Selasa, 5 Ogos 2008

Ekonomi sakit atau tenat?

Kalau Ben Bernanke dan Henry M. Paulson pun sudah garu kepala. Nak kata apa lagi? Hanya orang bodoh yang masih optimis dengan sistem kapitalisme dan free market neoliberal. Selagi mana ada riba' (usury) selagi tu kita akan ditindas.


Oleh Rausyanfikir. (Tersiar dalam Siasah edisi 3/8-8/8)


Sesuatu yang buruk telah berlaku kepada ekonomi kita dan dunia amnya. Tetapi seteruk manakah keadaan ini? Berapa lamakah lagi untuk keadaan ekonomi ini pulih semua? Awal tahun ini sahaja kebanyakkan pakar ekonomi yang berhaluan neoliberal-kapitalis telah meremehkan potensi krisis ekonomi yang akan berlaku tetapi pada masa ini mereka terpaksa menerima hakikat yang sebaliknya.


Kenneth S. Rogoff, bekas Ketua Ekonomi di IMF yang sekarang sedang bertugas sebagai professor ekonomi di Universiti Havard melontarkan persoalan bahawa adakah masalah ekonomi ini akan berterusan dalam beberapa tahun lagi tahu atau beberapa dekad? Untuk menjawab persoalan tersebut, kita harus meninjau drama ekonomi yang berlaku pada minggu lepas.


Dua bank pinjaman perumahan terbesar di Amerika Syarikat (AS) , Fannie Mae dan Freddie Mac telah hampir lingkup dengan kerugian hampir 100 bilion US Dolar. Ben Benarnke selaku Pengurus Besar Federal Reserve ( Bank Negara AS) telah mengambil keputusan untuk menyelamatkan kedua-dua bank besar itu atau dengan nama lainnya bailout dengan berhajat untuk menyuntik dana kerajaan bernilai 300 bilion US dolar.


Untuk membuat bailout, kerajaan AS perlu sama ada mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat untuk menjana lebih wang untuk kerajaan ataupun Federal Reserve terpaksa mencetak lebih banyak wang kertas yang mana perbuatan mencetak duit ini hanya akan meningkatkan aras inflasi.


Alan S. Blinder, ahli ekonomi di Universiti Princeton yang juga pernah menjawat jawatan Naib Pengerusi badan pengurusan di Federal Reserve melahirkan rasa pesimistiknya terhadap situasi ekonomi selepas kes Fannie Mae dan Freddie Mac ini berlaku.


“Sistem kewangan nampak semakin merosot berbanding bulan lalu. Jikalau kegagalan bank (kerugian) semakin terus berlaku, kita akan dapat melihat lebih banyak orang yang beratur untuk mengeluarkan wang mereka daripada bank tersebut. Keadaan sebegini akan melunturkan keyakinan para pengguna yang lain terhadap sistem perbankan moden.”


Situasi yang dinamakan ‘bank run’ ini telah berlaku terhadap bank Northern Rock (antara penaja utama pasukan bola sepak Newcastle United) yang berpangkalan di United Kingdom dimana sebahagian besar pemegang akaun di bank tersebut telah membawa keluar wang mereka sewaktu krisis kredit dan subprima (pinjaman perumahan) mula berlaku di Amerika Syarikat pada pertengahan September 2007.


Telah dijangkakan sebanyak 1 bilion pound sterling telah dikeluarkan oleh para pemegang akaun bank tersebut yang juga mencangkupi kira-kira 5% jumlah deposit yang ada pada Northern Rock. Dalam satu insiden di Cheltenham, dua pemegang akaun telah menahan pengurus bank Northern Rock di cawangan tersebut kerana tidak mengizikan mereka mengeluarkan 1 juta pound sterling pada waktu itu.


Telah dijangkakan dalam masa seminggu selepas itu sebanyak 2 bilion pound sterling wang telah dikeluarkan oleh para pemegang akaun Northern Rock kerana risau akan dampak yang bakal berlaku terjadap wang simpanan mereka dalam mengharungi krisis ekonomi subprima pada waktu itu.


