Saya berpeluang berjumpa dengan guru aktivisme saya, Tuan Haji Azmi Abdul Hamid ataupun lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi yang juga merangkap Presiden TERAS Pengupayaan Melayu.
Sekali lagi, Cikgu Azmi memperingatkan saya:
"Hangpa buat apa kat KL? Dah tubuhkan group aktivisme intelektual?"
Saya dengan segan silu mengaku belum. Amanat ni dah lama dapat tetapi dari segi outcome dia masih belum nampak. Cubaan untuk menyuntik idealisme yang berorientasikan 'aktivisme intelektual' ini sedang berjalan dengan kerjasama tidak formal yang saya jalankan bersama Presiden GAMIS dan juga Presiden PKPIM. Syukur kedua-dua pimpinan ini yang umur mereka 5 tahun lebih tua daripada saya memandang serius dan positif akan proposal saya ini. Cumanya mungkin ahli-ahli mereka masih sedap dengan cara lama dan kecenderungan ke arah politik masih tegar semenjak dua menjak isu AUKU ini dibangkitkan kembali. Rasanya dah banyak artikel saya tulis dalam Siasah menjelaskan idealisme 'aktivisme intelektual' ini dengan harapan para pimpinan kampus dan parti politik membacanya dan memandang serius isu pembaharuan idealisme aktivis mahasiswa. Tapi sayangnya respons masih kurang.
Perbualan saya dengan Cikgu Mi tadi bertempat di sandwich bar Obrien's bersebelahan Masjid Jamek.Rasanya ini kali pertama kami duduk minum di tempat urbanite.Selalu kedai mamak je. Sudah tentu topik yang dibincangkan tidak terlepas berkaitan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Siapa yang kenal Cikgu Azmi tak perlulah saya perlebarkan 'aura' aktivisme beliau. Siapa yang tak kenal bolehlah Google website Teman Teras. Boleh kata dia inilah salah seorang Think Tank Pakatan Rakyat pasca 8 Mac. Ke hulu ke hilir membantu exco-exco menguruskan negeri buat pertama kali. Inilah kelebihan yang ada pada Cikgu Azmi setelah berkhidmat dengan pelbagai jenis NGO terutamanya yang terdapat di Pulau Pinang seperti CAP, Citizen International, Sahabat Alam Malaysia dan Third World Network. Sudah tentu idealisme saya juga banyak terbentuk melalui idea-idea NGO ini semenjak 2 tahun lepas.
Cikgu Mi mengingatkan saya akan perlunya kita umat Islam yang mempunyai fikrah 'aktivisme intelektual' ini agar dapat membentuk inner circle kepada Anwar Ibrahim. Selama ini dalam PKR kita sedar bahawa figura seperti Khalid Jaafar dan rakan-rakan IKDnya merupakan 'Think Tankers' kepada perjuangan Anwar pasca Reformasi. Mereka merupakan aktivis intelektual yang hebat. Membaca berdozen-dozen buku dan very up to date. Masalahnya kebanyakkan idea dan falsafah yang dibawa kadang kala tidak secocok dengan nama Islam itu sendiri. Lihat saja buku-buku Ali Abdul Raziq yang sudah lusuh masih diketengahkan oleh IKD.
Apakah masalah kita sebenarnya? Cikgu Mi secara idealnya memang tidak bersetuju dengan beberapa dasar dan hubungan Anwar bersama Amerika dan sebagainya. Tetapi buat masa sekarang secara praktikalnya dialah manusia yang mempunyai kapasiti yang jauh lebih relevan untuk meminpin negara yang majmuk ini. Bukan Tuan Guru Haji Hadi tidak boleh tetapi memang Tuan Guru amat jauh dari segi kredibiliti untuk memimpin negara ini hendaknya pula bila berkaitan dengan persoalan semasa yang sarat dengan falsafah modernity yang konkrit lagi diskrit. Tuan Guru bukan ahli dalam bidang ekonomi Free Market dan segala macam karenah dan masalah dunia korporat. Memimpin Jemaah Islam ya Insyaallah tetapi bila datang bab masyarakat yang macam ini saya rasa ramai yang tidak yakin dengan PAS lagi. Exceptions to Husam and Dr Dzulkifli yang saya rasa mempunyai bakat dan kredibiliti yang lebih baik berbanding ustaz-ustaz dalam PAS yang lain. Bukan memperkecilkan mereka tetapi meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya. Kekurangan wajar ditampung dengan insan yang layak dalam bidangnya.
Dan disinlah kelemahan perjuangan Melayu Islam yang mendampingi Anwar. Tiada ulama' yang betul-betul on par dengan Anwar dari segi kefahaman berkenaan realiti zaman semasa ini. Kata Cikgu Mi, ulama' yang hampir dengan Anwar lebih cenderung kepada outer circle dan geng-geng liberal free market ni adalah inner circle kepada Anwar. Maka salah satu strategi terbaik untuk kita jaga kemandirian hak umat Melayu di Malaysia ini adalah dengan mewujudkan inner circle yang sarat dengan ulama' disisi Anwar. (Istilah Cikgu Mi kata ialah "mengepung").
Harus diingat bahawa Anwar Ibrahim bukan politikus sipahi seperti politikus UMNO. Martabat ilmu semasa Anwar boleh kata on par dengan Tun Mahathir sendiri kerana kedua-dua politikus ini sangat kuat membaca! Manalah sama Anwar dengan Ali Rustam, Muhyiddin apatah lagi Pak Lah! Begitu juga Anwar dengan Tuan Guru Haji Hadi dan apatah lagi Mat Sabu!
