Khamis, 10 Julai 2008

Menentang Neoliberalisme di kampus



Oleh Wan Ahmad Fayhsal


Melihat rakyat terseksa dalam berhadapan dengan polemik kenaikkan harga minyak yang begitu tinggi, apakah peranan mahasiswa buat masa ini? Pilihan Raya Kampus makin hampir. Adakah itu yang akan menjadi agenda utama para aktivis kampus? Dalam keadaan serba susah sebegini, mahasiswa masih mampu menikmati pelbagai jenis kelebihan yang rakyat marhain biasa tidak mampu miliki. Antara kelebihan yang dimiliki oleh golongan siswa ialah kekuatan intelek dalam menganalisis dan menyelesaikan masalah yang ada.


Sudah sampai masanya mahasiswa sendiri berpusing 180 darjah dalam menilai permasalahan yang ada. Kita tidak perlu bersifat begitu populis sehingga mengaburi idealisme yang seterusnya menjadikan kita kurang relevan sebegai penyelesai masalah dalam masyarakat.


Kita sedar pada hari ini berbagai-bagai propaganda dilontarkan oleh media massa yang akhirnya akan menarik perhatian masyarakat kepada perkara yang tidak penting untuk difikir dan dibincangkan. Perang politik yang berlaku pada masa kini tidak seharusnya menarik para aktivis kampus dalam pusaran yang mengelirukan tersebut. Kita seharusnya menjadi jurbicara umat yang tulen.


Tetapi bagaimana ya? Bukan mudah bukan? Kita ditakutkan dengan AUKU dan sebagainya. Usah bimbang. Perjuangan yang kita harus lakukan ini bukanlah bersifat partisan yang sempit dan mampu menggugat kestabilan kuasa politik yang ada sekarang. Kita seharusnya mencantas akar permasalahan, bukannya ranting-ranting kering yang sudah uzur dimamah ulat.


Apakah masalah yang kita alami ini? Antaranya adalah masalah ekonomi. Masalah ekonomi ini bukannya datang secara bergolek. Ia telah melalaui proses yang panjang sehingga terbentuknya, seperti mana konsep “common sense” dan “hegemoni” yang dikemukakan oleh Antonio Gramsci, seorang intelektual Marxis Itali yang dipenjara semasa era rejim Fasis Benito Mussolini.


Apa yang kita tidak nampak pada waktu ini adalah satu bentuk hegemoni sistem ekonomi kapitalis dan juga satu aturan sosial “common sense” dimana masyarakat kita redha dengan system yang ada. Seperti contoh, dalam usaha kita menegakkan keadilan kepada para pekerja, antara perkara berbangkit yang kita kemukakan adalah berkenaan dengan gaji minimum.


Persoalan yang lebih dasar seperti eksploitasi secara diskrit ( penderaan emosi, intelek) dan konkrit (beban kerja, kebajikan yang tempang) yang dianjurkan oleh sistem neolibral-kapitalis tidak dibicarakan secara sihat dan terbuka kepada masyarakat. Musuh sebenar kaum marhain di negara ini ialah sistem neoliberal-kapitalis yang membawa keuntungan kepada si kaya dan menghimpitkan lagi kehidupan si miskin, yang rata-ratanya kaum pekerja.



Negara membangun seperti Amerika Syarikat sendiri sedang bertarung hebat menentang sistem neoliberal-kapitalis. Di Amerika terdapat beberapa orang profesor ekonomi yang telah dipinggirkan kerana membawa idea-idea yang baru yang tidak secocok dengan pemahaman ekonomi neoliberal.


Ahli sejarah ekonomi terkenal dari Amerika, John Davies menjelaskan bahawa kebanyakkan ahli ekonomi yang cuba membawa idea baru yang tidak mainstream akan di kekang daripada menjawat jawatan penting di universiti, persidangan dan juga penerbitan jurnal ilmiah.


Selalunya alasan yang diberikan adalah berkaitan bahawa idea yang dibawa mereka tidak “formal” dalam erti kata idea mereka tidak mempunyai model matematik yang kompleks dan abstrak. Antara gagasan pemikiran ekonomi yang menjadi saingan kuat neoliberal di Barat adalah gagasan ekonomi Marxis yang selalu dianggap antitesis kepada ideologi ekonomi neoliberal.