Oleh kerana sistem kewangan moden sangat kompleks dan berkait rapat antara satu negara dengan negara yang lain, maka apabila krisis subprima berlaku di Amerika Syarikat maka United Kingdom juga akan merasai kesannya yang dahsyat.


Dalam satu sudut lain pula, Blinder melihat masalah ini hampir sama seperti yang berlaku sewaktu krisis ekonomi Amerika yang bergelar Great Depression pada tahun 1930 dimana nilai wang tidak membawa apa-apa makna akibat masalah pasaran kewangan yang kronik.


Ahli ekonomi Sekolah Perniagaan Stern di Universiti New York, Nouriel Roubini telah menyuarakan kerisauan beliau lebih daripada 2 tahun yang lalu lagi berkenaan permasalahan pinjaman perumahan yang mampu membawa kepada krisis dan kelembapan ekonomi.


Tetapi pada waktu itu ramai ahli ekonomi tidak mempercayai beliau malah menuduh kenyataan dan pandangan Roubini tersebut sebagai mencari publisiti murahan. Sekarang mereka tiada pilihan melainkan bersetuju dengan pandangan Roubini. Beliau mentaksirkan bahawa kerugian yang bakal dialami oleh sistem kewangan AS boleh menjangkau sehingga 2 trilion US dolar. Itupun mengikut beliau masih belum menunjukkan tahap kronik yang sebenar.


Persoalannya disini bagaimanakah bank akan menggantikan wang yang semakin susut tersebut? Apakah yang akan berlaku jikalau institusi perbankan tidak mampu menggantikannya?


Krisis kewangan yang hadir dalam bentuk kredit dan subprima telah membawa banyak bencana kepada negara-negara Barat terutamanya di Amerika Syarikat dan United Kingdom.


Bank-bank yang berkaliber seperti Société Générale, Northern Rock dan Bear Stearns telah tenggelam dihanyutkan oleh krisis kewangan tersebut dan seterusnya mendedahkan kepada masyarakat dunia akan kelemahan ketara sistem kewangan yang kita ada pada masa ini. Walaubagaimanapun, krisis yang telah melanda bank-bank besar ini hanyalah sejemput daripada permasalahan ekonomi yang telah lama berlaku.


Dalam keadaan yang sekarang yang hampir menyerupai krisis ekonomi Great Depression yang berlaku pada tahun 1930-an, kita boleh rumuskan bahawa adalah perlunya untuk kita melakukan perubahan radikal terhadap sistem kewangan yang digunakan oleh hampir kesemua negara dalam dunia ini pada masa ini.


Sistem yang pada asalnya digunakan untuk mengatur cara transaksi ekonomi kini telah menjadi sistem yang mencipta tragedi ekonomi. Wang yang pada asalnya merupakan hanya sebagai kayu ukur nilai kekayaan telah bertukar menjadi kekayaan itu sendiri juga.


Kita harus faham bahawa wang bukanlah kekayaan yang sebenar. Ianya adalah satu ilusi yang cukup merbahaya untuk memikirkan bahawa wang dinilai sama erti dengan kekayaan. Kekayaan yang sebenar hadir dalam rupa bentuk tanah yang baik, haiwan ternakan, kehijauan alam sekitar, air yang bersih, rezeki yang halal, dan juga ilmu pengetahuan yang menimbulkan rasa Taqwa kepada Ilahi. Wang hanya dicipta untuk melicinkan interaksi ekonomi dan untuk memastikan perjalanan pasaran ekonomi bergerak lancar dan mudah.


Kegunaan wang sepatutnya membantu masyarakat tetapi pada masa kini tujuan dan kegunaan asalnya telah berubah arah. Keadaan sekarang telah beralih arah dimana situasi ekonomi neoliberal-kapitalis ini telah meletakkan masyarakat sebagai subjek yang berkerja untuk wang. Sumber alam yang tidak boleh dicari ganti ditukarkan menjadi barang kegunaan untuk menjana keuntungan kewangan. Sama ada barang kegunaan itu benar-benar diperlukan atau tidak, bukan persoalan penting dalam ekonomi yang menjadikan wang sebagai nilai kekayaan.


Selagi mana wang terus dicetak dan diangkat sebagai simbol kekayaan sejati, segala macam perkara dengan mudah dijustifikasikan kegunaanya atas nama wang. Menurut sistem ekonomi sebegini, mesin pencetak duit harus digerakkan dalam apa jua keadaan. Sudah tentu kebanyakkan daripada pembekal dan pencetwak wang ini dikawal oleh segelintir manusia sahaja. Pada masa ini, seolah-olah kita berasa kekurangan wang tetapi hakikatnya orang yang berduit tidak merasai itu semua.


Adakah benar kita mengalami krisis ini kerana kita kesuntukkan wang? Manusia tidak pernah kesuntukkan wang untuk membeli senjata peperangan tetapi sentiasa memberi alasan tidak cukup duit untuk membaik pulih sistem pendidikan di negara masing-masing. Orang berduit sentiasa mempunyai wang untuk membeli pakaian berjenama tetapi tidak pernah mempunyai wang yang cukup untuk memberi makan kepada orang miskin. Wang sentiasa melimpah ruah untuk membina bangunan-bangunan besar tetapi untuk membina tempat berteduh si miskin adalah satu perkara yang susah. Benarkah kita kekurangan wang?


Secara lumrahnya, terdapat hierarki yang wujud terhadap wang. Sesetengah wang mempunyai nilai yang lebih baik berbanding wang yang lain. Jikalau anda mempunyai wang euro, pound ataupun yen, anda dikira bertuah tetapi jikalau anda mempunyai rupee, dinar dan pesos nilai anda rendah sekali. Anda perlu memberi 100 rupees untuk mendapatkan wang berniali 1 Euro. Oleh kerana perbezaan yang wujud antara jenis mata wang yang berbeza ini, maka berlakulah eksploitasi ekonomi ke atas negara yang mempunyai mata wang yang rendah.


Duit boleh bertukar menjadi alat untuk menzalimi dan mengeksploitasi bukan sekadar alat pertukaran nilai kekayaan, Negara demokrasi pada zaman ini adalah sebuah negara yang mempunyai kerajaan orang kaya, untuk orang kaya dan juga daripada orang kaya. Wang menyukai kuasa, dan kuasa juga menyukai wang.


Apa yang kita perlu lakukan ialah mencipta kembali wang tempatan dan mungkin juga dinar emas yang lebih stabil dan tidak dipengaruhi oleh sentimen ekonomi antarabangsa yang sering berubah dengan liar.


Krisis kewangan di Malaysia juga apa kurangnya. Pasaran saham yang semakin menjunam dan kenaikkan harga bahan api yang seterusnya memacu hebat kos pengeluaran barangan harian telah meletakkan ekonomi negara di tahap yang lemah.


Baru-baru ini, Malaysian Trade Union Congress (MTUC) yang merupakan badan gabungan kesatuan kerja terbesar di Malaysia telah membuat perkiraan bahawa menjelang hujung tahun ini seramai 50,000 pekerja di Pulau Pinang bakal kehilangan kerja.


Realitinya, para pemimpin kita masih sibuk berpolitik sehingga tidak sedar bah besar bakal melanda ekonomi negara. Perlunya cerdik pandai dan ahli ekonomi memikirkan jalan keluar yang terbaik untuk mengelak daripada terus terperangkap dalam ‘jaringan syaitan’ sistem kewangan neoliberal-kapitalis yang berteraskan riba’ dalam definisi yang lebih besar- iaitu penindasan secara konsisten dan diskrit terhadap golongan pekerja secara am dan yang miskin secara khasnya.


P/S: Untuk rujukan lanjut sila lawati:

1) Liberty Dollar

2) Dollar Daze

3) Kempen Pengeluaran KWSP untuk membeli emas.


2 ulasan:

Hasbullah Pit berkata...

Ko join la revolusi untuk benarkan Pengeluaran KWSP untuk membeli emas.

Utarakan idea itu dan menangi RM 100.
Peraduan Pengeluaran KWSP untuk Emas

ASaL berkata...

what do you suggest to our economy scenario in Malaysia. Do we have to withdraw our money as well and keep it save where we think it is possible?