulisan Dr Kemas Badaruddin dan satu lagi 'Tantangan Sekularisasi dan Liberalisasi di Dunia Islam' hasil tulisan anak-anak murid Prof. Naquib iaitu Hamid Fahmy Zarkasyi, Adnin Armas dan Adian Husaini. Nampaknya para cendekiawan Indonesia lebih laju dalam menghargai pemikir dan failasuf Muslim agung Nusantara dan Dunia Islam Abad ke-2o ini berbanding dengan cendekiawan di negara kita.






Biasalah bila tengok satu kedai mana pernah puas bukan? Maka saya merayap pula ke kedai buku Pustaka Mukmin di Jalan TAR. Belek punya belek tengok harga semua saya belilah buku agung ini yang bertajuk 'Mishkat Al-Anwar' ataupun dalam nama lainnya ' The Niche for Lights' karya Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Al-Ghazali yang diterjemahkan oleh Orientalis Inggeris W.H T. Gairdner. Buku ini special juga kerana ditulis selepas magnum opus Imam Al-Ghazali iaitu Ihya Ulumuddin. Maka tidak hairanlah ianya sarat dengan perbahasan yang berunsur mistik.


Sebenarnya saya teringat sewaktu hadir ke persidangan Falsafah Sains di ISTAC awal tahun dahulu rasanya ada pembentang dari Singapura yang membentangkan tema berkaitan Cahaya yang dirujuk secara khusus melalui kitab Mishkat Al-Anwar ini. Maklumlah masa tu sangat mentah dan kosong bab-bab falsafah dan sufisme ini maka tak teringin pun nak mendalami. Alhamdulillah, dalam masa 8 bulan ini saya memang belajar banyak mengenai pemikiran dan falsafah Islam hasil interaksi bersama buku dan beberapa ilmuan-ilmuan lain. Memang lazat sekali kerana setelah kita memahami kerelevanan dan essence kepada tradisi Ilmu Islam yang hebat seolah-olah kita patut berbangga dan yakin inilah Ad-Deen yang kita inginkan.


Maka dalam pada waktu ini memang saya sedang mempersiapkan rangka pemikiran Islam (Islamic Worldview) dan sudah tentu pemilihan ini saya sandarkan kepada rangka pemikiran falsafah yang dianjurkan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas. Bonusnya daripada usaha ini kelak adalah Insyaallah saya dapat memahami realiti masalah ummah dengan lebih mendalam disamping menganjurkan penyelesaiaan yang lebih konkrit buat umat dalam kegiatan aktivisme saya. Sekarang ini memang bercita-cita untuk jadi seorang ilmuan Islam dan perjalanan ke arah itu masih jaaaaauuuuuuuuuhhhh sekali.


Ok lah nak menjamah buku-buku tersebut. Teruskan membaca dan berfikir!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syukran sebab banyak berkongsi buku2 ni, dan cara nak dapatkannya. In sya Allah akan saya usahakan untuk dapatkannya, bila berkesempatan nanti.