Untuk mengekalkan ideologi ekonomi neoliberal di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia ini, para pejuang gagasan neoliberal ini akan membiayai tangki pemikiran (think thank), universiti, dan biasiswa untuk melakukan penyelidikan yang membawa kepada agenda model ekonomi neoliberal-kapitalis.


Maka apabila mereka berjaya menguasai perbincangan ekonomi di Malaysia melalui kaca mata neoliberal-kapitalis, secara automatik seperti Gramsci perkatakan bahawa kesemua itu akan bertukar daripada “hegemoni” kepada satu “common sense” yang akhirnya diterima pakai oleh semua ahli ekonomi, perniagaan dan para pemimpin Negara dalam menguruskan ekonomi dan hala tuju negara.



Majalah aktivisme radikal terkenal di Amerika iaitu Adbuster telah berusaha mempromosikan kempen menukar buku teks ekonomi yang kerap digunakan di serata dunia antaranya buku teks ‘Economics’ yang ditulis oleh ahli ekonomi neoliberal P Samuelson dan buku teksPrinciples of Economics’ hasil karya Gregory Mankiw kepada buku teks yang lebih relevan kepada permasalahan yang ada terutamanya berkaitan dengan kemandirian alam sekitar dan keadilan kepada para pekerja.


Buku teks yang ditulis Samuelson itu pertama kalinya diterbiktan pada tahun 1948 dan telah diterbitkan sehingga edisi ke-18. Pengaruh buku teks ini sangat jelas apabila ianya telah diterjemah kepada 40 jenis bahasa dan telah terjual sebanyak 4 juta naskah sehingga ke hari ini.


Begitu juga buku teks yang ditulis Mankiw telah digunakan hampir di kesemua institusi pengajian tinggi yang menggunakan bahasa pengajaran Bahasa Inggeris.


Buku-buku ini saban hari telah membentuk pemikiran para mahasiswa ekonomi di serata dunia untuk berfikir HANYA dalam kotak pemikiran ekonomi neoliberal. Maka setelah mereka bergraduasi menjadi ahli ekonomi, usahawan, dan ahli politik yang banyak membuat dasar untuk masyarakat dan negara, secara sedar ataupun tidak mereka hanya menggunakan model tersebut secara membuta tuli kerana sepanjang mereka hidup hanya model anjuran sistem neoliberal-kapitalis tersebut menjadi sandaran kepada perancangan mereka.


Untuk itu, buat para aktivis kampus, perjuangan ini tidaklah serumit AUKU tetapi cukup penting kerana dampaknya pada masa hadapan amat jelas sekali. Buat permulaan para aktivis kampus melalui badan-badan yang relevan bolehlah membuat kempen dan permintaan untuk merangkumkan beberapa prinsip penting ke dalam silibus pengajian ekonomi di institusi pengajian tempatan kita antaranya adalah:


1) mengiktiraf bahawa bidang ilmu ekonomi adalah subset kepada bidang ilmu Alam Sekitar dan bukan sebaliknya dimana subjek ekonomi melihat alam sekitar sebagai subset kepadanya.

2) Mengiktiraf bahawa manusia sangat bergantung kepada kestabilan alam sekitar. Jikalau alam sekitar rosak, maka masa depan manusia juga akan merasa akibatnya.

3) Mengikitraf bahawa sumber alam sedang semakin berkurangan kerana kadar penggunaanya yang cukup berleluasa hasil daripada gaya hidup moden yang berpaksikan pembagunan material yang telah juga membawa kepada pencemaran alam sekitar yang kronik.

4) Mengiktiraf bahawa model ekonomi yang menjaja model “Pasaran Bebas” (free trade) telah membenarkan syarikat-syarikat besar berlaku tamak dalam mengaut sumber alam dengan begitu rakus sehingga menghasilkan liabiliti kepada masyarakat yang terpaksa berhadapan dengan karenah mereka.

5) Mengiktiraf bahawa setelah keperluan asas manusia mencukupi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian, pembangunan ekonomi hanya memberi sedikit dampak untuk meningkatkan kebahagiaan manusia.


Penulis percaya dengan berlakunya revolusi pendidikan ekonomi di institusi pengajian tinggi negara kita, rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

2 ulasan:

welma la'anda berkata...

Semoga terus istiqamah menulis dan melontarkan pandangan. Saya pembaca setia blog ini.

sjankan berkata...

Susah nak laksaa teori atau agenda saudara.

Aku penyokong kapitalis.

www.chedet-unlimited.blogspot.com