Khamis, 21 Ogos 2008

Barah kepimpinan Melayu


Kejatuhan Tamadun Melayu Melaka tidak berlaku dalam sehari. Begitu juga dengan tamadun Rom, dan Islam Umaiyah, Abbasiyah, dan Uthmaniyah.


Oleh Rausyanfikir (bakal terbit dalam Siasah edisi 22/8)


Adapun raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala..ra'ayat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikian raja-raja itu dengan segala ra'ayatnya...jikalau kau bunuh ia (ra'ayatmu) dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa


Begitulah puitis dan mendalamnya mesej yang disampaikan oleh Sultan Alauddin Syah kepada anaknya yang bakal mewarisi takhta setelah ayahnya meninggal. Wasiat ini telah dimuatkan di dalam satu karya agung tamadun Melayu iaitu Sulalat Al-Salatain atau dalam nama lainnya 'Sejarah Melayu'.


Jikalau kita lihat pada hari ini bagaimana para pemimpin kita sudah tidak menghayati konsep dan tradisi kepimpinan Melayu yang sememangnya terbentuk melalui pandangan alam Islam yang begitu kental pada waktu itu.



Feudalisme yang wujud tidaklah berbentuk semberono dimana para penguasa dengan mudah melakukan apa sahaja sewenangnya terhadap rakyat. Walaupun terdapat beberapa kisah buruk golongan pemimpin dalam sejarah Melayu tetapi masih banyak yang bernas dan adil dalam memimpin.


Residen British yang menjadikan Kuala Lumpur kota Kapitalisme British di Malaya.


Peranan ulama' dalam Istana bukanlah satu perkara kecil malah merupakan faktor yang menentukan jatuh bangunnya kerajaan Melayu itu sendiri. Lihat saja selepas kedatangan British dimana Residen telah diangkat menjadi penasihat dan ulama' dikesampingkan kepada hanya mengurus hal ehwal agama Islam yang sempit. Natijahnya, rakyat kita jatuh dalam gaung penjajahan kolonial kapitalisme yang mengeskploitasi semahu-mahunya harta dan khazanah tanah air kita.


Kisah-kisah kepimpinan Melayu Islam telah semakin hanyut karam di dalam lautan sejarah. Teori politik-ekonomi laissez faire, Machivaelli dan segala macam falsafah kepimpinan yang berteraskan sekular humanisme menjadi sandaran utama dalam mengekalkan dan merebut kuasa sehinggakan rakyat diperlakukan dengan sebegitu sahaja.


Pada hari ini, para pemimpin kita (baca: ahli politik) lebih suka berkokok di majlis-majlis yang mendatangkan 'spotlight' media massa bagi melobi kepentingan-kepentingan tertentu daripada memuhasabah diri mereka serta masyarakat yang mereka pimpin secara amnya. Seolah-olah kepimpinan mereka berdiri atas suatu kuasa yang mutlak seperti yang dilakonkan dengan hebat oleh Firaun pada zaman Nabi Musa a.s.


Sudah tentu kita sedih, kesal dan marah akan wabak kepimpinan yang membusuk dalam pelbagai sektor kepimpinan negara. Dari Putrajaya hinggalah ke rumah-rumah teres biasa, faktor kepimpinan dalam masyarakat kita lemah dan tidak bermaya sehingga melahirkan pula krisis sosial yang entah beragam rupa.


Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku orang yang mengambil 'cawan beracun' daripada Kaisar Melayu a.k.a Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memerintah Malaysia selama lebih 20 tahun telah terpaksa melakukan house cleaning terhadap kurap dan kuman yang ditinggalkan oleh generasi kepimpinan Tun Dr.Mahathir Mohamad. Politik wang, perjuangan material, sekularisasi yang kental, semua ini bukan bermula setahun dua yang lepas malah telah lama berlaku dan menjadi sebati dengan masyarakat kita.


Bukan kapal perang Belanda yang merobohkan Kota Melaka tetapi para pemimpinnya sendiri.


Sejarah tidak pernah berlaku curang kepada kebenaran. Lebih kurang 200 tahun yang lampau, Tamadun Rom menyaksikan kegemilangan yang begitu hebat dibawah kepimpinan Lucius Septimius Severus (146-211 M). Beliau telah melakukan pelbagai jenis reformasi perundangan dan ketenteraan yang hebat sehinggakan corak pemerintahan beliau didasari dengan ketegasan dan kekejaman tentera yang akhirnya membuahkan kejayaan kebendaan untuk rakyatnya.