Pernah saya hadiri majlis pelancaran buku Dr Syed Husin Ali bertajuk "The Malays" di Armada Hotel 2 bulan lepas. Anwar memberi ucap tama kepada buku itu. Sebaik sahaja beliau memegan mikrofon, entah berapa ramai nama intelektual yang world renowned disebut beliau dalam menyampaikan hujah-hujah berkenaan kajian antropologi dan orientalisme. Ah, beliau memang hebat. Bukan calang-calang orang untuk ditipu. Itulah Anwar. Saya amat kagum dengan semangat dan kapasiti intelektual yang beliau miliki CUMANYA tanpa framework yang betul iaitu pandangan alam Islam mungkin beliau boleh tersilap memahami sesuatu persoalan.
Jadi bagaimana? Borak kami panjang lagi dan nak cerita semua rasa tak perlu kot. Maka disini saya ingin mengingatkan, dan memberitahu kepada umat Melayu bahawa Anwar bukanlah pemimpin yang lahir dalam vakum. Beliau dibentuk dan diasuh semenjak beliau sebaya saya di Universiti Malaya dulu. Buktinya mari kita sama-sama baca ulasan saya dibawah.
Buku ini menceritkan beberapa perihal Anwar sewaktu beliau muda sebelum menjadi seperti mana beliau sekarang. Seharusnya inilah yang kita perlu fahami bagaimanakah lahirnya seorang pemimpin 'hebat' seperti Anwar ini.
Gambar di atas jelas menunjukkan isi penting buku ini. Kita fokus dulu kepada Anwar.
Ok, ini antara perenggan teks ucapan Anwar pada hari penganugerahan kerusi Al Ghazali kepada Profesor Syed Naquib Al-Attas. Saya akan type semula dibawah:
"Hari ini amat bermakna kepada kita semua kerana dapat memberikan penghormatan kepada dua tokoh yang begitu berjasa kepada dunia Islam, khasnya dan dunia pemikiran amnya. Tokoh pertama ialah Hujatul Islam al-Ghazali, di mana kerusi yang ditubuhkan mengambil sempena nama beliau, dan keduanya Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai sarjana pertama menjawat kerusi tersebut.
Sepanjang hidup saya, saya amat bernasib baik kerana dapat mendampingi beberapa ilmuwan besar. Prof. Al-Attas merupakan salah seorang dari tokoh tersebut. Beliau memberikan saya bimbingan dan pendedahan dalam pelbagai aspek keilmuan terutamanya sebagai mahasiswa di UM dan semasa saya berkhidmat sebagai tutor di UKM. Bahkan dalam bidang falsafah pengaruh beliau terhadap generasi kami begitu mendalam. Prof. Al-Attas bukan sahaja sedia mencurahkan ilmu tetapi sebagai seorang sahbat setia turut memberikan dorongan serta semangat dalam ketika dan saat genting."
Perenggan ini sentimental sedikit. Anwar kata:
"Semasa saya 'diistirihatkan' di Kemunting, Prof. Al-Attas pernah mengirim pantun ini:
Kemunting buah pedada,
Digoncang gugur tak jadi,
Bunga tersunting di atas dada.
Jasa pagar memakan padi.
Lantas saya menjawab:
Kemunting di dalam pagar,
Mekar layu gugur sendiri,
Dengan helah pencak pendekar,
Takkan tergugat pahlawan sejati. "
Ada lagi yang lebih sentimental kepada Anwar dan Prof. Al-Attas. Memetik teks ucapan Anwar dalam buku ini, muka surat 22 perenggan 5:
" Like al-Ghazali, Prof. al-Attas is also a great polemicist. I would recall not without some measure of nostalgia, that among the unforgettable moments in my younger life is to sit beside the Professor in the month of Ramadhan, from iftar to fajar, to listen to his discourses, be it in the realm of ideas or concerning the practical affairs of our society. One has the feeling of listening to a powerful expose of the "tahafut" of our times. The Professor's polemics with Dutch orientalists on Islamic history, philology and Malay litenary history have not only opened new avenues for research but often mercilessly exposed the sophistry of the latter."
Perenggan penutup kalian klik sajalah kepada gambar dibawah.
Untuk bacaan lanjut berkenaan zaman muda aktivisme Anwar kenalah cari buku ini yang saya sendiri sedang mencarinya juga. Jangan terkejut, penulisnya ialah sang feminis Sisters in Islam iaitu Zainah Anwar. Ditulis semasa Zainah bertugas sebagai wartawan.

Tidak kisahlah. Walaupun saya tak sempat belajar di bawah Prof. Naquib seperti Anwar Ibrahim tapi saya ingin mengambil ibrah daripada kisah silam Anwar sewaktu beliau mahasiswa bahawasanya saya akan cuba sedaya upaya dalam masa muda ini untuk saya bawa idea dan pemikiran Prof. Al-Attas ke tempat yang sepatutnya dalam masyarakat dan ummah. Dan saya bersyukur bahawa kesungguhan saya ini telah terbalas dengan keizinan Allah S.W.T pertemukan saya dan memberikan kepercayaan buat Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud yang boleh dipersetujui oleh ramai ilmuan sebagai 'the 2nd man' after al-Attas himself dalam mendukung falsafah dan pemikiran al-Attas. Baca sajalah buku Prof. Wan bertajuk 'The Exposition of the Educational Philosophy of Syed Muhammad Naquib Al-Attas' dan anda pasti akan fahami apa yang saya maksudkan. Insyaallah.