Begitu juga dengan Malaysia di bawah Tun Mahathir. Kita mendabik dada sebagai salah satu Harimau Asia yang baru mengaum. Kita gah dengan bangunan pencakar langit, dan segala macam infrastruktur tetapi malangnya kejayaan tersebut telah meremehkan peranan spiritual dalam kehidupan rakyat negara kita.


Edward Gibbon dalam magnum opus beliau The Decline and Fall of the Roman Empire menceritakan bagaimana Maharaja Severus menanam bibit-bibit keruntuhan Imperaturia Roma.


Mereka yang hidup sezaman dengan Severus tidak mengedahkan kezaliman yang diperkenalkannya demi nikmat keamanan dan kehebatan Kerajaannya. Tetapi, mereka yang hidup selepasnya yang mengalami kesan-kesan berbahya daripada dasar-dasar dan tindak Severus, dengan tepatnya menganggap beliau paling bertanggungjawab bagi jehatuhan Imperaturia Roma


Lihat sahajalah masalah akidah umat Islam. Berapa sangatkah para pemimpin Islam yang begitu peka dalam menangani masalah ini secara lebih berkesan? Jangan menang sorak kampung tergadai. Kerana kuasa kita lupakan rakyat. Belum tentu apabila berkuasa kita akan mengisbatkan diri kepada amanah rakyat.


Inilah yang puas ditekankan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas. Kebobrokkan kepimpinan negara kita pada hari ini bukanlah semata-mata sang pemimpin yang durjana tetapi merupakan benih-benih kebodohan yang tuntas tumbuh selepas disirami ilmu yang salah dan keliru hasil daripada kerterpurukkan budaya yang telah lama digari oleh penjajahan barat dan pada masa yang sama kelemahan jati diri pemipin Melayu itu sendiri.


Menurut pemerhatian Prof. Syed Naquib Al-Attas, masalah kepimpinan negara ini bukanlah suatu perkara yang berlaku secara begitu sahaja dan bukan juga masalah utama yang berlaku pada zaman ini.


Punca dasar kepada masalah ini bertitik tolak daripada masalah ilmu dimana berlaku kekeliruan dan kesilapan persepi dalam memahami ilmu (confusion and error in knowledge). Kekeliruan ini akhirnya menghasilkan apa yang dijelaskan oleh Prof. Syed Naquib sebagai masalah kehilangan adab (loss of adab). Maksud kehilangan adab ini boleh dijelaskan sebagai "kegagalan seseorang dalam mengenali dan memahami ilmu sehingga meletakkan sesuatu perkara tersebut di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menghasilkan ketidak adilan kepada diri dan masyarakat."

Dua keadaan ini, iaitu kekeliruan dan kesilapan persepsi dalam memahami ilmu yang juga turut disulami dengan masalah kehilangan adab akan menghasilkan masalah dahsyat dalam masyarakat. Antara masalah yang timbul ialah lahirnya para pemimpin yang tidak layak dalam memimpin kerana tidak mempunyai kualiti akhlak, intelek dan spiritual yang sepatutnya sebagai seseorang pemimpin Islam dalam semua lapangan baik di rumah serta di institusi-institusi pemerintahan.


Bencana ini akhirnya akan menghasilkan satu kitaran kepimpinan yang lemah apabila kekeliruan dan kesilapan persepi terhadap ilmu ini meresap ke adalam insitusi pendidikan yang sangat penting dan dominan dalam membentuk seseorang manusia itu.


Maka sedarlah kita semua bahawa masalah yang kita sedang hadapi ini hanyalah buih-buih masalah yang timbul di atas permukaan laut dalam yang ganas dengan kelemahan dan kehinaan ummah. Akarnya masih ganas menjalar dibawah kesedaran kita tanpa diberi perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat melainkan golongan ilmuan muttaqin yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan sepertimana yang wujud pada zaman kegemilangan Islam seperti Al-Ghazali, Ibnu Taimiyah dan yang seangkatan dengannya.


Sudah menjadi satu kewajiban untuk para ulama’ yang bertakwa untuk speak truth to power dan pada masa yang sama bersungguh-sungguh memahami dan menyelesaikan cabaran dalam dan luar yang sedang menghentam umat Melayu dalam negara ini. Biarkan para politikus terjun bersama labu-labunya kerana Keadilan dan Kebenaran itu tidak lahir hanya melalui gerak kerja politik semata-mata.

Tiada ulasan: